Monday, June 25, 2007

Siapa dan Apa yang Pseudo?

Assalamualaikum.

Sekarang saya agak euforia, usai bicara lewat telefon hampir setengah jam dengan seorang sasterawan muda yang sudah lama - dan sampai sekarang - saya hormati dan kagumi sebagai ikon sastera, sebagai guru. Perbualan yang didasari oleh urusan rasmi sebenarnya - mengundang cikgu menjadi salah seorang pembimbing dalam satu program anjuran bersama pelajar-pelajar bekas rakan sekolej.

-mohon permisi, cikgu, saya kongsikan sedikit di sini untuk ramai-ramai ambil iktibar, kalau ada yang mahu-

Tidak dapat tidak, pelbagai isu lain turut disentuh walaupun mungkin ada yang cuma sipi-sipi disebut. Figura yang sering dikunjungi kontroversi, bersulam tawa kecil cikgu seperti mengungkapkan secebis keluhan. Ungkapan yang saya begitu persetujui, yang berkali-kali saya ucapkan kepada sesiapa yang membicarakan perihal ini dengan saya.

"15 tahun perjalanan sastera saya, adakah mereka benar-benar mengambil tahu? Baru dalam dua tahun nama saya menjadi sebutan dengan penuh kontroversi, oleh pihak-pihak tertentu yang menghentam saya. Maka saya dipandang dengan stereotaip yang begitu-begitu. 13 tahun sebelum itu, siapakah yang tahu apakah yang telah saya lalui? Perubahan dan perjalanan saya? Di mana saya dan ke mana saya?"

"Baru-baru ini saya ketemu seorang yang seperti terkejut setelah bercakap dengan saya. Wah, rupa-rupanya saya bukan sedahsyat yang diuar-uarkan itu!"

Lebih kurang begitulah cebis-cebis yang cuba saya petik, tentu sahaja bukan tepat sebiji-sebiji seperti kata cikgu, tapi insyaAllah itulah intipatinya.

Entahlah, saya belum punya cukup ilmu untuk menyatakan pendirian saya terhadap isu-isu yang 'kontroversi' yang cikgu sampaikan, polemik yang berkisar seputar nama dan pemikiran cikgu. Tapi yang saya tahu, cikgu yang 'pelik' sekarang memang berbeza daripada cikgu yang dahulu, cikgu pada waktu-waktu saya meniti bulan-bulan pertama di kolej.

Dari segi tutur kata jauh lebih lembut dan manis dengan sinisme dan sarkasme yang berpada-pada. Cara berfikir dan mengutarakan pendapat juga berlainan. Gaya tulisan, prinsip berkarya, ada modifikasinya. Tidaklah maksud saya, dahulu cikgu kurang sopan atau gasar. Tidak sama sekali. Tidak juga saya mahu mendabik dada pintar menganalisis apatah lagi menilai peribadinya. Pokok ceritanya di sini, saya yang sudah bertahun-tahun membaca dan memerhati berani berkata yang saya nampak takah-takah bezanya. Dan saya perlu mengakui yang beza itu adalah ke arah yang lebih baik, umumnya.

Saya pernah ditanya tentang cikgu. Pernah ditegur, malah ada bau-bau 'dimarahi' kerana itu. Ah, saya bukan penyokong fanatik apatah lagi pembela tanpa gaji. Jauh sekali saya mahu berkempen menyuruh semua orang berfikiran seperti saya atau menuduh semua orang yang tidak menyetujui cikgu sebagai - ah, apa-apa sahaja yang tidak-tidak itu.

Saya hanya terfikir, ya, betapa mudah kita menghukum dan menilai seseorang hanya dengan satu dua artikel daripada figura-figura yang kita agung-agungkan, apatah lagi jika disuakan sepatah dua 'bukti' yang kononnya menyokong. Kita malas membuat kajian sendiri. Kita taklid dengan 'mereka' yang membuat 'kajian' dan membongkar 'penyelewengan' dengan segala macam 'pendedahan' yang panas-panas. Atau kalau kita kaji pun, kita kaji secara sambalewa, dengan saiz sampel yang sebesar kuman dan kajian yang bertampung-tampung dengan fallacy kita buat kesimpulan tentang populasi. Aduh, kasihan guru Statistik, Business and Management, Theory of Knowledge dan Pendidikan Agama Islam kamu! (kalau anda belajar subjek-subjek ngeri inilah, kalau tidak, mungkin anda tidak boleh begitu keras dipersalahkan, sepertimana layaknya orang jahil yang melakukan kesilapan kerana kebodohannya)

Penemuan-penemuan hangat itu langsung kita sebarkan - wah, forwardkan email ini, sebarkan tentang pendedahan itu dan pendedahan ini, 'berdegar-degar' kita hebahkan penemuan terbaru kita, bersemangat kita sebarkan 'hadith' yang belum tentu sanad dan matannya! Orang itu dan orang ini kita terus hukum sebagai musuh dan seteru. Seronok sungguh berdebat dan mematahkan hujah-hujah lawan. Lebih bagus kalau dapat mengutuk orang lain sebagai bodoh, sesat lagi menyesatkan.

Ada lagi yang lebih seronok. Alangkah 'syok'nya mencerca orang lain sebagai 'pseudo' itu dan 'pseudo' ini. Pseudo-intelektual. Maka para intelektual tulen yang amat istimewa dan payah ditemui lagi mulia dan suci pun bercanda riang ria mem'babi'kan, men'-letak apa-apa perkataan mencarut di sini-'kan golongan pseudo-intelektual yang sesat lagi menyesatkan ini.

Pseudo-intelektual yang gigih membuat kajian ke sana sini, yang tidak sepatah pun mengeluarkan kata-kata kotor apatah lagi mencaci maki sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka. Yang membaca pelbagai buku, mengembara ke seluruh pelosok dunia atas nama kemanusiaan dan ilmu, yang menitiskan keringat malah membahayakan nyawa untuk mendalami satu-satu isu dan menyuarakan apa yang mereka yakini benar.

Wahai para intelektual tulen, pejuang agama, agamawan perwira, yang begitu hebat sehingga dapat menilai siapa yang pseudo dan siapa yang jitu, cuba tunjukkan sejauh mana usaha anda untuk agama dan bangsa anda? Buku apa yang sudah anda baca? Kajian apa yang sudah anda buat? Dengan siapa anda sudah berguru? Tidak mengapa, anda mungkin takut sesat kalau mengkaji tulisan-tulisan ahli falsafah Barat, jawapan-jawapan Islami pun diterima, bahkan amat dialu-alukan di sini. Besar mana pengorbanan yang sudah anda lakukan demi kebajikan manusia sejagat? Sejauh mana anda benar-benar prihatin - dan melakukan sesuatu yang signifikan - dengan isu REALITI yang melanda kemanusiaan, melanda ISLAM? Sejauh mana anda mencintai dan menghargai ilmu, tanpa menanti disuapkan? Ingat, daurah-daurah dan usrah-usrah atau (apatah lagi!) ceramah-ceramah politik tidak dikira sebagai jawapan!

Setakat mencarut dan menuduh semua orang keji, orang tak siuman di bandar Kuala Krai atau yang seronok menayang 'birthday suit' di kampung saya pun boleh buat.

-alamak, habislah, adibah abdullah dah sesat. dah jadi puak liberal. anak buah amina wadud.-

Sahabat yang saya kasihi kerana Allah,

Penatlah kalau kena buat 'disclaimer' untuk semua kenyataan, walaupun itulah hakikatnya dalam dunia yang penuh prasangka ini.

Sesungguhnya yang ingin saya sampaikan bukanlah mengiyakan apa yang tidak, atau menghalalkan apa yang haram. Mohon dijauhkan Allah. Saya hanya menyampaikan pandangan saya tentang fenomena yang bagi saya menyedihkan. Memang, para intelektual di Malaysia - dan di luar negara juga - banyak yang tidak meniti di atas jalan yang benar. Namun demikian kegigihan dan kesungguhan mereka bagi saya tetap menghasilkan mutiara. Mutiara yang perlu kita pilih, antara butir pasir, kulat, dan debu yang mereka campakkan, untuk manfaat kita. Untuk manfaat Islam dan da'wah. Setidak-tidaknya contohilah iltizam mereka dalam menambah ilmu, mengkaji dan berbakti kepada umat.

Baca buku ilmiah (bukan setakat Ayat-Ayat Cinta, Tautan Hati, dan Tentang Cinta sahaja, walaupun buku-buku inipun ada bagusnya) dan buat kerja sukarela. Buat field-work, terjun ke tengah-tengah masyarakat. Anak yatim, warga tua, ahli politik, ilmuwan, biar semuanya kita pernah rasa dan kita mengerti. Hadiri program-program bermanfaat - yang tidak melanggar aturan agama tentunya, wah letih sungguh buat disclaimer ini! - walaupun yang tidak dianjurkan oleh jemaah atau disuruh oleh naqib/naqibah. Dzatiyah, kesungguhan mencari ilmu dan mentarbiyah diri sendiri, seutuh mana kita miliki?

Sidi Abdul 'Aziz Ahmed, seorang tokoh pendakwah yang saya hadiri ceramahnya sewaktu menziarah ke Sheffield beberapa bulan lepas, mengungkapkan kata-kata ini yang masih segar dalam ingatan saya. Secara kasarnya beginilah,

"Kita hairan kenapa da'wah kita tidak menjadi. Kenapa orang tidak mahu melayan seruan kita ke arah Islam, jalan yang benar. Tapi kita lupa, untuk berkesan, da'wah perlu berlandaskan cinta. Kasih sayang. Da'wah kamu tidak berkesan kerana kamu tidak bangun malam, menangis untuk mendoakan orang-orang yang kamu da'wahkan. Menangis memohon agar Allah membuka hati-hati mereka untuk menerima hidayah, mendoakan mereka dengan penuh kasih sayang."

Sayangkah, cintakah, kalau asyik mengutuk dan mencerca? Logiknya, kalau si Alif diajak oleh Ba dan Ta, "Marilah ke jalan yang benar, hai babi, hai makhluk celaka!"
Yakinkah Alif dengan jalan yang benar yang diajak oleh Ba dan Ta itu?
Atau, "Marilah ke jalan yang benar, wahai Alif. Sesungguhnya selama ini engkau manusia yang bodoh lagi tidak berguna, pelajaran pengetahuan engkau itu semuanya sia-sia."
Kok iye pun Alif itu sesat, takkanlah diberitahu begitu depan hidungnya? Kalaupun hatinya terbuka untuk bertaubat, sedikit sebanyak keegoannya setelah dihina akan menguatkan lagi tekadnya kepada jalan pilihan asalnya.

Ataupun Ba dan Ta bercakap dengan Sin dan Jim,
"Alif tu sesat. Bodoh. Pseudo-intelektual. Buat amal kebajikan sia-sia saja. Perosak umat."
Akan sampai juga kepada Alif. Akan yakinlah lagi Alif, golongan orang-orang seperti Ba dan Ta ini, sudahlah tidak sopan, suka bercakap kasar dan mengutuk sesedap hati pula.

Dapat kan apa yang saya mahu sampaikan? Tak perlulah saya banyak-banyak berhujah tentang hikmah. Saya sendiri masih banyak perlu belajar tentang ini.

Apa sahaja usaha - da'wah salah satunya - jika diinspirasikan cinta dan kasih sayang akan mempunyai kekuatan dan ketulusan yang mengagumkan, insyaAllah.

Wan, seorang teman yang saya ketemu waktu menghadiri Projek Amanat Negara IV di London musim bunga lepas, memberi komen ini tentang berhujah dengan intelektual.

"Kau perlu berikan fakta-fakta. Kautak setuju dengan hujah mereka? Mereka menentang agama? Nah, huraikan fakta-fakta untuk menentang penghujahan mereka."

Tidak dinafikan, tidak semua isu terutamanya yang berkait dengan agama boleh diperjelaskan semata-mata dengan fakta. Agama Islam, deenul-haq, difahami dengan hati, qalb, bukan semata-mata dengan aqal. Tapi adakah ini alasannya untuk berkata sepatah dua, bahawa Islam ini begini dan begini ajarannya, kalau engkau manusia yang terbuka hatinya engkau akan nampak kebenarannya, kerana engkau ini gelap hatinyalah engkau masih buta perut akan al-haq ini, sedangkan sang da'ie (atau da'ieyah) malas belajar, malas menimba ilmu dan malas mengkaji mencari data serta fakta? Bergantung kepada "kata-kata yang benar dan berhikmah dan hadir dari hati itu lebih berkesan daripada kata-kata yang sarat berfakta".

Islam itu sesungguhnya logik. Faith that can be proved with logic, although ultimately faith has to be independent of logic. Boleh dibuktikan dengan hujah untuk mendekatkan orang kepada Islam walaupun tidak sepatutnya kebenaran Islam itu digantungkan kepada hujah dan fakta semata-mata.

Tidak kasihankah para intelektual yang hanyut kerana para da'ie malas berusaha untuk mendekati mereka? Mendekati dengan cara yang semenggah dengan intelektualiti (dan keegoan, intellectual pride tentunya) mereka?

'Da'ie' yang lebih seronok mencaci dan mencerca dalam blog, dalam laman web, di mana-mana sahaja, asalkan tidak bersemuka dengan mana-mana pseudo-intelektual yang mereka keji-kejikan.

'Da'ie' yang leka dengan alam da'wah sendiri, dalam usrah-usrah dan daurah-daurah yang menggembirakan dan menenangkan hati, mendamaikan dengan rasa diri terbenteng daripada kecamuk ma'siat di dunia luar, mengasyikkan dengan romantisme 'jalan perjuangan yang penuh onak duri', menyelesakan dengan pemahaman yang dicorakkan mengikut apa yang ditunjuki orang lain sepenuhnya tanpa berani menjelajah mana-mana 'territory' asing daripada yang biasa dilalui.

Tulisan saya ini tidak ada kaitan dengan cikgu saya, atau dengan siapa-siapa yang lain yang siapa-siapa rasa mahu kaitkan dengan saya.

Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar. Kalau tidak ada sesiapa yang terfikir apa-apa daripada tulisan saya ini, cukuplah saya seorang yang berasa terpukul dengan apa yang saya tulis sendiri.

Allah Maha Mengetahui.

salam perjuangan di alam nyata,
meow~

1 comment:

Anonymous said...

hmm.. dah lama aku fikirkan isu ini..
H.I.K.M.A.H ... sejauh mana pendakwah (atau kita sendiri) mengamalkannya?