Assalamualaikum warahmatullah.
Kerudung Biru Metalik
"Umi, buatkan tudung."
"Kenapa?"
"Cikgu E tanya, kenapa tak pakai tudung?"
15 tahun lepas, sewaktu saya menghuni kelas tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Kuala Nal. Cikgu E ... entah masih hidup atau tidak sekarang, saya tidak pasti, ketika itu pun guru lelaki berambut putih ini sudah begitu berusia, sudah melampaui umur pencen dan mengajar atas "kontrak yang diperpanjang", barangkali kerana cintanya yang amat kepada profesion perguruan. Wajahnya sudah hapus daripada ingatan saya. Rambutnya pun entah memutih kapas, entah jarang-jarang. Yang masih segar adalah kelembutan dan kesabarannya, dan pertanyaannya yang bersungguh-sungguh ...
"Bila Adibah nak pakai tudung?"
Mungkin kerana serabut, mungkin kerana segan, saya pulang lalu bising-bising minta umi jahitkan tudung. Kainnya, kerana saya berjawatan pustakawan (tahun tiga sudah jadi pustakawan! ah, saya memang hantu buku yang berkampung di dalam perpustakaan sejak sebelum masuk darjah satu... tapi itu cerita lain!), dibeli dari Guru Pusat Sumber. Kain licin, nilon barangkali, biru muda metalik, digunting bulat dan dicantumkan di tengah dengan sebaris jahitan. Siap.
Saya memakainya ke sekolah, dan ia lucut sebaik sahaja kelas tamat, tempatnya di dalam raga motosikal ayah.
Melangkah ke darjah empat, naik pangkat menjadi pengawas sekolah, dan hampir semua rakan perempuan sudah bertudung. Tapi tudung kami kejap sangkut, kejap lucut. Sampai ustaz membebel menegur (dalam loghat Kelantan pastinya)
"Kamu semua ni, tudung ada, tapi meja yang pakai, kerusi yang pakai."
Dalam hati saya terfikir, oh, tudungku, raga motosikal ayah pun pakai.
Kami anak-anak, masih kecil, ya belum baligh. Saya bukan tidak tahu tuntutan menutup aurat. Amat tahu, amat faham.
Melihat gambar-gambar lama umi, saya suka melihat 'kemajuan' yang ditunjukkan.. mulanya manis berambut panjang ikal mayang (saya masih berbangga merasakan bahawa umi adalah gadis paling cantik dalam gambar-gambar lama bersama kawan-kawannya!), kemudian memakai skaf yang diikat kemas di belakang dipadankan dengan maxi labuh (kata umi, itu selepas menikah dengan ayah...), tidak lama kemudian, gambar-gambar umi sudah bertudung tiga segi. Beberapa tahun sesudah itu, umi sudah anggun memakai mini telekung bidang 50.
Namun dalam mengasuh saya dahulu, ayah dan umi tidak memaksa. Ya saya masih kecil, belum baligh, kata umi biarlah anak-anak bebas bersukaria dahulu. Barangkali juga kerana saya yang sulung, kali pertama ayah dan umi 'berlatih' membesarkan anak, anak perempuan pula. Masih 'cuba-jaya' barangkali.
Persekitaran juga tidak mendesak. Rata-rata rakan tidak berkerudung. (Kalau bertudung pun, hanya dalam kelas, itupun selalu tudung disimpan dalam laci atau disidai di kerusi, waktu Pendidikan Jasmani hampir semua tudung 'terbang'.) Maka tidak ada tekanan untuk terburu-buru beristiqamah menyerkup kepala, begitulah kiranya. Biarlah lama dahulu urai-urai rambut ini dielus bayu, disibak angin, ketika berlari di tengah laman, di tengah padang berumput hijau!
Kerudung hanya diam tetap di kepala ke mana-mana setelah melangkah ke sekolah menengah. Ketika itu saya sudah tahu segan berlengan pendek, sudah mengerti malu rambut menggerbang di khalayak ramai.
Dua Inci Melepasi Bahu
Melangkah ke MRSM Pengkalan Chepa, sedikit terperanjat apabila dikhabarkan peraturannya wajib bersarung kaki, sedangkan sebelum ini tidak pernah memakainya melainkan sewaktu berkasut ke sekolah. Tudung yang diizinkan hanyalah hitam, putih, dan krim, berjahit di tengah (maknanya tidak boleh disilang-silang bikin pendek) dan labuhnya mestilah dua jari melepasi bahu. Kakak-kakak BADAR (Bahagian Agama, Dakwah, dan Rohaniah.. atau sesuatu yang seumpamanya, saya kurang ingat!) yang saya ketemu di masjid, rata-rata bertudung besar dan labuh. Oh, aku masuk sekolah agamakah?
Maka kelam-kabutlah menelefon umi (sambil diselangi tangis-tangis rindu rumah, kali pertama masuk asrama), minta dibuatkan kerudung yang begitu dan begini. Sekejap sahaja permintaan tertunai, dalam bungkusan yang sampai, ada mini telekung tiga segi yang labuhnya 'cukup syarat', beserta sarung kaki yang turut dipesan, supaya tidaklah nanti saya menyarung stokin sekolah yang tebal itu ke mana-mana. Tidak, saya tidak protes. Saya lebih sibuk celaru melayan tekanan pertama kali berjauhan dengan keluarga, tekanan mengekalkan prestasi pelajar terbaik di tengah-tengah persaingan yang hebat, perkara seenteng pakaian itu terlalu kecil pada penilaian saya untuk dirisaukan. Malah saya agak seronok merelakan perubahan-perubahan yang baharu, sementelahan saya akur itulah yang lebih baik.
Sayang, banyak perubahan baru yang baik itu melayang sejurus menjadi senior. Bahana pengamalan kerana penguatkuasaan, namun kurang tarbiyah untuk pemantapan. Namun alhamdulillah, kerudung dan baju yang panjang-panjang itu masih kekal, walaupun sarung kaki beransur-ansur menghilang, hanya muncul semula setelah saya melangkah ke Kolej MARA Banting.
Bolehlah Pakai Untuk Ke Usrah...
Saya bermula dengan tudung tiga segi berwarna-warni. Silang ke sana sini. Mungkin ada unsur-unsur mau 'membalas dendam' kerana dua tahun di MRSM hanya berkerudung tiga warna suram pudar. Mungkin rasa mau menunjukkan kepada mereka yang pernah mencemuh - ya, saya comot dan kurang pandai, sebetulnya kurang berminat dan tidak nampak kepentingannya, untuk bergaya - selekeh dan kampungan. Lihat, aku juga tahu bergaya OK.
Namun semuanya tidak lama. Saya dilantik menjadi MPP. Bermesyuarat dan bekerja satu kamar pejabat dengan lelaki. Yang baik-baik belaka, tampang imam dan bilal, qari dan khatib. Maka menyusuplah rasa segan dan rasa mau lebih terjaga. Lalu sarung kaki dan sarung tangan kembali muncul, rasa lebih selesa dan terpelihara. Serta mau dijadikan cerita, titik tolaknya, suatu hari umi 'ter'membelikan kain bidang 60 apabila diminta menyiapkan kerudung - oh benarkah umi 'tersilap' membeli?- dan apabila dipakai, terasa 'ayu semacam'...
"Nak umi potongkan ke? Bagi pendek sikit kalau tak selesa."
"Erm.. " serba salah, perlukah mengaku yang rasa suka pula bertudung serupa ini? Umi tak fikir anak sulungnya buang tebiat ke?
"Cantiklah pulak umi, tak apalah, along suka. Hehe."
"Eloklah. Bolehlah pakai pergi usrah kan?"
Oh ya, pada ketika ini - saya tidak terinspirasi oleh para muslimat yang bertudung labuh, yang imejnya 'solehah', yang tarafnya 'naqibah'. Saya malah berontak. Banyak pengalaman yang tercetak seputar waktu itu, interaksi dengan mereka, bukanlah pengalaman-pengalaman yang gembira. Barangkali kerana kami sama-sama kurang berhikmah, lebih mungkin, kerana hati saya yang belum terbuka oleh taufiq dan hidayah. Tapi itu juga, kisah yang boleh dikongsi di halaman lain. Bukan di sini.
Lantaran itu saya tegar, walau apapun yang dipakai, dalam aspek apapun, baik pemikiran hatta tingkahlaku, saya tidak mahu melakukannya kerana mencontohi 'mereka'. I'm getting somewhere, but I'm finding my Allah, in my own way. Saya berontak dengan institusi usrah. Hanya beberapa teman paling rapat dan ustazah yang saya jemput dalam bicara-bicara spiritual, meneroka jalan mencari Tuhan, menilai langkah menjaga diri... Ah, kisah ini di laman lain! Lupakan, saya mahu bercerita tentang TUDUNG. Bukan usrah, ukhwah atau tarbiyah. =)
Lain benar rasanya memakai kerudung labuh, atau setidak-tidaknya hanya mini telekung 'piawai MRSM Pengkalan Chepa' dahulu, yang sudah beberapa waktu ditinggalkan. Saya suka benar mencari alasan meminjam kerudung-kerudung besar milik sahabat-sahabat, dan berlama-lama sebelum dipulangkan semula. Mau minta umi buatkan banyak-banyak serupa itu, saya segan. Dan masih belum rasa mantap untuk tetap dengan busana begini. Hari-hari terakhir di kolej, saya stabil dengan saiz tudung yang berubah-ubah. Menutup aurat ya, lengkap serba-serbi, hanya paparannya yang bervariasi.
Istiqamah?
Maha Suci Allah, sudah hampir selesai empat tahun pengajian di sini.
The physical journey that I traverse,
is a journey of the soul
transport of the self from a fatherland
to a country collected by sight and mind.
the knowledge that sweats from it,
is a stranger's experience,
from one who has learnt to see, reflect
and chose between
the changing actualities.
- Muhammad Haji Salleh, Si Tenggang's Homecoming-
Tidak, saya bukan Tenggang.
Namun mengembara di bumi asing ini, saya menemui hati sendiri. Kembara jiwa yang mengangkat satu demi satu hijab yang menabiri ruang mata, sehingga apa yang dahulunya tidak saya peduli, kini saya mengerti. Apa yang dahulunya tidak saya fahami, kini untuknya, saya tega mengaku sanggup mati.
Bagaimana pula tentang cerita tudung tadi? Banyakkah perubahannya? Entahlah. Saya tidak mahu menggambarkan di sini - kerana saya sendiri kurang pasti apakah yang ingin dihuraikan. Cukuplah siapa-siapa yang mengenal dan mengetahui saya membuat rumusan sendiri. Saya bersyukur benar atas taufiq, hidayah dan tuntunan Allah selama ini, sehingga setiap perubahan dan perkembangan yang saya teliti, sejak akhir-akhir ini, benar-benar ke arah yang lebih damai dan tenang di hati.
Ketika mula-mula menyambut kehadiran adik-adik baru ke tanah Manchester September lepas, ada yang bersantai-santai lepak di bilik saya. Melunjur di atas katil di sebelah almari yang separuh terbuka, lalu tiba-tiba terpacul suaranya,
"Eeeehhhhh, akak pakai tudung-tudung ni ke kat luar?"
"Err... ya, tapi tidaklah selalu, tengok keadaan. Kenapa?" (adakah penampilanku di rumah terlalu riang ria tak semenggah dengan kerudung-kerudung yang bergantungan dalam almari itu, sampai terperanjat benar suara adikku ini?)
Tidak, saya belum berkerudung besar labuh atau menyarung jubah sepanjang masa. Busana ke hospital, tidak sama dengan busana menghadiri tamrin. Tidak serupa juga dengan gaya apabila keluar bercanda merapatkan ukhwah sesama sahabiah. Apa itu hipokrasi? Oops, termasuk kisah laman lain lagi. Di sini fokusnya bukan mau bicara persoalan hati. Lagipun ikhlas itu mana ada siapa mampu mengukur dengan jari?
Oh ya, walaupun ya ada khilaf ulama' wajibkah menutup kaki, muslimat di sini banyak yang selamba sahaja solat dengan seluar atau kain sampai ke buku lali, saya lebih selesa menyarung saja kaki bila ke mana-mana. Kurang fitnah. Juga seperti kata Zilla, sahabat sekelas di MRSM dahulu, yang sekarang sudah pun bergelar ibu, Ummu Mu'az Firdausi... =)
"Bukan susah pun pakai stokin. Nak keluar, sarungkan saja. Malas je tu sebenarnya kalau rasa payah."
Ya, seminit pun tak sampai! (Mungkin boleh jadi sampai 2-3 minit kalau mencari sarung kaki yang hilang sebelah atau kedua-dua belah.)
Timbul cemburu apabila melihat sahabiah yang mampu beristiqamah. Tudung labuh-labuh, ada kalanya mantap berjubah. Ya terlintas, oh sanggupkah? Namun bagi manusia rasional-degil seperti saya, persoalan yang lebih penting daripada "sanggupkah" adalah "mengapakah"? Jika "mengapa" itu terjawab dengan pasti, maka insyaAllah sanggup akan mampir sendiri. Seperti yang dibincangkan bersama naqibah merangkap teman intelek (merangkap lawan berdebat dan tukang pujuk apabila diperlukan), kalau mahu bertudung labuh sentiasa, kenapa? Untuk apa?
"Saya bermini telekung bundar serupa itu pada waktu-waktunya. Memakai kelubung Turki tiga segi pada waktu-waktu yang lain pula. Seringkali terfikir, sudah sampaikah waktu untuk melabuhkan lagi kerudung, dan kekal bertudung labuh di mana-mana saja? Jika jawapannya iya, mengapa?"
Kakak tidak memberikan jawapan melainkan meneruskan perbincangan. Begitu saya dibentuk, dan begitulah saya mau membentuk anak-anak usrah saya sendiri juga. Dengan perbincangan dan persoalan, dengan diskusi dan penerokaan. Mengajak berfikir dan meraikan kebebasan.
Jawapan perlu dicari, bukan diberi.
Melukis Kanvas
Begitu juga saya dididik sejak kecil oleh ayah dan umi, dan begitulah saya mau mendidik anak-anak nanti, jika diizinkan Allah. Memaksa atau mendesak saya melakukan apa-apa, itu bukanlah cara mereka. Pro dan kontranya ya tentu ada.
Mungkin ada yang mencadangkan, kalaulah umi mengasuh saya memakai kerudung (seperti kanak-kanak perempuan comel yang memakai hijab mini seawal usia 6-7 tahun, atau, ah, adik bongsu saya sendiri!) mungkin sejak di MRSM saya sudah selesa bertudung labuh.
(Jangan bermain dengan kalau dan mungkin. Tak baik.)
Diulangi lagi, saya akui kelemahan kaedah serupa ini. Dan saya sedar, persis ungkapan saya awal-awal tadi, saya ini anak sulung, eksperimen pertama "bagaimana membesarkan anak perempuan". Adik-adik saya yang lain, tampak ayah dan umi lebih berani, lebih arif mencorak kanvas, mengimbangkan antara mencorakkan dengan warna-warna cantik seawal mungkin dan membiarkan anak-anak melukis hidupnya sendiri. Ketiga-tiga adik perempuan saya semuanya mula bertudung lebih awal. Adik yang bongsu sudah bertudung sejak di tadika (walaupun seperti saya, tudungnya hanya lekat sepanjang waktu bersekolah).
Pronya pendekatan ayah dan umi adalah internalization of practice. Yang saya amalkan adalah apa yang saya yakini sendiri, apa yang saya capai sendiri daripada asas dan petunjuk-petunjuk yang disuakan. Jalan saya, saya pilih sendiri. Dan mereka merestui. Sesuai dengan perwatakan saya yang, erm, bak kata ayah, 'merdeka'. (eufemism kepada degil) Ayah dan umi lebih banyak mendidik dan memberikan contoh daripada menguatkuasakan. Penguatkuasaan hanya sesekali, apabila dirasakan perlu, atau 'sudah sampai masanya'.
"Umi rasa Bah dah besar, kalau ke beranda rumah atau ke halaman pun, pakailah tudung."
Berkesannya cara mendidik serupa itu, hanya sepatah kata ibu, tanpa sebarang tanda arahan, apatah lagi hukuman, hanya 'cadangan', saya terus akur dari detik itu juga sampailah sekarang. Kebebasan dan kepercayaan yang diberikan ayah dan umi menyebabkan saya lebih mudah taat apabila diberi panduan-panduan yang saya sedar menepati kehendak syarak.
Saya sudah faham dan mengerti apa itu 'tuntutan syarak', apa itu 'menutup aurat' sejak usia masih terlalu kecil. Mampu membaca pada usia awal - dan saya adalah pembaca yang gelojoh. Segala bahan bacaan yang ada - dari majalah Bintang Kecil, Bujal, Dewan Pelajar, majalah Keluarga, Wanita, Jelita, Massa, hinggalah komik-komik dakwah dan majalah keluaran al-Arqam yang digemari umi menjadi santapan biasa saya. Anak Soleh, Komik Dakwah, An-Nasihah, Al-Mukminah, Al-Qiadah...
Kitab-kitab agama, buku tasawuf milik ayah, buku feqah milik umi, semuanya saya taram walaupun antara faham dengan tidak (amaran: jangan cuba di rumah dengan anak-anak anda - bahaya!) Bayangkan, sejak usia mungkin seawal 6-7 tahun saya sudah khatam buku Haram dan Halal dalam Islam tulisan Yusuf al-Qardhawi, Tuntunan Jiwa dan Mengenal Diri Melalui Rasa Hati tulisan arwah Ashaari Muhammad, Persiapan Menghadapi Maut tulisan Tuan Guru Nik Aziz - serta buku-buku lain juga yang tidak saya ingat semuanya. Alhamdulillah, alhamdulillah. Malah ketika masih rebung dahulu - awal belasan tahun - saya pernah bertekad, apabila dewasa nanti, kalaulah cara terbaik untuk mendapat keredhaan Allah adalah dengan berkerudung hitam nampak mata sepasang seperti muslimah al-Arqam itu, maka saya sanggup.
Sayangnya, apabila meningkat dewasa, saya perlu mengembara jauh lagi sebelum sampai semula ke kesedaran dan kefahaman setulus dulu. Begitulah berbezanya antara tahu, faham, dan sedar.
Begitulah pula peranan kedewasaan yang menumpahkan bermacam-macam warna ke atas kanvas hidup, sehingga bersama-sama kebijaksanaan dan kematangan yang datang, datang juga kedegilan, kejahilan, dan bermacam-macam alasan.
Ibarat belang kucing yang bercampur-campur putih dan hitam, menjadi kelabu, lantas perlu dicerakinkan.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang tidak pernah membiarkan saya sesat-barat. Dan semoga Dia sentiasa menolak, memimpin, dan menarik tangan saya ke arah yang lebih baik. Kalau memakai tudung labuh itulah yang lebih baik, maka saya yakin Allah akan mengizinkannya untuk saya.
Nota Kecil di Kaki Tulisan
Saya pernah menulis dahulu - tentang koleksi pakaian saya yang warna-warnanya amatlah suram dan pudar. Betul, saya yakin sebagai Muslimah lebih baik tidak memakai warna yang terang-terang dan menarik perhatian. Itu salah satu alasan. Satu alasan lagi adalah kerana saya rasa lebih tenang dan selesa dengan warna-warna serupa itu. Lebih damai dengan biru, hitam, kelabu, dan ungu. Amat kurang gemar akan merah, kuning, atau merah jambu yang pekat berkilat.
Satu alasan lagi... I just can't be bothered with style and appearances. Sejujurnya, menyeterika pakaian juga sebenarnya saya ... 'kurang rajin'. (oh jatuh sahamku buat pengakuan serupa ini!) Memadankan warna-warna? Boleh jadi seronok untuk bersuka-suka, tetapi untuk diamalkan sentiasa, sungguh cepat menjadikan saya jemu. (Mungkin kerana itulah saya selesa dengan warna-warna 'selamat'. Hehe.)
Pursuits of the flesh - to look great, impeccable, whatever, I just found it too trivial to bother about. Dan sesungguhnya saya tidak faham...
I simply can't understand why society place such importance on looks and attire, when what fascinates me the most, what fills me with wonder is the brilliance of the mind, of thoughts, of books read and ideas thrown so gracefully it blinds me with awe?
Ya, saya sudah akur dengan konvensi. Saya sudah berasa perlu untuk tampil kemas (anggun?) apabila keluar ke hospital. Apabila hadir ke program-program juga. Kadang-kadang, saya rasa jelek dengan diri sendiri apabila merasai bahawa saya sudah begitu akur dengan aturan sosial, sudah terikut-ikut dengan pemikiran umat yang mementingkan kulit-kulitan semata-mata. Sudah mengutamakan pandangan manusia, lebih daripada pandangan Allah Taala.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kamu dan tidak pula melihat kepada rupa paras kamu akan tetapi perkara yang dilihat oleh Allah ialah hati kamu. Lalu baginda mengisyaratkan ke arah hati baginda dengan jari-jari baginda." (Hadith Muslim, no: 2564)
salam,
meow~
Saturday, July 17, 2010
Sunday, July 04, 2010
meneguk sabar
hati,
kerana Tuhan mau berikan kau
secangkir sabar yang dingin
walau bekasnya tembikar lebur
menyambutnya,
rela tanganku lecur
menghirupnya,
nyaris wajahku hancur
aku terima,
ya izinkan aku terima, Tuhan
agar mengalir damai
membelai rengkung
mengusap jantung
membasuh nafsu yang hitam rentung.
hati,
untukmu, kuteguk sabar ini
hadiah Tuhan untuk kau
agar engkau mabuk dalam kedinginan
sujud menjadi lama dan panjang
kerana jasad tidak sanggup bangkit
mengucapkan salam
lekas, hati
terbang
bawa aku jumpa Tuhan
yang akan menukar sabar
menjadi cinta
dalam cangkir perak bercampur zanjabil.
-puisi ini untuk kau juga, kerana kau sentiasa faham bahasa aku.
dan kita seringkali bertutur dalam bahasa yang sama kan - walaupun loghatnya, erm, berbeza. haaarr~-
meow!
kerana Tuhan mau berikan kau
secangkir sabar yang dingin
walau bekasnya tembikar lebur
menyambutnya,
rela tanganku lecur
menghirupnya,
nyaris wajahku hancur
aku terima,
ya izinkan aku terima, Tuhan
agar mengalir damai
membelai rengkung
mengusap jantung
membasuh nafsu yang hitam rentung.
hati,
untukmu, kuteguk sabar ini
hadiah Tuhan untuk kau
agar engkau mabuk dalam kedinginan
sujud menjadi lama dan panjang
kerana jasad tidak sanggup bangkit
mengucapkan salam
lekas, hati
terbang
bawa aku jumpa Tuhan
yang akan menukar sabar
menjadi cinta
dalam cangkir perak bercampur zanjabil.
-puisi ini untuk kau juga, kerana kau sentiasa faham bahasa aku.
dan kita seringkali bertutur dalam bahasa yang sama kan - walaupun loghatnya, erm, berbeza. haaarr~-
meow!
Subscribe to:
Posts (Atom)