Salam.
Morning person adalah istilah dalam Bahasa Inggeris yang merujuk kepada orang yang suka bangun pagi dan suka melakukan pelbagai aktiviti (belajar, membaca, bersenam, memasak, tanam pokok bunga, bermesyuarat...) pada pagi hari. Lawannya night person, yang (obviously) suka melakukan pelbagai aktiviti (belajar, membaca, makan, berborak, tengok filem, menulis...) pada malam hari santak ke subuh. Kenapa tak ada frasa yang serupa dalam Bahasa Melayu? Mungkin kerana dalam budaya Melayu memang bukan adatnya tak tidur malam, dan lebih-lebih lagi bukan adatnya tidur meninggi hari!
Tak dipinang orang, kata orang tua-tua, kalau anak dara begitu. Tapi kalau anak bujang yang begitu? (Sesiapa saja, tolong buktikan bahawa bangsa Melayu tidak bias, tidak berat sebelah berdasarkan gender dalam menghakimi orang-orang yang kalah berlumba dengan matahari ini.)
Saya orang jenis apa?
Malam. Bukan pagi. Kalau bercerita tentang keindahan dan misteri malam tidak akan habis. Alangkah indahnya membaca karya sastera, mengarang, atau mengulangkaji buku-buku perubatan ditemani malam pekat yang berangin, bulan yang mengambang, atau emping salji yang gugur seperti hujan.
Namun begitu, waktu pagi tetap ada kemanisan tersendiri (walaupun saya memang TIDAK produktif pada waktu pagi!) Pagi-pagi di UK agak uneventful - tidak banyak yang menarik, hanya duduk di meja, membaca/menulis sesuatu (sambil menahan kantuk!) atau membuat eksperimen di dapur. Lagipun sepanjang hari di UK tidak banyak beza... pagi, tengah hari, dan petang, sama sahaja suhu dan warnanya! Di UK ini orang lebih teruja dengan cahaya matahari, sehingga pagi seperti kurang istimewa.
Pagi di Malaysia lebih menarik. Lebih banyak kenangan. Lebih kontras dengan waktu-waktu lain dalam hari - pergerakan matahari di langit Khatulistiwa menumpahkan rona dan rasa yang unik untuk setiap takah yang dilaluinya, baik pagi, tengah hari, petang, apatah lagi fajar dan senja. Matahari terbit selepas waktu Subuh adalah antara pemandangan paling cantik yang saya suka perhatikan dari jendela (atau pintu) rumah. Kabus putih seperti kapas, cahaya yang tumpah dari sesela awan yang merekah seperti perak. Hujung rumput dan daun-daun pokok berkilauan oleh embun yang memantulkan sinar. Ayam, angsa dan kambing peliharaan kami memulakan hari dengan aman damai, mengais tanah, meragut rumput atau menunggu sisa makanan yang akan dituang dalam geluk di bawah kepala paip di tengah laman. Udara bersih dan sejuk. Saya suka benar duduk-duduk di depan pintu yang terbuka sambil membaca atau menonton rancangan kartun pada pagi-pagi yang damai begitu.
Pagi juga mengingatkan saya kepada sekian banyak program dan pengembaraan yang telah saya lalui di Malaysia. Apabila berpagi-pagi di UK, inilah yang sering saya teringat. Terpisat-pisat turun dari bas pada jam 5 di Hentian Putra (sesekali, waktu di KMB dulu, turun juga di Terminal One Seremban sebelum menaiki bas ke pekan Banting), menapak ke surau di tingkat atas (seringkali mengheret beg yang tidak kurang berat), kemudian beramai-ramai berkumpul di luar menunggu pintu surau dibuka.
Suasana dalam surau agak kepam dan hangat, nuansa bau yang bercampur aduk dari susunan kasut berhampiran rak di hadapan pintu (mesti simpan di dalam, tinggal di koridor nanti menghalang laluan atau mungkin dicuri), stokin dan kaki yang baru keluar dari kurungan kasut sepanjang malam, karpet yang lembap dan kering silih berganti berhampiran tempat wuduk. Orang pelbagai keadaan - solat bertelekung, bergelimpangan tidur di mana-mana, tersandar di dinding dengan kain tudung tersangkut di atas beg, atau membuat lingkungan borak. Sesudah solat maka banyaklah yang berbedak bergincu, membetulkan tudung (selalunya perempuan yang datang dari Kelantan, memakai tudung, ye), atau kadang-kadang ada yang memakai purdah, memasang purdah. Di Hentian Putra ini, terutamanya pada petang-petang hari apabila orang beramai-ramai mahu pulang ke Kelantan, tidak sah kalau tidak ada sekurang-kurangnya seorang dua yang menutup wajah. Tapi itu cerita petang, saya mahu bercerita tentang pagi!
Usai solat, bersiap ala kadar, membelah pagi yang dingin ke mana-mana sahaja. Itulah yang sangat saya ingati. Berjalan - selalunya seorang diri - ke stesen kereta api laju, stesen bas, perhentian teksi, ke mana-mana sahaja yang akan membawa saya ke destinasi seterusnya. Badan selalunya lenguh penat, mata masih mengantuk, tidur dan rehat tidak puas mengerekot atas kerusi bas semalaman, tapi waktu-waktu begitu tidak rasa perlu untuk mengeluh apatah lagi merungut. Sejuk, terang-terang tanah dan berkabus, di bandar yang kecamuk seperti Kuala Lumpur pun pagi masih terasa indah. Pagi mengingatkan saya kepada waktu-waktu mengembara yang selalunya sendirian, dan kepada waktu berjalan berteman yang jarang-jarang berlaku tetapi seringkali tepu kenangan.
Jika sesekali hujan turun, pagi menjadi lebih nostalgik. Hujan di Malaysia lain rasanya dengan hujan UK. Bayangkan renyai-renyai hujan waktu matahari terbit ketika diri mengheret beg pakaian mencari teksi. Teksi menelusuri jalan raya yang basah, titis-titis hujan berguguran menimpa cermin kereta, sesekali tayar menabrak lopak dan air berderai ke atas, sementara matahari putih perak curi-curi mengintai dari persembunyiannya di sebalik awan kelabu. Aspal jalan meruap, aroma tersendiri dibawa air yang tersejat.
Pagi waktu pulang ke Kelantan (selalunya dari Kuala Lumpur juga) ada ceritanya yang tersendiri. Saya gemar menaiki bas malam - baik dari mahupun pulang ke Kelantan - kerana suasana yang lebih sejuk, tidak rimas, dan paling penting, saya tidak pening-pening seperti yang selalu dialami kalau perjalanan siang hari.
Bas yang saya naiki ke Kelantan, perhentian terakhirnya adalah di Kota Bharu. Dalam perjalanan, bas akan melalui bandar Kuala Krai, tempat saya tinggal. Kira-kira dua jam sebelum tiba di Kota Bharu. Saya selalu turun di sini sahaja, sekitar jam 3-4 pagi, dan ayah sudah menunggu untuk menjemput pulang. Caranya mudah, beritahu ayah pukul berapa bas bertolak dari Kuala Lumpur (supaya ayah dapat mengagak pukul berapa hendak keluar) dan beritahu pemandu bas supaya berhenti di Guchil (kawasan dalam bandar Kuala Krai, tempat bas akan berhenti kalau perlu menurunkan penumpang).
Masalahnya?
Saya tidur dalam bas, dan tidak bangun-bangun sampailah bas sudah berhenti di Guchil, menurunkan penumpang, dan ayah (kadang-kadang ditemani umi) tercangak-cangak menunggu, manalah anak mereka tak sampai-sampai!
Kejadian ini tidaklah terlalu kerap berlaku, tetapi lebih daripada dua atau tiga kali, seingat saya. Cara menanganinya pelbagai. Kalau masih sangat dekat, saya turun saja dari bas di mana-mana simpang dan tunggu ayah datang ambil. Ayah pernah mengejar bas dari Kuala Krai sampai ke Pasir Putih (lebih sejam perjalanan), setelah saya terjaga agak jauh dari tempat yang sepatutnya dan menelefon dengan penuh cemas! Tetapi sekali sahaja jadi sampai begitu - beberapa kali yang lain, saya tidak sampai hati menyusahkan keluarga, lalu meneruskan saja ke Kota Bharu - solat Subuh di Masjid Al-Bara'ah (yang serba kekurangan, setidak-tidaknya beberapa tahun lalu) dan menunggu bas paling awal untuk berpatah balik ke Kuala Krai.
Paling terharu, suatu ketika, saya terlajak tidur lagi dan terbangun sewaktu hampir ke pekan Keroh, yang masih belum terlalu jauh, tetapi tidak ada simpang atau cabang yang dikira-kira selamat untuk saya menunggu ayah datang. Saya adukan nasib kepada pemandu bas, menelefon ayah, dan memutuskan untuk turun dan menunggu sahaja di tepi jalan raya waktu dinihari jam empat pagi berhampiran lampu jalan. Terlalu penat untuk terus ke Kota Bharu dan berpatah pulang pula. Sungguh saya terharu apabila pemandu bas tidak menggerakkan bas untuk pergi meninggalkan saya, malah menunggu sehingga ayah sampai. Kalau tidak salah saya, saya pernah meminjam telefon pemandu bas untuk menghubungi ayah kerana bateri telefon kehabisan. Tidak pasti sama ada pemandu yang sama atau orang lain.
Alhamdulillah, walaupun saya agak cuai (kan?) dan selalu pula ke sana sini seorang diri, Allah sentiasa memelihara keselamatan saya. (Sekarang, makin dewasa, makin hati-hatilah - harap-harapnya.) Pemandu-pemandu bas amnya ramah, mesra dan sudi membantu, barangkali faktor kenegerian - kito samo-samo ore Kelate, hehe - tetapi saya lebih yakin bahawa hati manusia itu sentiasa cenderung kepada kebaikan, dan mereka adalah orang-orang yang baik.
Saya sangat berterima kasih kepada ayah dan umi yang tidak pernah menghalang atau mengekang saya daripada berbuat apa sahaja, pergi ke mana-mana, malah sanggup bersusah payah menghantar, menjemput, memberi wang belanja, dan lain-lain. Syaratnya mudah - biar mereka tahu apa yang saya lakukan, dan biar saya pandai menjaga keselamatan diri. Ada kalanya saya ditegur, dimarah, kerana tindakan yang terlalu cuai atau daredevil - saya akui kesilapan, saya cuba perbaiki, ayah dan umi tidak pula menjadikan itu alasan untuk menyekat pergerakan saya.
Pernah terharu dengan kata-kata umi, bahawa saya sudah meningkat dewasa, tidak perlu lagi gerak-geri dikawal oleh orang tua, tetapi perlulah menjaga diri dan bercerita apa yang patut kepada mereka. Mungkin ada yang mentafsirkan bahawa ibu bapa saya terlalu melepaskan, tidak pandai menjaga anak perempuan, terpulanglah kepada kalian. Saya sudah pernah merasai kongkongan sewaktu masih mentah dahulu, dan setelah membuktikan kematangan serta kemampuan untuk menjaga diri, perlahan-lahan, saya diberikan ruang dan kebebasan. Bagi saya ayah dan umi telah melatih saya untuk berdikari, berani dan berkeyakinan, menyebabkan saya percaya kepada mereka untuk berkongsi apa-apa dalam hidup saya, dan paling utama, mendidik saya secara praktikal untuk meletakkan pergantungan kepada Allah lebih daripada mana-mana manusia pun, dalam keadaan apa sekali pun.
Malam masih muda, tetapi saya sudah kepenatan. Esok, dan hari-hari seterusnya untuk sebulan ini, saya perlu keluar, berjalan jauh awal-awal pagi, untuk ke Fairfield Hospital di Bury. Pagi semalam sudah terlepas perhentian bas, bas sudah berpatah balik ke Manchester, nasib baik ada orang yang simpati dan membangunkan saya. "The last stop, you've missed it, the bus is going back to Manchester now."
Haih adibah, bilalah nak berhenti amalan tidur dalam kenderaan awam sampai terlepas perhentian ni?
salam,
meow~
Tuesday, January 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
erk. Selesa lagi solat dalam terminal (shopping) , walaupun perlu bayar duit untuk ambil wuduk.
Kenangan di seremban terlalu lama untuk saya. :P
Terlajak bas tu masalah serius. Doktor tak ada ubat yang mujarab?
Odaijini demam kucing~
ooo patutlah.. kalau xade org kejut.. mahu terlepas pg demo! =P
Entri yang menggamit kenangan dibah,hehe, siapa yang tak ingat surau putra yang berkepam tapi berjasa tu ya,dan warung-warung makcik kelate di tingkat atas putra tu atau akhbar harakah dan yang pernah kita beli, baca dan komen menunggu malam tu. heheh, takpa2 kucing kan aktif waktu malam a.k.a 'night(cute)animal'haha, dan kalau sesat tetap akan jumpa jalan pulang kan ?
salam..
hehehehe
saya pun teringat kenangan di surau Hentian Putra...
Di situ sahaja perhentian bas kegemaran saya...sebab saya tak suka PUDU.huhuhu..
betul2..walau surau tu berbau mcam2 ngan keletah orangnya, namun surau itu telah banyak berjasa buat saya sepanjang ulang alik KT-KL..
haishh...teringat kenangan di malaysia pulak saat membaca entry kak deeba ini..=)
Kehkeh. Aduhai Dibah. Rupanya dari zaman kau remaja hingga ke tua masih tak hilang tabiat tidur di dalam bas (sampai terlajak). Haha.
Lain kali janganlah kau tidur seorang diri, bawalah teman sambil aturkan jadual tidur secara bergiliran. ;>
Cadangan: Dibah kena tukar lagu alarmnya kepada yang lebih haraki.
Hehe.
Ada ke pon lagu yang lebih haraki daripada lagu yang sedang anda gunakan?
Salam,
oh, kita punya kesamaan, suka terlelap dalam kenderaan awam =)
Salam semua.
Apun, demam kucing saya dah sembuh (kot) lepas memanjakan diri dengan tidur melebihi kuota. Ubat untuk terlajak bas? Erm, selain daripada tak tidur langsung dalam bas, which is almost impossible, tiadalah lagi ubat yang terlintas dalam fikiran ini..
Diey, antara kegunaan sahabat-sahabat adalah sebagai alarm clock apabila memerlukan. Tanyalah jiran-jiran tetangga aku untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana aku mengamalkan konsep tersebut secara praktikal. Diorang siap boleh snooze lagi. Hehe.
Cacim, kenapa sebut dengan spesifik akhbar harakah tu? (Tulis aje "Untuk Ahli PAS sahaja" tp aku yakin tak ada peniaga yang pernah minta bukti keahilan daripada sesiapa yang membeli!) Dan ya, kucing yang ini memang selalu sesat tapi alhamdulillah sentiasa jumpa jalan pulang...
Kusharz, pengembara Pantai Timur macam kita ni memang rata-rata ada 'attachment' tersendiri kepada surau kecil di atas stesen bas tu. Uh, PUDU? Menakutkan!! (cuba fahami sendiri)
Sang Pelangi, 'teman' paling berkesan dalam bas adalah umi aku sendiri... dia tak suka tidur dalam kenderaan, sangat senang terbangun, dan secara personalitinya sangatlah berhati-hati tak macam aku yang main rempuh saja selalu. Idea tidur bergilir-gilir tu macam menarik, tapi memerlukan teman yang sangat baik dan sanggup mengorbankan waktu tidur. Tunggu la kalau aku dah ada teman regular untuk travel nanti... ops.
Kak Afni, sebab haraki sangat la tak boleh pasang dalam bas. Nanti terlompat semua orang. Haih. (dah lebih setahun kot saya guna alarm tu, walaupun kesannya 60-40 most of the time) Hm, rasanya ada lagi lagu alarm yang lebih haraki... tapi tak boleh nyanyi kuat2 kat sini nanti membazir tenaga kena cabut lari atau main sorok-sorok. Tak berbaloi kalau setakat nak menyanyi.
Ismifatin, selamat berkenalan. Tidur dalam kenderaan awam tu sebenarnya bukan 'kesukaan'...tapi tabiat yang sukar dibuang! =)
meow~
:-) terhibur. tkaseh.
salam...
aku pun pernah mengalami sindrom tidor dalam kenderaan,i.e, bila kenderaan bergerak jer mata menjadi kuyu dan terus terpejam...
sian kawan aku, pernah sekali kami travel jauh lalui PLUS, aku dengan selamba tido dengan nyeyak sepanjang perjalanan...dan dia drive sorang2 je...huhuhu
Hantu malam! Silalah the best time is always the 'quiet' before fajr, and the stirring of life after fajr. I insist. =)
Post a Comment