Tuesday, December 16, 2008

Menulis Bukan Kerja Picisan Atau Iseng-iseng

Salam.

Pernah - dan masih - kelihatan, satu persepsi yang amat menggusarkan, bahawa orang-orang yang menulis adalah seperti anjing-anjing yang menyalak bukit dengan harapan bahawa bukit itu runtuh, atau lebih menghinakan, untuk membuktikan bahawa salakannya adalah yang paling gagah, paling lantang.

Benar, Imam as-Syahid Hassan al-Banna pernah berkata bahawa beliau tidak mempunyai masa untuk menulis buku kerana kesibukannya untuk 'menulis' manusia. Namun kita harus sedar, sekiranya murid-murid dan sahabat-sahabat beliau tidak menulis inti kuliahnya, maka ilmu pengetahuan tersebut tidak akan sampai kepada masyarakat untuk mendidik generasi selepasnya.

Benar, ilmu yang disampaikan dengan terperinci dalam buku-buku yang tebal dan termasyhur, tidak akan dapat difahami oleh segenap lapisan umat yang pelbagai tahap keintelektualannya. Makalah-makalah berat yang sarat falsafah mungkin di luar jangkauan sebahagian besar khalayak. Namun kita harus mengakui, buku-buku tebal dan makalah berat itu akan dibaca pula oleh golongan yang mampu menterjemahkannya kepada aksi, kepada tindakan yang membawa kesan kepada ummah. Mempersoalkan siapakah yang lebih hebat adalah seperti mempersoalkan yang mana lebih mustahak, sawah padi atau kilang beras.

Maka haruskah kita menuding jari mengatakan bahawa ilmuwan yang kerjanya yang zahir adalah menulis, beranalisa dan berteori itu tidak sehebat mereka yang terkenalnya lebih kerana bergelanggang di tengah umat? Apatah lagi menuduh sang penulis - apatah lagi jika tulisannya mengkritik mana-mana pihak - sebagai anjing yang menyalak bukit, sebagai tin kosong yang selayaknya dipijak sehingga kemik?

Menulis bukan kerja mudah. Untuk menulis bahan yang berisi, seseorang itu memerlukan pengetahuan, kefahaman atas pengetahuan itu, keberanian dan kemahiran berbahasa, juga saluran yang sesuai.

Menulis mungkin mudah jika hanya berkisah lewah tentang kehidupan sehari-hari, atau catatan ringan-ringan seusai usrah, atau nukilan isi hati yang dikaitkan dengan dakwah. Dengan bahasa yang mudah-mudah dan ejaan yang adakalanya tunggang-terbalik. Saya, dan saya yakin kamu semua juga, menghormati mereka kerana niat yang murni, usaha yang mungkin sudah dilakukan mengikut keterbatasan kudrat masing-masing, dan tentu sahaja efek yang terlihat tetap ada, kalau tidak banyak, sedikit.

Menulis tidak mudah jika menganalisa isu-isu semasa yang diintegrasikan dengan pendapat ilmuwan kontemporer, lantas semuanya dicantumkan dengan analisa sendiri. Anehnya, yang sukar itulah yang seringkali tidak dihargai. Dikesampingkan sebagai 'terlalu berat', 'tidak mesra pembaca', atau diremehkan sebagai bicara intelektual yang tidak berpijak di bumi nyata. Hanya tahu memberi komen dan oceh-oceh renyah, tidak tahu membuat kerja. Ada yang menghormati dan menyanjung, malah menyokong, tetapi yang membantu? Baling batu adalah. Hampeh.

Manusia sifatnya berbagai-bagai. Ada yang mempunyai kemampuan menulis yang hebat, lantas memilih menggunakan kemampuannya itu untuk mengarang. Persediaan ilmu yang terus-menerus dituntut menyebabkan masanya banyak habis untuk belajar, berfikir, dan menganalisa, sebelum sejumlah masa pula diperuntukkan untuk menulis. Banyak yang berkat disiplin diri dan dengan keizinan Allah S.W.T. berpeluang untuk bergelanggang di tengah-tengah masyarakat pula dalam pelbagai kegiatan dakwah baik fardi mahupun ammi, kerana kebijaksanaan untuk menulis itu tidak datang tanpa bergaul dengan sumber yang mengilhamkan dan pasaran yang bakal menerima tulisan itu - iaitu masyarakat.

apakah artinya kesenian
bila terpisah dari derita lingkungan
apakah artinya berpikir
bila terpisah dari masalah kehidupan
Sajak Sebatang Lisong, WS Rendra


Dalam sesetengah kes, kesempatan untuk menonjolkan diri di tengah-tengah masyarakat mungkin tidak sebanyak yang dimiliki oleh sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak menulis dan tidak galak berusaha 'mencipta' ilmu, sebaliknya hanya menerima, menganalisa untuk diri sendiri dan meluahkan apa yang diperoleh melalui interaksi sosial dalam ruang lingkup semerta (immediate circle). Ini masih kira OK.

Kategori seterusnya iaitu sahabat-sahabat seperjuangan yang hanya menjadi mesin fotostat, tentu lebih banyak masa untuk dilihat bergelanggang di tengah masyarakat. Atau lebih tepat lagi, bergelanggang di tengah kelompok mereka sahaja. Bukan di tengah-tengah masyarakat dalam ertikata yang sebenar. 'Masalah kehidupan' yang hanya berlegar seputar skop yang terbatas, yang skop itu dirasakan terlalu besar, sehingga setiap yang berada di luar skop itu mengecil kepentingannya. Atau lebih meresahkan pemikir apabila melihat betapa ada insan yang tidak mengetahui kewujudan permasalahan di luar skop yang dirasakannya sudah terlalu besar itu.

apakah artinya berpikir
bila terpisah dari masalah kehidupan
Sajak Sebatang Lisong, WS Rendra

Permasalahan hidup adalah rumit dan kompleks. Manusia perlu sentiasa aktif mengambil tahu tentang dunianya dan perkembangan di sekelilingnya. Perlu rajin membaca dan menimba ilmu daripada sarjana pelbagai bidang - orientalis atau oksidentalis, Islamis atau skeptik, guru madrasah dari Nusantara mahupun syeikh beserban jubah dari Eropah. Perlu bergaul dengan masyarakatnya, memahami realiti dan prioriti yang diperlukan untuk waktu dan tempat itu, right here and now, bukannya untuk waktu dan tempat yang digambarkan beberapa puluh atau ratus tahun yang lampau, a vision of the future from the past. Penulisan adalah salah satu cara terbaik untuk menterjemahkan ilmu yang dicipta daripada analisa itu untuk capaian banyak orang dalam ruang dan waktu yang fleksibel.

Mungkin ada yang merasakan bahawa tidak perlu usaha yang gigih untuk belajar dan mencipta ilmu, untuk menyebarkan ilmu, untuk mengkritik ilmu. Menegur usaha-usaha pihak lain yang menyebarkan ilmu dengan cara mereka yang dirasakan silap. Mungkin perasaan sedemikian timbul kerana selesanya mereka menadah ilmu pasang siap yang disediakan, "boleh dimakan begitu sahaja". Ilmu itu pula sudah "dijamin halal" dan sesiapa yang berani mempersoalkannya akan disergah, dipaksa membuka kilang sendiri yang dapat mengeluarkan produk yang "jaminan halal"nya lebih baik daripada itu.

Apabila kita bertanya tentang pemprosesan makanan yang disajikan - baik kepada kita mahupun kepada orang lain - adakah itu bermakna kita tidak pandai memasak? Adakah itu bermakna kita tidak berterima kasih kepada si tukang masak, atau menidakkan usahanya yang telah berjaya mengenyangkan orang lain? Adakah pertanyaan dan persoalan kita itu mewajibkan kita untuk memperbaiki makanan yang disajikan, atau menyediakan makanan yang lebih baik?

Rakyat yang mempersoalkan pemimpin tidak pernah disuruh menggulingkan pemimpinnya. Pengguna khidmat kesihatan percuma di UK digalakkan memberi pendapat dan kritikan supaya perkhidmatan yang sudah baik itu dapat diperbaikkan lagi.

Menerima kritikan secara proaktif bukanlah hanya mengiyakan, mengakui, dan tidak berbuat apa-apa. Menerima kritikan secara proaktif bererti menganalisa semua aspek-aspek kritikan yang diterima dan bertindak untuk melakukan perubahan. Jika keputusan yang dibuat adalah untuk tidak melakukan perubahan di mana-mana, maka bersedialah untuk memberi justifikasi yang rasional, atau untuk dikritik dan terus dikritik.

Menulis bukan kerja picisan atau iseng-iseng. Ia akan menjadi picisan dan iseng-iseng jika penulisnya hanya bermain-main, tidak berfikir dan tidak mengajak pembacanya berfikir. Ia akan menjadi lacur jika penulisnya tidak mempunyai sebarang maksud yang baik malah mengagungkan kesesatan atau mengajak ke arah kebatilan.

Menulis - seperti juga mendidik - bukanlah kerja picisan, apatah lagi iseng-iseng. Sesuatu yang dimaksudkan untuk mendidik, perlulah dilakukan dengan sepersis dan sejujur mungkin. Pedulikan 'maksud tersembunyi', 'agenda rahsia' dan lain-lain frasa dengan konotasi bawah tanah yang berbalam-balam. Sesiapa yang tidak punya maksud dan agenda dalam melakukan sesuatu adalah orang yang tidak bermatlamat, dan perbuatannya adalah tidak berguna sama sekali. Saya sebagai penulis mempunyai agenda tersendiri dalam penulisan saya. Demikian juga penulis-penulis lain, dan pendidik-pendidik lain dengan wajah mereka yang pelbagai. Teruslah beragenda, tidak ada salahnya, malah itulah yang sepatutnya.

Laksanakanlah agenda anda itu dengan cara yang tidak menzalimi orang lain. Pengetahuan boleh diringkaskan, tetapi akuilah bahawa ia adalah pengetahuan yang diringkaskan, dimudahkan, dan bukalah ruang, berilah peluang untuk huraian yang lebih lanjut dicari. Apabila ia diwar-warkan 'hanya untuk kesedaran', maka biarlah ia 'hanya untuk kesedaran'. Bukan pemula dan penamat, sebelum penerima ilmu terus disodorkan dengan haluan yang didasarkan mutlak kepada pengetahuan yang diringkaskan tadi.

Memang dalam ilmu kimia, kita diajarkan dengan fakta-fakta ringkas sewaktu bersekolah rendah, tetapi kita sentiasa diajar terus-menerus tentang fakta yang lebih rumit, tidak ada sesiapa memberitahu kita bahawa inilah ilmu kimia yang sepenuhnya, atas ilmu inilah kita akan menghasilkan ciptaan-ciptaan canggih, malah di peringkat lebih tinggi, kita berpeluang untuk berlawan hujah dengan guru!

Mendasarkan ideologi, falsafah, tindakan, dan pergerakan atas penghuraian yang tidak lengkap, yang bersifat selektif - cherrypicking dalam bahasa penjajah - memberi penekanan kepada faktor-faktor yang menyokong agenda kita sahaja adalah mengkhianati kebebasan berfikir dan membuat keputusan penerima ilmu. Apatah lagi jika suara-suara yang mencabar, tidak bersetuju, the dissenters, disenyapkan dan dituduh sebagai pendosa dalam perjuangan.

Menulis - baik menulis buku, mahupun menulis manusia - bukanlah kerja picisan atau iseng-iseng. Hormati konsepnya dengan melakukannya dengan cara yang terbaik. Hormati pelakunya dengan memperlakukan tulisan-tulisannya dengan cara yang terbaik. Menghormati penulis dan penulisannya adalah menghormati ilmu.

Anjing yang menyalak bukit tidak akan meruntuhkan bukit, tetapi mungkin akan membangunkan orang yang akan bangkit dan mencangkulnya hingga rata. Itu lebih baik daripada ia diam dan menunggu bukit runtuh sendiri. Satu-satunya anjing yang berguna dalam kesenyapan hanyalah Qitmir di sisi Ashabul Kahfi.

Tasbih kaffarah.

salam,
meow~

3 comments:

apunpital said...

AUm!

Irfan Jani said...

Kau tahu? Iseng dalam Jawa bermaksud err.. berak. Buang air besar.

Aku mendapat keluhan berbentuk emel, menanyakan tip menulis. Bila penat aku berceloteh, akhirnya dia tetap tak mahu menulis. Katanya belum ada keberanian.

Huh! Aku benci penulis yang penakut.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.