Monday, April 30, 2007

Empati dan Penghayatan

Assalamualaikum.

Saya rindukan Aisyah Zaatiyah, lagaknya yang mengada-ngada, tawa riangnya, tangis sesalnya, luahan rindunya, dan ikrar juangnya. Dinamisme perwatakannya yang realistik bergerak daripada seorang wanita biasa yang naif tentang gasarnya kehidupan dan dangkal tentang makna cinta, mendaki setapak demi setapak melalui sengsara dan ujian, takah-takah katarsis yang dilalui, yang mana kemuncaknya kehilangan suami belahan jiwa yang dicari-cari, akhirnya membawa Aisyah Zaatiyah mengenali hakikat cinta yang transendental, melampaui dunia fizikal yang maya. Tidak keterlaluan kalau saya bicarakan kisahnya sebagai seorang Zulaikha yang gagal ketemu Yusufnya, lantas menghampar sejadah cinta menjadi Rabiatul Adawiyah, namun suluknya tidak di gua, tapi di lapangan derita manusia, menghulur bakti seperti renjisan embun syurga.

Garapan, produksi dan pementasan perjalanan kisah cinta ini, memakan masa berbulan-bulan, lebih daripada perjalanan teknikal buat saya. Lebih daripada sekadar lelah superficial seorang penulis yang mengarang skrip untuk memenuhi tema, seorang pengarah yang mahu pelakon-pelakonnya memberi persembahan terbaik guna mempesonakan penonton, seorang pengarah muzik yang mencari muzik paling sesuai untuk membantu penghayatan pelakon dan memainkan emosi penonton. Resmi kesenian yang saya pegang sejak lama, mahakarya terbaik, penulisan atau pengarahan, adalah yang lahir daripada hati. Benar-benar daripada hati. Setiap patah kata yang tertulis, setiap lenggok gerak yang dilakonkan, biar jangan mendustai hati sendiri.

Aisyah Zaatiyah Mencari Cinta - atau nama pentasnya, Harum Cinta Aisyah - adalah suara saya. Saya meletakkan hati saya sepenuhnya dalam produksi ini, sejak skrip ini ditulis, sehinggalah tirai pentas ditutup pada malam pementasan. Kisah yang dipentaskan di atas pentas itu, saya rasakan seperti kisah saya. Empati dan penghayatan ini penting, kepekaan saya perlu pada tahap tertinggi, kerana saya ingin menyentuh hati-hati insan, dan hati akan tersentuh dengan hati juga.

Ketika Taufiq mengeluh kerana sukarnya Aisyah memahami perjuangannya, saya mengerti gelodak rasanya sebagai suami, sebagai perawat, sebagai hamba Allah yang punya tanggungjawab. Saya juga mengerti kejahilan Aisyah, penyesalannya, dan cintanya. Tulus kasih Mek yang lurus setia menemani, Mek yang sudah mengerti masinnya gula dan manisnya garam (ya, seringkali gula itu masin dan garam itu yang manis), Mek dengan kudrat dan jiwa tuanya yang menzahirkan setiap perasaan yang halus-halus dengan kejujuran yang polos. Ibu Tempawan yang redha namun masih parah terluka diburu kenangan cintanya yang dirampas tsunami, terbang melayang bersama genggaman suami yang dilepaskan sebagai harga nyawanya. Pak Menteri yang materialis-kapitalis, serta isterinya yang memaknakan cinta dengan lagak gracious di depan khalayak seperti Evita Perone atau Suha Arafat.

Setiap kali Aisyah menangis, air mata saya bergenang. Apabila Aisyah meraung ketika menyedari separuh mataharinya ditelan tsunami yang merampas Taufiq, saya turut merasakan gelapnya dunia.

Saya memahami jiwa raga setiap watak yang dipentaskan, dan saya sungguh-sungguh gembira melihat pelakon-pelakon saya berjaya mementaskannya dengan sesempurna mungkin.

Sukar saya bayangkan betapa marahnya saya apabila skrip yang saya olah seperti mengukir kulit telur, seperti memahat batuan sungai, disuruh, atau dipaksa, ubah. Walaupun sepatah perkataan, nilainya tinggi untuk saya. Ubah untuk 'menurunkan' sensitiviti kononnya. Ah, tak mengapa. Dunia ini seperti cereka juga. Sebelum kita punya kuasa, terpaksa akurlah dahulu kepada yang punya kuasa! Mujurnya pementasan Dublin mengekalkan isi asal. Ya, walaupun kebebasan bersuara itu diatur-atur 'persempadanan semula'nya oleh sesiapa yang punya autoriti, pandai-pandailah mengelat dan menyelinap, bak kata Prof Khoo Kay Kim, kalau anda sendiri yang malas membuat kajian, takut membuat penulisan, culas mencari peluang penerbitan, jangan salahkan kebebasan bersuara yang kononnya penuh sekatan!

Balik kepada tajuk asal artikel ini, empati dan penghayatan. Besar sekali nilai dua konsep ini dalam kehidupan sehari-hari, bukan sekadar di pentas seni sahaja =).

Empati, secara mudahnya, definisinya adalah meletakkan diri kita di tempat pihak yang lain. Putting ourselves in other people's shoes. Apakah rasanya andai saya menjadi dia? Menjadi Aisyah Zaatiyah? Menjadi mereka? Menjadi penduduk kampung yang disodok bulldozer dan dihentak batang-batang kayu para barua menteri itu? Dalam bidang perubatan, empati terhadap pesakit adalah satu aspek yang sangat penting. Kita perlu berusaha meletakkan diri di tempat mereka, mereka yang mungkin baru disahkan menghidap kanser, mungkin baru kehilangan anak, mungkin masih dalam proses pemulihan diabetes yang kronik. Kehadiran empati akan mendatangkan pemahaman yang tulus, yang jujur, yang akan mendatangkan keikhlasan dalam bermuamalat.

Berbeza dengan simpati yang bagi saya bersifat 'jauh', 'dari aku untuk kamu', seperti wujud 'benteng' yang menjarakkan antara si pemberi dan penerima simpati kerana simpati tidak perlu kepada kefahaman dan penghayatan yang sebenar-benarnya tentang keadaan si mangsa. Sedangkan empati lebih daripada itu. Empati adalah penghayatan tentang keadaan satu pihak yang lain, berusaha 'menjadi' pihak itu, yang akan menghadirkan perasaan yang ikhlas, tidak perlu dipaksa-paksa. Dalam perubatan empati signifikan dalam usaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pesakit mengikut keperluan mereka, untuk melayani pesakit sebaik mungkin tanpa menghakimi mereka dengan cara yang tidak sepatutnya. Dalam pementasan, empati - dan penghayatan - perlu untuk persembahan yang realistik. Yang jujur. Lakonan yang bukan lakonan.

Saya selalu berpesan kepada 'Aisyah' saya, dia bukan 'XXX'(namanya), dia adalah 'Aisyah'. Saya sangat-sangat teringat suatu malam, malam latihan terakhir kami - yang dilakukan dalam bilik dobi di tingkat bawah tanah Grosvenor Place selepas dihalau dari dewan kerana sudah larut malam dan tidak ketemu lain tempat - selepas dia meratapi kematian Taufiq untuk kesekian kalinya, saya bertanya dia. "Tadi, kau XXX ke Aisyah?!" Dia menjawab. "Aku Aisyah."

Alhamdulillah, dia benar-benar menjadi 'Aisyah Zaatiyah' yang membawa penonton berasa jelak dengan gelagatnya, ketawa dengan kenakalannya, dan menangis bersama-sama rintihannya.

Untuk mendapatkan empati dan penghayatan, perlu kenal dan faham perwatakan yang hendak dihayati. Mana mungkin saya dapat berempati dengan pesakit yang baru dikenal kalau duduk perkara masalahnya sepatah pun tidak saya tahu? Mana mungkin XXX dapat berempati dan menjadi 'Aisyah', jika siapa Aisyah, dia tidak kenal?

Persoalan ini membawa kita kepada satu persoalan. Persoalan UTAMA sebenarnya yang ingin saya tujukan buat kita semua. Kita selalu mendengar bahawa hidup ini adalah satu lakonan. Dunia ini pentas yang besar, dengan aturan skrip yang sudah ditetapkan, yang perlu kita pilih sama ada mahu melakonkan watak baik atau watak jahat, kerana kesudahannya sesudah tirai ditutup bergantung kepada pilihan kita. Ah tidak sebenarnya, bergantung kepada sejauh mana kita menghayati perwatakan watak yang menjadi pilihan kita.

Kita mungkin punya banyak wajah dalam dunia ini. Wajah seorang anak, seorang adik, seorang kakak, seorang kekasih, seorang pelajar, atau seorang doktor, ah apa-apa sahaja. Tapi esennya, patinya, dasarnya, adalah satu watak sahaja. Iaitu watak seorang hamba, yang tidak memperhambakan diri melainkan kepada Allah S.W.T. yang menciptanya dan memilikinya.

Watak dan perwatakan inilah yang akan menyelamatkan kita, di dunia dan di akhirat. Sejauh manakah kita berempati dengan perwatakan ini? Mengenali dan memahaminya, sehingga dapat melakonkannya dengan sebaik mungkin? Kenalkah kita tentang watak si hamba ini, fahamkah kita tentang perwatakannya, empatikah kita tentang perasaan dan kedudukannya, lantas persoalan utamanya, adakah kita mampu membawa wataknya? Atau kita tidak kenal..

Mampukah kita memadamkan, menyingkirkan dan melupakan segala perwatakan lain yang kita miliki, yang kita empati, yang tidak sesuai dengan perwatakan cemerlang si hamba ini? Mampukah kita menyisihkan segala perwatakan lain yang kita miliki, yang kita empati, yang dapat mengganggu atau menyekat kita daripada menzahirkan perwatakan cemerlang si hamba ini? Mampukah kita menyesuaikan perwatakan cemerlang si hamba ini dalam setiap cerita yang kita lakonkan - pelajar universiti yang hamba, anak yang hamba, sahabat yang hamba, sehingga perwatakan hamba itu berdenyut dalam setiap degup jantung dan terpancar dalam setiap gerak laku seperti melakonkan skrip yang sudah dihafaz sepenuh hati sehingga tidak terasa seperti berlakon lagi? Jika masih terasa seperti berlakon, seperti menghafal skrip yang ingat-tidak-ingat dan tersekat-sekat, sesungguhnya perjalanan masih jauh..

Satu contoh empati dan penghayatan yang mudah dalam kehidupan sehari-hari. Ketika di atas sejadah, lima waktu menghadap Allah. Alangkah sedihnya apabila ketika itulah segala macam perwatakan mahu mengambil tempat. Ketika itu terasalah diri ini pelajar yang disibukkan dengan segala macam kerja - ah tugasan menimbun, temujanji dengan tutor, portfolio yang perlu disudahkan. Ketika itu terasalah diri ini anak yang terpisah jauh daripada ibu bapanya - aduh rindunya suara emak, comelnya ketawa adik. Ketika itu terasalah diri ini sahabat yang popular - bagaimana tadi ada yang mengajak ke rumah, sebentar lagi keluar makan bersama.

Payah benar bukan untuk menghayati perwatakan seorang hamba - seorang hamba dan tidak lain melainkan hamba - pada lima minit pendek itu sahaja, lima waktu sehari semalam sahaja? Inikan pula dalam ratusan minit yang lain.

Ketika itu kalau ditanya, "Perwatakan apa yang engkau pegang tadi? Adakah engkau hamba kerja-kerjamu, hamba sahabat-sahabatmu, atau hamba Allah?" ...

Saya gerun menuliskan jawapannya.

Ya Allah, ampunilah segala dosa dan keterlanjuran kami. Bantulah kami menjadi hambaMu yang sebenar-benarnya, yang mencintai dan dicintai olehMu.

salam,
meow~

7 comments:

Anonymous said...

memang payah bernafas dalam jiwa hamba ini ya. terasa sukar pada akal & sesal pada hati, menerima hakikat kejahilan kita pada watak yg dipertanggungjawabkan. lebih-lebih lagi bila diri sendiri yg bingung-bingung di atas pentas. skrip sudah di tangan. sejak lama dahulu sudah diberi. contoh terbaik di pentas ini pun sudah diperkenalkan. juga sudah sekian tahunnya. namun masih juga belum sebati watak dalam diri, sehingga pentas dunia menyaksikan sedahsyat-dahsyat kepincangan dalam gerak pelakon-pelakonnya. aduhai sang biduan, barangkali selama ini belum dihayati sungguh-sungguh skrip sang pengarah. belum juga cukup ambil pusing tentang dia yg diiktiraf sebagai contoh terbaik. marilah, hayat masih berbaki. skrip masih ditangan. pengarah masih berkenan kita melakonkan.

Anonymous said...

benar...bukan mudah bernafas dlm jiwa hamba...teater yg pd mulanya dilihat hny sbg sebuah teater yg perlu dipentaskan dan perlu di'convey'kan maksud yg cuba disampaikan penulis...tp tidak puas...approach diubah...diri bertungkus lumus,meletak perkara lain ketepi,yakin 'kerja' yg dilakukan utk mencari keredhoanNya,usaha dan hati diletak disitu..akhirnya 'aisyah' dpt menjadi aisyah...pertolongan drAllah itu pertama2nya...nasihat dan bantuan penggarap skrip yg benar2 paham maksud tersembunyi adalah cara pemahaman disampaikan kpd 'aisyah'.. tidak lupa kasih syg dan kemanisan ukhuwah yg dirasai,semua menjd intipati kejayaan sesuatu 'kerja' itu.. puan pengarah,sungguh amat ku rindui saat kita bergala berpagi-pagian utk memberikan yg terbaik, rindu saat itu.. selesai MMLG07,perjuangan itu berterusan,walau apa sekalipon cara pilihan setiap jiwa itu. smoga inayahNya menyapa jiwa2 kita insyaAllah...seperti kata script mu,

'Sehingga setiap cinta yang kamu berikan, setiap pengorbanan yang kamu curahkan, adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah.'

JazakIllah atas peluang yg diberi utk penghayatan erti hidup dan cinta yg sebenar...manusia mungkin lupa,mungkin alpa...nasihatilah andai diri tergelincir dr jlnNya... [ bukan mudah juga utk menulis kpdmu dlm tulisan yg serious ini :)]

~salam perjuangan dan rindu dr 'Aisyah' mu~

harisNoor said...

aduhai...
betapa kumahu berada di sana menenggelamkan diri dalam suasana yang begitu manis dan indah. islam di sana begitu indah.

mengapa islam di australia tidak? aku benci dan aku kesal.

Anonymous said...

Teruskan berkarya duhai adeq.Moga Allah swt senantiasa bersama penulisanmu...inshaAllah

Akak teringat karangan Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya Fiqh Awlawwiyat/Keutamaa n (Keutamaan Tugas2 Kaum Muslimin) Satu Kajian Baru dari perspektif Al-Quran dan As-Sunnah (page 267) berkenaan kepentingan 'Penerangan dan media massa dalam mempengaruhi arus pemikiran, perasaan, sikap dan selera individu serta masyarakat', iaitu katanya;

Perhatian dan penumpuan juga mestilah diberikan kepada masalah 'Penerangan dan media massa dalam mempengaruhi arus pemikiran, perasaan, sikap dan selera individu serta masyarakat'. Saranan ini tidak boleh kita serahkan kepada orang2 yang tidak beriman kepada ajaran dan risalah Islam sebagai satu-satunya sumber pedoman bagi kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Oleh itu ada 2 tugas yang perlu dilakukan;

1. Mempersiapkan tenaga2 Muslim yang cekap, cekal dan terampil dalam bidang penyiaran, informasi, penerangan dan penguasaan selok belok media massa ..serta mempersiapkan insan2 seni Islam diperlbagai bidang; nyanyian, sandiwara, dan filem. Disini kita memerlukan orang2 yang mampu menulis ceritera berunsur pendidikan Islam dan kemudian mengubahnya menjadi sebuah skrip (scenario), dan para sutradara, pelakon-pelakon dan semua krew yang terlibat dalam pembuatan sesebuah filem.
Tugas2 seperti ini bukanlah mudah, kerana banyak halangannya sama ada dari segi syara dan lainnya. Kita wajib mencari jalan keluar yang paling sesuai dalam masalah ini, umpamanya dengan cara peringkat demi peringkat, sedikit demi sedikit namun dalam satu perancangan yang jelas demi untuk mencapai kesempurnaan pada suatu masa kelak.

2. Berusaha mengadakan pendekatan dgn insan-insan seni dan yg menguasai media massa hari ini supaya mereka lebih memahami dan menyukai ajaran Islam.

Salam sayang hanya keranaNya

ihsan_huhu said...

wah panjangnye...

amnah my. said...

salam..

awaklah ye penulis skrip 'Harum Cinta Aisyah'.. tahniah.. hasil usaha yang bagus dan berjaya..suka pementasan tu.. semoga ada lagi hasil2 karya dari orang yang kreatif seperti awak dalam membangunkan Islam..

yattie nopiah said...

salam.
pandainya semua dalam penulisan.
sampai saya x dapat nak fahami sesuatu perkataan.