Tuesday, January 13, 2009

Lamentasi I

Salam.

***

Tulisan ini adalah respons kepada emel yang dihantar oleh seorang rakan dalam salah satu milis yang saya sertai. Beliau berpendapat bahawa pertempuran sekarang di mana kedua-dua pihak berbalas-balas kekuatan tidak akan berakhir dengan apa-apa kesudahan pun, lantas mencadangkan agar Hamas berhenti membalas serangan Israel untuk beberapa waktu sebagai strategi supaya jelas kepada dunia bahawa tidak syak lagi Israel yang menjadi petualang, dan mungkin akhirnya kedamaian dapat juga dicapai di rantau sana. Beliau juga telah memberi contoh kemelut di beberapa negara yang pada tafsiran beliau diselesaikan apabila satu pihak beralah dan berhenti membalas
agression dengan agression.

Saya telah menulis sesuatu sebagai balasan. Tulisan itu rupa-rupanya bertukar menjadi persis satu lamentasi - tetapi insyaAllah, lamentasi yang punya isi!

***

Saya terpanggil untuk memberi sedikit respons kepada komentar saudara X. Nadanya pacifist - menganjurkan untuk menentang keganasan dengan keamanan. Betul juga kan, an eye for an eye makes the world go blind, itu kata Gandhi, tokoh pacifist paling terkemuka. Api tidak boleh dipadamkan dengan api, tetapi mesti disimbah dengan air. Api yang dilawan dengan api hanya akan terus membakar tanpa berkesudahan - "keep going on and on with no end in sight". Daripada perspektif religius Judeo-Kristian juga, Yesus Kristus disebut sebagai tokoh pacifist - bukankah baginda yang diriwayatkan dalam Bible menyuruh, jika pipimu ditampar sebelah, hulurkan yang sebelah lagi? Malah itulah yang dianggap oleh penganut Kristian sebagai setinggi-tinggi tahap kemuliaan untuk menjadi better man, gentleman, seperti yang disebut oleh saudara.

Cadangan untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin ini dengan cara 'aman' bukanlah baru, malah menjadi punca kepada pertelingkahan dalaman di bumi suci tersumpah sana. Yang saudara sebutkan dalam emel yang lepas itu hanyalah serpihan kecil dengan tempaan segi yang sama. Two-state solution, gencatan senjata, rundingan damai demi rundingan damai yang akhirnya ditongsampahkan atau dilubangtandaskan. Hakikatnya Yahud bukit Zion ini tidak boleh dipercayai dalam membuat perjanjian, apatah lagi diletakkan pengharapan untuk menerajui keamanan dan keadilan. Menyedari realiti inilah Hamas berkerat rotan berpatah arang dengan Fatah yang masih mahu cuba-cuba menjadi jaguh berbaik-baik dengan Israel. Pilihanraya Palestina yang meletakkan Hamas sebagai pemenang sahih membuktikan bahawa rakyat bersependapat dengan mereka, sayang sekali dunia memvetokan keputusan itu sebagai batil dengan mewajahkan Hamas sebagai teroris. Hamas yang menyuap mulut dan mengelap luka rakyat itu, dunia kata teroris. Dunia kata teroris.

Maka saudara, di manakah jaminannya bahawa dunia akan tiba-tiba 'melupakan' bahawa Hamas ini teroris, lantas dengan ajaibnya menampalkan label itu ke dahi Israel hanya kerana Hamas menjadi sitting duck dayus, membiarkan Palestina dirogol tanpa melawan selama beberapa bulan?

Mari kita kenang semula salakan Presiden Bush yang beriya-iya menyuguhkan fitnah bahawa Iraq adalah gudang "Weapons of Mass Destruction" . Hanya atas hipotesis - hipotesis yang sebetulnya fitnah busuk kohong - Iraq diterjah, diserang, dibom, dijajah, dan akhirnya fitnah kohong itu menjadi bangkai yang mampus berulat. Saudara, pokok perkaranya di sini, dunia boleh mengada-adakan apa yang tidak ada untuk menjadi alasan penjarahan, dan begitu banyak manusia akan percaya atau terpaksa menjadi bodoh-bodoh safih yang tunduk kepada 'fakta' yang disalakkan oleh pemegang kuasa.

Apakah jaminannya bahawa setelah Hamas beralah, mempersilakan Israel melakukan sesuka hati atas nama strategi, strategi itu akan dilemparkan ke muka mereka semula dalam bentuk tuduhan-tuduhan palsu, makar muslihat dan pengkhianatan sehingga akhirnya Israel tetap digambarkan sebagai mangsa?

Melihat kepada contoh-contoh yang saudara berikan, saya ragu bahawa mereka tidak melawan atas dasar pilihan atau strategi. Yahudi mangsa anti-Semitisme tidak melawan kerana tidak berupaya. Mereka tidak punya negara pun, tentu terpaksa rela diperkotak-katikkan sahaja oleh Nazi Jerman yang punya kuasa militari! Tentang Bosnia - siapa kata orang Bosnia tidak melawan? Mujahidin Bosnia itu siapa kalau bukan pejuang yang menentang Serbia? Mungkin kelihatan seperti Bosnia tidak melawan kerana perbezaan kuasa yang terlampau - embargo senjata yang dikenakan menyebabkan Croatia dan Serbia mendapat kelebihan besar daripada aspek pertahanan - dan teknik serangan yang digunakan adalah pembersihan etnik, iaitu pembunuhan beramai-ramai kepada orang awam yang tidak bersalah (yang tentu sahaja bukan askar terlatih untuk mengangkat senjata).

Di Afrika Selatan, kezaliman yang ditunjukkan bukanlah secara militari, tetapi lebih kepada penindasan kemanusiaan, daripada aspek keadilan sosial, ekonomi, dan politik. Penentangan demi penentangan yang dilakukan rakyat telah menukar suasana kepada semakin militari, dan akhirnya keganasan turut berlaku. Memang Nelson Mandela - pejuang anti-apartheid yang memilih pendekatan pacifist - tidak menggunakan jalan militari untuk perjuangannya, tetapi adakah kebebasan Afrika Selatan daripada rejim dominasi kulit putih itu milik Mandela seorang? Bacalah bagaimana keganasan demi keganasan yang berlaku menjadi antara faktor yang menyebabkan kerajaan negara itu sendiri merasakan bahawa perlu untuk melonggarkan polisi apartheid mereka. Sesudahnya, dalam ruang yang lebih lega untuk bernafas inilah Mandela menapak dan membawa rakyat yang tertindas ke garisan penamat. Benar, keganasan bukanlah penyelesaian, tetapi pokok perkara yang ingin saya sampaikan di sini, ada waktu-waktunya kita perlu untuk mengganas, dan berdiam diri apabila ditindas dengan harapan bantuan tiba dari 'langit' adalah kerja sia-sia.

Di China, kerajaan China tidak menentang Jepun bukan kerana strategi atau memikirkan hubungan baik pada masa hadapan. Serangan Jepun benar-benar melemahkan China sehingga tidak berdaya untuk melawan baik secara serta-merta mahupun sesudah pencabulan Nanking itu berlaku. Negara besar China yang porak peranda dengan perebutan kuasa dan masalah kewangan lebih sibuk dengan laga-laga dalaman daripada menyerang kuasa luar. China ketika itu yang begitu angkuh dengan kekuatannya, apatah lagi setelah diterajui oleh Mao Zedong, tidak pernah sekali-kali bertindak pasif semata-mata mengharapkan simpati atau memujuk hubungan diplomatik.

Kita melihat kepada falsafah dan teori sosial-politik untuk mencari penjelasan serta penyelesaian untuk konflik-konflik yang dihadapi. Kita melihat kepada figura-figura tokoh untuk mendapatkan inspirasi serta panduan dalam berhadapan dengan kerumitan. Sebagai Muslim, walaupun hikmah dari mana sahaja sumbernya adalah milik kita, tentu sahaja sumber yang paling aula untuk dirujuk adalah bingkisan langit yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Akhlak baginda dalam pentadbiran dan mengatur strategi, baik dalam perang mahupun dalam aman sungguh menarik untuk diteladani. Baginda tidak menyerang tanpa memulakan dengan diplomasi, kaya dengan magnanimity - bermurah hati memaafkan musuh, menjaga adab-adab pertarungan supaya tidak menganiaya orang yang tidak berupaya dan tidak bersalah.

Paling penting, walaupun kaum Muslimin berada di pihak yang lemah, pihak yang kelihatan hampir-hampir pasti kalah, apabila diserang dan ditindas, Nabi tidak duduk dan beralah sedangkan baginda mempunyai kekuatan untuk melawan. Sewaktu permulaan dakwah di Makkah, benar, baginda bersabar kerana ketika itu kaum Muslimin masih belum mempunyai kekuatan apa-apa kecuali mengharapkan pertolongan mutlak daripada Allah. Melawan pada ketika itu bererti mematahkan dakwah sebelum sempat menebarkan sayap. Hanya Allah yang tahu bilakah Muslimin akan bersedia untuk bergerak - dan isyarat itu masih belum sampai.

Namun setelah Badar Kubra, sayap-sayap malaikat dari langit bergerak bersama hayunan pedang jundi Allah, dan Muslimin tidak pernah lagi berpatah balik. Moralnya? Pertama, apabila diserang, lawanlah untuk menegakkan agama dan mempertahankan maruah. Kedua, pertolongan Allah itu bersama orang-orang yang benar. Menang, atau syahid. Mudah sekali rumusnya yang selalu disalahtafsirkan sebagai rumus yang menyebabkan orang-orang Islam jihadis ini menjadi mabuk darah dan pengebom berani mati yang gila. Mereka mahu kita duduk diam dan pasrah sahaja apa yang mahu diperlakukan kepada kita, atas nama pacifism, kemanusiaan dan kedamaian. Kalau itulah pacifism, kemanusiaan dan kedamaian, campakkan saja ia ke dasar Laut Merah, biar tenggelam reput sampai kiamat.

Pendekatan pacifist ada relevannya, pada waktu-waktu dan keadaan-keadaan yang tertentu, yang tentu sahaja bukan di tempat segetir Palestina sekarang ini, di mana konspirasi bertaraf dunia sedang mengambil tempat, dan manusia sedang bergulat dengan pertembungan hitam-putih yang akarnya ditelusuri sampai ke zaman ayahanda kita Nabi Ibrahim 'alaihissalam.

Di Palestina, keadaannya bukanlah seperti permulaan dakwah di Makkah di mana tidak ada kemampuan dan menanti isyarat langsung daripada Allah. Palestina sekarang adalah medan jihad di mana perang sudahpun bermula dan tidak ada pengakhiran kecuali dengan kekalahan Yahud bukit Zion yang tidak akan berhenti memburu mimpi Eretz Yizrael mereka. Perdamaian hanyalah resolusi sementara dan tidak akan pernah menamatkan apa-apa selagi Israel masih wujud.

Beralah walaupun seketika, berhenti melawan walaupun seketika akan hanya memberi ruang besar kepada musuh untuk menyempurnakan perancangan mereka. Siapakah yang dapat menjamin bahawa sekiranya Hamas beralah untuk beberapa bulan, Israel tidak akan menghancurkan Palestina dengan alasan 'berjaga-jaga dan mengelakkan ancaman pada masa hadapan?' Kalaupun kondemnasi antarabangsa melimpah ruah kepada Israel, apalah yang dapat dilakukan lagi, Palestina sudah tinggal tunggul-tunggul zaitun yang terpokah dan mayat yang diraikan langit, tetapi ditangisi bumi.

Ya Allah leburkanlah kumpulan mereka, kacau-bilaukan persatuan mereka, cerai-beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjingMu ke atas mereka, Israel dan konco-konconya.

Allah Maha Mengetahui.

Adibah Abdullah

2 comments:

Zulhimi said...

Sokong 100 peratus!

Menang atau syahid....itulah jalan kami.

Anonymous said...

Ini bukannya kisah baru jadi semalam, atau bulan lepas, atau setahun lepas. Kena belajar dari sejarah lah

HAMAS tak membalas...Israel bukannya reti apa, dia serang juga. Cari alasan lain pula. Sementara tu, sempatlah Israel memenggal Palestin (sementara dunia tengah tunggu penjelasan dari Israel).

Kalau HAMAS membalas, oh, Israel pun kata 'self defense'. Sekurang-kurangnya dapat menyekat total destruction dari Israel.

Natijahnya sama saja, Israel tetap menyembelih Palestin- tak kira Hamas ada atau tak ada. Bezanya, satu dia ada alasan 'self defense', satu lagi alasannya , err, macam-macamlah, dia cari la (semuapun dah tahu, ini bukannya kisah baru mula minggu lepas).

Nak suruh HAMAS diam, agaknya jumlah kematian dah jadi 2000 kot, diikatnya ramai2 macam Shabra Shatila dan ditembak orang awam.

Kalau sekadar nak bersihkan nama HAMAS dari label 'pengganas' Amerika tu, hmmm, takkan berhasil dan tak ada faedah sangat pun. Ada label teroris atau tak, amerika bukannya nak tolong. Menang pilihanraya pun orang kata 'pengganas' lagi.

Ini bukan cerita minggu lepas. Bukan baru mula bulan lepas. Ini dah tiga generasi (mungkin empat atau lima generasi kalau ikut purata jangka hayat orang PAlestin).