Sunday, July 08, 2007

Yang Bernama Cinta I - Wanita dan Cinta.. dan Lelaki

Assalamualaikum.

Ilham untuk menulis entri ini tercetus dalam tiga minggu lepas sebenarnya, sewaktu menonton filem wuxia klasik lakonan Lin Ching-Hsia dan Leslie Cheung, The Bride With White Hair I. Sebuah kisah cinta ala Romeo dan Juliet, digarap dalam latar masa dan zaman purbakala China yang sarat dengan kesaktian dan perwira-perwira yang mampu terbang serta membelah pohon dengan satu libasan tangan.

Kisah sepasang kekasih, Lien Ni-chang (namanya bermaksud 'Cahaya Bulan' kalau tak silap saya) dan Cho Yi-hang yang berasal dari kumpulan wuxia yang berseteru. Tentangan daripada puak masing-masing mesti dihadapi. Mereka berdua 'orang harapan', hebat perkasa, diperlukan oleh puak masing-masing untuk merebut kuasa. Masakan dibiar pergi begitu sahaja, berselingkuhan dengan musuh pula?

Imej yang sangat-sangat tajam menikam bagi saya adalah ketika Lien Ni-chang menuntut dibebaskan oleh ketua puaknya yang juga merupakan orang yang membesarkannya sejak kecil. Dia mesti melalui satu ritual, berjalan keluar dari 'istana' ketuanya dengan berkaki ayam di atas laluan yang ditaburi batu-batu tajam, sambil dipukul oleh ahli-ahli puaknya, dan dia tidak boleh mempertahankan diri dengan ilmu yang dia miliki.

Kedengaran agak klise dan tipikal. Tetapi perasaan saya ketika melihat kaki Lien Ni-chang memijak batu-batu tajam yang menusuk tanpa belas kasihan - dengan kamera memfokus dalam gerak perlahan - selangkah demi selangkah, pedih, perlahan-lahan, penuh keazaman, dan meninggalkan jejak yang berdarah, sukar digambarkan. Walaupun dipukul, dibaling dengan kayu, dilempar batu, dibelasah sehingga akhirnya dia merangkak - masih di atas laluan berbatu tajam itu - dengan berlumuran darah, azamnya tidak goyah. Dia mesti keluar dari istana itu demi cintanya kepada Yi-hang.

Dan akhirnya, ya akhirnya, setelah menebus kebebasan dengan penuh penderitaan, Ni-chang mencari kekasihnya dengan pakaian pengantin. Malangnya dia disambut dengan tuduhan yang pedih oleh Yi-hang sendiri, bahawa dia mengkhianati janjinya dan bertindak membunuh ahli-ahli puak kekasihnya itu.

Dan ketika itu alam menjadi merah jingga, kenangan manis-pahit dia dan kekasihnya bertindih-tindan menjadi serabut yang mencelarukan, sengsara yang ditempuh separuh nyawa seolah-olah hantu-hantu sumpahan yang menghilai-hilai ketawa memperbodohkannya, kasih menjadi lahar yang berhambur, meledak dalam amarah yang tidak terbendung lantaran curiga yang membunuh semua ikrar cinta. Pakaian pengantinnya koyak rabak, rambutnya berubah menjadi putih, dan dalam amuknya Ni-chang mabuk darah, membunuh siapa sahaja yang ada, sehingga kekasihnya sendiri cedera parah.

Rakaman perjalanan umat manusia banyak sekali menukilkan kehebatan cinta, kegilaan dan penangan cinta. Manusia dimangsai kerana cinta dan memangsai yang lain dengan berlindung di sebalik kata cinta. Cinta itu air dan api, bulan dan matahari, embun dan bara, tsunami dan gempa. Menelusuri kisah-kisah legenda dan sejarah, kita akan terpana dengan limpahan cetera cinta yang diriwayatkan, seringkali dengan darah dan air mata. Dan jika diperhatikan, yang paling passionate dalam cetera-cetera ini, tidak lain, adalah wanita. Perempuan. Gadis. Ibu. Isteri.

Air mata mereka, darah mereka, sumpah mereka, teriak tangis mereka, adalah warna-warna yang terang yang mewarnakan setiap kisah cinta. Wanita itu emosional, tapi emosi itulah yang mengujakan, mengasyikkan setiap pengkisahan, sehingga pendengar dirasuk anekaragam perasaan, malah emosi wanita yang mendenyut kuat itu seringkali bererti untuk memaknakan kehidupan.

Kesetiaan Hajar, tindak pincang melulu Siti Zulaikha yang disusuli oleh taubat dan kesetiaan tak berganjak, diikuti oleh huluran cinta suci Sayyidatina Khadijah buat Nabi S.A.W, dan romantika syurgawi kasih Sayyidatina Fatimah yang diam tersipu saat Imam Ali mengutus pinangan.

Melayu yang kaya dengan legenda memperikan kisah Mahsuri yang setia menyumpah Langkawi menjadi gersang lantaran fitnah yang mendustakan kemuliaannya, bonda Si Tanggang yang mendoakan anaknya menjadi batu petaka menderhaka, Puteri Saadong yang suci tidak berganjak hati barang seinci mengamuk menikam Raja Abdullah yang curang sepeninggalan isteri.

Kisah realiti juga ada. Lorena Bobbit yang mem'bobbit'kan suaminya yang bersifat kebinatangan, malah beberapa kes wanita Malaysia yang melakukan perbuatan hampir sama. Seorang wanita lain - dari Kelantan - menyimbah asid ke muka suaminya yang hendak menduakannya. Tidak sedikit wanita di mana-mana sahaja di pelosok dunia yang membunuh anak-anak sendiri, malah membunuh diri, kerana kecewa dengan suami.

Kalaulah ada dalam mana-mana legenda, saya belum pernah mendengar lagi bagaimana lelaki yang dikhianati isteri atau kekasih atau bapa yang diderhakai anak menyumpah sesiapa menjadi batu. Tapi dalam media sekarang ini, baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing tega membuat perkara-perkara 'aneh' apabila kecewa dengan cinta, baik kekasih mahupun isteri.

Lelaki juga punya ego dan keras hati, malah sanggup membunuh demi cinta, tetapi perbuatan lelaki yang sedemikian seringkali dipandang sebagai perbuatan yang gasar dan keji, tidak berpadanan dengan perwatakan lelaki sejati yang sepatutnya tabah dan berfikiran tenang. Berbeza dengan wanita, tindakan melulu mereka kerapkali dipandang dengan penuh simpati dan empati, digambarkan dengan penuh dramatik, diwarnai nuansa yang meruntun hati dan perasaan. Lihat sahaja contoh legenda dan sejarah, malah contoh realiti.

Mengapa ya? Adilkah?

Disclaimer: Saya menulis berdasarkan pemerhatian saya, apa yang saya lihat dan fahami daripada dunia yang mengelilingi saya. Mungkin banyak yang saya terlepas pandang. Kalau silap, maaf ya? =)

Sekilas pandang, struktur sosial dan persepsi terhadap gender banyak menyumbang kepada 'fenomena' ini. Lelaki dipandang sebagai pemimpin dengan pelbagai keistimewaan, justeru untuk melakukan perbuatan yang pendek akal adalah sesuatu yang menjatuhkan kewibawaan mereka. Sedangkan wanita yang disifatkan lemah serba-serbi 'dimaafkan' apabila melakukan perbuatan yang tidak-tidak, sifat mereka yang kononnya berperasaan halus dan berjiwa sensitif menjadi excuse yang diulang-ulang, bagaimana 'penderitaan dan pengkhianatan menyebabkan hilang kawalan diri' itu menjadi imejan yang menjemput simpati. Malah saya pernah mendengar kes perempuan yang melakukan jenayah pembunuhan terlepas daripada hukuman atas alasan sedang mengalami pre-menstrual syndrome ketika itu!

Sekali lihat, ini seperti 'berat sebelah' yang melebihkan wanita. Daripada perspektif lain pula, ini sebenarnya adalah persepsi yang merendah-rendahkan wanita. Lambang mentaliti masyarakat patriark, kata golongan yang mendabik dada sebagai pejuang hak dan kebebasan wanita. Persepsi bahawa lelaki adalah superior berbanding wanita. Bayangkan dua orang kanak-kanak, seorang anak orang kaya dan seorang anak orang miskin. Kedua-duanya dilarang bermain debu tanah. Jika kanak-kanak yang kaya bermain debu tanah, dia akan dimarahi kerana dia mengotorkan pakaiannya, memalukan keluarganya dan menghampiri sesuatu yang sepatutnya jauh daripadanya. Jika kanak-kanak miskin berbuat perkara yang sama, dia juga ditegur, tetapi tidak begitu serius, kerana memang pakaiannya tidak cantik dan hidupnya dalam suasana berdebu, malah dia akan dikasihani kerana kemiskinannya yang dianggap mendekatkan dia dengan debu.

Nah, mahu berasa direndah-rendahkan atau mengambil kesempatan sahaja?

Imej lelaki seperti sinonim dengan kuasa dan perbuatan menguasai. Perempuan penggoda dipandang sebagai keji, menjual diri dan tidak bermaruah, malah seringkali dilihat sebagai 'mangsa' yang terpengaruh dengan pelbagai pengaruh kerana kenaifan dan kejahilan. Akan tetapi lelaki 'buaya' dianggap sebagai pemangsa yang lapar, pengganas yang buas, pemburu yang jahat. Walaupun sekali lihat lelaki nampaknya dihukum lebih jahat daripada wanita, tetapi hakikatnya dalam kes-kes jenayah seksual - baik yang sukarela mahupun paksarela - wanita akan dibebankan dengan 'dosa' yang lebih berat. Mengapa?

Mungkin subconscious mind umat yang sudah diterapkan dengan nilaian bahawa wanita memang lebih cenderung untuk mengikut perasaan dan mempertuhankan nafsu berbanding lelaki, malah lelaki yang ditakhtakan sebagai insan bijaksana dan matang pula dipandang sebagai mangsa kerana digoda oleh wanita yang tewas kepada kelemahan diri sendiri.

Mentaliti yang meletakkan lelaki sebagai penguasa yang berkuasa akan menerima dengan logik jika 'sang penguasa' memburu mangsa dan menerima mangsa yang 'menyerah diri'. Sedangkan perbuatan mangsa yang lemah dan menyerah diri, walaupun logik, adalah memalukan kemanusiaan, yang menerima bahawa ideal yang sewajarnya adalah mempertahankan maruah.

Faham tak apa yang saya hujahkan?

Tindakan wanita yang menggadai kehormatan dalam kes-kes salahlaku seks dan pergaulan bebas disabitkan kepada kelemahan mereka, dan kelemahan itu dipandang rendah dan hina. Tindakan lelaki yang menerima kehormatan yang digadai - macam tauke kedai pajak - juga disabitkan kepada sifat peribadi mereka, iaitu sifat menguasai yang seolah-olah tidak dipandang sebagai kesalahan, atau jika dipandang sebagai kesalahanpun, ia adalah kerana godaan sang wanita-wanita yang lebih dahulu tunduk kepada nafsu mereka.

Wanita itu lemah dan menjadi mangsa kepada lelaki yang kuat.
Sekali lagi, mahu berasa direndah-rendahkan atau mengambil kesempatan sahaja?

Lelaki sesungguhnya mempunyai lebih banyak ruang dan kebebasan dalam soal perhubungan. Jika bermain-main dengan ramai lelaki, perempuan dikata murahan. Tapi pernahkah kita mendengar istilah 'lelaki murahan'? Gigolo pun tidak disebut sebagai lelaki murahan. Apabila menjadi mangsa fitnah, lelaki tidak perlu menyumpah mana-mana kampung menjadi padang jarak padang tekukur kerana mereka mampu mempertahankan diri dengan tegas dan berani atau lari menyelamatkan diri. Kalau anak menderhaka, lelaki boleh membelasah anaknya atau buat endah tak endah sahaja. Tak perlu susah-susah menyumpah anak menjadi batu. Kalau isteri atau kekasih curang dan derhaka, ceraikan/tinggalkan sahaja dan cari yang lain. Lelaki bukannya 'luak', tak seperti perempuan!

Keteguhan psikologi dan keimunan sosial yang 'dianugerahkan' kepada lelaki memberikan mereka ruang yang lebih luas untuk tindakan yang rasional dan menguntungkan, sehingga mereka tidak perlu berkelakuan di luar batasan sebagai respons kepada tekanan. Wanita lebih lemah psikologinya - kaya dengan emosi - dan mempunyai liabiliti yang besar apabila menyanggah peraturan-peraturan sosial. Justeru lelaki sering dipandang sebagai entiti yang lebih kejam dan jahat jika bertindak 'ganas'. Namun demikian, sekiranya berlaku pertembungan dengan wanita dalam jenayah seksual - yang juga merupakan suatu tindakan 'ganas'- wanita akan dipandang lebih jelek dan hina sebagai mangsa yang sarat kelemahan. Kenapa double standard ini ya?

Adakah kerana wanita, walaupun dilihat sebagai lemah dan tidak berupaya, sering tewas dengan emosi, mereka juga adalah lambang kepada kesucian dan kemuliaan - icons of chastity and purity? Mereka akan dimaafkan jika melakukan apa sahaja 'keganasan' atas dasar 'wanita itu makhluk yang lemah'. Apa sahaja 'keganasan', tetapi jangan sekali-kali menggadai maruah dan kesucian. Sejarah dan legenda memperlihatkan wanita-wanita yang melakukan 'keganasan' melakukan demikian kerana mempertahankan maruah. Dan maruah merekalah yang menjadi perisai ultimate dalam kisah mereka. Wanita yang mempertahankan kesucian akan disanjung semulia-mulianya, tetapi wanita yang kehilangan kesucian - sama ada rela atau tidak - akan kehilangan juga semua 'kemaafan' dan 'keistimewaan' yang mereka nikmati. Serta-merta, 'kelemahan wanita' yang menjadi pelindung itu menjadi nista untuk mereka.

Mahsuri dibunuh kerana difitnah bermukah, kesuciannyalah yang menjadi sebab sehingga sumpahnya 'menjadi'. Puteri Saadong berjaya mempertahankan diri tanpa disentuh sedikitpun oleh Raja Siam, dan tidak ada sesiapa yang menghukumnya sebagai pembunuh yang kejam kerana menikam suaminya dengan cucuk sanggul apabila pulang dan melihat Raja Abdullah berkelakuan sumbang. Dalam hikayat Ramayana, Sita Dewi tidak disentuh api kerana masih suci daripada sentuhan cela Ravana. Malah menjadi sebahagian tradisi lama Hindu, menguji kesucian perempuan dengan api, 'sempena' hikayat tersebut. Kononnya wanita suci tidak akan disentuh api!

Nota pendek: Wanita-wanita legenda ini konon dilindungi secara 'sakti', secara 'ma'unah', lantas berjaya mempertahankan kesucian. Bagaimana dengan wanita-wanita zaman kini yang tidak punya sakti, yang tidak punya salah tapi dimangsai dan dicabuli? Adakah mereka juga sudah tidak suci walaupun bukan mereka yang merestui apatah lagi mencari?

Jelas sekali, mahkota seorang wanita itu adalah kesuciannya. Imej wanita dalam legenda dan sejarah, hatta sirah, adalah gambaran yang penuh keindahan. Wanita menjadi kanvas untuk melukis cerita kesetiaan, pengorbanan, kasih sayang dan cinta yang suci, malah sehingga menyentuh hati penduduk langit dan bumi.

Biarlah ia lemah, biarlah ia emosional, wanita yang suci tetap dimuliakan. Lelaki, dengan sifat penguasanya, dengan keberaniannya, adalah pelindung dan pembela untuk wanita, dan akan dicaci sekeji-kejinya jika peranan membela itu dikhianati, kecuali jika wanita itu sendiri yang menolak untuk dibela dan menghulurkan maruah untuk dijilat-jilat sebelum dipijak di bawah tapak kaki.

Nilai ini, jika dibersihkan dan diperjelaskan lagi dengan hukum dan penafsiran Islam tentang martabat dan tanggungjawab kedua-dua insan yang saling melengkapi - wanita dan lelaki - tanpa bias dan ketidakadilan yang ditentukan oleh persepsi, akan menjadi panduan yang cantik sekali untuk mengatur perjuangan membela hak wanita dan mempertahankan kejantanan lelaki. Keadilan dalam Islam tidak mengenal gender, pencuri lelaki atau pencuri wanita, penzina lelaki atau penzina wanita, tetap sama hukumannya. Rujuk al-Quran ya, saya lupa lokasi ayatnya.

Adat dan budaya semata-mata tidak mampu menjadi bimbingan hidup yang syumul dan sempurna, adakalanya mengelirukan. Dan bertambah lagi salahnya apabila manusia mempertuhankan nafsu dan melampaui batas! Ekstrim ke kanan atau ke kiri, kedua-duanya sama merosakkan.

Baik lelaki mahupun wanita, emosi - ya cinta - yang tidak berpaksikan aqidah, mabuk penuh asyik tanpa mengenal Rabb dan hanya menumpukan kepada item-item maujud yang duniawi seringkali mendatangkan kemusnahan. Seperti Lien Ni-chang yang rela berkorban apa sahaja demi cinta akhirnya membunuh tanpa perikemanusiaan setelah dikecewakan.

Kelabu hidup hanya mampu dijernihkan oleh al-deen yang memisahkan antara yang hitam dan yang putih.

Sampai jumpa lagi, dan Allah juga Maha Mengetahui.

Selamat berfikir, mainkan peranan yang terbaik sebagai wanita atau sebagai lelaki, berpandukan wahyu Ilahi dan sunnah Nabi.

salam,
meow~

1 comment:

Taufik said...

Saya setuju dengan banyak point anda. Cuma nak tambah sikit saja. Mahkota wanita itu sudah tentulah kesuciannya (chastity) bagi society yg masih menghargainya.
Kalau kesucian wanita itu tidak dipandang tinggi lagi, maka sexual lawlessness akan berleluasa dalam sesebuah society. Lihat sahaja the West yang bagi mereka virginity itu tidak ada apa-apa nilai lagi. Disclaimer: bukan saya hendak menyalahkan pihak wanita bagi masalah sexual lawlessness di sini. Maksud saya, wanita yang menghargai chastity akan mempertahankan kesuciannya dan lelaki yang menghargai chastity juga tidak akan mencabul mana-mana wanita, bukankah begitu? Jadi kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing. Benda berharaga yang dicari tetap kesucian wanita itu, kalau ia sudah tidak berharga lagi maka berleluasa lah sex bebas.

Kita sering sahaja menggunakan analogi lelaki itu sebagai pemangsa dan wanita itu sebagai mangsa. Memang tidak dinafikan sering kali wanita dibebankan dengan 'dosa' yang lebih atas dasar persepsi kita tentang isu gender ini. Saya ingin point out bahawa nafsu lelaki dan nafsu perempuan itu berbeza, dan bagi saya hampir mustahil untuk lelaki benar-benar memahami nafsu wanita dan hampir mustahil juga untuk wanita benar-benar memahami nafsu lelaki. Bagi saya juga, kerana jurang inilah berlakunya banyak tuduh-menuduh antara kedua-dua pihak ini.

Seringkali wanita tidak dapat memahami mengapa lelaki ini suka sangat tengok pornography, meniduri beberapa wanita sekali gus, senang tergoda, menduakan cinta, dan lain-lain lagi. Mungkinkah seorang wanita dapat memahami bagaimana gelora nafsu seorang lelaki ketika melihat peha seorang wanita? (Takkan saya hendak describe dekat sini kot. Fikir-fikirkanlah. Bukan suruh fikir blue, tetapi fikirkan adakah anda betul-betul fahami perasaan/nafsu ini?) Mungkinkah seorang wanita memahami bagaimana perasaan sebenar seorang lelaki ketika mendengar suara wanita yang sengaja dimanja-manjakan? Begitu juga dengan lelaki. Mungkinkah seorang lelaki dapat memahami kehendak seorang wanita untuk menayangkan tubuhnya? Mungkinkah seorang lelaki dapat memahami mengapa wanita berkeinginan untuk menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki? Sebenarnya saya pon tidak tahu hendak kemukakan soalan apa lagi bagi 'Mungkinkah seorang lelaki' kerana saya bukan seorang wanita. Tidak mungkin bagi saya untuk menyelami keinginan-keinginan wanita ini sebagaimana seorang wanita memahaminya. Ye la, saya tidak mempunyai estrogen sebanyak mereka, mempunyai organ yang berlainan dengan mereka lagi, dan sebagainya.

Seorang wanita sudah tentu mengetahui serba sedikit tentang nafsu lelaki kerana mereka mengetahui apa yang perlu dibuat untuk menggoda lelaki. Mereka tahu saja untuk bermain-man rambut di depan lelaki, menjeling manja, menyelak kain, dan sebagainya. Lelaki pon sama, pandai saja mengusik wanita, berjenaka, menunjukkan ke'macho'an, dan sebagainya. The art of flirting. Tetapi mungkin seorang wanita tidak benar-benar memahami bagaimana perasaan bila nafsu lelaki itu bergelora. Pokoknya seorang wanita itu mengetahui bahawa lelaki suka tengok pehanya, suka suara manjanya, dan sebagainya tetapi mungkin dia tidak tahu bagaimana nafsu lelaki yang sudah bergelora itu boleh menyebabkan si lelaki itu tidak dapat mengawal dirinya sehingga mencabuli wanita-wanita lain yang tidak bersalah. Lelaki juga tahu wanita ingin menayangkan tubuhnya, cuba menggoda, dan sebagainya tetapi mungkin dia tidak tahu bagaimana kuatnya desakan nafsu seorang wanita untuk melakukan semua itu.

Jadi mungkin bagi majority lelaki, memang agak sukar untuk memahami perbuatan mangsa a.k.a. wanita yang lemah dan menyerah diri sebagai logik. Tetapi memang mudah bagi lelaki untuk "menerima dengan logik jika [dia] memburu mangsa [a.k.a. wanita] dan menerima mangsa yang 'menyerah diri.' Vice-versa bagi wanita. Akhirnya ideal yang sewajarnya yang dipilih adalah bagi wanita mempertahankan maruah.

Bagi saya ideal wanita yang perlu merpertahankan maruah ini lojik atas dasar preventation, tetapi tidak boleh diguna pakai dalam menghukum kerana ia akan membawa double-standard dan ketidakadilan. Contohnya ada seekor harimau mula makan kambing ternakan si pengembala kambing. Ada banyak lagi harimau lain di kawasan itu yang nak makan kambing-kambing beliau Bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Katakanlah menembak mati harimau adalah dilarang dan akan didendakan dengan hukuman berat di negeri tersebut. Jadi pengembala kambing tadi tidak boleh la menyelesaikan masalah dengan menembak semua harimau di kawasan itu (Ye la, takkan nak bunuh semua lelaki kot). Si pengembala kambing tidak dapat mengawal gerak geri harimau itu juga (ye la, siapa boleh suruh harimau "sit sit" macam seekor anjing peliharaan pula). Jadi jika si pengembala kambing tidak mahu kejadian sama berlaku, beliau perlu la cari cara untuk protect kambing-kambingnya. Mungkin beliau boleh buat kawasan pagar keliling kawasan ragut kambingnya atau bawa kambingnya makan di tempat lain jauh daripada harimau dan sebagainya. Tetapi jika kita hendak menghukum siapa bersalah, sudah tentu kita tidak boleh salahkan kambing pula kerana mengada-ngada makan dekat kawasan harimau (tak adil lah begitu, malahan boleh dikatakan kejam).

Sama juga kalau ada wabak penyakit. Untuk mengatasi wabak penyakit kita gunakan imunisation (kalau ada immunisation bagi penyakit itu la) untuk prevent penyakit itu. Kalau kita ingin membunuh semua kuman penyebab penyakit itu dalam dunia ini bagi mengatasi wabak penyakit itu, pada kira saya kurang bijak la. Katakanlah penyakit ini jenis senang berjangkit. Kalau kita hendak salahkan manusia-manusia pembawa kuman-kuman ini atas wabak penyakit ini, agak kejam lah di situ, kerana yang bersalah sebenarnya kuman-kuman itu.

Cara bijak untuk mengatasi masalah ialah dengan mengajar wanita mempertahankan maruah mereka, kerana lelaki ini bagaikan harimau yang tak boleh di "sit sit" ataupun nafsunya bagaikan kuman-kuman yang tak dapat dibunuh sepenuhnya untuk mengatasi sesuatu wabak penyakit. Jadi wanita lah yang perlu menutup tubuhnya daripada pandangan lelaki bukan mahramnya. Wanita lah yang lebih ditekankan untuk menjaga maruahnya. Kesucian wanita lah yang dipuji dan dimuliakan. Lelaki memang disuruh merendahkan pandangannya jugak, tetapi kehormatan wanita itu lebih mudah diperolehi jika ia bermula dari wanita itu sendiri. Bukankah begitu? Mungkin saya bias.

Lagi satu, bagi saya wanita disuruh menutup aurat bukanlah untuk mengelak dirinya dari dicabul semata-mata. Ada orang kata pakai purdah pon boleh kene rogol jugak. Kita pulak kata, ye la ramai wanita lain yang menayang sana-sini menaikkan syahwat lelaki maka jadilah macam itu (betu la tu). Menutup aurat itu bagi menjaga maruah wanita itu juga kan? Kita tidak mahu zina ataupun sexual lawlessness. Jadi kalau wanita itu sudah menutup aurat maka dia letakkan harga diri dia tinggi la kan, lelaki yang bernafsu rakus pon malu la nak ajak buat bende tak senonoh. Kalau kita tengok, noble women of the West in the past, contohnya keturunan raja, mereka pon pakai skirt selabuh-labuhnya dan memakai veil juga sebagai tanda kemuliaan bangsawannya. Kalau orang nak mencabul si princess tu memang la boleh juga, tetapi jelas lah apa tujuan memakai menutup tubuh itu dan sudah tentu ada efeknya dalam mencegah 'unwanted stuff'. Tetapi barangkali tujuan menutup aurat zaman sekarang sudah agak berbeza sikit, tidak lagi untuk present kemuliaan. Barangkali fesyen? Memang sudah tidak nampak lagi 'izzah' nya. Kepada mereka yang tidak value chastity lagi, sudah tentu mereka tidak nampak satu kebaikan pon menutup aurat itu.

Melalut pulak. Kembali kepada topik, apabila menghukum pula perlulah adil dan tuduhan wanita yang bersalah kerana tidak pertahankan maruah mereka sudah tentulah tidak adil. Namun realitinya, memang lah ada double standard di sana sini. Persepsi masyarakat memang sering kali bias dalam isu-isu ini. Islam meletakkan sedikit perbezaan dalam peranan lelaki dan wanita atas sebab-sebab yang wajar. Tetapi, "keadilan dalam Islam tidak mengenal gender, pencuri lelaki atau pencuri wanita, penzina lelaki atau penzina wanita, tetap sama hukumannya."

p/s: Saya menulis dari kacamata saya sebagai seorang lelaki, berkemungkinan besar saya ada bias saya.