Salam.
Sekitar empat tahun yang lepas, saya menyertai sebuah program, tidak salah saya anjuran Jabatan Bahasa kolej.
Waktu malam-malam, kami tidur dalam kamar umpama dorm asrama, dengan katil kecil bertingkat yang disusun rapat-rapat. Suatu waktu senggang, sewaktu baring bersenang-senang, saya nampak N duduk - bertimpuh? - di kepala katil, di sisi H yang rasa saya sedang berbaring mengiring. N sedang membaca sesuatu, sama ada Ma'thurat atau al-Quran.
Persepsi saya terhadap sesuatu, berubah dari semasa ke semasa. Alhamdulillah setakat ini perkembangannya sentiasa - most of the time - adalah ke arah paradigma dan worldview yang lebih baik, lebih positif.
Pada ketika itu, saya memandang agama dan kerohanian sebagai sesuatu yang peribadi. Saya tidak selesa bercakap tentang hal-hal 'seumpama itu'. Dalam berhujah, saya senang menggunakan dalil 'aqli, menganggap hal-hal naqli sebagai sesuatu yang 'semua orang sudah tahu', taking it for granted.
Islam, spiritualiti, dan ibadah, bagi saya, pada ketika itu, bukanlah sesuatu yang saya selesa bicarakan dengan orang, pertunjukkan dengan orang, if i can help it. Faith and practice of faith is personal, private, and not something to be overly brought up in public practice. Aha, saya ingin tergelak bila mengingatkan pemikiran saya dahulu!
Dalam berpakaian ia sesuatu yang tidak dapat saya elakkan - kalau mengikut syariat maka orang akan nampak seseorang itu berpakaian mengikut syariat. Tapi perbuatan seperti - duduk di sisi seorang rakan sambil membaca al-Quran atau Ma'thurat adalah sesuatu yang tidak dapat saya bayangkan akan saya lakukan dengan selesa. Melihat N berbuat demikian membuat saya berfikir banyak kali, memeriksa corak pemikiran saya dan justifikasi atas corak tersebut.
Namun begitu corak itu tidak terus berubah.
***
Entahlah kenapa coraknya sebegitu rupa - antara sebabnya tentu sahaja pemahaman tentang Islam dan spiritualiti yang masih mentah, lebih dangkal dari sekarang. Atau mungkin juga kerana saya memang tidak suka menjadi terlalu akrab dengan individu lain, walau siapapun individu itu. Mempamerkan spiritualiti sendiri, bercakap tentang spiritualiti dengan seseorang, adalah sesuatu yang sangat 'akrab'.
Antara orang pertama yang saya mula-mula selesa berbicara tentang hal sedemikian, dengan jujur, tanpa perlu menayangkan apa-apa lagak atau lakon, tanpa peduli sama ada respon dan penilaiannya terhadap saya akan positif atau negatif, adalah - ah, you-know-who-you-are. Dia, dan seorang lagi rakan kami, berbicara sama ada di tubir koridor selepas mesyuarat, di dalam bilik asrama - posisi yang paling saya ingat adalah dia duduk di atas katil atau di kerusi, sementara saya berlabuh di atas lantai, atau berbicara di luar bilik, di tepi longkang, ketika hari aman dan malam.
Kepada dia saya percayakan rahsia-rahsia spiritual yang hampir tiada manusia lain yang pernah mengetahuinya kecuali ibu bapa dan seorang dua guru agama saya. Ah, saya membesar dengan lambakan ilmu, lambakan falsafah, dan bersamanya lambakan persoalan dan kekusutan. Tuhan memberikan kekusutan supaya hambaNya menemui jawapan, keraguan supaya hambaNya menemukan keyakinan, bukan?
Dan dia juga mempercayai saya sedemikian.
Dia adalah antara teman pertama yang saya selesa duduk hampir dengannya dan mengalunkan bacaan al-Quran, tanpa rasa janggal, tanpa rasa perlu membaca perlahan-lahan tanpa mengeluarkan suara.
Benar, dalam waktu-waktu yang lepas, dalam proses persepsi spiritual saya berkembang, saya tidaklah sepenuhnya 'diam' tentang hal-hal seumpama itu. Ada, saya berbicara banyak dengan nuansa Islami. Pernah, saya membaca al-Quran dengan suara lantang ketika tidak berseorangan di dalam bilik. Tentu, saya bersolat jemaah di surau dan masjid.
Tapi selalunya hal-hal yang demikian berlaku dengan 'rasa' lain, 'rasa' yang mirip, walaupun bukan sepenuhnya, tidak selesa. 'Rasa' diperhatikan dan dinilai. 'Rasa' tidak senang jika dianggap 'mulia' atau 'baik', yang tentunya membawa kepada 'rasa' tidak senang lain, kali ini dengan bisik-bisik dalam hati yang menganjur ke arah riak dan takabbur. 'Rasa' yang tidak saya sukai, 'rasa' perlu menampakkan watak yang paling positif, terutamanya jika berbicara hal spiritual. Sampai sekarang, walaupun pada darjah dan konteks yang tidak serupa, masalahnya masih lebih kurang sama.
Dia berkata - ketika saya berbincang dengannya tentang hal ini - sesuatu yang boleh saya terjemahkan di sini, sebagai, "Masalah hati adalah makanan ruji orang-orang yang berfikir dan bercakap tentang fikirannya, yang beragama dan bercakap tentang agamanya."
Saya tidak keseorangan dalam 'rasa-rasa' itu, rupa-rupanya.
Namun ketika bersama dia, saya tidak rasa yang saya diganggu 'rasa-rasa' sedemikian. Mungkin kerana saya tahu bagaimana dia mengenali saya. Mungkin kerana saya mengenali siapa dia, masa lalu dan pemikirannya. Mungkin kerana ketika itu - dan banyak ketika selepas itu - kami membaca sesama sendiri seperti buku yang terbuka. Mungkin kerana saya adalah saya, dan dia adalah dia.
Mungkin kerana itu pula, walau siapapun hilang kepercayaan kepada dia, saya tidak pernah mahu pergi. Mungkin kerana itu juga, walau bagaimanapun saya tertekan dengan tuntutan kerja dan menangani reaksi manusia yang pelbagai, saya tahu dengannya saya tidak perlu berpura-pura tabah atau keras hati. Mungkin kerana itulah walaupun jarak, waktu, perkongsian kisah dan kemelut hati itu tidak lagi sedekat dahulu, walaupun kami masing-masing semakin larut dalam perjalanan hidup dan pilihan masing-masing, saya masih menganggapnya sahabat yang paling rapat.
Walaupun saya tidak tahu adakah dia menganggap yang serupa terhadap saya - tapi itu tidak penting sama sekali.
Aku akan ingat perbualan panjang kita yang - terakhir? hanya terakhir di bumi UK, harapnya - sampai larut malam hampir pagi, aku akan ingat tasik dan taman yang berkilau di bawah matahari petang, aku akan ingat profiterole berlumur coklat yang terpalit ke jari aku yang kemudiannya aku palitkan pula ke telefon tanganmu! Aku akan ingat juga ketika aku melambai dari dalam tram itu, aku mau cepat-cepat berkalih pandang sebelum air mata keluar dan menghairankan orang sekeliling.
***
Saya bukanlah orang yang mudah dan selesa menjadi akrab dengan orang lain.
Seperti yang saya tuliskan lebih awal, "Mempamerkan spiritualiti sendiri, bercakap tentang spiritualiti dengan seseorang, adalah sesuatu yang sangat 'akrab'."
Mungkin sekali, saya menganggapnya paling akrab, kerana walaupun kami akrab juga dalam aspek-aspek lain, yang selesa juga saya kongsikan dengan orang lain, saya paling akrab dengannya dalam aspek keterbukaan spiritual.
***
Selamat pulang dan meneruskan perjuangan.
Sunday, July 05, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)