Wednesday, December 06, 2006

Tumbuh Terus Tumbuh, Biarkan Kami Tumbuh

assalamualaikum.

Pertembungan pelbagai idea, fikrah dan pandangan adalah lumrah yang dijangka apabila bergelanggang dalam dunia mahasiswa. Jika kita adalah mereka yang peduli, iya. Bukan mereka yang menanamkan wajah di celah-celah helaian buku dan mengebumikan fikiran dalam timbunan nota.

Belia, amnya, mahasiswa, khususnya, dan mahasiswa luar negara, lebih tertumpunya (tiada diskriminasi kepada sahabat-sahabat di Malaysia, cumanya pada perkiraan saya kami lebih banyak menelan duit, maka tanggungjawab lebih besar); diseru menjadi individu cemerlang yang seimbang. Atau individu seimbang yang cemerlang. Mana-manalah.

Nasihat jenis 1 : Seimbangkan duniawi dan ukhrawi. Cemerlangkan IQ,EQ, dan tambahan terbaru, SQ. Dalam mengejar akademik, bercampurlah dengan masyarakat.

Nasihat jenis 2 : Bernada, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana." "jangan terburu-buru membuat penilaian. jangan judgemental. JANGAN MUDAH TERPENGARUH!" "golongan !!!!!!, #####, dan @@@@@@ bahaya. hati-hati dengan mereka."

Nasihat-nasihat sedemikian banyak dihadiahkan, dihulurkan, dilambakkan, atau dilemparkan ke riba-riba kami. Daripada $$$$$$$, %%%%%% , dan lain-lain. (terpaksa disensor kerana saya takut dicekup polis-polis siber. saya penakut orangnya.)

Mudah meluncurkan kata-kata demikian, jauh lebih senang daripada meluncurnya fetus sewaktu kelahiran setelah hormon oksitosin dan prostaglandin memainkan peranan. Tetapi sekadar bercakap berdegar-degar, menyeru dengan seruan 'sampai langit ijau', hai, burung kakak tua pun tahu berbicara! Lepas tu keluar excretion dari hujung alimentary system. Hai, seronok pula menyepahkan istilah-istilah perubatan di sini.

Sekali imbas, nasihat 1 dan nasihat 2 tidak ada kontradiksinya. Saling melengkapi. Sangat waras. Apalah salahnya pelajar luar negara yang banyak amat menelan duit kerajaan diseru menjadi pelajar cemerlang yang seimbang (nasihat jenis 1) dan berfikiran matang dalam membuat pilihan serta menentukan prioriti (nasihat jenis 2)?

Habis apa pula yang kucing belang ini riuh-riuhkan?

Hanya sekali pandang, tidak ada kontradiksi. Cuba dalami, cuba halusi aplikasinya dalam realiti. Nasihat jenis 2 digunakan sebagai alat untuk menuntun kami mematuhi nasihat jenis 1 mengikut 'cara mereka'. Sekaligus menafikan matlamat yang disasarkan oleh nasihat jenis 1 , iaitu generasi intelek yang seimbang dalam segenap aspek, merdeka dan bertanggungjawab kepada masyarakatnya. Kepada umatnya.

Perhatikan analisis 'nasihat-nasihat' yang diberikan.

Nasihat jenis 2 : Bernada, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana." "jangan terburu-buru membuat penilaian. jangan judgemental. JANGAN MUDAH TERPENGARUH!" "golongan !!!!!!, #####, dan @@@@@@ bahaya. hati-hati dengan mereka."

Sebelah pihak terang-terangan menyenaraikan beberapa pihak lain sebagai pariah yang mesti dijauhi. Malah siang-siang ada antara kami yang telah dilarang daripada aktiviti-aktiviti seperti halaqah usrah. Persatuan-persatuan tertentu dilabel sebagai subversif, fanatik, anti-###### dan lain-lain pengecopan yang dilakukan dengan riang gembira. Dengan keseronokan yang serupa, mereka mengesyorkan persatuan-persatuan yang mereka senangi dan iktiraf untuk disertai tanpa sebarang logo haram ditempelkan. Tidakkah ini telah bercanggah dengan prinsip menilai orang tanpa judgemental?

Apakah autoriti 'mereka' untuk menentukan di manakah lubang, di manakah gunung, dan di manakah gaung untuk kami? Sekadar nasihat, ya, masih boleh diterima, tetapi ancaman?

Kami disuruh menyeimbangkan antara duniawi dan ukhrawi. Kalau duniawi itu lauk, ukhrawi itu nasinya. Tetapi ada antara kami yang dimomokkan untuk makan lauk tanpa nasi. Takut nanti terlajak makan nasi sampai lupa melantak lauk. Atau disuruh mencari nasi dalam periuk kari, kerana periuk-periuk nasi kononnya diletakkan racun. Kalau betul ada racun, tak apalah. Tapi kalau dilihat sendiri bahawa sesungguhnya tidak ada racun, ada 'nasi' yang mengenyangkan rohani, siapa yang hendak disalahkan kalau jiwa-jiwa yang lapar itu memberontak?

Kami diseru menjadi pelajar yang mengutamakan akademik dan menjaga hubungan kemasyarakatan. Tetapi cuba lihat kembali bahagian awal nasihat 2, "tumpukan perhatian kepada pelajaran. ingat tujuan awak berada di sana.". Ada bau-bau seruan untuk menjangkitkan diri kepada virus "Aku Tidak Pedulisme", apologi kepada Ustaz Hasrizal (http://www.saifulislam.com/). Asalkan pelajaranku tidak terjejas, mampuslah apa hendak berlaku kepada ummahku, kepada Muslim di sekelilingku, kepada Muslim di negaraku, kepada Muslim di duniaku.

'Menjaga hubungan kemasyarakatan' tidak lebih daripada bergurau senda dengan teman-teman sekuliah, sesekali menghadiri rumah terbuka, dan keluar bersukaria di panggung-panggung wayang atau pusat membeli-belah. Sesekali ke kelab malam.. Tiger Tiger di Manchester contohnya. Tidak boleh terlampau peduli kepada isu-isu umat Islam, apatah lagi melibatkan diri dengan gerakan-gerakan yang memperjuangkan Islam secara terang-terangan. Pergi usrah? Hissssh, bahayaaaa!! Nanti tak pasal-pasal jadi protege Dr Azahari Hussein. Jadi protege Zainah Anwar atau Farish Noor tak mengapa kot.

Padah propaganda yang menguntungkan sebelah pihak, bukan sahaja pihak !@#!@#!!, malah ada ibu bapa yang melarang anak-anak daripada aktiviti-aktiviti 'sedemikian'. Aduh, mak cik, pak cik, andai anak-anak tidak boleh mengikut usrah, tidak dibenarkan mengikut persatuan itu dan dihalang menyertai persatuan ini, kerana takut menjadi 'songsang', bagaimanakah mereka hendak menjadi 'manusia?' Kasihan mereka. Ingin menjadi insan 'seimbang' duniawi dan ukhrawi, ingin mengejar keseimbangan IQ, EQ, dan SQ, serta ingin memberi prioriti yang seimbang kepada akademik dan hubungan kemasyarakatan. Tetapi mereka dilarang dalam suruhan, disuruh dalam larangan. Kerana prejudis yang disemai oleh golongan yang melaung-laung supaya jangan menjadi judgemental.

Betul, sentiasa ada kemungkinan, anak-anak pelajar ini tersalah langkah. Tersilap memilih. Benar-benar menyimpang. Tetapi besar manakah kemungkinannya? Berapa ramai mahasiswa yang pulang dari luar negara dicanai menjadi sampah masyarakat, pengebom berani mati atau fasis-kauvinis anti-establishment oleh 'gerakan-gerakan' bahaya ini? Berapa ramai pula yang pulang menjadi pencanang ideologi sekularisme @ liberalisme @ pluralisme, kehilangan iman seperti hilangnya baju-baju melekap menutup badan? Dengan siapakah mereka ini bercampur gaul? Berapa ramai pula yang pergi begitu dan pulangnya pun begitu?

Semuanya bergantung kepada pilihan dan keputusan, dan sepertimana etika kaunseling psikologi, bukankah lebih molek memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang diperakui intelek dan punya asas agama yang kukuh ini untuk membuat pilihan sendiri? Berikan maklumat yang seimbang, tidak berat sebelah atau berorientasikan kepentingan pihak-pihak tertentu. Dan biarkan mereka bertanggungjawab atas pilihan mereka.

Sekadar selitan, kadar penyakit yang menyerang sistem imun manusia telah meningkat dengan mendadak sejak 1950 hingga 2000. Peningkatan ini seiring dengan menurunnya kadar kejadian penyakit berjangkit yang mencabar sistem imun. Penurunan ini berkait dengan pencegahan dan perawatan yang semakin berkesan, sehingga timbul persoalan, adakah tiadanya cabaran daripada patogen (kuman) menyebabkan sistem imun menjadi lemah sehingga diserang penyakit yang tidak berkaitan dengan jangkitan luar?

Seperti manusia, terlalu dilindungi juga tidak bagus untuk perkembangan. Apatah lagi kami remaja, darah muda yang masih panas, lekas berontak, malah jika tidak kena caranya, kongkongan melampau akan menimbulkan reaksi lebih ekstrim. Apalah salahnya berikan kami kebebasan dan pendedahan yang adil, bekalkan kami ilmu agama dan kesedaran yang wajar, dan lepas bebaskan kami mencari pengalaman sendiri. Jatuh bangun kami akan membentuk kami menjadi manusia. Kami ingin mengenal diri, mengenal Tuhan, dan mengenal dunia. Jangan bekukan kami kerana agenda pengecut dan mementingkan diri sendiri pihak-pihak tertentu.

Cuba pijak sebiji benih jagung dan menjerit sekuat hati "hoi jagung! tumbuuh laaaa!!" Atau cuba serkup anak benih jagung yang sudah bertunas, jauhkannya dari cahaya matahari. Bisikkan dengan penuh manja lagi mesra, "jagung, tumbuhlah dengan subur.." Mengikut prinsip biologi, fotosintesis memerlukan cahaya matahari. Pertumbuhan tanpa cahaya matahari yang cukup akan menyebabkan pertumbuhan terbantut, rupa yang buruk, kalaupun tidak mati layu terus. Lagi sekali, cakap yang tidak selari dengan bikin, apakah hasil yang akan terbentuk? Anak jagung tidak mampu memberontak, tapi anak manusia punya hati dan akal untuk memandu tindak..

Satu soalan untuk semua. Mengapa kita begitu sensitif apabila Islam dikutuk dan dihina, tetapi kita sendiri cenderung mengutuk dan menghina apa-apa sahaja yang berkait dengan Islam? Terutamanya kalau ia mengancam kedudukan kita sendiri. Dan kalau kita takut dengan Islam, terpulanglah kepada akal dan hati untuk menilai, duduk betul benarnya apa yang kita lakukan. Oh ya, Islam yang saya maksudkan adalah Islam yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, bukan tafsiran mufti-mufti tidak berpejabat lantikan sendiri.

salam perjuangan,
meow~

7 comments:

Anonymous said...

menarik artikel...harap nyer membuka minda mereka yg tgh hibernasi...

ALVEOLUS said...

Tepat pada sasaran. Kalau diimbas masa belajar dulu, ada juga yang datang melambakkan wang. Apabila disoal tentang apa yang mesti dilakukan pada pelajar-pelajar yang lupa usul, terlajak "open-mindedness" - jawapan yang diterima: " Yang itu pandai-pandailah kamu fikir... yang penting sekarang macam mana saya nak habiskan budget yang saya dapat ni!"
Rasa macam baru semalam je kejadian ngeri tu berlaku di hadapan mata...

Mawardi said...

Sebenarnya, sama jek luar negara dan dalam. cuma kos jek yang berbeza.
mehnah dan tribulasi tu lebih kurang sama, malah dalam negara ni lebih teruk.

Kat sana ada AUKU tak? =)

Anonymous said...

Larangan mengikuti usrah sememangnya tindakan yang kurang bernas. namun, haruslah disemat dalam dada bahawa perantauan ini kaya dengan ombak-ombak pemikiran radikal (tsunami) yang mampu menenggelamkan minda.

ini tidaklah bermakna bahawa saya menyokong tindakan untuk 'brainwash' generasi muda. Menamakan sesetengah persatuan sebagai 'sayap kanan' dan persatuan lain sebagai 'sayap kiri' merupakan perbuatan yang membanteras 'open-mindedness'. Mahasiswa/i sememangnya mempunyai semangat inkuiri yang tinggi. apa yang penting, mereka harus diberi pendedahan tentang ciri2 sebenar persatuan-persatuan ini, serta digalakkan untuk menyalurkan tenaga ke aktiviti2 yang lebih bermanfaat untuk manusia sejagat, tanpa kompromi. cth: Greenpeace etc etc.

Anonymous said...

Samira: Greenpeace.. aduh terkedu plak. teringat kekawan sekuliah dulu yg org2 greenpeace..yg rambut kaler ijau oren ungu.. baring2 tgh jalan raya kalau memprotes, yg bawa bot comey tgh laut nak halang Kapal sebesar (malah lebih besar) drp Titanic yg menangkap ikan paus...erk.. Camana pun keep up the good work to protect other beings.

Anonymous said...

harap lebih byk artikel yg macam ni.

Anonymous said...

Slipar hijau:
Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. saya bersetuju dengan saudara/i bahawa tindakan teman2 sekuliah itu terlalu radikal. namun, berbeza dengan imej yang sering dipaparkan oleh media massa, kebanyakan ahli greenpeace sebenarnya tidak begitu radikal/emosional.

tambahan pula, greenpeace bukannya satu-satu organisasi yang membela hak. banyak lagi persatuan yang ditubuhkan untuk membela hak manusia (saya sendiri lebih cenderung untuk memperjuangkan hak manusia berbanding dengan hak flora...). pada hemat saya, kerajaan haruslah menggalakkan mahasiswa/i mendedahkan diri kepada persatuan2 atau projek2 seperti ini (Volunteer in Kashmir Project etc) dan bukannya mengehadkan pergerakan mahasiswa/i kpd putera/i Umno sahaja ;)
selaras dengan topik: 'Tumbuh terus tumbuh, biarkan kami tumbuh'.
Great blog, dibah!