Saya hanya ingin bercerita tentang satu pengalaman yang mungkin kecil lagi tidak signifikan, tetapi amat terasa sebagai bukti bahawa Tuhan itu Maha Merancang dan setiap yang berlaku ada hikmahnya, yang mungkin akan terus nampak, atau mungkin ditunda-tunda hingga sampai ketikanya.
Di asrama, satu peraturan yang mesti dipatuhi adalah larangan ‘illegal wiring’ atau penyambungan elektrik secara haram ke dalam bilik. (waktu ini belum ada ‘power point’ di dalam bilik). Tetapi lumrah, peraturan dibuat untuk dilanggar. Padahnya, litar pintas berlaku sehingga blok ‘X’ (nama dirahsiakan, hehe) mengalami putus bekalan elektrik. Apabila masalah berlarutan sehingga menjelang senja, penghuni2 blok mula bimbang. Akan bergelapkah mereka malam nanti?
Saya bukanlah penghuni blok ‘X’. Tapi ada banyak kawan di sana. Dan sikap semulajadi saya yang gemar ‘menyibuk’ – atau dengan istilah yang lebih santun ‘mengambil berat’ menyebabkan saya sanggup bersusah payah mengambil tahu masalah mereka. Menemani Aqilah (yang juga bukan ketua blok atau AJK blok atau sesiapa yang berjawatan dalam blok… hanya ‘rakyat picisan’ yang terpanggil untuk memikul tanggungjawab) ke hulu ke hilir, mencari orang itu dan bertanya orang ini, sedang senja dan maghrib hampir menjadi satu, akhirnya sampai ke rumah ‘abang techart’ yang bagi saya agak ‘cute’ berwajah ‘Chinese look’. Abang itulah yang membaiki sambungan-sambungan tertentu hingga bekalan elektrik pulih seperti sediakala.
Sepanjang usaha kami itu, terdetik berulangkali dalam fikiran saya, apakah yang sedang saya lakukan ini? Apa perlunya saya bersusah-susah begitu, sedangkan blok ‘X’ bukanlah blok saya? Ketika itu, jawapan yang saya peroleh utamanya hanyalah Lillahi Taala untuk menolong orang yang berada dalam kesulitan dan memberi sokongan kepada sahabat yang ingin berbakti.
Beberapa bulan kemudian. Saya tergolong dalam beberapa orang pelajar yang tidak pulang bercuti sempena Hari Raya Haji. Rumah terlalu jauh, cuti terlalu pendek. Di Blok ‘Y’ iaitu blok saya, hanya ada beberapa orang yang tidak pulang, di tingkat bawah di ‘wing’ saya hanya ada tiga orang. Barisan bilik-bilik yang gelap memanjang dan di sekitar begitu sunyi. Warden juga rasanya tidak ada di rumah malam itu. Sementara menunggu Isyak menjelang, saya capai Readers’ Digest untuk ditatap, tiba-tiba lampu padam.
Saya bergegas keluar bilik dan merencana tindakan bersama jiran sebelah (yang juga tidak pulang), yang nampak ketakutan. Dia memang amat-amat tidak gemar dengan kegelapan, apatah lagi dalam keadaan blok ‘kosong’ begini, memang menimbulkan perasaan ‘cuak’. Teman-teman di tingkat atas juga agak panik kerana bekalan elektrik putus dengan tiba-tiba dan warden tidak ada di rumah.
Logiknya kalau saya tidak pernah melalui peristiwa membantu rakan di blok 'X' dulu saya juga akan serupa dengan teman-teman lain, terpinga-pinga kurang pasti apakah tindakan yang harus diambil dan kepada siapakah bantuan perlu dicari. Mungkin kami akan bersusah payah mengetuk rumah warden blok-blok lain (yang mungkin ada di rumah atau tidak), dan perlu melalui jalan yang lebih sukar untuk mencapai destinasi yang sama.
Pengalaman memberi panduan, terus mencari orang yang sememangnya bertanggungjawab. Dan ketika itu dengan penuh yakin saya mengajak jiran sebelah menemani saya pergi ke rumah ‘abang techart’ itu. Alhamdulillah dia ada di rumahnya dan terus ke blok kami untuk membaiki sambungan yang pincang. Maka teranglah kembali beberapa buah bilik di blok ‘Y’. Dan jiran sebelah saya tidak lagi ketakutan, walaupun rasanya dia ada berpesan, "kalau elektrik tak ada lagi terus datang bilik aku tau". Maaf N**** kalau silap catat.
Ketika itu apa yang saya fikirkan adalah hikmah kejadian bulan-bulan sudah. Ketika saya menganggap apa yang saya lakukan hanyalah berakhir di situ sahaja, malah tidak ada signifikan yang ketara, Allah menunjukkan kepada saya bahawa Dia Maha Merancang segala-galanya. Tidak perlu saya panjang-panjangkan huraian di sini kerana sesiapa (jika ada sesiapa) yang membaca tentu sudah mengerti, sepertimana satu campur satu jumlahnya dua, peristiwa bulan-bulan sudah dan peristiwa malam itu jika digabungkan akan menghasilkan nilai yang bernama hikmah.
Setiap langkah yang diatur sekarang, ada kesannya pada masa akan datang.
Kalau tidak nyata di dunia pun, rekodnya tetap ada dalam buku amalan.
Adakah kita mahu menoleh dengan sesalan atau kesyukuran apabila melihat akibat-akibat yang datang?
Mungkin pada entri2 yang akan datang, saya akan sentuh tentang impak tindakan individu kepada masyarakatnya. Insya-Allah.
Friday, June 02, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment