Wednesday, October 15, 2008

"Terhutang Budi"?

Salam.

Saya kurang senang dengan nada 'terhutang budi'. Frasa yang lebih sedap didengar, barangkali, ialah 'mengenang budi'. Kalimat 'hutang' itu seolah-olah menekan sesiapa yang pernah menerima kebaikan daripada pihak lain untuk berasa terbeban dan terpaksa untuk membalas kebaikan tersebut, walaupun melibatkan logika yang karut.

Pada pendapat saya, budi bukan untuk dipulangkan atau dikembalikan. Itu bukan kewajiban. Kalau kamu pernah menolong saya dalam satu-satu perkara, tidak ada autoriti yang boleh menyuruh saya menolong kamu suatu hari nanti apabila kamu memerlukan, hanya kerana itu. Mengapa? Kebaikan yang dilakukan itu adalah pilihan individu untuk melakukannya, si penerima tidak akan dapat memaksa pemberi, jika budi diberi dengan paksaan maka ia bukan lagi budi. Mengapa penerima perlu dibebankan oleh keputusan bebas oleh si pemberi? (Ini terutamanya boleh diaplikasikan dalam konteks "termakan budi, tergadai body" - perhatian dan wang ringgit yang dicurahkan menyebabkan penerima rasa bersalah untuk menolak permintaan pemberi. Hello, budi itu diberi atas kerelaan sendiri, kenapa mesti dibalas? Ini jual beli ke? Saya tidak faham dengan orang yang rasa bersalah tidak tentu hala begini, apatah lagi sampai merosakkan diri!)

Satu lagi sebab mengapa saya berpendapat budi bukanlah sesuatu yang boleh dihutang-hutangkan, atau dijadikan bahan peras ugut emosi (emotional blackmail), adalah kerana konsep PEMBALASAN bagi orang yang berTuhan adalah hak mutlak Tuhan. Tidakkah silap jika si pemberi berharap budinya akan dibalas oleh si penerima, atau si penerima menyangka perbuatan baiknya kepada si pemberi dapat menebus budi yang ditaburkan? Ganjaran untuk orang yang berbudi, tidak kiralah kepada siapa budinya diberi, adalah anugerah dan rahmat Tuhan. Manusia - terutamanya Muslim - perlu belajar membentuk pandangan dunia (worldview) bahawa daripada tangan siapapun sesuatu sampai, ia digerakkan oleh Allah S.W.T., supaya tidak timbul masalah pergantungan melampau dengan manusia sampai lupa apa yang Allah suruh buat.

Berbalik kepada institusi atau organisasi yang 'berbudi', di sini saya lihat ada fallacy juga. Budi adalah sesuatu yang dilakukan dengan pilihan, di mana pemberi boleh memilih sama ada hendak melakukannya atau tidak. Jika kebaikan itu adalah tanggungjawab, saya ulang, tanggungjawab, obligasi, kewajiban, maka, ia bukan lagi budi. Malah menjadi kesalahan jika ia tidak dilakukan oleh institusi terbabit. Memang ada yang akan berhujah bahawa tanggungjawab sosial untuk sesebuah organisasi komersil adalah satu bahan dalam debat etika, tetapi saya memilih untuk merujuk kepada opini yang memestikannya.

Walaupun saya tidak bersetuju dengan konsep 'hutang' budi, tetapi saya mencadangkan konsep 'kenang' budi sebagai gantian. Kita tidak bergantung dengan manusia, tetapi kita diajar Allah mengamalkan sikap tolong-menolong dan berterima kasih. Sepertimana tidak ada paksaan untuk orang berbudi kepada kita, tetapi mereka memilih untuk menabur kebaikan, demikian jugalah tidak ada paksaan untuk kita berbudi kembali, tetapi sebagai manusia yang berperikemanusiaan, sewajarnyalah kita memilih untuk sentiasa melakukan kebaikan, walau kepada sesiapapun - sama ada penerimanya pernah berbudi kepada kita atau tidak. Bukan kerana budi yang pernah kita terima, tetapi kerana Allah menganjurkan, malah memerintahkan supaya berbuat baik sesama manusia.

Kita tahu kebaikan yang dilakukan oleh ibu bapa, institusi, organisasi, semuanya adalah kewajiban mereka, bukannya budi yang sukarela, tetapi kita diperintahkan oleh Allah supaya berbuat baik, menghormati, dan mentaati figura-figura autoriti ini. Malah dalam sesetengah sistem - seperti kekeluargaan dan pendidikan - ketaatan dan penghormatan yang dituntut adalah hampir mutlak, dengan pengecualian hanya dalam satu aspek - jangan sampai bertentangan dengan suruhan dan larangan Allah keseluruhannya. Jangan kita lupa dengan caveat ini apabila menjadikan ketaatan dan penghormatan itu sebagai justifikasi untuk melakukan sesuatu.

Dan Allah Maha Mengetahui.

Post-Script: Memandangkan saya ada menyebut 'ibu bapa' dalam bahagian untuk 'tanggungjawab vs budi sukarela' - saya akui, amnya kasih sayang ibu bapa dalam mengasuh dan bermesra dengan anak-anak adalah ikhlas dan sukarela, malah lebih daripada apa yang diwajibkan. Malah ketaatan kepada ibu bapa diberi perhatian khusus dalam ajaran Islam, walaupun caveat yang sama tetap dikenakan. Saya tidak bermaksud menyamakan taraf ibu bapa dengan institusi pengajian atau organisasi perniagaan, jauh sekali tidak serupa, cuma wujud kesamaan dalam kehadiran elemen 'budi yang wajib' dan 'tuntutan ketaatan dengan caveat' itu.

Sekadar pembetulan supaya anda tidak membazir waktu membetulkan 'kesilapan' saya itu nanti, dan saya tidak perlu susah-susah membalasnya. Kalau masih silap pada pandangan kalian, sila, gelanggang perdebatan tidak pernah ditutup.

meow~

6 comments:

SangPelangi said...

Cis. Kau sudah boleh membaca gerak lawan sebelum mereka menghabiskan jurus karanganmu.
Aku baru nak masuk gelanggang untuk isu budi orang tua. Kau bukan calang-calang pendekar ya. Hihi.

Biar aku bertingkah di SangPelangi pula. Dengan isu yang sama.

p/s: Aku rasa kau ini pendebat bagus. Belum si pembangkang nak bersuara, kau dah jawab dulu.

Zulhimi said...

Macam ada kene-mengena dengan dakwah fardhiyah je.....

adibah abdullah said...

Salam.

Pelangi, silat-bersilat, debat-berdebat, pintas-memintas ini memang pengkhususan akulah. Sayang sekali, gelanggang silat dan medan debat tidak lagi terbuka seperti zaman persekolahan dahulu. Jadi aku cukupkan dengan berpencak di pentas maya sajalah...

Zulhimi, sejujurnya, perihal itu langsung tidak terlintas di hati sewaktu menulis entri ini! Entri ini bukan untuk mencari pasal =D. Aku dah mula mengaplikasikan prinsip "yang sudah tu, sudahlah. perabih minyak aje dok kenang-kenang, ulang-ulang." Aku dah masuk third year, keluhan dan kritikan yang bermula dan berakhir sekitar permulaan tahun kedua dulu, aku rasa dah sesuai digantikan dengan wacana yang segar.

Anyway, sekarang, in retrospect, aku memandang dakwah fardhiyah sebagai satu proses politik yang menarik. Memilih sasaran, menyusun strategi, dan melakukan pelaksanaan dengan matlamat untuk merobohkan benteng penerima (mad'u), menyusupkan ideologi/pemikiran pihak pemberi (da'ie), dengan harapan kedua-dua pihak akan mendapat kebaikan bersama. Menang-menang. Siapa yang tak sesuai untuk mencapai situasi menang-menang tu, terpaksalah ditangguhkan atau diketepikan terus. Kalau kita tak hebat Matematik (macam aku), logiklah aku memilih bidang yang hampir tidak melibatkan subjek itu langsung kan? Tapi kalau aku berlagak sukakan Matematik untuk pikat best student Matematik di kolej, lepas kikis habis-habis, aku bosan, aku tinggalkan, itu sudah jadi keji.

Medan sudah tersedia wujud, pandai-pandailah mengambil kesempatan daripada sistem untuk mendapatkan advantage. Baik di duna, baik di akhirat. Dalam hidup ni, it's you vs the situation, you vs the system. It's either you're taken advantage of, or you take advantage and win.

And I'm not being a secular liberalist here.

Aku rasa lebih baik orang tak faham apa yang aku tulis di atas. Haha.

meow~

rontol said...

salam...sup? ~~

Anonymous said...

kita perlu cipta persekitaran dengan sistem seperti Rasulullah dan selari dengan dakwah fardhiyah

yangterindah said...

puan, izinkan saya paste di blog saya..ia benar-benar memberi kesan dapat hidup saya..