Salam.
Hampir tepat sebulan yang lepas, saya telah diumumkan memenangi pilihanraya Student Union di universiti, dan merupakan calon yang sah terpilih untuk menduduki kerusi Medical and Human Science Faculty Officer pada tahun akademik akan datang. Barisan calon dari pakatan kami - Islamic Society and Action Palestine/Leftist/Socialist memenangi agak banyak kerusi, signifikan untuk memberi kami suara yang lantang dan gagah dalam barisan pimpinan dalam Union nanti. Alhamdulillah. Kejayaan milik bersama.
Rentetan ke arah terjunnya saya ke dalam kancah politik mahasiswa di kampus ini bermula beransur-ansur. Ah, terlalu banyak yang sudah berlaku dan tidak tertuliskan. Benarlah kata guru saya dulu, "Adibah, you underwent a lot of interesting experiences. You should keep a diary!" True indeed, I wish I had, and I wish I could!
Pilihanraya NUS
Kalau dicari satu titik yang benar-benar menjadi pencetus semerta kepada semua yang telah berlaku, maka mungkin saya akan meletakkannya ke Pilihanraya NUS. NUS adalah akronim untuk National Union of Students, organisasi yang mempertemukan wakil-wakil pelajar dari setiap universiti di United Kingdom yang menjadi anggotanya, mewakili sekitar 7 juta pelajar seluruh negara. Delegasi ke Persidangan Tahunan NUS dipilih secara undian merentas kampus. Para wakil inilah yang akan membahaskan dan memutuskan polisi-polisi serta tindakan NUS seputar kehidupan dan kebajikan pelajar, juga menyentuh isu-isu pentadbiran dalam negara dan permasalahan antarabangsa. Sidang juga akan melantik barisan pimpinan baru yang bakal menerajui NUS dalam penggal hadapan.
Apabila ada sistem pengundian untuk memutuskan isu-isu penting dan melantik figura-figura kepimpinan, maka lumrahnya para pengundi akan berkelompok dalam blok-blok tertentu mengikut kepentingan dan pendirian masing-masing. Wakil-wakil Muslim umumnya akan berkumpul di bawah naungan Federation of Student Islamic Societies (FOSIS). FOSIS akan memberi bimbingan dan nasihat kepada para delegasi ini untuk menghadapi persidangan, terutamanya kepada wakil-wakil yang belum berpengalaman, first time delegates. Keputusan-keputusan penting yang mempengaruhi kedudukan pelajar Islam di United Kingdom juga akan dibincangkan untuk memastikan pilihan yang bakal dibuat oleh setiap wakil berlandaskan pengetahuan serta pertimbangan paling wajar. Blok-blok lain yang ada termasuklah Union of Jewish Students (UJS), Student Respect, National Organization of Labour Students, Education Not For Sale, Green Party, dan lain-lain.
Cukup pengenalan tentang apa itu NUS. Di mana pula saya terlibat dalam organisasi ini? Sekitar bulan Oktober 2008 barangkali, FOSIS datang mengadakan bengkel tentang aktivisme pelajar di Manchester. Saya yang baru berjinak-jinak mau kenal tentang aktivisme pelajar ketika itu - setakat menghadiri satu dua demonstrasi, mengerapi General Meeting saban minggu, menghadiri dokumentari Open Media hari Isnin malam dan ceramah-debat-seminar sesekali, takat itulah saja penglibatan saya - diheret teman untuk mendatangi bengkel tersebut. Saya hadir antara rajin dan malas. H teman saya itu adalah pelajar Malaysia, rakan senegeri, tetapi menjawat jawatan Head Sister untuk University of Manchester Islamic Society. Gigih benar dia berusaha mengajak kawan-kawan rapat dan pelajar Malaysia lain melibatkan diri dengan ISoc serta aktivisme pelajar.
Pengisian menarik dan membuka mata tentang struktur dan sistem aktivisme pelajar di bawah FOSIS, walaupun saya kurang nampak apakah kaitannya secara langsung dengan saya, melainkan sekadar mendapat pengetahuan yang mungkin boleh diaplikasikan dalam apa-apa kegiatan yang bakal saya ikuti atau laksanakan. Saya pulang awal sebelum program tamat kerana terburu-buru mau membeli mesin pencetak di bandar, namun sempat meluangkan waktu beberapa minit berbincang tentang NUS dengan Alaa' al-Samarrai, wakil Student Affairs Committee FOSIS dan kalau tidak salah saya bertanggungjawab memantau perjalanan FOSIS Northwest.
Timbul cadangan oleh H dan Alaa' untuk saya bertanding dalam pilihanraya memilih wakil University of Manchester ke Persidangan Tahunan NUS 2009 nanti. Saya bertanya tentang komitmen yang diperlukan dan menunjukkan minat sekadar berbasa-basi - ketika itu saya tidak mengambil serius cadangan tersebut. Tidak logik, saya hanyalah pelajar antarabangsa dari Malaysia yang kurang dipedulikan pun oleh orang-orang tempatan lain, dengan pelajar Malaysia pun saya jarang-jarang bersosial, apatah lagi pelajar-pelajar tempatan, ada hati hendak bertanding merebut tempat sebagai wakil universiti?
Saya pergi ke bandar, membeli mesin pencetak yang sesungguhnya berat, bersusah payah mengangkutnya mendaki tangga sampai ke bilik di kediaman universiti, mengeluh kerana lengan yang lenguh-lenguh dan lebam akibat terlampau berlasak, dan barangkali langsung lupa tentang FOSIS, tentang NUS.
Namun H tidak membiarkan hal itu senyap begitu sahaja. Dengan serius sahabat saya ini menimbulkan semula perkara tersebut, membincangkannya bersama seorang lagi teman saya, SN. Hujah demi hujah dibentangkan H untuk meyakinkan kami yang waswas dan kurang entusiastik. Yang paling terkesan sehingga menyebabkan saya bersetuju mengambil borang pencalonan dan mengarang manifesto adalah dua perkara yang menjadi pembakar semangat saya hingga hari ini,
1) Perlunya figura yang lantang, berkeyakinan, berketrampilan dan berpengetahuan untuk ke hadapan memperjuangkan isu-isu tentang pelajar Islam khasnya dan masyarakat Islam amnya. Pemikiran dan pengalaman pelajar Islam Malaysia adalah unik dan sangat berguna untuk disumbangkan bagi memperkasakan lagi gerakan di United Kingdom. Kemampuan yang ada diberi oleh Allah bukanlah untuk disimpan saja-saja, dibiarkan berhabuk tidak digunakan atau diabaikan hingga tumpul tidak berasah. Kemampuan adalah tanggungjawab.
2) Belajar di luar negara tidak ada gunanya jika tanpa merebut 'nilai tambah' yang tidak dapat diperoleh jika menuntut di Malaysia. Nilai tambah yang boleh dikaut dengan melibatkan diri dengan gerak kerja pelajar-pelajar tempatan, terjun ke dalam aktivisme pelajar, di samping bergiat secara optimum dengan bidang pengajian yang diceburi. Dengan kata lain, potensi diri mesti dimaksimumkan - baik dalam akademik mahupun aktivisme. Hanya dengan mencabar kemampuan dan limitasi, diri yang batu akan menjadi berlian.
Saya bertatih-tatih menulis manifesto, mengisi borang pencalonan, dan 'berserah diri' kepada pasukan Student Affairs ISoc untuk membimbing dan menguruskan usaha berkempen saya. Yelah, tak tahu apa-apa! SN turut bertanding bersama-sama - dan bersama-samalah kami merekacipta poster dan flyer, membuat flyer packs, menampal poster, mengedar flyer, menghadiri hustings (yang hanya dihadiri oleh sekitar 20 daripada 40 calon yang bertanding dan beberapa orang pelajar - sangat tidak mendapat sambutan, tetapi saya dapat merasai pengalaman pertama membentangkan manifesto dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan), dan akhirnya membuang undi secara online. Tuhan, inilah kali pertama saya mencicipi 'rasa' arena politik mahasiswa di UK! Satu 'tanda' yang baru hilang, 'buah tangan' daripada episod berkempen yang lepas adalah parut kesan luka torehan pada kuku ibu jari tangan kiri saya. Puncanya, tertikam mata paku tekan sewaktu menampal poster di North Campus Student Union.
Sistem pengundian berdasarkan Single Transferable Vote - dan alhamdulillah, saya dan SN diumumkan menang. Malah saya mendapat undian pilihan pertama yang kedua tertinggi, dan setelah kiraan akhir selesai, saya adalah salah seorang daripada empat calon yang mendapat grand total tertinggi. Alhamdulillah. Teori saya - yang dipersetujui banyak orang - adalah, tuahnya terletak pada nama saya! Adibah Abdullah, nama yang akan berada paling atas dalam senarai pencalonan. Pengundi yang malas menyemak semua calon tetapi mahu mengundi akan mengambil mudah dengan mengundi nama saya, terutamanya pengundi Muslim yang dinasihati supaya mengundi calon Muslim yang dicadangkan oleh ISoc. Mungkin begitu!
Cerita baru bermula.
-akan disambung insyaAllah-
meow~
Thursday, April 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Malangnya Imperial College tidak terlibat dengan NUS...
Sudahlah keluar University of London...
Sengal sungguh universitas ku!
Adibah, bukannya diari. Kamu patut tulis novel...tentang politik mahasiswa di luar negara ni. 1st hand experience tentu menjanjikan
Post a Comment