SatuPetang itu saya tergesa-gesa ke bandar. Mahu menghantar seorang sahabat dari 'pekan sebelah' yang berhujung minggu di sini. Dalam bas, saya memilih untuk berdiri berhampiran tempat pemandu di hadapan, perjalanan yang sekejap rasa saya leceh saja untuk duduk dan berhimpit dengan orang.
Ada dua kerusi di belakang saya, diduduki oleh dua orang perempuan tua. Di hadapan saya, ada dua kerusi yang selari dengan dinding bas. Betul-betul di sebelah saya adalah seorang perempuan tua juga, dan di sebelahnya, seorang perempuan kulit putih yang selekeh, barangkali pertengahan tiga puluhan.
Rambut yang diikat seadanya berserabai. Pakaian yang memang mendedahkan di sana sini kelihatan buruk tidak bergaya, yang dibeli dekat Oxfam pun mungkin lebih menarik rupanya barangkali. Mukanya lusuh tidak bertenaga. Dia sedang bercakap dalam telefon tangan dengan kasar, sesekali melaung ke arah seseorang yang duduk agak terkebelakang dalam bas itu, saya tidak perasan siapa.
Saya memerhati sahaja. Perasaan bercampur-aduk. Lebih memikirkan sahabat di stesen kereta api, sempatkah saya menghantarnya sebelum kereta api berlepas?
Perempuan selekeh berambut serabai memegang satu botol kaca - entah dari mana datangnya. Saya 90% pasti botol itu adalah botol arak. Terkial-kial cuba membuka tutup botol itu pada tubir dinding yang memisahkan ruang pemandu dengan penumpang. Aih, tak
hygienic langsung. Percubaan berkali-kali tidak berjaya, perempuan selekeh berambut serabai tidak putus asa. Akhirnya tutup botol terpokah, air kekuningan - ah apa-apa air sajalah dalam botol itu - diteguk penuh nikmat.
Satu perhentian. Perempuan tua yang betul-betul di sebelah saya bangun dan turun. Kerusi di situ kosong. Di sebelah perempuan selekeh berambut serabai. Saya tidak teragak-agak memutuskan untuk tidak mahu duduk.
Salahkah saya? Diskriminasi?
Judgmental? Saya akui, saya jijik untuk duduk di sebelah perempuan selekeh berambut serabai yang membuka tutup botol di tubir dinding dan rakus meneguk air yang mungkin sekali arak. Saya tidak marah, apatah lagi benci. Malah ada bibit-bibit simpati. Saya terus buat muka selamba, terus berdiri memaut tiang, membiarkan kerusi itu kosong.
Seorang perempuan kulit hitam menaiki bas, menyorong kereta tolak bayi. Ada anak kecil di dalamnya. Duduk di barisan kerusi yang lagi satu, di sebelah kiri saya, bertentangan dengan perempuan selekeh berambut serabai. Anak kecil di dalam kereta tolak memandang perempuan selekeh berambut serabai. Perempuan selekeh berambut serabai tersenyum melihat si anak kecil, seperti ada keriangan di wajahnya yang tadi gelisah. Dia mengacah-acah si anak kecil. Kepada si ibu dia memuji-muji kecomelan anak kecil itu. Hati saya tersentuh.
Sampai ke perhentian Piccadilly. Saya berpapasan dengan seorang lelaki selekeh dengan sebelah lengannya berbalut dari pergelangan sampai ke siku, tergantung ala-ala anduh untuk orang patah tangan. Saya nampak dia berdiri bersama perempuan selekeh berambut serabai tadi, tertinjau-tinjau ke sana ke mari dan bercakap sesama sendiri dengan intonasi ruwet. Oh itukah temannya? Pasangannya? Atau abangnya? Atau suaminya?
Apakah cerita hidup mereka? Belang apakah yang mewarnainya, dan adakah ia akan berubah warna?
DuaSaya mengidam mahu makan faluda. Saya juga mengidam mahu makan nasi di Jazera. Seperti selalu, saya selesa keluar bersendirian, ketika kaki dihayun, mata melihat manusia dan alam, fikiran bebas mencerna erti kehidupan dan menerawang dengan pelbagai kisah serta persoalan.
Usai membeli faluda, saya masuk ke restoran Jazera, memesan makanan dan duduk seorang diri di sebuah meja berhampiran pintu masuk, bertentangan dengan dinding kaca yang menghadap jalan raya. Selamba menghirup faluda sambil menunggu pesanan selesai disediakan. Oh ya, sambil membuka buku anatomi Snell. Pedulikan siapa mahu memandang. Sejak kecil saya begini, di mana-mana sahaja saya suka membaca apa sahaja sambil makan apa sahaja, di mana-mana sahaja. Aha, mungkin tidak di rumah saudara-mara yang suka mengomel atau rumah 'bakal mentua' =), atau bila-bila tertib perlu lebih teliti dijaga.
Tenggelam dalam dunia saya sendiri - seperti selalu, ya - tidak perasan seorang lelaki masuk bersama anaknya. Tercegat di sisi meja saya.
"Please, can you give me some money, for food.." si lelaki, barangkali si bapa, merayu.
Anak lelakinya, barangkali berusia empat atau lima tahun, merenung saya dengan wajah sedih. Menghulur tangan.
Pedulikan sama ada mereka itu penipu atau pemalas. Siapakah yang dapat menolak renungan mata tulus itu, menepis tangan kerdil yang meminta itu?
Mereka beredar ke meja-meja lain. Dan sebelum keluar, mereka melintas di tepi meja saya. Si bapa memandang ke arah saya, tersenyum dan mengangkat tangan - tanda hormat atau terima kasih atau apa sahaja, saya tidak tahu.
Apakah cerita hidup mereka? Belang apakah yang mewarnainya, dan adakah ia akan berubah warna?
salam sayang, merenung lapis-lapis makna dan cerita kehidupan.
meow~