Wednesday, December 03, 2008

Kertas Kosong

Assalamualaikum.

Adakah anda juga seperti saya, yang teruja amat apabila melihat helaian kertas kosong? Terutamanya jika helaian itu berwarna putih. Baik dalam bentuk halaman-halaman kosong buku latihan yang separuh terisi, kertas A4 dalam bungkusan untuk kegunaan mesin cetak, kertas kajang bergaris-garis (berbelang?), atau buku nota yang cantik dengan reka kulit menarik dan kertas putih berkilat. Atau kertas timbunan kertas soalan peperiksaan lapuk yang kosong sebelah dan bercetak di muka sebelah lagi, umi bawa pulang dan beri kepada saya yang masih kecil untuk 'menconteng'.

Bukan setakat di situ sahaja. Ruang-ruang kosong, ruang-ruang tidak bertulis atau dengan gambar yang cetak warnanya pudar dalam majalah-majalah di rumah, waktu kecil dahulu, habis saya latam dengan pen mata bola, menulis segala bentuk cerita, dongeng, malah sajak, puisi, pantun, hatta resepi dan petua yang saya reka-reka sendiri (teruja melihat laman resepi dan petua dalam majalah, saya pun mahu merekacipta!) Saya melukis gambar pemandangan, rumah idaman, watak-watak puteri yang jelita, melakar komik, menciplak kartun Doraemon. Sampai sekarang, saya segan kalau ada sesiapa yang 'terserempak' dengan majalah-majalah lama itu... walaupun kebanyakannya sudah dimakan anai-anai.

Kertas kosong sangat mengujakan saya. Daripada kecil, waktu mula-mula pandai menulis, hinggalah sekarang, ketika menulis dan bermain bahasa itu sudah menjadi second nature untuk saya, perasaan indah yang sukar dimengertikan itu masih hadir. Apabila melihat buku-buku nota yang segar bersusun dalam rak di kedai - pelbagai warna dan saiz, malah aroma - saya bagaikan kepingin memborong semuanya. Apabila membeli buku nota yang baru, membeli bungkusan kertas cetak yang baru, saya berasa sungguh seronok. Tidak sabar-sabar untuk mengisi helaian kosong itu dengan kata-kata yang indah dan bermakna, cebisan ilmu yang mahal dan berguna, jadual harian yang sentiasa padat, atau draf karya yang menanti waktu menjadi mahakarya.

Kertas kosong adalah harapan dan peluang. Kertas kosong seperti kehidupan yang menanti untuk dicorakkan. Susunan buku nota di kedai - yang tidak mampu saya beli semuanya - adalah peluang-peluang, ruang-ruang yang terbuka luas dalam hidup, yang tidak mampu, atau tidak sempat untuk saya jelajah apatah lagi mengisi semuanya.

Seringkali, apabila saya mengisi sebuah buku nota - atau sehelai kertas A4 kosong - separuh jalan dengan tulisan-tulisan yang saya rasa tidak bagus - tidak kemas, bercampur-campur dengan urusan yang tidak berkaitan sesama sendiri, atau tulisan tidak rapi, mungkin juga bertompok dengan kata-kata rawak atau lakaran-lakaran potret tidak menjadi, saya jadi kesal dan kecewa. Saya mahu membeli buku nota yang baru dan memulakan semula. Atau saya mahu gumpal sahaja kertas kosong itu dan campak ke dalam bakul sampah, capai kertas yang lain dan mulakan semula.

Selalunya saya memang menggumpal dan buang sahaja kertas yang sehelai ke dalam bakul sampah. Tetapi buku nota yang separuh digunakan, saya jarang membuangnya. Paling tidak, saya akan ketepikan, cuba lupakan, dan walaupun menggunakan buku yang baru, yang lama tidak akan dibuang. Lebih kerap, saya abaikan sahaja helaian-helaian hadapan yang comot, menyelang beberapa muka yang bersih, dan mulakan semula. Untuk apa saya mesti berpura-pura tidak pernah mencomotkan buku? Tambahan pula, walaupun comot, helaian-helaian hadapan itu tetap mengandungi bahan yang bermanfaat, dan sentiasa diperingatkan tentang contengan yang tidak rapi tentu sahaja menjadikan saya lebih berhati-hati dalam menulis helaian-helaian seterusnya.

Kadang-kadang saya berjaya memulakan dan mengakhiri sebuah buku nota dengan kemas dan memuaskan. Tetapi seringkali - malah hampir setiap kali - saya akan melayani keinginan untuk menconteng dengan cara lain. Saya memang gemar menconteng - fikiran-fikiran yang rawak, perkataan yang tiba-tiba muncul dalam minda, lakaran yang tiba-tiba melintas sama ada di hadapan atau di belakang mata. Caranya? Saya buka halaman paling belakang dan menconteng di situ. Helai demi helai saya bergerak ke hadapan, tetapi bermula dari belakang. Selalunya saya tidak akan menghabiskan lebih daripada beberapa helai, tetapi contengan di halaman belakang itu tidak menyebabkan timbul rasa kecewa dan ingin menukar buku. Malah ia mendatangkan lebih rasa selesa - buku nota saya boleh digunakan untuk tujuan yang kemas dan rapi, atau untuk tujuan yang santai dan bersepah. Saya tidak dibataskan atau dikongkong oleh apa-apa untuk menjelajah dan mengisi buku nota saya.

Apabila menggunakan kertas kosong berhelai-helai, saya masih suka mengambil jalan mudah - gumpal dan buang. Mungkin kerana kesilapan atau contengan itu terlalu dekat dengan mata walaupun saya cuba menggunakan ruangan yang masih ada - lalu pilih sahaja untuk merenyukkan dan membuang keseluruhannya. Capai sahaja kertas yang baru.

Oh ya, dalam sebahagian besar entri ini, saya benar-benar bercakap tentang saya, kertas, dan buku nota, kecuali pada perenggan yang diberikan kesan embold dan italic di atas. Metafora? Terjemahkanlah. Anda juga tentu mempunyai kertas dan buku nota sendiri.

salam,

meow~

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.