Assalamualaikum.
Suara Sutera - sebuah antologi cerpen yang saya dapat sebagai cenderahati sewaktu melawat Dewan Bahasa dan Pustaka hampir enam tahun lepas - oh rasa dah tua sekarang =( - mengumpulkan cerpen tulisan para pengarang mapan dari Thailand dan Malaysia. Uniknya, setiap cerpen dipersembahkan dalam dua versi, satu dengan tulisan rumi, satu lagi dengan aksara Thai.
Karya sastera (yang tulen, bukan yang celup-celup) akan menggambarkan latar budaya dan pemikiran masyarakat setempat, kerana itulah mengkaji buah tangan penulis-penulis ternama dunia bukan sahaja menjanjikan plot yang hebat dan gaya bahasa yang elegan, tetapi juga menyediakan pintu masuk kepada dunia-dunia yang pelbagai warna.
Salah sebuah cerpen dalam antologi Suara Sutera - maaf saya lupa tajuknya - menceritakan kisah dua orang pengemis tua. Premis yang mudah, kisah kehidupan sehari-hari sepasang suami isteri yang sudah lanjut usia, si suami berkaki tempang dan si isteri bermata juling, menyara hidup dengan meminta sedekah. Mereka duduk di tepi jalan, si suami bernyanyi lagu-lagu tradisional sementara si isteri bermain simbal mengiringi nyanyian itu. Seperti cara wayang gambar memaparkan babak-babak beremosi yang halus untuk menambahkan kompleksiti watak dan menyentuh hati penonton, begitulah pengarang menukilkan bagaimana pasangan
pengemis itu berusaha memberi sedekah makanan kepada sami dengan harapan untuk mendapat berkat seperti amalan rata-rata penduduk setempat (ironi, kerana nasi yang diberikan itu juga adalah yang disedekahkan oleh orang lain kepada mereka). Bagaimana pada waktu tengah hari, si suami memayungkan isterinya dengan topi buruk dan terus bernyanyi riang di bawah panas terik. Bagaimana kebahagiaan mereka dikontraskan dengan sepasang suami isteri lain - tauke kaya yang sudah tua, gemuk, hitam dan pendek bersama isterinya yang muda dan cantik tetapi kelihatan sungguh muram.
Ah, saya memang selalu melalut. =P
Yang saya mahu kaitkan di sini adalah babak bagaimana sekumpulan penulis dan pelukis yang sering berkumpul di sebuah kedai kopi, suka sekali melihat pasangan suami isteri ini. Bermacam-macam inspirasi yang mendatangi para seniman. Ada yang mahu menulis novel tentang golongan miskin yang tertindas, ada yang mencadangkan grafik menarik untuk kulit hadapannya, ada pula yang berangan-angan mahu melukis si isteri bermain simbal di bawah pokok sena sewaktu cahaya matahari petang keemas-emasan menampakkan perwatakannya seumpama permaisuri.
Seniman ini paling terpukau dengan kemerdekaan dan kebebasan yang dikecapi oleh pasangan pengemis. Hidup miskin yang memisahkan kedua-duanya daripada sebarang keterikatan kepada dunia begitu mempesonakan. Tidak perlu bersusah payah bekerja dan memburu gaji, risau dengan kenaikan bil elektrik, bil air, atau harga barang. Mandi dengan hujan atau paip awam yang percuma, sementara malam-malam hari berteduh di bawah pondok buruk daripada cantuman kertas-kertas dan zink terbuang. Dunia yang sibuk, kapitalisme dan materialisme, kesesakan lalu lintas, pergolakan politik, semuanya tidak mengganggu kehidupan langsung. "Kalaulah aku boleh jadi miskin walaupun sehari," lebih kurang begitulah keluhan salah seorang seniman yang terpesona itu.
Kelompok seniman yang memilih untuk hidup bergelandangan ada yang disebut bohemian.
Golongan ini tipikal berpenampilan selekeh, hidup berpindah-randah atau dalam komuniti yang di luar konvensi sosial semasa, sambil menghasilkan karya-karya yang selalunya anti-arus-perdana, melawan mainstream. Mungkin gaya hidup sedemikian adalah protes atas establishment yang sarat ketidakadilan dan penindasan (seperti Sham Rais yang memilih untuk hidup relatif susah kerana tidak mahu menyokong sistem ekonomi yang dianggapnya kapitalis), mungkin juga seniman-seniman ini mendambakan kebebasan daripada tambatan-tambatan yang menghalang ekspresi (ancaman majikan, tekanan pemerintah, kekangan norma sosial, kesibukan bekerja makan gaji). Entahlah, saya tidak tahu. Saya belum membuat kajian dan pembacaan mendalam tentang seniman bohemian ini. Cuba tengok Wikipedia, artikel bertajuk Bohemianism.
Keterikatan dengan dunia selalu membuat kita berasa lelah. Bosan, menyampah, penat, benci, rasa berkarat, berat, mahu tinggalkan semuanya! Mungkin itu semua lebih terasa bagi para seniman yang sensitif dan romantik (periksa balik definisi romantik dalam artikel lepas, hehe). Sama juga barangkali dengan para agamawan fakir (dalam hampir semua agama golongan ini wujud, dalam Islam sering dilabel 'sufi' - abaikan tepat tidaknya label itu) yang memilih hidup terasing atau merempat. Mahu memutuskan rantai yang mengikat diri kepada dunia dan membebaskan diri daripada segala keserabutan. Mahu bersatu dengan alam, berserah kepada takdir, atau jika dipandang daripada perspektif religius, mahu berdua-duaan dengan Tuhan dan membebaskan jiwa untuk mencapai maqam spiritual yang lebih tinggi daripada orang awam yang sehari-harian bergerak dalam rutin yang membekukan.
Tapi...
Bagaimana dengan umat yang merana? Ada yang kelaparan, ada yang terkedang sakit tidak ada siapa mahu (atau mampu) ubatkan. Ada yang 'sesat dalam cahaya' di tengah kota. Kesedaran tentang masalah ini dengan sendirinya mendatangkan tanggungjawab untuk melakukan sesuatu. Ya, Tuhan melihat semuanya, Tuhan tahu semuanya, dan Tuhan tidak memerlukan kita untuk membantu Dia menyelesaikan masalah. Tetapi Dia tidak akan menjadikan sesuatu dengan sia-sia, dan adanya kebobrokan dalam masyarakat adalah sebahagian daripada kebijaksanaanNya dalam menguji manusia, baik yang menderita mahupun yang berkuasa, baik yang buta tersesat mahupun yang cerah melihat. Dalam konteks realiti hari ini, umumnya, mencari syurga tidak cukup dengan berzikir di dalam gua sementara umat di luar menjadi porak peranda.
Itu alasan yang mulia. Noble. Seperti seorang pelajar yang mengaku memilih bidang yang sukar dan mencabar (seperti perubatan..haih) kerana mahu berbakti kepada manusia sejagat (sambil membetulkan niat supaya tidak mengutamakan prestij dan harta benda yang akan bergolek datang). Seperti seorang pelajar yang memilih untuk berdiam diri daripada melontarkan apa-apa kritikan atau tindakan yang mendatangkan risiko kepada pengajiannya, dengan alasan mengutamakan pengajian dan ijazah yang bakal diperoleh untuk berbakti kepada masyarakat 'apabila tiba waktu yang sesuai nanti'. Seperti seorang pelajar yang menjustifikasikan kecenderungannya kepada keuntungan dan harta benda yang bakal diperoleh selepas bekerjaya, dengan menyatakan bahawa kekuatan ekonominya nanti akan digunakan untuk membela agamanya dan membantu orang-orang yang memerlukan.
Tapi...
Mungkinkah sebenarnya apabila kita tidak mahu melepaskan kesenangan dan kemewahan hidup, alasannya adalah semudah "Aku tidak mahu melepaskan kesenangan dan kemewahan hidup" sahaja. Kita terpesona dengan kehidupan manusia yang bebas daripada ikatan duniawi - manusia-manusia yang zuhud dan tenang dalam kemerdekaan mereka sementara kita terperangkap dalam the rat race. Kita ternganga mendengar cerita-cerita keunikan, keanehan, dan kebijaksanaan mereka. Malah sekadar kedamaian hidup berladang di perkampungan Amish atau tinggal di rumah panjang Iban dalam dakapan alam semulajadi sudah cukup mengkhayalkan. Lantas kita berangan-angan mahu menjadi begitu juga, tidak terikat dengan dunia, mesra dengan Tuhan, aman dalam keagungan spiritual, dan esok paginya kita bangun dan begitu sukar melepaskan bantal untuk menghadapi dunia yang melelahkan. Bantal dan tilam tiba-tiba menjadi terlalu indah untuk dilepaskan, dan kelihatan seperti imbalan yang berbaloi untuk terus menghadapi kacau-bilau dunia.
Kita sebenarnya takut melepaskan kesenangan dan kemewahan yang ada, bukan kerana kita tidak mampu berbakti dan berbudi tanpanya. Para sahabat Nabi S.A.W., Mahatma Gandhi, dan Mother Teresa, berjuang dan berkorban dalam kehidupan yang ala kadar, malah sampai ke tahap papa kedana. Dalam banyak perkara, kita masih dapat menyumbang sekian-sekian banyak kepada masyarakat tanpa perlu menjadi kaya-raya atau hidup senang. Kita sebenarnya takut melepaskan kesenangan dan kemewahan yang ada, kerana kita tidak mahu kehilangan nikmat itu. Hatta kalau dengan melepaskan dunia itu dapat membeli syurga pun, kita keberatan atau lebih senang disebut tidak mahu.
Salahkah?
Tidak salah mahu bergembira dengan kurniaan Allah, asalkan tidak melampaui batas. Fitrah manusia itu menyenangi keelokan dan kekayaan. Tapi batasnya di mana ya... itu kena cari.
Reality check. Mari realistik dalam membezakan impian dan khayalan, realiti dan ilusi. Mengakui bahawa kita tidak akan selesa kalau tidak dapat makan dan tidur yang cukup, malah merengus-rengus rimas kalau tidak dapat mandi atau menukar pakaian dalam setiap hari. Kebebasan daripada belenggu dunia itu sungguh-sungguh indah, tetapi fasa transisi yang menuntut tajarrud daripada semua kebiasaan dan kemahuan nafsu itu terlalu sukar untuk ditempuh oleh kebanyakan orang - oleh kita. Untuk berjaya melaluinya dan come out of the other side unscathed and glowing, memerlukan kekuatan fizikal dan spiritual yang terpimpin, kalau tidak lain pula jadinya. Kebebasan tidak terpandu, melanda mereka yang telah mencubanya secara impulsif, seperti golongan seniman bohemian di Barat, golongan hippies dan flower people, membuka ruang seluas-luasnya untuk seks bebas, arak, dadah, pornografi dan segala macam telatah cabul atas nama seni dan kemerdekaan berekspresi.
Mari realistik dalam merancang ruang-ruang mana yang terbuka untuk kita berbakti, dan setakat mana pengorbanan yang kita mampu (mahu) berikan. Setabah mana kita sanggup berusaha mendidik diri agar takat pengorbanan itu meningkat seiring dengan bertambahnya pengalaman dan usia.
Mari jujur dengan diri sendiri, atas sebab apa sebenarnya kita melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu, supaya tidak menjadi seperti pungguk yang menipu diri sendiri, mencari bulan di puncak tiang lampu, sedangkan bulan yang sebenar terselindung di sebalik bangunan-bangunan tinggi di tengah bandar raya. Benar, bulan yang tinggi itu hampir mustahil untuk digapai sang pungguk, tetapi setidak-tidaknya ia mengharapkan sesuatu yang jelas dan pasti.
(Perkataan 'kita' dalam tulisan di atas boleh sahaja digantikan dengan 'saya'... mungkin saya sahaja yang sibuk berangan-angan dan menipu diri lantas digesa oleh sub-conscious mind untuk menulis artikel ini untuk menyedarkan diri sendiri.)
meow~
Bulan di Puncak Tiang Lampu
Lampu-lampu yang bertiang
adalah bulan dan bintang
untuk angkasa malam yang sesak
dengan besi dan batu menara.
Penunjuk arah di setiap simpang
timur, utara, barat, selatan
masing-masing mendakwa
arah yang ditunjukinya kaya warna-warna
di sana bumi tidak merekah
tiada sesiapa akan menemukan debu
taman dan tasik yang dijanjikan
tidak akan hangus dibakar waktu
benar, ini bukan palsu!
Kita merayau-rayau mendamba air
yang dijanjikan di seberang padang pasir
sepatu sudah terhakis
keringat kian habis
sejauh mana lagi
mahu mencari
sudah terlalu penat
hati mohon pulang
kaki mohon berhenti.
Kerana papan tanda di simpang-simpang
telah berjanji
akan ada takungan embun di hujung gurun
kita terus begitu
seperti pungguk punah rasa
mencari bulan di puncak tiang lampu.
adibah abdullah
Manchester, 12 Mei 2008.
Saturday, May 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
haha... I always think most of the stuff i wrote is subconciously to remind myself or others but I made it as such that it sounds general. People who don't know the context of my writing will not able to replace those 'kamis' with 'sayas', and 'anda semua' with 'anda'.
Post a Comment