Saturday, May 03, 2008

Lorong-lorong Karya 1 - Tersendiri

Assalamualaikum.

Keinginan untuk menjadi tersendiri, kalau kena caranya, akan menghasilkan kualiti karya yang lebih baik daripada sekadar akur mengikut arus. Memerah otak dan mencarigali ilham untuk menongkah arus dengan halaju sendiri akan menjadi lebih kondusif untuk kreativiti, memaksa diri untuk keluar daripada stereotaip yang mengelilingi. Tidak keterlaluan kalau saya jadikan peraturan kepada diri sendiri untuk sentiasa awas, agar tidak terikut-ikut dengan trend semasa, dalam apa sahaja. Gaya berfesyen, stail berbicara, citarasa muzik, cara berfikir, entahlah, mungkin saya memang semulajadinya outlandish atau secara sengaja berusaha menanggapi sesuatu melalui perspektif yang tidak serupa dengan majoriti.

Mengapa ya? Rasa diri lebih hebat dan matang daripada orang lain? Mahu berlagak cool? Atau mencari populariti mudah (dan murah) - saya lupa kata siapa ini - "Kalau mahu terkenal, perhatikan pendapat rata-rata orang ramai, dan canangkan kepada mereka semua bahawa kamu tidak bersetuju." Minoriti yang bising selalu mendapat perhatian, bukan?

Mohon dijauhkan Allah daripada noda niat!

Mengikut majoriti adalah sesuatu yang relatif mudah, malah menguntungkan. Dalam lapangan pencak idea, mengikut majoriti bererti takungan penyokong dan 'golongan satu kepala' tersedia besar, senang mahu memerangi sebarang tantangan dan cabaran. Dalam lapangan fesyen, mengikut majoriti bermakna adanya pilihan yang banyak, tips yang beraneka, dan kurang risiko dicop sebagai kolot dalam bergaya (atau mengenakan fashion disaster). Dalam lapangan niaga, mengikut majoriti menjanjikan longgokan pembeli dan menjimatkan kos promosi.

Dalam lapangan berkarya, mengikut citarasa majoriti bermaksud kurang perdebatan dengan 'para senior' tentang perincian susastera, senang menarik perhatian para penyunting di media, cepat pula dapat memikat pembaca dan mengumpul peminat!

Bukan begitu?

Tapi, adakah kualitinya sehebat kuantiti? Saya tinggalkan persoalan itu di situ! (Klu untuk menjawab soalan : Bayangkan cerpen-cerpen cinta-perjuangan-SMS bangun tahajud akhi-ukhti yang berlambak, novel-novel popular dengan tema berkasih berputus bercerai berpoligami berdisko beranak halal argh.)

Mengikut arus, mungkin juga mengurung pelayar dalam zon selesa. Diapit majoriti yang sealiran, seiringan, berhenti di jeti yang sama, dan tidak ada keazaman dan motivasi (atau keberanian?) untuk melonjak keluar atau mengundur ke belakang lantas mencari (atau membina) pelabuhan sendiri.

Saya teringat kisah Charles Dickens yang kehebatannya tidak meningkat lebih setelah popularitinya memuncak, kerana kecenderungannya untuk bergaul hanya dengan penulis-penulis yang kurang hebat. Beliau selesa memerap diri di takuk lama. Kalau tidak salah, sumber maklumat ini daripada Encyclopaedia Britannica.

Aha. Harus diingat, mahu menentang arus atau mengawal halaju sendiri jangan semberono! Perahu perlu awas jangan bocor-bocor, kalau berakit biar buluhnya cukup jangan tenggelam ditujah beban. Dayung pun kena pastikan ampuh tidak rapuh, entah-entah nanti terlanggar batu terus patah! Siapa suruh mengada-ngada sebelum cukup bekalan.

Saya? Dayung sudah kukuh, perahu cengal kayu nan utuh? Hahahaha. Jauh lagi kot. Saya masih berakit-rakit, bertopangkan buluh sebatang! Kerap kali belajar ilmu belayar daripada perahu-perahu yang berselisih, adakalanya mohon ditarik ketika arus terlampau perlahan, mohon berpaut ketika arus deras yang amat. Akan tetapi saya tidak mahu membiasakan diri ditarik, berpaut, apatah lagi berserah kepada gelombang, saya mesti belajar berdayung! Sampai waktu nanti, saya akan punya perahu sendiri dan dayung berukir kepala harimau.

Nampak kiasan saya? Mahu belayar, mahu belajar menguasai arus, perlu berilmu, perlu berlatih, perlu berguru.

Dalam menelusuri arus, saya juga suka mencuba bermacam-macam cara mengenderainya. Berakit perlahan, berakit laju-laju, berakit lurus atau berkelok-kelok. Kadang-kadang, saya terjun dan berenang!

Pelakon yang melakonkan jenis watak yang serupa - asyik-asyik berair mata, atau balik-balik jadi perempuan jahat - memang akan menyerlah, cemerlang, popular, dengan lebih cepat, berbanding pelakon yang memilih watak bervariasi. Cabaran dalam keadaan yang berubah-ubah itu lebih besar, dan lebih berperanan dalam mematangkan individu.

Saya mahu jadi tersendiri.

Setiap kali menulis, saya akan bayangkan karya-karya yang saya tanggapi lemah, yang saya tidak mahu jadi sepertinya. Saya usahakan supaya tulisan saya tidak jadi sepertinya. Saya bayangkan karya-karya hebat, yang saya mahu contohi, ibarat perahu-perahu laju dengan rentak anggun dalam gelombang yang saya kagumi. Saya usahakan supaya tulisan saya menghampiri tarafnya, walaupun tentu sekali tidak serupa. Saya tidak mahu ia serupa.

Dinamika antara mengejar keunikan, mengelakkan stereotaip dan mencontohi kehebatan itu mencambahkan kreativiti, kematangan dan gaya tersendiri.

Itu yang saya cari dalam berkarya.

InsyaAllah.

meow~

4 comments:

bidayatul hidayah said...

assalamualaikum ana kagum dengan usaha anti mezahirkan rasa melalui kata, sememangnya dalam hidup kadang kala kita sering terasa kita hebat bukan kerana kita sebenarnya hebat tetapi kerana kita sering mencari dan melihat kelemahan orang lain. orang yang benar2 hebat ialah orang yang dapat mencari kehebatan dalam dirinya dan orang lain.

youngmujadid said...

ana ingin mengibaratkan 'comfort zone' sebagai sangkar dan manusia sebagai burungnya. sangkar mengongkong dan menghalang burung terbang menjelajah alam mencari 'ilham' begitu juga manusia. manusia yang bebas dari batasan 'comfort zone' adalah manusia yang berjaya dan merdeka.....
cabarlah 'comfort zone'

NadraNadia said...

Karya yang hebat ialah karya yang dapat dilihat idea aslinya walaupun tema atau isu utamanya sama sahaja seperti yang lain.Ramai cenderung untuk melihat sesuatu isu dari sudut yang sama tanpa ada sedikit variasi pun,menghasilkan karya sekadar untuk menguatkan pandangan sedia ada, sedangkan ada 359 darjah lagi yang belum diterokai.Agak mustahil untuk manusia yang mempunyai kemampuan berfikir untuk tidak mempunyai idea sendiri dalam sesuatu isu, namun mungkin kemalasan untuk berfikir, dan usaha yang perlu diambil mengembangkan idea itu menyebabkan idea yang sama terus mendominasi.Malas berfikir,bukan sahaja menyebabkan masalah lambakan karya copy-cat, tapi menyebabkan masalah segala benda..

iSunik said...

Salam

Melihat dan membaca tulisan anda mengingatkan saya kepada cerita ragam P Ramlee - Damak. Walaupun ianya cerita pendek, madah dan kiasan yang diucap mengagumkan saya. Betapa indahnya bahasa diolah senada seirama tapi penuh dengan makna.

Mungkin anda pernah terlihat atau membaca "Blue Ocean Strategy". Satu wadah baru dalam mengharung gelombang perniagaan. Mungkin itu yang anda cari, tidak dalam bentuk perniagaan, tetapi dalam berkarya.

Mencari kelainan, sukar saya kira, tetapi pulangannya mungkin lebih bernilai dari hasil yang boleh dikira.