Wednesday, March 04, 2009

Kerja dan Rindu

Salam.

Kali terakhir saya menulis adalah beberapa minggu sudah. Terlalu banyak yang berlaku dan yang saya lakukan sehingga tidak sempat untuk bertekun sejam dua mengarang, hatta puisi barang sebuah, apatah lagi entri blog atau cerpen yang tentu sahaja menuntut lebih banyak untukan masa. Ah tidak, tidak, sebenarnya kesempatan bukan persoalan paling besar, sebenarnya tidak ada pemacu yang cukup kuat untuk itu. Peristiwa yang berlaku terlalu banyak - dan barangkali berpuluh-puluh kali dalam sehari saya terfikir untuk menulis sesuatu, menulis tentang sesuatu - sehingga apabila saya berpeluang duduk di hadapan komputer, membuka tetingkap Blogger, jari tiba-tiba terpaku di atas papan kekunci dan sudahnya tidak ada apa-apa yang tercatat.

Minggu lepas baru habis OSCE - Objective Structured Clinical Examination - mock saja, ujian praktikal yang pertama sejak saya memasuki tahun klinikal. Haha, tunggu saja keputusannya nanti. Teringat kelupaan saya membetulkan kedudukan simulated patient daripada 45 darjah kepada telentang lurus, kekalutan saya yang dahsyat di stesen cannulation, selekehnya saya membiarkan 'air kencing' yang diuji dengan Dipstix bersememeh pada label yang ditampal pada botol (macam itulah saya lihat orang mengajar saya dulu... tapi examiner tak puas hati), dan hentam keromo saya meredah stesen penjagaan kaki pesakit diabetes dalam keadaan tidak pernah mengulangkaji apa-apa yang spesifik tentang itu kecuali teknik-teknik membuat pemeriksaan kaki.

Minggu sebelumnya menyelesaikan SSC - Student Selected Component - yang sepatutnya disiapkan dalam masa empat minggu, tetapi saya bantai dalam masa sekitar 7-8 hari sahaja. Sebabnya? Dalam minggu ketiga, saya memutuskan topik yang telah dipilih lebih awal adalah terlalu rumit dan tidak berkait secara langsung dengan pengajian klinikal, malah lebih berfokus kepada farmakologi - "Drug Resistance in Lamivudine Treatment for Patients of Chronic Hepatitis B". Lantas keputusan nekad dibuat, tajuk ditukar kepada kajian tentang "Mechanisms of Degenerative Change that Lead towards Encephalopathy in Patients of Alcoholic Liver Disease". Alhamdulillah selepas berhempas pulas seminggu, saya berpuas hati dengan hasilnya, semoga keputusan akhir nanti tidak menghampakan!

Selesai tempoh SSC, saya sudah kembali ke Manchester Royal Infirmary di seberang jalan. Saya akan rindu kepada Dr Roger Prudham, Dr Julian Proctor, para jururawat di Renshaw Suite dan Ward 20. Prayer room yang selesa, bersih, dan mendamaikan. Saya akan terkenang-kenang perjalanan yang panjang saban hari ulang-alik dengan tiga buah bas dari kediaman saya di Manchester ke Fairfield Hospital di Bury. Saya terbayang-bayang keindahan tanah tinggi Pennines yang jelas kelihatan dari pekarangan hospital dan malam-malam sejuk yang berkabus ketika menunggu bas untuk pulang di bawah cahaya lampu jalan yang kuning. Tidak saya lupa tentang pesakit yang meninggal dunia kurang sehari selepas saya menyaksikan dia dan suaminya menerima diagnosis metastatic liver cancer.

Di luar akademik kehidupan tidak kurang meriahnya. Occupation bangunan-bangunan universiti. Keterlibatan dalam politik kampus, bertanding dalam pilihanraya di bawah naungan Islamic Society yang tentunya mengalami pertentangan langsung dengan golongan yang memusuhi Islam. Kerja-kerja persatuan dan taklifan yang bertimpa-timpa. Saya sangat bersyukur kerana dikurniai teman-teman seperjuangan yang sungguh memahami, sabar dengan kerenah dan keluhan saya, dan ringan tangan menghulur pelbagai bantuan walaupun mereka juga sibuk dengan tugasan masing-masing. Tidak, tidak mengungkit, apatah lagi menyesal. Saya masih yakin dengan janji Allah untuk mereka yang berjuang untuk agama-Nya, dan masih gerun dengan ancaman Allah untuk siapa yang mahu mengelat hidup bersenang-senang sahaja - semoga kita semua dipelihara niat dan istiqamah.

Dalam kesibukan ini, ada satu kerinduan yang sangat, kadang-kadang menggigit sehingga senak dan rimas, kepada buku dan penulisan. Rindu benar rasanya untuk punya kelapangan bersantai-santai membaca buku pilihan dan mengarang sepuas hati - kali terakhir saya benar-benar berseronok begitu sewaktu menyudahkan Anne Frank's Diary of a Young Girl dan menyempurnakan cerpen Gegar Auschwitz, Gempa Al-Aqsa (yang belumpun dihantar ke mana-mana) sekitar 6-7 minggu yang lepas.

Novel Kars (Orhan Pamuk), To Be A European Muslim (Tariq Ramadan), The Ideal Muslimah (Muhammad Ali al-Hashimi), Saat Cinta Bertasbih:Tribut untuk Tuan Guru, Peril at End Street (Agatha Christie) adalah antara buku-buku yang sudah saya jamah tapi belum habis-habis diratah. Sejak akhir-akhir ini tiba-tiba timbul keinginan membaca trilogi Allahyarham Arena Wati - Armageddon (Mandala-Menorah-Pentagon) dan Bunga dari Kuburan-Kuntum Tulip Biru-Sakura Mengorak Kelopak. Novel SN Abdullah Hussain, Dan Malam Apabila Ia Berlalu belum dibeli. Salam Maria bingkisan Fatimah Busu, sudah dibaca tapi tiba-tiba rindu untuk membaca semula, untuk memiliki sebagai koleksi. Namun ongkos yang suntuk tidak mengizinkan beli-belah dari Malaysia, sementelah tidak semua buku yang dihajati ada di Ujana Ilmu. Mungkin khidmat adik yang semakin bijak menyusur Kuala Lumpur sejak belajar di Centre of Foundation Studies UIA PJ boleh dipergunakan. Ah, novel dan antologi yang dibeli tahun sudah belum habis dibaca, buku-buku ilmiah berdebu dalam laci, tapi mengidam buah tangan yang baru!

Mungkin sekali, kalaulah tidak ada taklifan yang bersifat pengurusan dan memerlukan saya keluar bergelanggang di tengah umat - saya sudah bahagia sekali bergelumang dengan buku-buku, menulis dan berkarya. Tetapi apalah maknanya kalau itu boleh menjadikan saya penulis syok sendiri yang membataskan sumbangan kepada masyarakat kerana melayan kemabukan seorang diri!

meow~~

2 comments:

Anonymous said...

erm. Anne Frank's Diary of a Young Girl.

sy penah baca. org kata buku ni palsu. sbb jenis mata pen yg digunaka blm wujud lg masa tu.

pepe pon. boleh saja sekadar bacaan.

adibah abdullah said...

Ya, memang banyak keraguan yang wujud seputar autentik atau tidaknya buku itu sebagai sebuah diari. Holocaust itu pun ada yang menidakkan kewujudannya, bukan?

Saya membacanya bukan sebagai pengkritik sejarah yang kritikal, lebih kepada mahu mendapatkan 'feel' tentang apakah yang berlaku sewaktu Holocaust tersebut, untuk menyelesaikan cerpen yang sedang saya karang.

Memang menyedari bahawa tipu muslihat 'mereka' tidak berkesudahan, tetapi berharap agar ia tidak menjadikan saya jera menilai mereka sebagai manusia.