Friday, June 26, 2009

Memandang Awan

Salam.

Sejak kecil lagi, saya sangat menyenangi langit. Awan, angin dan matahari, petang dan pagi. Malam berbintang dan terik tengah hari.

***

Sewaktu umur saya 10 tahun (rasanya), rumah yang sebuah setingkat rapat ke tanah itu diubahsuai. Dinding sebelah selatan dirobohkan sedikit demi sedikit sementara sayap yang tinggi setingkat lagi dibina sambung. Struktur asas dibina dahulu - bermula dengan tiang konkrit tinggi dua meter kurang lebih, kemudian tiang-tiang utama, lintangan kayu belebas, alang bumbung dan lantai - sebelum papan-papan lain dipaku membentuk rupa rumah, sebelum diatapkan dengan adex dan zink.

Ketika sayap rumah berupa rangka inilah, ketika aroma kayu yang digergaji segar berapungan sepanjang hari, dan habuk kayu bertaburan di mana-mana, saya ketemu tempat kegemaran untuk bertenggek.

Pulang dari sekolah, bersama sebuah - atau lebih - buku dari perpustakaan sekolah, saya akan memanjat keluar tingkap yang bersambung dengan sayap rumah yang sedang dibina. Sebelah tangan memaut bahagian atas jendela, kaki memijak kayu beluti tebal yang dipaku melintang-melintang sebagai kerangka lantai. Berjinjit meniti, jangan sampai tersalah pijak nanti jatuh ke bawah, saya sampai ke kawasan yang sudah banyak berpapan. Muat untuk duduk walaupun 'berbulu' dan berhabuk. Papan dan kayu kasar. Saya lapik dengan kertas surat khabar, lalu duduk bersila di bawah bumbung separa siap. Membaca The Young Children's Encyclopaedia Britannica yang berkulit tebal warna putih (seingat saya itulah buku kegemaran ketika itu, saya galak membaca satu demi satu dari huruf A hingga Z, sebelum berkalih kepada ensiklopedia edisi 'lebih matang' berkulit merah yang saya baca satu demi satu juga, saya lupa edisi keberapa atau versi apa).

Melihat langit siang yang cerah biru bertompok-tompok awan putih, daun-daun pokok yang memagari tepi-tepi jalan seperti ribuan bendera hijau yang berkibar ditiup angin, angin yang amat menyamankan ketika keringat menitis membasahi baju dan muka yang dihangati matahari. Bukit-bukau yang megah di depan rumah, ketika itu, 13 tahun lalu, masih belum ditebas, belum ditogelkan menjadi hamparan tanah merah, belum dijadikan ladang sawit. Masih tebal dengan hutan merimbun, yang silih berganti berkilau di bawah terik matahari atau teduh apabila dilitup bayang-bayang awan.

Sukar dibayangkan betapa gembira dan damainya ketika itu.

Membaca buku di atas kerangka rumah belum siap, ditemani matahari siang yang cerah, langit, awan, dan pepohon yang setia dengan biru, putih dan hijau warna mereka, serta angin yang menghembus pergi semua keresahan atau duka.

Pada usia kanak-kanak 10 tahun.

***

Apabila sayap rumah siap, di bahagian belakang - yang tidak menghadap jalan, tetapi menghala ke arah halaman rumah jiran dan madrasah kampung - ada sebuah pintu yang tidak bertangga. Menarik bukan? Pintu yang terbuka, tetapi tidak boleh dituruni kerana tinggi dua meter dari tanah. Mau terjun? Belum berani.

Petang-petang, saya akan duduk di situ, melihat langit senja. Di sini pemandangannya luas dan lapang, tidak ada bukit atau jalan raya yang diserabuti kenderaan. Tidak berbuat apa-apa, hanya duduk, melihat awan yang bergerak, lembut, yakin, perlahan dan setia. Melihat warna langit yang berubah-ubah, dari timur santak ke barat, seperti perubahan rona dalam julat cahaya. Biru gelap yang kehitam-hitaman, ungu, merah, kuning, keemas-emasan. Sesekali, langit menjadi merah jambu dan cahayanya terbias masuk melalui kaca tingkap di dapur dan ruang tamu.

Sejak pintu itu ditutup dan tidak digunakan lagi apabila bilik adik-adik lelaki dibina di ruang itu, saya berkalih pojok di pintu hadapan. Duduk melihat langit dan awan apabila hari menjelang petang hinggalah Maghrib sampai. Bagaimana cahaya matahari berubah tona daripada terang yang hangat pada tengah hari, menjadi terang yang emas, kemudian terang yang pekat, berkilau, diiringi bayang-bayang yang memanjang dan teduh. Kemudian bertukar menjadi pesta warna yang lembut dan tajam, sebelum perlahan-lahan semuanya semakin gelap ditinta warna malam.

Allah, Maha Suci Engkau yang menciptakan langit, awan, dan matahari, perpindahan yang terlalu indah untuk waktu-waktu dalam hari.

***

Di beranda tingkat atas, bersandar di kerusi malas ketika awan kelabu retak meluruhkan hujan yang putih, hembusan ribut kencang yang tebal dengan titis-titis air lembap, memenuhkan saya dengan romantika dan ketenteraman. Deraian hujan melantun dari atap zink rumah jiran dan aspal jalan membentuk seribu percikan halus yang berapung umpama kabus.

Berkereta bersama keluarga pada malam hari, saya suka membuka jendela dan melihat langit. Atau sewaktu malam-malam di rumah, ketika-ketikanya saya kepingin berteleku di beranda berkawan dengan awan. Berbintang atau tidak, disinari bulan atau sepi, memandang awan tebal yang bergerak-gerak sudah cukup menghiburkan. Perlahan-lahan, awan kelabu hitam yang memayungi sawah padi, bukit bukau atau bentangan padang, belayar merentas langit, kepul-kepul yang tebal bercantum dan berpisah sesama sendiri, tarian yang sabar, perlahan, damai, tidak akan dapat disedari tanpa pemerhatian.

Apatah lagi jika malam berbintang, atau ada bulan yang jika penuh mengambang, bulatan cahaya perak itu dikelilingi halo berlapis-lapis, kuning, barangkali kebiruan, malah kehijauan!

***

Sewaktu di kolej, menunggu waktu makan malam, saya mencari ruang dan masa untuk berseorangan dan duduk di Astaka untuk melihat awan yang bergerak-gerak menyeberangi langit petang.

Hari-hari yang laju, manusia yang berlari mengejar urusan dengan rusuh dan penat, seperti ditertawakan oleh kepulan awan yang damai, yang tenang, mengapung, merapat, bercantum, berpisah, dan bercantum semula, sementara cahaya matahari berubah rona, menjadi matang, menjadi girang, kemudian menjadi malam.

***

Apabila berjalan pulang dari hospital pada petang-petang hari di UK, dalam kepenatan, saya sering digembirakan oleh cahaya matahari, angin, dan awan. Terasa walaupun hidup ini sangat sibuk dan meletihkan, sangat bersendiri, sangat sukar untuk menemui teman yang tepercaya untuk berkongsi resah-riang, masih banyak yang diizinkan Allah untuk menghiburkan dan menenangkan.

Dalam petang-petang yang cukup tenteram, mengenang nikmat dan keindahan yang telah diizinkan Allah untuk saya mengecapinya, terlalu, terlalu banyak. Syukur amat kerana Dia sentiasa mengilhamkan saya untuk berhenti, beristirehat daripada kalut-kalut hidup, untuk merenung bintang, memuisikan hujan, dan memandang awan. Menatap kembang liar dan rimbun belukar di tepi jalan, menghargai lumpur lecak, menadah titik embun dan memetik bunga lalang.

Apabila saya menoleh ke belakang, mengimbas semula masa lepas, detik-detik itulah antara yang paling saya ingati untuk menggambarkan indahnya sebuah kehidupan.

salam,
meow~

1 comment:

binjidan said...

tidak terlepas dari sedikit pun yang aku gemari cuma aku sikit malas membaca hahaha