Tuesday, May 30, 2006

CERITA-CERITA I

Saya anak kampung. Dan saya sangat bangga dengan hakikat itu.

Dahulu, belakang rumah saya adalah belukar. Pokok-pokok kecil dan besar, tumbuh-tumbuhan merayap dan menjalar berselirat mencari tempat. Saya masih ingat akan pokok terung pipit yang rasanya melilit pada dawai pagar yang menyempadani halaman rumah saya. Buahnya kecil-kecil, paling besar pun lebih kurang ibu jari kaki orang dewasa. Kulit hijau dengan isi hijau pucat seperti tomato yang keras. Saya mengutipnya untuk dibelah-belah dan dipenyek-penyek, resmi kanak-kanak yang sedang meneroka dunianya. Ayah dan umi gemar menjadikannya ulam dengan budu. Saya sendiri, sampai sekarang tidak gemar makan budu kecuali jika dipadankan dengan ikan kembung tawar rebus dan cili padi. 
Sekarang sudah tidak ada belukar dan terung pipit. Kawasan itu sudah dibersihkan, didirikan rumah dan surau.

Halaman rumah saya luas. Tempat temasya flora, baik pokok buah-buahan yang mendatangkan hasil mahupun rumput-rampai yang mengimbangkan ekosistem. Dulu, di sebelah dapur rumah saya ada pokok-pokok pisang, jambu air, jambu batu dan durian belanda. Tetapi sekarang durian belanda sudah ditebang kerana julai dahannya mahu menjarah tingkap dapur. Pokok jambu air juga ditebang kerana sering menjadi punca krisis dengan jiran. Sekarang di kawasan itu ada pokok betik dan jambu batu sahaja.

Di satu sudut di halaman hadapan dahulu ada pohon mangga rendang yang rimbun daunnya tetapi hanya mula berbuah sebiji dua selepas berbelas-belas tahun. Akhirnya mangga itu juga ditebang. Ayah pernah menanam ‘petai Bangkok’ di tepi pagar. Baru setinggi betis, daunnya yang lebat sudah dipetik dijadikan ulam. Tetapi hayat petai itu tidak lama kerana bau yang meruap mengganggu ketenteraman awam. Sekarang berceretekan di tepi pagar itu adalah pohon kedondong, bunga kertas, mata kucing, jambu batu, rambutan, dan nun di ceruk kanan sekali pokok kelapa serta pinang.

Menganjak ke barat (macam luas sangat pula), tesergam pokok-pokok belimbing, nangka, dan sentul. Pernah makan jeruk sentul? Kecur air liur dibuatnya. Antara tumbuhan yang pernah subur silih berganti di halaman rumah saya termasuklah cili, serai wangi, limau nipis, salak, kacang botor, jambu laka (jambu mawar), dan anak pokok ciku. Ayahlah orang yang paling gemar bercucuk tanam, bereksperimen dengan anak-anak pokok yang baru.

Itu baru pokok herba dan buah-buahan. Dahulu, kami pernah membela begitu banyak binatang dalam satu masa. Di beranda bawah tergantung sangkar burung-burung liar. Di halaman kiri ada reban ayam serama, di sebelah kanan ada reban ayam kampung. Ada juga ayam Israel, ayam Belanda, angsa, dan arnab. Ayam Israel saiznya besar, gemuk pendek terkedek-kedek, warnanya kuning. Kata ayah namanya ‘Israel’ kerana perangai yang gelojoh, ‘angkuh’ dan gemar berebut-rebut apabila ditaburkan makanan. Ada benarnya. :-D

Angsa kami dahulu ada sepasang. Kedua-duanya amat saya geruni, kerana apabila tiba ‘angin’nya, leher kedua-duanya akan memanjang lurus ke hadapan, dan kaki katik mereka dengan lajunya akan berlari mengejar mangsa. Tujuan? Untuk menyudu (mencubit dengan paruh) mana-mana bahagian tubuh yang dapat dicapai. Lima tahun yang lalu saya pernah berlari dikejar angsa sewaktu hendak ke sekolah sehingga terjatuh, mengotorkan kain dan mencalarkan lutut. Saya pernah diajar, “kalau angsa datang nak sudu, berdiri tegak, nanti dia pergi’. Ajaran yang silap. Suatu petang saya mencubanya tetapi angsa terus meluru seperti torpedo berleher panjang dan saya yang ‘berdiri tegak’ tidak sempat melarikan diri. Dilanda panik, tangan saya mencekau leher sang angsa dan membalingkannya. Angsa terperanjat, terkulat-kulat menuju ke arah lain.

Satu-satunya ahli keluarga yang ‘disegani’ oleh angsa berdua ini adalah umi. Agak menakjubkan, apabila umi memanggil, “angsaa! balik!” angsa yang sedang merayau-rayau di luar akan pulang. Angsa yang ganas mengejar mangsa boleh makan di tapak tangan umi seperti anak burung yang manja. Tahun lalu, ayah menyembelih angsa betina kerana katanya sudah tua. Saya menyorok dan menangis dalam bilik, dijumpai oleh adik, lalu ditertawakan satu keluarga. “macam mana nak jadi doktor?”

1 comment:

Anonymous said...

Daku juga pernah 'bermain' dengan angsa, berlari sekeliling kampung daku dan sepupu. Tapi memang tidak dapat menandingi kehebatan Cik Dibah mencekau leher angsa dan membalingnya wah wah wah.... Hebat betul bakal doktor kita ni :)

Anyway, daku juga anak kampung... Banyak pokok2 juga disekeliling rumah. Tapi halaman rumah Dibah lagi best kut, beruntung betul halaman rumah Dibah ada pemilik yang begitu observant yang sanggup mengabadikan 'mereka' didalam sebuah cerita ini :)

p/s - ending yg cukup bermakan ;)