Salam.
Cuti musim panas lepas, saya mengkhatamkan tiga buah novel tulisan Kazuo Ishiguro. Never Let Me Go, An Artist of the Floating World, dan When We Were Orphans. Mengutip dan mencantumkan patah demi patah yang dikarang, menghayati binaan-binaan latar dan cerita yang digarap melalui baris-baris ayat, saya memahami mengapa karya-karya lelaki berketurunan Jepun yang membesar di London ini begitu dikagumi, dicalonkan (malah memenangi) hadiah-hadiah sastera, malah diangkat beberapa daripadanya ke layar perak!
Prosa beliau mempunyai kualiti tersendiri - tenang, tidak terburu-buru, dan kontemplatif. Ada runtunan emosi, kedukaan yang terpendam dan terkekang, refleksi yang dalam, dan timbunan harapan yang tertunai atau tinggal sebagai kekesalan, di sebalik gerak-geri watak yang sederhana tanpa perlu banyak lontaran-lontaran dramatik. Sungguh, salji yang paling dingin tidak memerlukan jerit-pekik dan aksi-aksi teatrikal untuk mencengkam sampai ke tulang hitam.
Mungkin latar asuhan atau kefahaman Ishiguro tentang falsafah Timur yang menjadi leluhurnya adalah sumber keunikan ini. Walaupun sudah tinggal di London sejak berumur lima tahun, tulisannya sama ada bercerita secara langsung tentang watak-watak berbangsa Jepun, atau menyentuh falsafah kehidupan dengan semacam lembut-tenang-tafakur yang sukar ditemui dalam karya Barat.
Watak-watak garapan Ishiguro yang saya kenali - Kathy H sang penjaga/sahabat dalam Never Let Me Go, Masuji Ono-sensei sang pelukis/ayah/aktivis pro-kerajaan sekitar Perang Dunia Kedua/datuk dalam An Artist of the Floating World, Christopher Banks penyiasat/anak yatim piatu/bapa penyayang dalam When We Were Orphans - adalah watak-watak yang melihat dunia dan segala isinya, masa lalu dan masa kini, sebagai sesuatu yang bergerak, sementara diri mereka bergerak di dalamnya sebagai satu entiti konkrit yang punya kewujudan sendiri.
Watak-watak ini mempunyai self-consciousness, kesedaran diri yang tinggi, walaupun sentiasa terpalit, terheret, dengan kemelut di sekeliling yang akhirnya tidak mampu mereka elakkan. Ishiguro saya perhatikan, amat gemar bermain-main dengan kenangan. Watak-watak garapannya seringkali dihidupkan dalam masa silam - secara imbas kembali, peristiwa lalu dikenang semula oleh watak pada hari ini, dan bersamanya dikisahkan perbandingan antara penilaian pada ketika itu dan pada waktu sekarang. Pembaca mengenal watak-watak ini lebih banyak berdasarkan peristiwa silam, kenangan, dan pemerhatian mereka, di samping penceritaan yang berlangsung pada masa kini.
Saya suka berkongsi satu 'pengajaran' (hoho skema, tapi saya tak ketemu perkataan yang lebih sesuai!) daripada setiap novel tersebut. Bukan apa, saya malas hendak mengarang ulasan berjela-jela untuk tiap-tiap buah buku, dan ketiga-tiganya tidak berada di UK bersama saya sekarang.
When We Were Orphans mengingatkan saya betapa manusia terperangkap dalam nostalgia. Saya selalu berfikir - mengeluh? - tentang masa kanak-kanak, masa remaja, yang telah berlalu pergi, yang tidak akan dapat saya gapai atau ulang kembali, walau bagaimana cara sekalipun, melainkan dalam mimpi. Masa kanak-kanak yang begitu indah, riang dan mulus, betapa saya rindu untuk kembali ke sana, sedangkan apa yang saya lihat hanyalah masa depan, hari-hari dewasa yang sarat cabaran dan tanggungjawab.
Christopher Banks menelusuri hari-hari dewasa sebagai seorang penyiasat persendirian terkenal di London dengan dibayangi oleh zaman kanak-kanaknya di Shanghai - kenangan bersama ibu bapanya yang hilang diculik sehingga dia terpaksa dihantar pulang ke England untuk tinggal bersama ibu saudaranya sebagai anak yatim piatu, kenangan sahabat karibnya Akira, yang entah masih di Shanghai, entah sudah pulang ke Jepun.
Perkembalian Christopher ke Shanghai untuk menyiasat misteri 20 tahun sudah, mencari jejak ibu bapanya, menyaksikan bagaimana dia menemui saki-baki kehidupan dahulu di merata-rata tempat, di lorong-lorong lama pasar, di rumah lama yang sudah diubahsuai oleh pemilik baru, dan pada pertemuan yang tragik dengan Akira setelah berpuluh-puluh tahun terpisah. Christopher yang bersusah payah memungut serpihan dan debu sejarah kerana ingin mengembalikan kebahagiaan pada masa lalu, disuakan dengan kenyataan bahawa nostalgia tidak akan dapat diheret untuk wujud semula di alam nyata. Apatah lagi setelah rahsia-rahsia lampau terbongkar, nostalgia itu tiba-tiba diberikan tafsiran dan konteks yang baru - yang pahit amat? - untuk difahami.
An Artist of the Floating World, pada perkiraan saya, adalah citra yang cukup cantik molek tentang budaya masyarakat Jepun sekitar tahun 1930-an dan 1940-an dalam menjodohkan anak-anak. Keluarga akan dihubungkan oleh orang tengah, dan masing-masing akan berusaha menyiasat latar belakang keluarga yang satu lagi - mengupah detektif, contohnya - untuk memastikan anak mereka dikahwinkan dengan orang daripada asal usul yang terbaik.
Masuji Ono-sensei dilanda kebimbangan tentang anak perempuannya yang bongsu, Noriko, yang masih belum bertemu jodoh. Kekhuatiran dan konflik timbul kerana wujud kecurigaan, bahawa masa silam Ono yang menjadi punca keluarga bakal tunang Noriko membatalkan perkahwinan beberapa tahun yang lepas. Ono sendiri keliru - selama berpuluh-puluh tahun dia adalah seorang yang disegani, tokoh pelukis yang terkenal, mempunyai murid-murid yang mengaguminya, dan dihormati juga dalam masyarakat sebagai orang yang bijaksana. Sekarang, dalam proses perundingan dengan keluarga yang baru, Ono berhati-hati menelusuri semula sejarah lampau untuk mengetahui apakah kesilapan sebenar yang pernah dia lakukan.
Refleksi yang menarik perhatian saya adalah ingatan Ono tentang waktu-waktu awalnya sebagai pelukis muda, berguru di bawah bimbingan seorang pelukis terkenal yang hebat, yang mana prinsip yang diperturunkan adalah meraikan keindahan yang bersifat sebentar - khasnya, keindahan kelab-kelab malam dengan wanita geishanya yang anggun. An Artist of the Floating World - pelukis untuk dunia yang terapung-apung, tidak berpijak di bumi nyata, dunia yang wujud hanya setelah matahari terbenam dan disuluh cahaya lampu yang berbalam-balam. Dunia yang menjanjikan kebahagiaan dan kelalaian seketika daripada masalah-masalah dan kegagalan pada siang hari.
Gurunya mengajar Ono untuk memesrai 'dunia' tersebut dengan pesta ria bersama para geisha dan mengundang para pemuzik, lalu mengabadikan keindahan dan kebahagiaan ini dengan teknik seni yang bermutu tinggi - sehinggalah Ono memberontak setelah melihat kesengsaraan hidup masyarakat yang selama ini tidak disedari kerana asyik berkumpul dalam kemewahan dan berhibur bersama teman-teman pelukis. Keputusan Ono untuk menggunakan berus lukisan bagi memperjuangkan nasib rakyat menyebabkan dia dibuang oleh gurunya, namun dia bangkit dengan prinsip dan menjadi pelukis yang jauh lebih berjaya. Mimpi buruk datang menghantu-hantu kemudian, setelah Jepun kalah teruk dalam Perang Dunia Kedua, begitu banyak nyawa rakyat terkorban, sehingga tokoh-tokoh yang menyokong kerajaan untuk berperang mendapat kecaman masyarakat terutamanya anak-anak muda yang kecewa dengan sejarah.
Jadi, seni itu untuk apa? Untuk meraikan keindahan atau untuk mempropagandakan ideologi?
Never Let Me Go adalah karya yang paling mengesankan bagi saya. Latar pseudo-sains-fiksyen, yang tidak mementingkan ketepatan fakta sebaliknya memfokuskan kepada kehidupan sekumpulan manusia yang terasing, begitu berlainan daripada khalayak umum, sejak kecil hinggalah dewasa, tujuan kewujudan mereka adalah berbeza sama sekali daripada orang lain. Pada mulanya saya seperti kurang faham tentang tujuan anekdot yang pelbagai diselitkan dalam menggerakkan cerita - namun segala-galanya menjadi semakin jelas, terang, dan begitu menyentap rasa, apabila semakin jauh saya mengembara dalam kisahnya. Kathy, Tommy, dan Ruth, kawan-kawan dan guru-guru mereka, menjadi begitu nyata dan mengharukan untuk saya. Ketenangan Kathy, Ruth yang dominan, Tommy yang agresif, semuanya menjadi sangat bermakna dan tidak bermakna sama sekali.
Tepatlah seperti yang disebut pada ulasan-ulasan ringkas di kulit buku - novel ini meninggalkan pembaca dengan semacam rasa yang aneh, satu persepsi yang 'baru' tentang nilai dan erti kewujudan, serta paling jelas, tentang kerapuhan sesuatu yang kita panggil 'kehidupan'. Apakah yang menjadikan kehidupan itu milik sesiapa yang mempunyainya, betapa senang pula kehidupan itu akan berakhir atau diambil begitu sahaja, dan betapa pendeknya waktu yang ada untuk seseorang mengisi erti dalam kehidupannya, sedang kehidupan itu berada dalam tangan manusia lain.
Wujudkah istilah 'tamat sebelum waktunya' untuk sebuah kehidupan pendek yang tidak jelas pun untuk apa dan untuk siapa, yang bukan milik empunya jasad dan nyawa? Oh tidak, saya tidak bercakap tentang prinsip ketuhanan di sini. Novel ini antara lain mengetengahkan persoalan bagaimanakah kehidupan yang sudah diketahui penghujungnya akan dilalui, dalam pergelutan dengan keadaan dan ketidakadilan, supaya setidak-tidaknya ia mempunyai secebis erti.
Mengingat cetera yang dipaparkan Never Let Me Go, saya tergerak mengimbas dan berkontemplasi tentang peristiwa-peristiwa hidup sendiri. Kathy dan Tommy - selepas Ruth buat selama-lamanya pergi, akhirnya - pada waktu-waktu hujung yang masih berbaki, mereka mengejar sisa kebahagiaan, dengan sepenuh harapan, moga-moga peluang yang pernah terlepas dahulu masih ada buat mereka berdua. Pencarian yang menemukan mereka dengan kenyataan, yang akhirnya membawa kepada kepasrahan - kerana hidup mereka, bukan mereka yang punya, tetapi hasil ciptaan sains yang tidak berperikemanusiaan, menghidupkan sekelompok insan dengan membunuh yang lain.
Kehidupan ini tidak panjang. Dalam memilih dan membuat keputusan, kita meniti jejambat-jejambat kecil usang, bertatih-tatih antara ya atau tidak, menerima atau menolak, antara keyakinan dan keraguan, antara curiga dan harapan. Sekitar itulah kita mungkin nampak, atau terlepas pandang, ruang-ruang peluang. Mana lebih menakutkan - peluang yang dilepaskan, atau harapan yang memesongkan?
Aku ingin mengungkapkan, never let me go.
Jangan lepaskan tanganku.
Salam.
meow~
Thursday, November 12, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
"mana yang lebih menakutkan -peluang yang dilepaskan @ harapan yg memesongkan?"
hmm...tp kalau peluang yg dilepaskan tu peluang yg baik, bukankah akan melahirkan hrpan yg memesongkan?
dibah, kawe pun baca novel 'Never let me go' ini cuti lepas, novel milik abah...tapikan impresi pertama lepas baca novel ni adalah; ' apa novel ni, pelik sungguh...tapi terfikirla jugak, apa jadi kalau hidup kita ni bukan milik kita sebenarnya, bahagian mana dalam hidup yang menjadi hak kita untuk dinikmati sebagai 'kehidupan', oh sungguh kompleks.ha, takat tu jelah pemikiranku. heheh
Mohon izin letak di website gkln (fahd)
Post a Comment