Sunday, March 08, 2009

Matematik, Sains, dan Bahasa

[Ditulis sebagai respons kepada komen yang diberi dalam sebuah forum maya.]

Assalamualaikum.

Saya anak kampung, hanya berkenalan dengan sains dan matematik (dan hampir semua benda) dalam Bahasa Inggeris apabila memasuki kolej persediaan ke luar negara. Sekarang saya dalam tahun ketiga pengajian perubatan di Manchester dan saya tidak pernah berasa tersangkak kerana 17 tahun pertama dalam hidup saya, tidak menikmati sajian elit bernama PPSMI.

Sehubungan dengan itu, saya pasti beratus-ratus malah beribu-ribu(puluhan ribu?) graduan universiti dalam dan luar negara, sejak Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi pendidikan di Malaysia, mampu menyatakan perkara yang sama.

KAMI TAK PAYAH BELAJAR MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS PUN BOLEH BERJAYA DAN MUNGKIN LEBIH BERJAYA.

Saya tidak mahu meminta maaf apabila membuat pernyataan bahawa PELAJAR YANG BERMASALAH SEWAKTU TRANSISI ADALAH PELAJAR YANG BERMASALAH DALAM BAHASA INGGERIS. Bukan bermasalah kerana terperanjat tiba-tiba bahasa yang menjadi perantara bertukar. Jadi penyelesaiannya, seperti yang sudah dilaung-laungkan dan akhirnya dilongkangkan dahulu, bukanlah dengan menukar bahasa perantara, tetapi MEMPERKASAKAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA INGGERIS.

PPSMI sebenarnya bertujuan untuk mencapai apa? Mahu menghasilkan pelajar-pelajar yang pandai berbahasa Inggeris atau menghasilkan pelajar-pelajar yang pandai Matematik dan Sains?

Matematik dan Sains adalah kemahiran proses dan analisis. Yang penting untuk pelajar pada peringkat permulaan pengajian, sewaktu mula-mula berkenalan dengan subjek-subjek ini adalah mempelajarinya dalam bahasa perantara yang difahami supaya prinsip dan aplikasi asas dapat dikuasai dengan mudah serta cepat. Setelah prinsip dan aplikasi asas ini dikuasai, maka tidak timbul persoalan pertukaran bahasa perantara, asalkan bahasa perantara itu juga dikuasai.

Nampak poin saya?

Jika pengajaran dan pembelajaran di peringkat awal dilakukan dalam bahasa yang kurang difahami, maka prinsip dan aplikasi asas itu juga akan dikuasai secara lompong-lompong dan cacamerba!

Alangkah kasihannya anak-anak kampung... anak-anak di ceruk desa, di bandar-bandar pinggiran, di dekat-dekat hutan, yang dahulunya mungkin boleh berbangga dengan Matematik dan Sains yang cemerlang walaupun Bahasa Inggeris mereka kurang mantap, tetapi sekarang, semua yang dikendong juga sudah berciciran, apatah lagi yang dikejar-kejar!

Anak-anak kota yang berbuih mulutnya dengan Bahasa Inggeris sejak kecil, TOLONG DIAM.

Penyelesaian untuk memperkasakan Bahasa Inggeris adalah dengan mengajarkan Bahasa Inggeris dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh, bukan dengan menjangkitkan pula masalah itu ke dalam bidang pengajian lain dengan harapan masalah akan selesai setelah direbakkan.


Saya kurang gemar mengambil contoh peribadi semata-mata, tetapi mungkin relevan jika saya menyebut di sini, kedua-dua ibu bapa saya adalah guru di dua buah sekolah rendah yang berlainan, di dua buah kampung yang jaraknya kurang lima kilometer antara satu sama lain. Mereka mengajar Matematik dalam Bahasa Inggeris, dan ibu saya terutamanya, tidak pernah kering mulut mengeluh tentang kepayahan yang dihadapi, tentang kasihannya kepada anak-anak murid yang menempuh kesukaran bukan sedikit. Adik-adik saya mungkin bertuah kerana ayah dan ibu di rumah membantu dalam kerja-kerja sekolah - bagaimana dengan anak penoreh getah, anak pekebun, anak nelayan, yang mungkin ibu bapanya tidak habis sekolah?

Tidakkah ini sebenarnya akan meningkatkan jurang pendidikan antara penduduk bandar dan luar bandar? Di mana keadilan dan pandangan jauhnya di sini?

Anak-anak kota yang berbuih mulutnya dengan Bahasa Inggeris sejak kecil, diajar ibu bapa hingga lebih fasih Bahasa Inggerisnya daripada Bahasa Melayu, mungkin mempunyai hujah sendiri. Terpulanglah.

Kita terlalu memandang fasa transisi di universiti dan pusat pengajian tinggi, lantas menjadikan ia justifikasi untuk merosakkan fasa pembinaan di tadika, sekolah-sekolah rendah, dan sekolah-sekolah menengah.

Saudari, contoh al-Quran dalam bahasa Arab itu adalah sangat tidak bersesuaian dengan konteks. Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, dan bahasa Arab adalah syiar Islam, dan umat Islam diseru memahami bahasa Arab untuk lebih memahami al-Quran. Al-Quran turun dalam bahasa Arab dan dikekalkan dalam bahasa Arab untuk memelihara ketulenannya, untuk mempersatukan umat, dan untuk mempergunakan keistimewaan bahasa Arab itu sendiri daripada segi keupayaan menyampaikan maksud. Tanpa bahasa Arab, tidak ada al-Quran.

Matematik dan Sains turun dari langit dalam Bahasa Inggeriskah?

Oh ya, kalau mengikut logika yang diberi, kenapa tidak mengajar Agama Islam dalam Bahasa Arab sahaja supaya pelajar-pelajar menjadi pandai berbahasa Arab dan terus dapat memahami al-Quran?

"Kita lebih maju dalam Bahasa Arab daripada orang Arab sendiri". Aduhai, pernah dikajikah orang yang menang tilawah itu fasih berbahasa Arab atau tidak? Atau lebih ringan, fahamkah mereka tentang seluruh isi al-Quran? Jangan mempercetek pengetahuan dan kefahaman berbahasa kepada nilaian superfisial, permukaan, seperti mana jangan kita mempermudah kepentingan bahasa Melayu hanya sebagai medium untuk mengajar subjek bahasa Melayu.

Untuk setiap kaum adalah bahasanya sendiri. Sunnah Nabi S.A.W., ada ilmuwan yang menyebut, bertutur dalam bahasa Arab. Bahasa Arab itu syiar Islam, saya sangat-sangat akui. Tetapi ajaran ilmuwan Islam yang lebih saya yakini, menyatakan, sunnah Nabi S.A.W. adalah bertutur dalam bahasa kaumnya sendiri. Dengan cara yang paling cantik, sopan, dan indah. Demikianlah Melayu boleh mengikut sunnah dengan bertutur bahasa Melayu dengan cantik, sopan, dan indah.

Ah, marhalah perbincangan ini sudah naik ke takah 'bahasa jiwa bangsa'. Saya tidak mahu banyak berbicara tentang itu. Kesimpulan yang ingin saya berikan, PPSMI bukanlah penyelamat untuk menyelesaikan masalah kelemahan akademik pelajar - baik dalam Bahasa Inggeris, Matematik, mahupun Sains. PPSMI adalah usaha penyelesaian dengan fokus yang salah, dilaksanakan melulu tanpa kajian mendalam, dan akhirnya, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Kita berdebat secara sihat. Seperti yang saya anuti benar, tidak ada salah dan biadabnya menyatakan terang-terangan kepada seorang yang lain "Kamu Salah".

=adibah abdullah=

6 comments:

Fakhrul said...

Maaf, menerusi teks ini anda pun mengambil contoh peribadi (diri anda sendiri) dan tiba-tiba anda boleh berani mengandaikan bahawa beribu-ribu dan berpuluh-puluh ribu pelajar lain mampu jadi seperti anda walaupun tidak mendapat pendidikan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Itu andaian semata-mata! Berdasarkan pengalaman saya di sekolah kampung, 98 peratus pelajar menghadapi masalah sewaktu di institusi pendidikan tinggi kerana masalah bahasa Inggeris. Sekurang - kurangnya konteks saya lebih besar dari anda! Walaupun anda belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu, bahasa Melayu anda tidaklah bagus sangat pun. Jadi apa salahnya jika mengembangkan minda sedikit?

adibah abdullah said...

Salam Fakhrul,

Err, jadi maksud anda, beribu-ribu dan berpuluh-puluh ribulah pelajar Malaysia lain tak lulus dalam pengajian kerana tak belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?

Maaflah kalau sebenarnya semua lulusan universiti tersebut dapat sijil cap ayam je. Salah tanggapan rupanya saya.

Saudara, itulah sebenarnya yang ingin saya tekankan! PELAJAR MENGHADAPI MASALAH SEWAKTU DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI KERANA MASALAH BAHASA INGGERIS. Justeru, saya menyarankan bahawa usahlah masalah itu direbakkan kepada subjek lain ... PERKASAKAN BAHASA INGGERIS DAHULU.

Kalau baca tak teliti, jangan terburu-buru buat kesimpulan. Apa pula justifikasi saudara bahawa konteks saudara lebih besar daripada konteks saya? Tak faham, tak faham. Saya ambil latar yang konkrit, 'public truth', produksi graduan yang berjaya selama berpuluh-puluh tahun, saudara pula cakap tentang 'pengalaman di sekolah kampung' dan bercakap bahawa konteks saudara lebih besar?

Saudara, pengalaman saudara di sekolah kampung itu apa sudah cukup untuk membuat kesimpulan "98 peratus pelajar ... institusi pengajian tinggi"? Untuk membuat pernyataan berbentuk peratusan yang begitu tepat itu, saya yakin saudara sudah buat cohort study selama beberapa dekad. Tahniah. Terima kasih juga kerana hasil kajian saudara menyokong pernyataan asal saya.

Tentang penguasaan bahasa dan tahap pengembangan minda saya, ah saya tidak fikir berbaloi untuk saya jadi defensif... baca saja catatan di pemidang kanan paling atas blog.

=)

alfannani said...

Saya setuju dengan kata Kucing Belang kita ini. Rasanya "puak-puak" ini berfikir kita tidak boleh mendalami ilmu hisab dan ilmu sains dengan bahasa malaysia. Dan barangkali dorang tidak terfikir negara-negara lain bagaimana sistem pembelajaran mereka pada dua subjek ini. Negara arab rasanya belajar dalam bahasa arab juga. Boleh saja maju. Ilmuan islam dahulu, belajar dalam bahasa apa? Rasanya mereka tahu jawapannya.

-uhhu~ maaf saya teremosi tiba-tiba membaca entri adibah ini.

ahmad said...

saya ambil cth yg dibuat oleh tuan guru haji hadi.

'sembahayang menggunakan Bahasa Arab tapi bagi mempelajarinya perlu menggunakan bahasa ibunda Bahasa Melayu termasuk mengerjakan fardhu Haji harus dalam Bahasa Arab, namun untuk mempelajarinya mesti dalam bahasa mudah difahami iaitu Bahasa Melayu'.

utk bandingkan ppsmi dengan bahasa arab sgt tdk sesuai. mmg bahasa arab mesti dikuasai utk mengistinbat (mengeluarkan) hukum yg tepat. sbb ini berkaitan halal haram. al quran tidak akn berubah. bkn mcm sains.

dan dgn beberapa sbb yang lain juga, mengapa utk mencapai tahap istinbat, mesti mahir bahasa arab. saya ulangi, mencapai tahap isntinbat.

tp utk memahamkan org utk beramal, mesti dlm bahasa sesuatu kaum, bahasa ibunda. mcm cth yg diberikan oleh tok guru.

saudara shahrul patut baca kajian2 dan buku2. antara bukunya, mengapa kita mesti menolak ppsmi (tk berapa igt tajuk buku). cover merah putih. lupa siapa pengarang. kertas ppsmi dari perspektif Islam. susunan ust ghani sahamsuddin kalau tak silap.

ppsmi bkn tak ada kebaikan langsung walaupun secebis. tapi mesti lihat pada timbangan mana yg lebih berat. arak itu pun ada kebaikannya. tetap juga diharamkan.

Taufik said...

"Anak-anak kota yang berbuih mulutnya dengan Bahasa Inggeris sejak kecil, TOLONG DIAM."

I've been asked to shut up =S Ouch... hehe..

There goes a series of argumentum ad hominems. Anyway, after reading arguments by respective parties, I can only emphatize these people's problem.

Memandangkan aku agak 'big fan' Dr M, aku biased kepada thinking he is right. But this time around I think probably he screwed up.

Hafizuddin Awang said...

Aaaa sukanya saya membaca artikel! memang sesuai digunakan menempelak para pendukung ppsmi. betapa mereka belum sedar bahawa ppsmi ini satu dasar yang maha gagal, satu dasar yang langsung tidak menjamin masa depan yang cerah pada anak2 yang bukan datangnya dari kota2 besar. barangkali mereka sudah sedar, namun kerna malu dengan kesilapan lampau, maka jadi sukar untuk mengaku salah pada hari ini.