Monday, April 19, 2010

Cantiknya Sabar

Assalamualaikum.

"Wanita itu mempunyai seratus macam kecantikan. Kalau tidak pada matanya, pada senyumnya. Walau bagaimana pun rupa wanita itu, tentu ada yang mampu memikat pandangan yang melihat. Dan yang paling cantik, adalah wanita yang tidak sedar tentang kecantikannya."
-kata-kata yang pernah didengar, di suatu tempat, pada suatu masa.-

***

Ketika becermin, dianjurkan untuk membisikkan doa. Memohon agar sepertimana Allah memperindahkan fizikal kita dengan sedemikian sempurnanya, Dia perindahkan juga akhlak dan tingkah laku kita. Maha Suci Allah yang menciptakan manusia, sebaik-baik ciptaan.

Baik pada lengkap anggota badan, baik pada cukup akal fikiran. Baik pada nafsu yang dikawal pada takat-takatnya, kerana imbangan antara akal dan nafsu itulah yang menjadikan manusia istimewa. Diperintahkan Allah untuk berpada-pada dalam perkara yang harus, bersegera dalam menyempurnakan yang wajib, dan menjauhi larangan-larangan yang haram.

Termasuk dalam yang wajib itu adalah menjaga aurat, dan dalam yang haram itu adalah mendedahkannya.

Meniti di atas jejambat halus yang memisahkan dosa dan pahala adalah perkara-perkara yang kurang jelas hitam dan putihnya. Syubhah? Mungkin itu terma yang sesuai, saya kurang pasti. Namun antara contoh yang muncul di ruang fikir adalah hal seumpama pakaian yang ketat atau longgar, singkat atau labuh, wajah yang berpalit mekap atau tidak, perbualan panjang di telefon antara dua insan yang bukan mahram, dan mata yang memandang ke arah keindahan lawan jantinanya - baik lelaki, mahupun perempuan.

Kita menyebut tentang "wajib memelihara batas pergaulan" dan "pergaulan bebas itu haram". Tetapi apakah definisi 'batas pergaulan' dan 'pergaulan bebas' itu? Sepanjang kefahaman dan pemerhatian saya, manusia yang berbeza berpegang kepada pengertian yang berbeza. Pengamalan manusia juga belum tentu sama dengan pengertiannya - berapa banyak antara kita yang masih melakukan apa yang diketahuinya dengan yakin sebagai haram, atau setidak-tidaknya condong ke arah kesalahan?

Dalam satu pertemuan tempoh hari, saya terkesan dengan perkongsian seorang sahabat tentang aplikasi sabar dalam kehidupan. Sabar itu, kami sama-sama bersetuju, adalah 'menahan'. Menahan diri daripada jemu mengerjakan perintah Allah, menahan diri daripada melakukan maksiat, menahan diri daripada berkeluh kesah atau marah-marah ketika ditimpa ujian, serta menahan diri daripada menggunakan nikmat Allah ke jalan yang jauh daripada keredhaanNya.

Nikmat Allah ini, tentu saja termasuk keindahan rupa paras. Kecantikan hamba-hambaNya yang dicipta sebagai wanita.


"Sabar itu, bagi saya, berkait juga dengan kita sebagai perempuan. Kita kan suka dipuji. Jadi, sebagai muslimah, kesabaran itu perlu untuk menahan diri daripada berhias dan mempamerkan kecantikan dalam situasi-situasi yang tidak sepatutnya."


Terlalu benar kata-katamu adikku.

Sabar untuk seorang muslimah. Yang mahu bertegas dengan diri sendiri kerana Allah.

Menahan diri daripada berhias dan mempamerkan kecantikan, sedangkan kita tahu jika kelihatan cantik itu orang akan suka, akan tertarik dan akan dipuji.

Menahan diri daripada bermanis-manis dan bermanja-manja dalam keadaan atau dengan individu yang tidak sesuai, sedangkan kita tahu perwatakan yang manis dan manja itu memikat. Siapa yang tidak suka jika ada yang terpikat?

Menahan diri daripada meliarkan pandangan menatap, atau mengintai, wajah-wajah atau susuk yang tidak sepatutnya, sedangkan kita tahu, tidak ada sesiapa yang akan tahu kalaupun kita melakukannya - kecuali diri sendiri, Allah dan malaikatNya. Tidak ada sesiapa yang akan tahu kalaupun hati bergetar dengan asyik yang tidak sewajarnya sewaktu berdiskusi atau bermesyuarat - kecuali diri sendiri, Allah dan malaikatNya.

Hakikatnya, bertegas dengan diri sendiri itu memerlukan sabar yang bukan sedikit. Apatah lagi jika hal yang ditahankan, disabarkan itu, adalah hal-hal 'jejambat', hal-hal 'sempadan', bukanlah yang jelas wajib dan haramnya, setidak-tidaknya pada pengertian kita yang masing-masing cetek ilmu, iman apatah lagi.

Sejuta syukur wajar dipanjatkan, jika sekarang, kita masih lagi mengekalkan identiti muslimah, atau perlahan-lahan berjaya menukar identiti menjadi 'lebih muslimah'.

Sekejap. Apa itu identiti muslimah? Tudung, mestikah labuh dan bulat? Sentiasa berjubah? Atau mengenakan warna-warna gelap dan suram sepanjang masa? Ah, saya tidak mahu membincangkannya di sini. Itu hal-hal teknikal, bukan? Jika seorang muslimah itu tahu dan sedar benar-benar prinsip asas tuntutan berpakaian dalam Islam, maka pengetahuan dan kesedaran itu akan diterjemahkan kepada tindakannya. Dalam ke luar, itu sifirnya.

Bertahmidlah jika sekarang, kita mampu mempamerkan identiti muslimah di mana sahaja berada. Lantaran tidak semua muslimat bernasib baik seumpama itu. Betapa banyak yang dahulunya berpakaian longgar dan sopan, dengan sarung kaki dan tangan di sekolah menengah, di MRSM, di kolej persediaan... tiba-tiba tampak bertukar gaya lewat laman Facebook ketika menggambar diri di luar negara. Betapa banyak pula yang leka bercinta, menjalin kasih menanti masa jinjang pelamin terbina - tanpa sedar berapa kali sudah kaki terlangkah melintas sempadan, terpijak hamparan dosa.

Allah, payahnya sabar ini.

Usah dikeluhkan tentang persepsi dan desakan masyarakat yang menghalalkan segala-galanya dengan fatwa 'tidak apa' dan 'apa salahnya'. Tidak apa lengan tiga suku sewaktu keluar bersiar-siar, apa salahnya kebaya sendat sedikit dan mencalit warna-warna mekap indah ke wajah untuk majlis makan malam. Tidak apa bercinta beberapa tahun kerana mendahulukan pelajaran dan karier, apa salahnya meluahkan perasaan mengadu masalah kepada teman lelaki.

Usah dikeluhkan mereka yang tidak mengerti. Sesiapa yang mengerti, maka sampaikanlah dengan hikmah kepada yang belum mengerti, dan bertegaslah dengan diri sendiri.

Adalah lebih baik bukan, apabila meniti jejambat halus antara dosa dan pahala ini, kita menjauh daripada dosa, mendekat kepada kesucian dan pahala. Walau apapun pengertian kita tentang perkara-perkara sempadan, saya pasti perkara yang jelas, jelas untuk kita. Tinggalkanlah apa yang ragu-ragu itu kepada yang pasti. Apatah lagi kepada insan yang mengaku memahami Islam, berikrar memperjuangkan Islam, sanggup berkorban apa saja atas nama Allah untuk menegakkan Islam, lebih-lebih perlulah bertegas dengan diri.

Wara', berhati-hati dan berpada-pada dalam melakukan hal-hal yang harus, menjauhi hal-hal yang kurang pasti atau sipi-sipi dengan dosa itu, tentu lebih baik daripada mengambil risiko untuk tergelincir kan - selagi melakukan yang demikian itu tidak pula mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada umat.

Saya teringat dialog yang diceritakan oleh adik saya baru-baru ini. Ah Azalia, si kecil lapan tahun, sudah pandai menghargai kecantikan, sudah tahu pula mementingkannya. Lantas bertanya Kak Ngahnya ...

Azalia : "Iqah, macam mana nak jadi cantik bila besar nanti?"
Afiqah : "Jadilah budak baik, nanti mesti Ja nampak cantik."

Kak Long yang mendengar cerita daripada corong telefon sewaktu menaiki tram pulang dari hospital ketawa lucu, bercampur bangga dan rindu.

Adik-adikku, jagalah dirimu, nescaya Allah akan menjagamu. Bukan sahaja dengan mengurniakan kecantikan, malah memelihara daripada kemaksiatan, daripada gangguan syaitan daripada golongan jin dan manusia.

Saya sudahi dengan terjemahan dan sedikit tafsir ayat 56 daripada surah ar-Rahman yang dibincangkan dalam pertemuan bersama beberapa orang sahabat baru-baru ini.


Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah disentuh oleh manusia maupun jin sebelumnya.

Ditafsirkan oleh Al-Maududi dalam Tafhim al-Quran,

...inilah sifat yang terpuji pada kaum wanita, mereka tidak sepatutnya bersikap biadab dan liar tanpa sifat malu. Allah, dalam menghuraikan wanita-wanita di Syurga, telah mengutamakan pujian kepada kesopanan dan kesucian mereka, bukannya kecantikan dan menariknya mereka. Wanita cantik boleh ditemui di mana-mana sahaja - tetapi wanita cantik yang keji hanya akan disukai oleh manusia yang bercitarasa buruk dan berakhlak bejat. Wanita yang mahu menarik perhatian lelaki yang jelek dan bersedia untuk ditatang oleh mana-mana lelaki yang bernafsu, tidak punya apa-apa nilai bagi orang yang mulia.


***

Dedikasi entri untuk sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah, yang mempertemukan kita sama-sama di atas jalan perjuangan ini.

Kita saling mendoakan ya. Sabar ini bukan senang - dan saya tahu, perjalanan kita semua masih jauh untuk mencapai kesempurnaan - saya sendiri, lebih-lebih jauhnya lagi.


salam,
meow~

2 comments:

Zulhimi said...

Ntah laa Dibah..... semua benda yang kau tulis ni takde kayu ukur. Susah aku nak luahkan pendapat...... Ketat seketat mana? Bergaul lelaki ngan perempuan setakat mana? Takkan jumpa classmates kat tgh-tgh Dublin tak boleh nak tegur langsung? Kalau puji setakat mana batasnya? Pls don't tell me Islam forbids honest trans-gender compliments. You know how straight fwd I am when it comes to communication.

Aku sebenarnya dah mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat dengan hal-hal macam ini i.e aku keluar jemaah.... (tak perlulah tahu jemaah mana) lepas aku sedar yang perkara-perkara ini tak boleh diukur dan diberi kata putus oleh sesiapa pun melainkan Allah dan Rasulnya. Sesat atau lurus, haram atau halal, syubhat, susah untuk kita draw a line. Maka akhirnya aku mengambil keputusan untuk kembali kepada Allah keseorangan setelah aku sedar RasulNya tiada lagi untuk memberi kata putus dan memberi kayu ukur untuk persoalan-persoalan di atas. Cuma yang tinggal hanyalah adab dan tingkah-laku yang baik apabila perbezaan pendapat dan ukuran itu berlaku.

adibah abdullah said...

Salam.

Aku tak sangka kau masih baca blog aku setelah sekian lama. Thanks Zul. I appreciate that.

Yep, memang tak ada kayu ukur. Dan aku cuba sedaya upaya, dalam menulis, untuk tak impose apa-apa 'kayu ukur' untuk menilai, siapa yang sabar dan siapa yang gagal bersabar, kecuali beberapa contoh yang aku yakin pada salah-betulnya. Hal sempadan, hal atas jambatan, memang payah nak ditentukan.

And man, never once did I say that Islam forbids honest trans-gender compliments (err Zul, aku rasa perkataan 'trans' di situ memberi makna yang dodgy, apa kata kita guna istilah 'inter-gender'..hehe).

In terms of decent communication, friendly exchanges, innocent jokes etc - I do not personally think that it is down to any external body, jemaah, usrah, name it, to regulate those. The opinions are too diverse and the individual differences numerous, it is hard to do justice.

When there is no clear-cut guidelines that we found, then it would be down to the individual to determine what feels right and what feels wrong, and this 'determination' should be based on valid knowledge and understanding. There, we've reached another stumbling block. Who determines whose knowledge and understanding is valid or not?

I remembered a riwayat said that the heart would be happy when it does right, and feels discomfort and shame when it does something wrong.

Zul, aku sendiri pun kadang-kala - selalu, sebenarnya - rasa ditekan oleh persekitaran. Jemaah, whatever, you name it. You know who and how I am. For instance, not everyone likes a headstrong young lady who goes forward and speaks her mind, however gentle and rational she may be. But I digress.

Point is, I don't feel others have a right to determine the correct way I am supposed to behave, and people may see the
proverbial hit the fan if they attempt to regulate how I think, without strong and clear justifications. Unless it is someone with authority, someone I am obliged to obey, or someone I would love too much to argue with, like a parent, or a husband. I do not see why would others be denied the same right of independence. We would all need to answer for our choices in the Hereafter, but that's another point.

Nevertheless, musyawarah dan istikharah hanya boleh digunakan untuk menentukan keputusan jika hal yang diperbincangkan itu bukanlah hal yang jelas halal-haramnya. Bagi aku, begitu juga dalam perkara-perkara 'keputusan peribadi' ini. Dan sememangnya hanya dalam hal-hal 'sempadan', hal-hal 'jambatan' ini yang kita celaru, yang kita asyik bertembung dengan macam-macam intellectual confounders. 'Who decides what is right, what is valid, do I even know what I believe is right is right, are my knowledge valid, am I an adequate judge of my own adequacy?' And so on, and so forth.

Atas dasar itulah, aku syorkan kita jauhi hal-hal sempadan ini, dan bertegas dengan apa yang sudah diketahui dengan yakin, salah dan betulnya.

But then again, apa yang diyakini itu pun berbeza-beza.

Kita masih perlu banyak belajar, kan?

=)