Wednesday, July 25, 2007

maut II

malam itu hitam
tapi ia mencantumkan
langit dan bumi.

gerhana itu gelap
tapi ia menemukan
bulan dan matahari.

maut itu pemutus
tapi ia pesona yang menyatukan
fana dan abadi.

apabila semua cahaya padam
sirnalah segala garisan
yang memisahkan
tiada lagi kerisauan
yang ada hanya kata Tuhan

satu dunia berkata tidak,
tak terlawan iya dari Tuhan.

Tuesday, July 17, 2007

maut I

tumpah madu ke lantai
cemperaan semut menghurung
indahkah maut dilemaskan manisan?

nyala lilin membakar malam
penasaran kelekatu menerpa
enakkah maut dihanguskan kilauan?

alun melodi menggegarkan pentas,
warna-warni bianglala membinarkan mata
deruan manusia menyerbu

hati-hati mati dilemaskan pesona
jiwa-jiwa mati dihanguskan dusta
dan bangkai-bangkai itu dimamah hantu jahiliyah
tinggal jasad kosong sekosong keranda.

lazatkah 'maut' dibunuh dunia?

Sunday, July 08, 2007

Yang Bernama Cinta I - Wanita dan Cinta.. dan Lelaki

Assalamualaikum.

Ilham untuk menulis entri ini tercetus dalam tiga minggu lepas sebenarnya, sewaktu menonton filem wuxia klasik lakonan Lin Ching-Hsia dan Leslie Cheung, The Bride With White Hair I. Sebuah kisah cinta ala Romeo dan Juliet, digarap dalam latar masa dan zaman purbakala China yang sarat dengan kesaktian dan perwira-perwira yang mampu terbang serta membelah pohon dengan satu libasan tangan.

Kisah sepasang kekasih, Lien Ni-chang (namanya bermaksud 'Cahaya Bulan' kalau tak silap saya) dan Cho Yi-hang yang berasal dari kumpulan wuxia yang berseteru. Tentangan daripada puak masing-masing mesti dihadapi. Mereka berdua 'orang harapan', hebat perkasa, diperlukan oleh puak masing-masing untuk merebut kuasa. Masakan dibiar pergi begitu sahaja, berselingkuhan dengan musuh pula?

Imej yang sangat-sangat tajam menikam bagi saya adalah ketika Lien Ni-chang menuntut dibebaskan oleh ketua puaknya yang juga merupakan orang yang membesarkannya sejak kecil. Dia mesti melalui satu ritual, berjalan keluar dari 'istana' ketuanya dengan berkaki ayam di atas laluan yang ditaburi batu-batu tajam, sambil dipukul oleh ahli-ahli puaknya, dan dia tidak boleh mempertahankan diri dengan ilmu yang dia miliki.

Kedengaran agak klise dan tipikal. Tetapi perasaan saya ketika melihat kaki Lien Ni-chang memijak batu-batu tajam yang menusuk tanpa belas kasihan - dengan kamera memfokus dalam gerak perlahan - selangkah demi selangkah, pedih, perlahan-lahan, penuh keazaman, dan meninggalkan jejak yang berdarah, sukar digambarkan. Walaupun dipukul, dibaling dengan kayu, dilempar batu, dibelasah sehingga akhirnya dia merangkak - masih di atas laluan berbatu tajam itu - dengan berlumuran darah, azamnya tidak goyah. Dia mesti keluar dari istana itu demi cintanya kepada Yi-hang.

Dan akhirnya, ya akhirnya, setelah menebus kebebasan dengan penuh penderitaan, Ni-chang mencari kekasihnya dengan pakaian pengantin. Malangnya dia disambut dengan tuduhan yang pedih oleh Yi-hang sendiri, bahawa dia mengkhianati janjinya dan bertindak membunuh ahli-ahli puak kekasihnya itu.

Dan ketika itu alam menjadi merah jingga, kenangan manis-pahit dia dan kekasihnya bertindih-tindan menjadi serabut yang mencelarukan, sengsara yang ditempuh separuh nyawa seolah-olah hantu-hantu sumpahan yang menghilai-hilai ketawa memperbodohkannya, kasih menjadi lahar yang berhambur, meledak dalam amarah yang tidak terbendung lantaran curiga yang membunuh semua ikrar cinta. Pakaian pengantinnya koyak rabak, rambutnya berubah menjadi putih, dan dalam amuknya Ni-chang mabuk darah, membunuh siapa sahaja yang ada, sehingga kekasihnya sendiri cedera parah.

Rakaman perjalanan umat manusia banyak sekali menukilkan kehebatan cinta, kegilaan dan penangan cinta. Manusia dimangsai kerana cinta dan memangsai yang lain dengan berlindung di sebalik kata cinta. Cinta itu air dan api, bulan dan matahari, embun dan bara, tsunami dan gempa. Menelusuri kisah-kisah legenda dan sejarah, kita akan terpana dengan limpahan cetera cinta yang diriwayatkan, seringkali dengan darah dan air mata. Dan jika diperhatikan, yang paling passionate dalam cetera-cetera ini, tidak lain, adalah wanita. Perempuan. Gadis. Ibu. Isteri.

Air mata mereka, darah mereka, sumpah mereka, teriak tangis mereka, adalah warna-warna yang terang yang mewarnakan setiap kisah cinta. Wanita itu emosional, tapi emosi itulah yang mengujakan, mengasyikkan setiap pengkisahan, sehingga pendengar dirasuk anekaragam perasaan, malah emosi wanita yang mendenyut kuat itu seringkali bererti untuk memaknakan kehidupan.

Kesetiaan Hajar, tindak pincang melulu Siti Zulaikha yang disusuli oleh taubat dan kesetiaan tak berganjak, diikuti oleh huluran cinta suci Sayyidatina Khadijah buat Nabi S.A.W, dan romantika syurgawi kasih Sayyidatina Fatimah yang diam tersipu saat Imam Ali mengutus pinangan.

Melayu yang kaya dengan legenda memperikan kisah Mahsuri yang setia menyumpah Langkawi menjadi gersang lantaran fitnah yang mendustakan kemuliaannya, bonda Si Tanggang yang mendoakan anaknya menjadi batu petaka menderhaka, Puteri Saadong yang suci tidak berganjak hati barang seinci mengamuk menikam Raja Abdullah yang curang sepeninggalan isteri.

Kisah realiti juga ada. Lorena Bobbit yang mem'bobbit'kan suaminya yang bersifat kebinatangan, malah beberapa kes wanita Malaysia yang melakukan perbuatan hampir sama. Seorang wanita lain - dari Kelantan - menyimbah asid ke muka suaminya yang hendak menduakannya. Tidak sedikit wanita di mana-mana sahaja di pelosok dunia yang membunuh anak-anak sendiri, malah membunuh diri, kerana kecewa dengan suami.

Kalaulah ada dalam mana-mana legenda, saya belum pernah mendengar lagi bagaimana lelaki yang dikhianati isteri atau kekasih atau bapa yang diderhakai anak menyumpah sesiapa menjadi batu. Tapi dalam media sekarang ini, baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing tega membuat perkara-perkara 'aneh' apabila kecewa dengan cinta, baik kekasih mahupun isteri.

Lelaki juga punya ego dan keras hati, malah sanggup membunuh demi cinta, tetapi perbuatan lelaki yang sedemikian seringkali dipandang sebagai perbuatan yang gasar dan keji, tidak berpadanan dengan perwatakan lelaki sejati yang sepatutnya tabah dan berfikiran tenang. Berbeza dengan wanita, tindakan melulu mereka kerapkali dipandang dengan penuh simpati dan empati, digambarkan dengan penuh dramatik, diwarnai nuansa yang meruntun hati dan perasaan. Lihat sahaja contoh legenda dan sejarah, malah contoh realiti.

Mengapa ya? Adilkah?

Disclaimer: Saya menulis berdasarkan pemerhatian saya, apa yang saya lihat dan fahami daripada dunia yang mengelilingi saya. Mungkin banyak yang saya terlepas pandang. Kalau silap, maaf ya? =)

Sekilas pandang, struktur sosial dan persepsi terhadap gender banyak menyumbang kepada 'fenomena' ini. Lelaki dipandang sebagai pemimpin dengan pelbagai keistimewaan, justeru untuk melakukan perbuatan yang pendek akal adalah sesuatu yang menjatuhkan kewibawaan mereka. Sedangkan wanita yang disifatkan lemah serba-serbi 'dimaafkan' apabila melakukan perbuatan yang tidak-tidak, sifat mereka yang kononnya berperasaan halus dan berjiwa sensitif menjadi excuse yang diulang-ulang, bagaimana 'penderitaan dan pengkhianatan menyebabkan hilang kawalan diri' itu menjadi imejan yang menjemput simpati. Malah saya pernah mendengar kes perempuan yang melakukan jenayah pembunuhan terlepas daripada hukuman atas alasan sedang mengalami pre-menstrual syndrome ketika itu!

Sekali lihat, ini seperti 'berat sebelah' yang melebihkan wanita. Daripada perspektif lain pula, ini sebenarnya adalah persepsi yang merendah-rendahkan wanita. Lambang mentaliti masyarakat patriark, kata golongan yang mendabik dada sebagai pejuang hak dan kebebasan wanita. Persepsi bahawa lelaki adalah superior berbanding wanita. Bayangkan dua orang kanak-kanak, seorang anak orang kaya dan seorang anak orang miskin. Kedua-duanya dilarang bermain debu tanah. Jika kanak-kanak yang kaya bermain debu tanah, dia akan dimarahi kerana dia mengotorkan pakaiannya, memalukan keluarganya dan menghampiri sesuatu yang sepatutnya jauh daripadanya. Jika kanak-kanak miskin berbuat perkara yang sama, dia juga ditegur, tetapi tidak begitu serius, kerana memang pakaiannya tidak cantik dan hidupnya dalam suasana berdebu, malah dia akan dikasihani kerana kemiskinannya yang dianggap mendekatkan dia dengan debu.

Nah, mahu berasa direndah-rendahkan atau mengambil kesempatan sahaja?

Imej lelaki seperti sinonim dengan kuasa dan perbuatan menguasai. Perempuan penggoda dipandang sebagai keji, menjual diri dan tidak bermaruah, malah seringkali dilihat sebagai 'mangsa' yang terpengaruh dengan pelbagai pengaruh kerana kenaifan dan kejahilan. Akan tetapi lelaki 'buaya' dianggap sebagai pemangsa yang lapar, pengganas yang buas, pemburu yang jahat. Walaupun sekali lihat lelaki nampaknya dihukum lebih jahat daripada wanita, tetapi hakikatnya dalam kes-kes jenayah seksual - baik yang sukarela mahupun paksarela - wanita akan dibebankan dengan 'dosa' yang lebih berat. Mengapa?

Mungkin subconscious mind umat yang sudah diterapkan dengan nilaian bahawa wanita memang lebih cenderung untuk mengikut perasaan dan mempertuhankan nafsu berbanding lelaki, malah lelaki yang ditakhtakan sebagai insan bijaksana dan matang pula dipandang sebagai mangsa kerana digoda oleh wanita yang tewas kepada kelemahan diri sendiri.

Mentaliti yang meletakkan lelaki sebagai penguasa yang berkuasa akan menerima dengan logik jika 'sang penguasa' memburu mangsa dan menerima mangsa yang 'menyerah diri'. Sedangkan perbuatan mangsa yang lemah dan menyerah diri, walaupun logik, adalah memalukan kemanusiaan, yang menerima bahawa ideal yang sewajarnya adalah mempertahankan maruah.

Faham tak apa yang saya hujahkan?

Tindakan wanita yang menggadai kehormatan dalam kes-kes salahlaku seks dan pergaulan bebas disabitkan kepada kelemahan mereka, dan kelemahan itu dipandang rendah dan hina. Tindakan lelaki yang menerima kehormatan yang digadai - macam tauke kedai pajak - juga disabitkan kepada sifat peribadi mereka, iaitu sifat menguasai yang seolah-olah tidak dipandang sebagai kesalahan, atau jika dipandang sebagai kesalahanpun, ia adalah kerana godaan sang wanita-wanita yang lebih dahulu tunduk kepada nafsu mereka.

Wanita itu lemah dan menjadi mangsa kepada lelaki yang kuat.
Sekali lagi, mahu berasa direndah-rendahkan atau mengambil kesempatan sahaja?

Lelaki sesungguhnya mempunyai lebih banyak ruang dan kebebasan dalam soal perhubungan. Jika bermain-main dengan ramai lelaki, perempuan dikata murahan. Tapi pernahkah kita mendengar istilah 'lelaki murahan'? Gigolo pun tidak disebut sebagai lelaki murahan. Apabila menjadi mangsa fitnah, lelaki tidak perlu menyumpah mana-mana kampung menjadi padang jarak padang tekukur kerana mereka mampu mempertahankan diri dengan tegas dan berani atau lari menyelamatkan diri. Kalau anak menderhaka, lelaki boleh membelasah anaknya atau buat endah tak endah sahaja. Tak perlu susah-susah menyumpah anak menjadi batu. Kalau isteri atau kekasih curang dan derhaka, ceraikan/tinggalkan sahaja dan cari yang lain. Lelaki bukannya 'luak', tak seperti perempuan!

Keteguhan psikologi dan keimunan sosial yang 'dianugerahkan' kepada lelaki memberikan mereka ruang yang lebih luas untuk tindakan yang rasional dan menguntungkan, sehingga mereka tidak perlu berkelakuan di luar batasan sebagai respons kepada tekanan. Wanita lebih lemah psikologinya - kaya dengan emosi - dan mempunyai liabiliti yang besar apabila menyanggah peraturan-peraturan sosial. Justeru lelaki sering dipandang sebagai entiti yang lebih kejam dan jahat jika bertindak 'ganas'. Namun demikian, sekiranya berlaku pertembungan dengan wanita dalam jenayah seksual - yang juga merupakan suatu tindakan 'ganas'- wanita akan dipandang lebih jelek dan hina sebagai mangsa yang sarat kelemahan. Kenapa double standard ini ya?

Adakah kerana wanita, walaupun dilihat sebagai lemah dan tidak berupaya, sering tewas dengan emosi, mereka juga adalah lambang kepada kesucian dan kemuliaan - icons of chastity and purity? Mereka akan dimaafkan jika melakukan apa sahaja 'keganasan' atas dasar 'wanita itu makhluk yang lemah'. Apa sahaja 'keganasan', tetapi jangan sekali-kali menggadai maruah dan kesucian. Sejarah dan legenda memperlihatkan wanita-wanita yang melakukan 'keganasan' melakukan demikian kerana mempertahankan maruah. Dan maruah merekalah yang menjadi perisai ultimate dalam kisah mereka. Wanita yang mempertahankan kesucian akan disanjung semulia-mulianya, tetapi wanita yang kehilangan kesucian - sama ada rela atau tidak - akan kehilangan juga semua 'kemaafan' dan 'keistimewaan' yang mereka nikmati. Serta-merta, 'kelemahan wanita' yang menjadi pelindung itu menjadi nista untuk mereka.

Mahsuri dibunuh kerana difitnah bermukah, kesuciannyalah yang menjadi sebab sehingga sumpahnya 'menjadi'. Puteri Saadong berjaya mempertahankan diri tanpa disentuh sedikitpun oleh Raja Siam, dan tidak ada sesiapa yang menghukumnya sebagai pembunuh yang kejam kerana menikam suaminya dengan cucuk sanggul apabila pulang dan melihat Raja Abdullah berkelakuan sumbang. Dalam hikayat Ramayana, Sita Dewi tidak disentuh api kerana masih suci daripada sentuhan cela Ravana. Malah menjadi sebahagian tradisi lama Hindu, menguji kesucian perempuan dengan api, 'sempena' hikayat tersebut. Kononnya wanita suci tidak akan disentuh api!

Nota pendek: Wanita-wanita legenda ini konon dilindungi secara 'sakti', secara 'ma'unah', lantas berjaya mempertahankan kesucian. Bagaimana dengan wanita-wanita zaman kini yang tidak punya sakti, yang tidak punya salah tapi dimangsai dan dicabuli? Adakah mereka juga sudah tidak suci walaupun bukan mereka yang merestui apatah lagi mencari?

Jelas sekali, mahkota seorang wanita itu adalah kesuciannya. Imej wanita dalam legenda dan sejarah, hatta sirah, adalah gambaran yang penuh keindahan. Wanita menjadi kanvas untuk melukis cerita kesetiaan, pengorbanan, kasih sayang dan cinta yang suci, malah sehingga menyentuh hati penduduk langit dan bumi.

Biarlah ia lemah, biarlah ia emosional, wanita yang suci tetap dimuliakan. Lelaki, dengan sifat penguasanya, dengan keberaniannya, adalah pelindung dan pembela untuk wanita, dan akan dicaci sekeji-kejinya jika peranan membela itu dikhianati, kecuali jika wanita itu sendiri yang menolak untuk dibela dan menghulurkan maruah untuk dijilat-jilat sebelum dipijak di bawah tapak kaki.

Nilai ini, jika dibersihkan dan diperjelaskan lagi dengan hukum dan penafsiran Islam tentang martabat dan tanggungjawab kedua-dua insan yang saling melengkapi - wanita dan lelaki - tanpa bias dan ketidakadilan yang ditentukan oleh persepsi, akan menjadi panduan yang cantik sekali untuk mengatur perjuangan membela hak wanita dan mempertahankan kejantanan lelaki. Keadilan dalam Islam tidak mengenal gender, pencuri lelaki atau pencuri wanita, penzina lelaki atau penzina wanita, tetap sama hukumannya. Rujuk al-Quran ya, saya lupa lokasi ayatnya.

Adat dan budaya semata-mata tidak mampu menjadi bimbingan hidup yang syumul dan sempurna, adakalanya mengelirukan. Dan bertambah lagi salahnya apabila manusia mempertuhankan nafsu dan melampaui batas! Ekstrim ke kanan atau ke kiri, kedua-duanya sama merosakkan.

Baik lelaki mahupun wanita, emosi - ya cinta - yang tidak berpaksikan aqidah, mabuk penuh asyik tanpa mengenal Rabb dan hanya menumpukan kepada item-item maujud yang duniawi seringkali mendatangkan kemusnahan. Seperti Lien Ni-chang yang rela berkorban apa sahaja demi cinta akhirnya membunuh tanpa perikemanusiaan setelah dikecewakan.

Kelabu hidup hanya mampu dijernihkan oleh al-deen yang memisahkan antara yang hitam dan yang putih.

Sampai jumpa lagi, dan Allah juga Maha Mengetahui.

Selamat berfikir, mainkan peranan yang terbaik sebagai wanita atau sebagai lelaki, berpandukan wahyu Ilahi dan sunnah Nabi.

salam,
meow~