Tuesday, May 30, 2006

CERITA-CERITA I

Saya anak kampung. Dan saya sangat bangga dengan hakikat itu.

Dahulu, belakang rumah saya adalah belukar. Pokok-pokok kecil dan besar, tumbuh-tumbuhan merayap dan menjalar berselirat mencari tempat. Saya masih ingat akan pokok terung pipit yang rasanya melilit pada dawai pagar yang menyempadani halaman rumah saya. Buahnya kecil-kecil, paling besar pun lebih kurang ibu jari kaki orang dewasa. Kulit hijau dengan isi hijau pucat seperti tomato yang keras. Saya mengutipnya untuk dibelah-belah dan dipenyek-penyek, resmi kanak-kanak yang sedang meneroka dunianya. Ayah dan umi gemar menjadikannya ulam dengan budu. Saya sendiri, sampai sekarang tidak gemar makan budu kecuali jika dipadankan dengan ikan kembung tawar rebus dan cili padi. 
Sekarang sudah tidak ada belukar dan terung pipit. Kawasan itu sudah dibersihkan, didirikan rumah dan surau.

Halaman rumah saya luas. Tempat temasya flora, baik pokok buah-buahan yang mendatangkan hasil mahupun rumput-rampai yang mengimbangkan ekosistem. Dulu, di sebelah dapur rumah saya ada pokok-pokok pisang, jambu air, jambu batu dan durian belanda. Tetapi sekarang durian belanda sudah ditebang kerana julai dahannya mahu menjarah tingkap dapur. Pokok jambu air juga ditebang kerana sering menjadi punca krisis dengan jiran. Sekarang di kawasan itu ada pokok betik dan jambu batu sahaja.

Di satu sudut di halaman hadapan dahulu ada pohon mangga rendang yang rimbun daunnya tetapi hanya mula berbuah sebiji dua selepas berbelas-belas tahun. Akhirnya mangga itu juga ditebang. Ayah pernah menanam ‘petai Bangkok’ di tepi pagar. Baru setinggi betis, daunnya yang lebat sudah dipetik dijadikan ulam. Tetapi hayat petai itu tidak lama kerana bau yang meruap mengganggu ketenteraman awam. Sekarang berceretekan di tepi pagar itu adalah pohon kedondong, bunga kertas, mata kucing, jambu batu, rambutan, dan nun di ceruk kanan sekali pokok kelapa serta pinang.

Menganjak ke barat (macam luas sangat pula), tesergam pokok-pokok belimbing, nangka, dan sentul. Pernah makan jeruk sentul? Kecur air liur dibuatnya. Antara tumbuhan yang pernah subur silih berganti di halaman rumah saya termasuklah cili, serai wangi, limau nipis, salak, kacang botor, jambu laka (jambu mawar), dan anak pokok ciku. Ayahlah orang yang paling gemar bercucuk tanam, bereksperimen dengan anak-anak pokok yang baru.

Itu baru pokok herba dan buah-buahan. Dahulu, kami pernah membela begitu banyak binatang dalam satu masa. Di beranda bawah tergantung sangkar burung-burung liar. Di halaman kiri ada reban ayam serama, di sebelah kanan ada reban ayam kampung. Ada juga ayam Israel, ayam Belanda, angsa, dan arnab. Ayam Israel saiznya besar, gemuk pendek terkedek-kedek, warnanya kuning. Kata ayah namanya ‘Israel’ kerana perangai yang gelojoh, ‘angkuh’ dan gemar berebut-rebut apabila ditaburkan makanan. Ada benarnya. :-D

Angsa kami dahulu ada sepasang. Kedua-duanya amat saya geruni, kerana apabila tiba ‘angin’nya, leher kedua-duanya akan memanjang lurus ke hadapan, dan kaki katik mereka dengan lajunya akan berlari mengejar mangsa. Tujuan? Untuk menyudu (mencubit dengan paruh) mana-mana bahagian tubuh yang dapat dicapai. Lima tahun yang lalu saya pernah berlari dikejar angsa sewaktu hendak ke sekolah sehingga terjatuh, mengotorkan kain dan mencalarkan lutut. Saya pernah diajar, “kalau angsa datang nak sudu, berdiri tegak, nanti dia pergi’. Ajaran yang silap. Suatu petang saya mencubanya tetapi angsa terus meluru seperti torpedo berleher panjang dan saya yang ‘berdiri tegak’ tidak sempat melarikan diri. Dilanda panik, tangan saya mencekau leher sang angsa dan membalingkannya. Angsa terperanjat, terkulat-kulat menuju ke arah lain.

Satu-satunya ahli keluarga yang ‘disegani’ oleh angsa berdua ini adalah umi. Agak menakjubkan, apabila umi memanggil, “angsaa! balik!” angsa yang sedang merayau-rayau di luar akan pulang. Angsa yang ganas mengejar mangsa boleh makan di tapak tangan umi seperti anak burung yang manja. Tahun lalu, ayah menyembelih angsa betina kerana katanya sudah tua. Saya menyorok dan menangis dalam bilik, dijumpai oleh adik, lalu ditertawakan satu keluarga. “macam mana nak jadi doktor?”

pesan buya hamka

Mengapa manusia bersikap bodoh? Tidakkah engkau tatap langit yang biru dengan awan yang berarak seputih kapas? Atau engkau turuni ke lembah sehingga akan kau dapatkan air yang bening. Atau engkau bangun di malam hari, kau saksikan bintang gemerlapan bertaburan di langit biru dan rembulan yang tidak pernah bosan orang menatapnya. Atau engkau dengarkan suara cengkerik dan katak saling bersahutan. Sekiranya seseorang amat gemar memandang keindahan, amat senang mendengar keindahan, nescaya hatinya akan terbebas dari perbuatan keji. Kerana sesungguhnya keji itu buruk, sedangkan yang buruk itu tidak akan pernah bersatu dengan keindahan.

Majalah i Jun 2005.

Saturday, May 27, 2006

Rindu II

langit terkoyak
hujan membuak
angin mengisar derunya
mematung aku di jendela
halaman menjadi sungai
bukit-bukau hijau berselimut kabus
mata menjadi sejuk
meresap ke tulang-tulang
bertakung di dasar hati
mencuit rindu yang membenih

di luar hujan mencurah
dingin melegari segenap ruang
di hati rindu bercambah
hangat menjalari segenap liang
mencerobohi inci-inci kesedaran

adalah hukum hujan
percikannya akan menerobos
setiap celahan dinding dan tingkap yang terbuka
adalah hukum cinta
rindu akan tiba
dan mengungsi hati yang punya rasa.

Ramadhan

teguhnya cinta itu bukan pada bicara
berdiri di atas lidah yang fasih
sedang hati gersang kasih
bukanlah cinta itu pada yang tampak
sedang hati keras menanti retak.


Tuhan,
dalam resah berganti bimbang
kuintai Ramadhan-Mu yang menanti di pinggir awan
akan tumpahkah sepercik cahaya
atau malam-malamku terus lesu
berselimutkan bayang-bayang kelabu
bertemankan hitam silauan api
sedang matahari membakar siangku yang kosong erti

Tuhan…..
betapa kiblatku masih di awang-awangan
khusyuk hanya pada jasad yang tegak
bukan pada batin yang tunak
ikhlas hanya pada lisan yang mengakui
bukan pada nurani yang mengabdi

Tuhan….
selipat taubat yang kuhamparkan
mengalas ribaan yang usang
walaupun luluh lutut dan sendi
memikul beban cuai dan alpa
dihimpun sejak mula tertaklif pahala dan dosa
masih kuberanikan diri
meminta, mengemis dan merayu dari-Mu…..

kerana cinta bukan hanya pada kata
Tuhan,
kutagih keampunanMu
kurniailah aku hati yang rindu
batini yang menanti saat menyatu
sambutlah daku, Tuhanku
bersimpuh di persada Ramadhan-Mu
meneguk cinta-Mu….



- puisi ini dikarang untuk disiarkan dalam terbitan khas Ramadhan buletin al-Fikrah di kolej dulu,tapi yang tersiar tidak lengkap, dipotong-potong dengan alasan tidak cukup ruang.

Rindu I

aku ingin mencampakkan rindu ini
tapi ke mana?
jika kulemparkan ke lautan
ombak akan membisikkan namanya
jika kusemadikan di perkuburan
pohon kemboja akan berbunga dengan senyumannya
jika kucarik-carik dan kuserakkan ke tebaran angin
setiap hembusan yang kuhirup akan membawa harumannya
sudahnya rindu ini langsung
seperti limpahan air terjun yang tidak berhujung.

Disclaimer

salam.
Sebelum adib menghantar posting demi posting ke blog ini, adib ingin membuat satu kenyataan 'disclaimer'.
Sebarang karya@petikan@apa2 sahaja yang disiarkan adalah 'independent' daripada dikaitkan dengan mana2 sahabat saya atau mana2 peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup saya, kecuali jika dinyatakan.
Saya tidak mahu sejarah dan pengalaman hidup saya mempengaruhi tanggapan orang terhadap tulisan-tulisan saya dengan cara yang tidak sepatutnya.
hehehee.
salam mesra, meoww.

Kucing Belang

Kucing Belang

Wednesday, May 24, 2006

Pemecah Langkah Pembuka Gelanggang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Maka dengan ini rasmilah weblog yang diharapkan akan menjadi wadah kepada cetusan idea, bingkisan ilmu dan nukilan ilham yang ingin dikongsi bersama.
Yang baik sama-sama kita jadikan teladan.
Yang kurang molek, yang tersimpang, yang kelabu mendekati hitam, tegur-tegurkan.
Sesungguhnya anda, saya, dia, mereka, dan kita semua harus memilih tempat antara belang-belang kehidupan ini, di manakah duduknya kita. Hitam, putih, atau kelabu? Dan di manakah tempatnya kita ingin berada apabila larian sampai ke hujung?
Mohon petunjuk dan keampunan-Nya.
:-)
salam mesra, meoww