Thursday, October 18, 2007

Mimpi Muhayra

Assalamualaikum.
Draf skrip pementasan untuk satu aktiviti yang bakal muncul nanti =)


Kelibat Zuhayra



Malam-malam, Zuhayra datang. Muhayra tidak tahu rupanya, yang ada hanya suaranya yang bercerita. Tidur Muhayra yang selalu pulas akan sedikit terganggu. Zuhayra membawa bermacam-macam cerita. Mulanya, cerita-cerita itu damai dan bening. Tentang sebuah padang pasir di tempat yang jauh, ketika seorang bonda berlari-lari mencari air untuk puteranya, lantas tendang-tendang kaki sang bayi suci memecahkan pundi Zamzam di dada bumi. Tentang Rahmatan-lil-Alamin yang diturunkan Allah dalam rupa seorang insan sempurna membawa basyirah dari langit. Tentang awan yang menjadi payung dan bulan yang terbelah langsung kembali bercantum. Tentang para wanita suci dan laki-laki mulia yang mewakafkan hidup dan nyawa untuk Allah mereka. Tentang zaman-zaman emas ketika ummah mendaki tangga demi tangga menuju kemuncak.

Muhayra tidak kisah. Cerita-cerita Zuhayra membuat dia senang sekali. Walaupun dia sudah lupa cara berwudhu'. Walaupun Ramadhan hanya ditandai oleh majlis berbuka puasa anjuran pelbagai persatuan yang kadang-kadang dihadirinya. Muhayra tahu, Zuhayra bercerita perkara-perkara benar. Muhayra seronok mendengarnya.

Sejak akhir-akhir ini, cerita Zuhayra semakin tegang. Tidur Muhayra bukan setakat terganggu, malah digegar ronta-ronta dan peluh dingin merenik di dahi. Nampak lembaga manusia berpakaian seragam aneh begitu gasar menyuraikan majlis-majlis yang aman, yang mengumandangkan puji-pujian kepada Tuhan. Kemudian nampak jasad-jasad yang dibedil, dipenjara, dan digantung, sambil meneriakkan syahadah. Nampak umat yang menangis merintih. Nampak al-Quran bersusun-susun di atas rak, tebal berselimut debu. Nampak lagi dalam lenanya itu peluru-peluru bersimpang siur, wanita-wanita yang pakaiannya direntap dan lelaki-lelaki yang perutnya dirodok besi hingga terburai. Nampak sekilas rupa seorang perempuan dengan kerudung putih kotor berdebu dan sepasang mata yang bercahaya walaupun wajahnya berpalit tanah serta darah.

Engkaukah Zuhayra?

Zuhayra mula liar, tidak lagi membataskan ziarahnya pada malam-malam hari. Siang-siang hari Muhayra mendengar teriak tangis dan jerit raung. Kadang-kadang Muhayra terlompat mendengar bunyi bom dan terjerit ketakutan apabila peluru berdesing-desing. Malah berkali-kali Muhayra nampak lembaga berkerudung putih menjeling tajam ke arahnya. Muhayra kacau tidak keruan. Kata teman-teman, dia halusinasi. Itulah, keluar ke kelab malam, telan lagi LSD! Neuronmu sudah kecamuk, sudah keliru membezakan antara dunia dan mimpi. Muhayra bantah, bangkang, aku hanya teguk bir dan wain, melentok-liuk dalam dakapan Alex dibuai irama waltz atau terkinja-kinja mengikut rentak lagu terbaru Britney, aku tidak pernah ambil dadah!



Air Mata Dunia, Air Mata Muhayra



Muhayra ingin berontak. Bosan dan benci. Kehadiran Zuhayra menyerabutkan dirinya. Dia seperti dibelenggu satu macam kengerian yang sukar diperikan. Seolah-olah dirinya bertanggungjawab atas semua penderitaan yang tebal dan pekat itu. Malah lebih menggerunkan, seolah-olah Allah yang selalu disebut Zuhayra itu sedang marah terhadapnya. Seolah-olah ancaman yang hebat sedang menantinya, lebih hebat daripada penderitaan tebal-pekat yang dipampangkan dalam mimpi dan separuh jaganya. Lebih terasa begitu apabila paparan alam perang dan tawanan-tawanan dalam penjara itu diselang-selikan dengan gambaran umat entah di mana sedang mabuk berpesta-pestaan seperti yang sering sekali Muhayra lakukan.

Aku seperti kenal siapa yang meraung-raung itu. Aku seperti tahu kenapa mereka begitu sengsara. Aku takut. Aku tak mahu dengar cerita mereka lagi. Zuhayra, berhentilah! Berhentilah ganggu tidurku. Jangan kacau siangku lagi. Aku sudah gerun hendak keluar lewat-lewat malam, nanti aku nampak kelibatmu memintas di depan cermin kereta, mujur Alex yang memandu dan bukan aku. Aku hilang minat hendak bersukaria, tangis kanak-kanak itu membantutkan riangku. Aku jadi takut, rasa bersalah yang entah kenapa. Pergi, aku tidak mahu berjumpa kamu lagi.

Zuhayra tiba-tiba muncul. Paparan mimpi Muhayra berubah, daripada bilik karaoke di mana dia nampak dirinya sendiri sedang bernyanyi sambil pinggangnya dirangkul Alex, kepada sebuah kamar hitam. Bumbungnya hitam, lantainya hitam, dindingnya semua hitam. Wanita berkerudung putih - Zuhayra - menjinjit sebuah pelita. Muhayra meluru ke arahnya, satu-satunya sumber cahaya dalam kamar serba gelap itu.

Tahu juga kamu ya, bila gelap, kamu cari cahaya.

Zuhayra tersenyum sinis.

Untuk kali pertamanya sejak Zuhayra mendatangi malam-malam dan siang Muhayra, mereka duduk berdepan dalam kamar hitam itu, pelita di sisi Zuhayra, dan mula berdialog. Malah dengan keluwesan alam mimpi, boleh sahaja watak-watak yang disebut dalam dialog mereka memunculkan diri di sudut-sudut kamar hitam itu, boleh sahaja dinding-dinding kamar hitam itu tiba-tiba memaparkan pelbagai gambar dan rupa.

Muhayra kaget, bagaimana Zuhayra tahu inci-inci hidupnya. Waktu dia kecil-kecil dahulu, ketika ibu bapanya mengajarnya bersolat. Ketika dia begitu rajin mengekori neneknya ke masjid. Begitu murah hati menghulurkan derma apabila ada yang memerlukan. Ketika kerudung warna-warni tidak pernah lekang menudungi rambut ikal mayangnya.

Zuhayra mengajak Muhayra berjalan-jalan. Menonton wayang, seperti yang Muhayra gemar sekali lakukan tidak kira waktu dan tidak kira cerita apa. Mereka tidak berjalan jauh-jauh, hanya ke sana sini dalam kamar hitam itu. Muhayra diperlihatkan kecelakaan yang menimpa umat seimannya - pelbagai rupa malapetaka, seperti yang sudah biasa dikhabarkan Zuhayra selama ini, hanya bezanya, diiringi oleh cerita dan penjelasan. Zuhayra bercerita tentang khalifah Islam yang rebah, tentang pemerintah yang menekan mengongkong, tentang dakwah, tentang Israel dan Palestin, tentang media yang berdusta. Tentang diskriminasi dan kebodohan beramai-ramai umat dunia. Yang mengaku Muslim tetapi tidak sepenuhnya Islam, tidak faham Islam, tidak mengerti mengapa mesti memperjuangkan Islam. Yang bukan Muslim (malah yang Muslim juga) menelan bulat-bulat apa sahaja riwayat bohong yang disampaikan kepada mereka.
Muhayra naik semangat. Mahu berjuang. Mahu pergi berbakti ke Palestin. Mahu membela umat Islam yang ditindas. Berkobar-kobar api semangatnya. Teringat cerita-cerita damai dan hebat yang Zuhayra pernah kisahkan dahulu. Waktu Islam gemilang dan Allah diagungkan sebenar-benarnya.

Mengapa tidak engkau jelaskan semua ini kepada aku lebih awal, Zuhayra? Aku mesti pergi menolong mereka! Aku mahu bela agama aku, Islam!

Zuhayra cepat sahaja menyimbah air untuk memadamkan api semangat yang melulu.

Ah Muhayra, apa yang kamu mahu tolong, kalau kamu sendiri tidak tertolong? Apa yang mahu kamu beri, kalau kamu sendiri tidak mempunyai? Apa kamu mahu jadi seperti humanitarian sekular yang berbakti semata-mata atas dasar manusiawi - sedangkan kamu punya aqidah yang dapat memberi nilai yang lebih tinggi kepada apa sahaja amalan kamu di dunia ini?

Lucu sekali kalau kamu galak mahu berjuang membela agama dan berdakwah berapi-api, sedangkan memelihara solat lima waktu pun tidak kamu perhati!

Muhayra terdiam. Lantas terungkailah pula segala kisah hidupnya. Dipentaskan dalam kamar hitam itu untuk Zuhayra yang hanya memerhati. Bagaimana dia mula punah rasa sejak belajar di luar negara. Jauh dari ibu bapa. Tudung dan kain semakin singkat, berkenalan dengan arak dan pub. Bercinta-cinta dengan lelaki kacak yang konon kekasih sejati. Bermula dengan menangguhkan solat hingga langsung meninggalkannya terus. Minat dan bakat menyanyi serta menari dipergunakan sepenuhnya untuk memuaskan keinginan, mencari keseronokan. Muhayra mengaku dia terlalu jauh daripada Tuhan, terlalu sarat dengan kejahilan, terlalu akrab dengan teman-teman yang merosakkan.

Muhayra, aku perlu minta diri. Hari hampir pagi. Bangunlah, Subuh sebentar lagi akan tiba. Wudhu'lah dan solatlah. Buku-buku agama titipan ibumu, bukalah, hayatilah ajarannya.

Muhayra, Allah memperturunkan kehinaan kepada umat Islam sebagai ujian. Ia juga boleh jadi hukuman, kerana begitu banyak yang melupakan dan meninggalkan Allah. Senang sekali kalau Dia mahu menimpakan akibat murkaNya kepada dunia, apatah lagi kepada seorang manusia yang kerdil? Apa kaumahu Allah menunjukkan berangNya kepadamu di dunia ini, atau di akhirat nanti yang tidak ada jalan pulang lagi?

Sungguh, Muhayra sungguh-sungguh gementar.

Muhayra, Allah Maha Pengampun.

Surah al-Buruj dan tafsirnya kedengaran. Cetera pengorbanan, ketabahan, revolusi dan perjuangan. Janji Allah yang menggembirakan untuk hamba-hambaNya yang beriman dan berani mempertahankan iman. Ancaman Allah untuk manusia-manusia zalim yang menindas orang-orang beriman dan enggan mempedulikan amarannya. Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati setiap yang terjadi.

Kaulihat penindasan dan kehinaan kepada umat Islam, bukan Muhayra? Kaumahu Islam bangkit dan mereka semua terbela, bukan Muhayra? Jangan bimbang, Allah akan menaikkan semula yang haq dan meruntuhkan kebatilan. Dan Dia akan memilih siapa yang Dia kehendaki untuk menjadi tenteraNya, melaksanakan keadilan dan membela kebenaran. Kalau kaumahu tergolong dalam kelompok yang bertuah itu, bertaubatlah Muhayra. Sucikan dirimu dan Allah akan memanggilmu.

Sudah tiga tahun Muhayra lupa cara menjadi hamba Tuhan. Subuh itu dengan suara tersekat-sekat dengan gagap dan air mata, dia menunaikan solat fardhu.

Semudah itukah Muhayra mencari jalan pulang?



Mencari Syurga



Jalan ke syurga itu penuh onak tajam, jalan ke neraka terbentang luas penuh keseronokan yang diidam-idam.

Teman-teman mentertawakan kerudung Muhayra, menutupi rambutnya yang sebelum ini berbelang-belang hitam dan perang mengikut gaya terbaru. Ketua pejabat sengaja membebankan Muhayra dengan tugas yang bukan-bukan, sukar sekali mahu mencuri waktu untuk solat. Alex memaki hamun Muhayra yang mahu memutuskan hubungan. Muhayra meninggalkan kelab malam, konsert, karaoke dan kompleks beli-belah, teman-teman meninggalkan Muhayra jauh semakin jauh.

Malam-malam Muhayra pergi mengaji, dijeling pula oleh wanita-wanita bertelekung di masjid, selama ini sibuk bermaksiat, datang ke rumah Tuhan membawa diri yang disalut kotoran? Entah ikhlas atau tidak?

Ah, Alex memujuk rayu. Muzik dan tarian, Muhayra rindu. Sukar sekali mahu bangun solat Subuh tiap-tiap pagi. Dan alangkah banyaknya puasa Ramadhan yang perlu diqadha' ganti! Muhayra sunyi. Tidak ada kawan-kawan lagi. Zuhayra juga sudah tidak lagi mendatanginya pada waktu siang, jarang-jarang sekali hadir dalam mimpi. Berubah ini begitu payah! Muhayra mula berkira-kira untuk bertangguh-tangguh. Berdikit-dikit. Lagipun hidup ini mungkin masih panjang amat lagi, Muhayra sukar membayangkan begitu lama berperang dengan nafsu dan dipinggirkan rakan-rakan.

Barangkali tidak perlu terlalu drastik dan tiba-tiba. Jahiliyah ini aku tinggalkan sedikit demi sedikitlah, hidup masih perlu dinikmati. Lama lagi mahu mati. Teman-temanku, mungkin lebih mudah mengerti. Orang-orang alim inipun selalu prasangka, prejudis dengan aku. Lebih baik aku melayan nafsu, lambat-laun nanti tentu aku bertaubat!

Seperti mengetahui gelinciran hati Muhayra, Zuhayra melawat mimpinya kembali. Kali ini perwatakannya lebih lembut, lebih rahimah, tidak setegas dahulu. Zuhayra mengerti, Muhayra memerlukan bujukan dan belaian sekarang.

Zuhayra. Lama benar tidak ketemu. Aku rindu!

Muhayra mengadu tentang perit pedihnya berubah, payahnya menampan goda dan duga. Zuhayra membelai halus, memujuk dengan pesan-pesan untuk istiqamah dan tabah dalam berubah.

Zuhayra membacakan ayat-ayat Allah dan pesan RasulNya tentang jahiliyah dan Islam yang sama sekali tidak boleh bercampur. Memberitahu Muhayra tentang Islam yang bermula dan berakhir sebagai dagang. Menyedarkan Muhayra tentang erti keikhlasan; melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah tanpa secubit peduli pun terhadap reaksi manusia. Menyabarkan Muhayra dengan peringatan bahawa sesungguhnya hidup di dunia ini seperti pengembara yang singgah, terlalu sekejap jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Menggembirakan Muhayra dengan perkhabaran tentang janji-janji Allah untuk orang-orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

Pagi hari yang baru, Muhayra bangkit dengan azam baru. Dia mahu menjadi manusia yang mendapat untung kerana bijak berurus niaga dengan Allah. Pedulikan manusia dan derita yang sementara. Dia mahu menjadi Muslimah, menjadi mukminah, menjadi solehah. Menjadi mujahidah yang membela Islam dan membawa umat kembali kepada fitrah.

Pintu diketuk. Muslimah yang selalu menjegilnya di masjid. Datang meminta maaf dan mengajaknya berjemaah Subuh bersama-sama. Ukhwah fillah. Dan oh ya, kata mereka, nanti akan ada program khas untuk mendekati dan membimbing gadis-gadis bermasalah di ibu kota. Juga nanti akan dianjurkan rombongan sukarela membawa misi dakwah dan kemanusiaan ke Darfur di Sudan. Mahu ikut, Muhayra?


salam'alaik,
meow~

No comments: