Saturday, January 03, 2009

Dari Manchester ke Trafalgar Square

Assalamualaikum.

Jam 2.37 pagi, saya baru selesai menghirup semangkuk sup panas dan masih terbatuk-batuk. Badi musim sejuk, menyampuk seorang demi seorang teman, rupa-rupanya saya juga tidak dapat mengelak. Apatah lagi selepas melaung sehabis daya berdemonstrasi di London siang tadi, saya bersyukur masih punya suara!

Berita paling hangat sekarang, bagaimana Israel tidak teragak-agak mengganyang warga Palestin di Gaza tanpa sedikitpun rasa malu apatah lagi bersalah. Sebagai masyarakat dunia yang prihatin, walaupun upaya tiada untuk menggalas senjata menghunjam peluru ke arah kereta-kereta kebal Yahud di sana, kemarahan dan desakan agar pengeboman dihentikan, agar UK berhenti menyokong Israel baik secara langsung mahupun tidak langsung dizahirkan melalui kempen dan demonstrasi. Demonstrasi diadakan di merata-rata tempat di UK, di mana seruan yang sama, bendera yang sama, dan poster-poster dengan gesaan yang hampir sama dicanangkan kepada umum. Di Manchester, candlelight vigil telah diadakan di depan BBC Oxford Road setiap malam sejak seminggu yang lepas.

Barangkali kemuncaknya hari ini, apabila demonstrasi kecemasan besar-besaran peringkat kebangsaan (national emergency demonstration) diadakan di London. Serentak pada waktu yang sama diadakan juga demonstrasi besar-besaran di beberapa bandar di UK, antaranya Manchester dan Sheffield. Saya dan dua orang teman - Afnizar dan Diana - memilih untuk ke London.

"Aku tunggu bas 10 minit tak datang-datang, jadi aku berlari aje."
"Walaupun demam tak leh bangun, akak tetap nak pergi jugak."

Seawal jam 7.25 kami telah berada di hadapan Student Union Oxford Road bersama penggerak-penggerak Action Palestine dan warga Manchester lain yang mahu ke London. Saya nampak Dr Asad, lantas bertegur sapa.

"I finished work quite late last night, but this is important."

Bas menerjah pagi, matahari perlahan-lahan terbit, menampakkan hamparan padang rumput, bukit-bukau dan pokok-pokok berdaun jarang yang diselaputi fros. Kabus tebal menjadikan alam putih seputih-putihnya. Apabila hampir tiba ke destinasi, John, lelaki berkaca mata berambut mousy brown yang lemah lembut apabila bercakap (tetapi masyaAllah begitu lantang memimpin laungan demonstrasi) bergerak dari satu baris ke satu baris kerusi, memberi nombor telefonnya dan nombor Nasreen untuk dihubungi apabila sampai waktu pulang nanti, supaya tidak ada sesiapa yang hilang atau tersesat. Matahari semakin tinggi, alhamdulillah, cuaca begitu indah hari ini. Kami solat zuhur dalam bas. Terasa ada yang mencuit bahu, saya terdengar suara bertanya "What are you doing?" tetapi senyap begitu sahaja apabila tiada respon daripada saya.



Embankment. Bergerak turun dari bas, menuju ke tempat berhimpun sebelum mula berarak ke Parliament Street dan seterusnya Trafalgar Square. Matahari memancar terang, hangat. Rasa demam hilang sekejap.




Orang sudah ramai berhimpun. Poster-poster sudah mula diangkat.




Saya suka sekali melihat bendera yang berkibar-kibar itu.




Agak membanggakan, taiko-taiko dari Manchester antara yang memulakan laungan. Yang membelakangkan kamera itu Tanzeel, sangat aktif dalam kerja-kerja AP di sini. John di hadapannya. Selepas berbincang beberapa ketika, John memulakan laungan, dan disambut padu oleh pemuda-pemuda di sekelilingnya sebelum disahut beritma oleh demonstran di sekeliling.

"1..2..3..4.. occupation no more!! 5..6..7..8.. Israel is a terrorist state!!"
"Baghdad, Beirut, Ramallah, Gaza!! Globalize the intifada!!"
"From the river to the sea, Palestine will be free!!"
"Free..free.. Palestine!! Down..down...Israel!!"

Berada hampir dengan centre of attention demonstrasi, kami bertiga (saya, Afnizar, Diana) tentu sahaja bersemangat sekali (walaupun kami bertiga sebenarnya batuk dan sakit tekak). Teknik voice projection digunakan sepenuhnya. Bukan senang nak melaung selama +/- sejam tanpa henti jika menggunakan teknik yang salah. Silap-silap boleh rosak anak tekak (larynx, untuk sesiapa yang fanatik dengan istilah perubatan)










Subhanallah, kanak-kanak ini sungguh comel! Di atas bahu ayahnya (barangkali), dia turut menyahut kata-kata semangat yang dilaungkan. Saya bersusah payah cuba menyelit di celah-celah orang ramai untuk mengambil gambarnya pada permulaan demonstrasi, tetapi tidak berjaya. Rupa-rupanya apabila perarakan bermula, mereka berdua berjalan betul-betul di sebelah saya! Apa lagi... tapi gambar ini bersifat curi-curi kerana takut dijerkah oleh si ayah yang berwajah garang itu. Ini adalah gambar yang paling iconic bagi saya, untuk mengingati demonstrasi hari ini.




John, Tanzeel dan beberapa pemuda lain bergilir-gilir memimpin demonstrasi. Tiba-tiba John mendapat pembesar suara entah dari mana... maka semakin bersemangatlah laungan yang dihalakan kepada orang ramai. (Sekali, muncung pembesar suara itu terhala kepada saya, hampir terjatuh dibuatnya.)

Selepas sekitar 10 minit mula bergerak, kedengaran laungan yang kami bertiga sahut dengan berkobar-kobar.

khaibar, khaibar, ya yahud!
jaisyu muhammad soufa ya'ud!

Namun demikian, laungan itu hanya sekali sahaja. Takbir yang kadangkala kedengaran terpacul di sana sini juga tidak bersahut.

Orang putih tak faham, kata Diana.
Orang putih rasa racist, fikir saya. Yelah, kita kena hati-hati - yang kita kutuk adalah Israel, Zionis, bukan Yahudi keseluruhannya. Kalau didengar oleh orang yang tidak faham konteks, salah faham pula jadinya nanti. Ada benar yang sangat besar di situ, walaupun Yahudi yang mulia terlalu sedikit jumlahnya. Lagipun, isu Palestina ini dilihat umum - khalayak bukan Muslim - sebagai isu kemanusiaan, bukan isu Islam. Untuk mendapat sokongan tidak semua perkara sesuai untuk dizahirkan kepada semua, bukan?

Apabila berarak beramai-ramai ke arah Parliament Street, saya terasa berada dalam lautan manusia yang sangat besar. Suasana sesak, kami bertiga bersusah payah untuk memastikan tidak terpisah. Laungan-laungan bersemangat yang padu bergema, melantun-lantun dan disebarkan udara. Bendera dikibarkan, poster-poster diangkat dan dijulang. Entah kenapa saya tiba-tiba diserbu rasa sebak. Hanya ini yang mampu kami lakukan... beribu-ribu manusia yang hanya terdaya berhimpun dan berteriak menuntut keadilan dan kebebasan, tetapi kami melakukannya sepenuh hati.


Orang ramai yang tidak menyertai demonstrasi berderet-deret menjadi penonton. Semoga hati-hati mereka tersentuh untuk turut bertindak, melakukan sesuatu.




Wanita di tengah itu begitu berapi-api melaung sambil menjulang sepanduknya. Yang paling menarik perhatian saya adalah rupa parasnya yang Mongoloid, seperti orang Asia Timur, atau dengan istilah lebih ringkas, seperti orang Cina. Maaf kepada rakan-rakan berbangsa Cina, saya jarang-jarang sekali melihat mereka - baik yang dari Malaysia mahupun rakyat tempatan - melibatkan diri dalam demonstrasi, mana-mana program pro-Palestine atau anti-perang. Sehingga melihat satu dua wajah Cina di sana sini begitu mengujakan.




Di bawah jambatan (landasan kereta api). Geseran roda kereta api yang menenggelamkan laungan kami seperti ingin turut meneriakkan pembelaan buat Palestina.





Superman?






"Cinta dalam landasan perjuangan." (bukan kata-kata saya)




Kami berdemonstrasi di hadapan bangunan Parlimen. Ada upacara membaling kasut.





Saya rasa umurnya belum sampai 15 tahun. Mata hijau gelapnya adalah antara yang tercantik pernah saya lihat.







Diana dan Afnizar. Teman seperjuangan. (Muslimat bukan 'hanya' sayap kiri.)


Kami sampai di Trafalgar Square sekitar sejam selepas demonstrasi bermula. Manusia melaut. Bersesak-sesak di dalam dan berderet-deret di luar. Mencelah-celah mencari ruang, akhirnya Diana memanjat benteng dan masuk ke dalam dataran, sementara saya dan Afnizar terkial-kial di luar, akhirnya menemui lorong masuk yang tidak perlu panjat-memanjat. (Moral kepada saya : Lain kali kalau pergi demo jangan pakai skirt.)









Cool.



Di mana-mana sahaja boleh solat. Satu pemandangan yang sangat menyentuh (dan menggetarkan?) hati, menjelang waktu Maghrib, ketika kami bertiga sedang terkejar-kejar mencari bas di sepanjang benteng Embankment, nampak sekumpulan Muslim (agak ramai) sedang solat berjemaah di bawah sana di tepi tebing. Muslimah di saf belakang semuanya berpakaian serba hitam, Muslimin (rasanya beserban) memenuhkan dua saf hadapan. Kelihatan begitu yakin dan teguh mereka menyembah Allah beramai-ramai, dan saya yakin ketika tangan mereka ditadahkan di pertengahan solat, qunut nazilah sedang dihantar ke langit.




Mak cik yang kreatif dengan payung dan helaian maklumatnya ini mula-mula meragukan kami - err dia ni sokong siapa sebenarnya? Tetapi setelah membaca betul-betul kertas yang bergantungan itu barulah kami faham, rupa-rupanya dia bersama para demonstran hari ini. Seingat saya pernyataan yang ditayangkan itu mempersoalkan Perjanjian Balfour, yang antara isinya adalah memelihara hak-hak penduduk asal walaupun setelah Israel ditubuhkan. Kerana itulah ada persoalan retorik "Was The Holy Land Empty Before Israel?" (sampai Israel berbuat sesuka hati kepada penduduk asal di sana iaitu rakyat Palestin - penjelasan kepada yang kurang faham).

Kami bertolak pulang sekitar jam 5. Ada demonstrasi yang diteruskan di hadapan kedutaan Israel bermula jam empat - tetapi kumpulan Manchester terpaksa pulang lebih awal. Khabar yang saya terdengar daripada rakan demonstran yang sibuk memeriksa berita-berita Internet lewat telefon bimbit selang dua tiga kerusi dari tempat saya duduk, ada peristiwa kurang enak yang berlaku di sana.

InsyaAllah, Isnin ini ada perjumpaan di depan tangga Student Union Oxford Road jam 5.30 petang untuk membincangkan usaha mengadakan Emergency General Meeting. Depan tangga SU Oxford Road, jam 5.30 petang hari Isnin, 5 Januari 2009, wahai warga Manchester yang prihatin. Polisi yang mahu digubal tentunya berkisar seputar Palestina-Israel - isu yang tidak pernah sepi daripada kontroversi di bumi Manchester ini. 1 000 tanda tangan diperlukan untuk mengadakan General Meeting mengejut ini, dan matlamat yang diberitahu John tadi, kami berharap ia dapat dikumpulkan dalam tempoh 3 minggu. Perjumpaan Isnin nanti adalah untuk mengatur strategi dan memberi penjelasan kepada orang-orang yang berminat untuk terlibat.

Perjuangan bukan sekadar melaung, berarak dan memegang lilin di depan BBC, tetapi itu jauh lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa, apatah lagi mengambil peduli.

meow~

8 comments:

Anonymous said...

teruskan perjuangan walau bukan dengan mata pedang!

Anonymous said...

( Muslimat bukan 'hanya' sayap kiri.) hehe... abis tu? tulang belakang yer sahabat? ;)

Nway, panjat benteng? kantoi lah 'keganasan' yg berlaku...hehe.. Nway dear, nice entry!

Yg gamba suami isteri berdemo tu insyaAllah satu hari sister...satu hari nanti.. ;) hehe

syafakIllah..

p/s diri ku dh panas sedikit.. Bi iznillah, telan sebiji dua paracetamol smoga xberpanjangan.. ;)

apunpital said...

good luck sis!

Fi sabilillah - dengan Allah

imakubex said...

Bismillahirrahmanirrahim,

Muslimat menjadi sayap kiri. What is the definition of it, anyway? If we are talking about birds, the without a left wing then flight isn't possible. If its an airplane, it is possible to fly the plane without a left wing, but it won't be that stable. Hence, I disagree on the notion of a left wing having a sort of backstage role.

:)

With regards to Gaza, I do think we need a stronger lobby. The Israeli lobby is very strong indeed, and though demonstrations like this are very good, we need to plan on how to utilize our strength to lobby. We underestimate our own ummah; we have the ability to do so much more. But we do need to plan, and that needs to start now. Most of us don't think past our degrees, which is fine and all, but some of us do need to think about it seriously.

Anyways, it was quite a good demonstration. There will be, as is told, another one this week. Lets keep the pressure on, insyaALLAH.

And congratulations on coming. It is quite an effort to come to London and demonstrate. I know a lot of Londoners who didn't even bother.

:)

Wallahua'lam

iman said...

aku suka ayat last ko

Taufik said...

Aku join demo senyap je, tak reti nak memekik (tetapi bersemangat tengok orang lain memekik). Aku lagi suka menitiskan air mata, tetapi berdemo, apekah? Haha..

Anonymous said...

Salam.

Hamka, kalau ada pedang lagi best kan?

Diey, tulang belakang tak boleh terbang. Apa maksud "suatu hari nanti" tu yeee? Aku tak faham lah. Hehe.

Apun, terima kasih, yep, setiap perjuangan itu berlaku dengan izin Allah dan kesudahannya ditentukan Allah.

Imakubex, kalau begitu mengapa mesti 'kiri'? Kenapa bukan muslimin jadi sayap kiri dan muslimat jadi sayap kanan? Maybe this is a linguistic/metaphoric discourse, not aerodynamic =D. Thanks for the lengthy analyses and encouragements though. Were you there then?

Iman, aku pun suka ayat tu.

Taufik, kata-kata ko tu menambahkan keinginan aku untuk menulis sebuah artikel yang dah lama aku berkira-kira nak tulis tapi tak tertulis.

Salam perjuangan.

imakubex said...

I suppose I just find it odd, the phrase Muslimat sebagai sayap kiri. I must say I don't entirely agree with the phrase, but that's just me being vain.

Was there and what a demonstration. It was huge, to say the least. Hopefully it will raise awareness and put some pressure to the government, though I must say that lobbies are much more effective at doing that.

:)