Salam,
Bilik di rumah baru ini banyak kelebihannya berbanding bilik di hostel kediaman universiti dahulu. Saiz yang tentu berganda sekali besar, katil double, meja kayu (mahogani?hehe) merah, kabinet yang cantik, permaidani merah mengalas lantai. Cuma yang kurang menarik adalah potret besar Eiffel Tower hitam putih entah milik siapa yang terpampang di dinding, almari yang 'kurang muat' untuk semua barang (kain baju la) yang mau diisi, dan..
Lampu.
Saya kurang faham kenapa orang UK ini suka amat dengan mentol kuning. Lampu meja yang dibekalkan di hostel dulu, mentolnya kuning. Berpinar mata rasanya. Langsung saya gantikan dengan mentol putih (yang payah benar dicari!), baru seronok menelaah, menulis nota, dan membaca.
Lampu utama di bilik sekarang pun, cahayanya kuning. Tambah pula ada kerudung lampu (lampshade) melingkungi mentol yang tergantung pada bumbung, bertambah-tambahlah malap suasana jadinya. Saya memerlukan bantuan lampu meja (yang mentolnya saya beli sendiri) untuk selesa belajar, membaca, mengaji al-Quran, atau hanya untuk merasai berada di dalam bilik yang terang.
Seperkara yang saya suka lakukan, memadamkan saja lampu bilik dan bekerja hanya dengan suluhan lampu meja. Separa gelap-terang, konsentrasi jadi menajam, dan adakalanya, nostalgia pun bertandang.
Di Malaysia, kampung halaman saya di ceruk Kelantan. Moden dan maju, ada Astro dan Internet (dial-up cuma, tapi ade laa). Tapi petang-petang hari, pada musim-musimnya, hujan ribut turun berderu-deru, dimulakan dengan angin kencang, pertengahannya kilat dan petir sabung-menyabung, dan... bekalan elektrik pun terputus, malam gelap tanpa lampu, televisyen, komputer atau radio.
Malam-malam begitu, umi akan mengeluarkan batang-batang lilin yang dinyalakan dan diletakkan di tempat-tempat strategik di ruang tamu. Cerahlah, tapi belum memadai untuk membaca atau menulis. Lantas sebatang lilin akan diletakkan di tempat kami adik-beradik berkumpul, membuka buku atau menyiapkan kerja sekolah, selalunya di hujung kaki umi yang berlunjur atau berbaring-baring selepas kelelahan mengajar seharian. Akan ada yang meminta ditemani ke bilik air, ke dapur, mungkin ke tingkat atas mengambil anak patung di dalam bilik tidur.
Ketika saya masih kecil, masih sangat kanak-kanak, saya mengingat hujan yang lebih lebat, malam yang lebih gelap, dan bunyi katak bersahut-sahutan. Cahaya lilin meliuk-liuk, kami bermain bayang-bayang dengan jari tangan - ah mengagumkan sekali, bagaimanakah badan yang kecil menghasilkan bayang-bayang yang begitu besar di dinding? Bentuknya pun berbagai-bagai, menyuburkan imaginasi yang entah bagus entah bukan-bukan. Kami kanak-kanak melihat jam di dinding penuh harapan, moga-moga lampu menyala dan televisyen mengeluarkan gambar semula, sebelum filem kegemaran habis ditayangkan. Adakalanya kami tidur kecewa kerana gelap sampai ke pagi, adakalanya lampu kalimantang di ruang tamu itu akan berdengung...bzz,bzz, dan cahaya terang melimpah, kami bersorak, dan berebut-rebut mau meniup lilin sehingga padam.
Rumah di kampung, satu serangan yang digeruni adalah kelekatu yang berduyun-duyun menyerbu. Petanda awal hanya satu - jika nampak kelekatu berhimpun di bawah lampu jalan di luar pagar, bersedialah menunggu 'kunjungan'. Datangnya seringkali malam-malam selepas hujan, masuk dari ruang bawah pintu, kekisi jendela, dari mana-mana saja ada ruang terbuka, serangga bersayap ini akan menyusup tanpa menunggu-nunggu, tanpa disedari. Tahu-tahu saja mana-mana lampu yang dipasang sudah dihurung kelekatu, ada yang tercabut sayap merayap di atas lantai, sementara gerombolan di luar masih berebut-rebut mau masuk.
Saya dan adik-adik akan berpestaria menangkap kelekatu. Sungguh kejam sebenarnya kami ketika itu - kelekatu yang tercabut (atau kami cabut) sayapnya, dikurung dalam bekas plastik, dan sejujurnya saya lupa apakah yang kami lakukan kepada kelekatu yang ditangkap itu kemudiannya. Namun apalah kudrat anak-anak menangkap kelekatu yang datang menyerbu - sudahnya ayah dan umi akan melaksanakan langkah kecemasan, memadamkan semua lampu, mengeluarkan besen-besen besar dan beberapa batang lilin. Besen dipenuhkan dengan air dan lilin dinyalakan di tengah-tengah, kelekatu penasaran mengejar cahaya sudahnya akan terbakar atau mati kelemasan. Bergelaplah kami malam itu, televisyen juga tidak boleh dipasang, nanti akan dihurung kelekatu. Kami akan bangun esok pagi disambut oleh bangkai kelekatu berapungan dan entah berapa ratus sayap luruh bertaburan di mana-mana.
Begitu taksub sekali ya kelekatu mengejar cahaya? Ia rela mati, terbakar dan lemas kerananya.
Mengingat semula malam-malam tidak berlampu, saya rindukan kegelapan itu. Ketika ini terlintas dalam fikiran, ayat-ayat dalam surah an-Naba' 9-10, "dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian."
Damainya malam yang gelap, sunyi dan sepi, angin bertiup menggoyangkan pucuk-pucuk pohon dan menggerakkan kepulan awan, bulan dan bintang-bintang tenang dan setia. Tidak penatkah bermandikan cahaya sepanjang masa? Bergelumang dengan sibuk-sibuk kerja, yang mana semuanya itu mustahil diselesaikan tanpa berlampu? Kita begitu bergantung dengan cahaya, dengan lampu.
Kadang-kadang, timbul rasa gentar dengan kegelapan. Tanpa seguris pun cahaya, tidak dapat tidak, hati akan bergetar, denyut sedikit bertukar rentak. Apabila memadamkan suis lampu - di dapur atau di ruang tamu - akan ada beberapa detik, seluruhnya gelap, saya tidak nampak. Tidak nampak bererti tidak punya penguasaan, tidak dapat mengawal apa-apa. Lantas saya pejamkan mata, sekarang kegelapan yang mengepung adalah milik saya sendiri, pilihan saya sendiri, bukan kerana lampu tiada. Saya kembali mengawal keadaan. Tenang, saya buka pintu, masuk ke dalam ruang yang berlampu, dan membuka mata melihat cahaya.
Namun apabila difikir-fikirkan, apa perlunya saya terlalu obses dengan kawalan? Kerana berasa tidak berupaya - perancangan yang gagal, harapan yang berkali-kali tidak kesampaian, membiarkan hidup diatur dengan bantuan orang lain - saya rasa hilang kawalan. Helpless. I'm not in control. Dan saya celaru kerana itu. Ah, bukankah kawalan itu hanyalah hanya satu ilusi? Bukankah semuanya dalam kawalan Allah sebenarnya? Mata yang saya pejamkan, konon gelap itu 'milik' saya, bergerak dalam ketentuan Allah juga.
Malam yang gelap tidak berlampu adalah waktu untuk mengingatkan kita bahawa kita sebenarnya tidak punya kawalan atas apa-apa, dan semuanya adalah kepunyaan Tuhan. Bukankah dalam doa yang dibaca di hujung ma'thurat, kita meminta "Dan janganlah Engkau membiarkan urusan kehidupanku ditentukan oleh diriku sendiri, walaupun untuk sesaat, atau masa yang lebih sedikit daripada itu." Tentu sahaja kerana kita sesungguhnya tidak mampu walau sekelumitpun untuk menentukan apa-apa, walaupun kita diperintahkan untuk berusaha, beria-ia mengawal ketentuan itu adalah mustahil, melawan fitrah, dan menyeksakan. Penyerahan, melepaskan segala kawalan, memulangkan semuanya kepada Tuhan, adalah sebenar-benar kemerdekaan.
Malam tidak berlampu adalah malam tanpa kerja, malam tanpa kesibukan. Malam yang menyelimuti untuk memberikan kerehatan. Malam yang tenang, malam yang memanggil-manggil hamba mencari Tuhan. Mencari Tuhan tidak memerlukan lampu, lilin atau pelita. Yang perlu hanya mata yang basah dan hati yang rindu.
salam,
meow~
Thursday, November 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
suka entry kakak,
sangat menggamit rindu kepada memori lampau yang "comel".
juga kupasan ttg malam yang bukan sekadar pekat gelap tanpa cahaya tapi lebih dr itu.
aiseh, x pandai berbicara.hee~~
salam dari hana, Notts.
nice one!! salam dari bumi Dublin, Ireland.. blog hopping.. rajin2, datang la singgah blog hamba.. :)
Post a Comment