Tuesday, December 15, 2009

Dalam Saff Ini, Aku Menjadi Dewasa

Salam.

Tahun keempat dalam sekolah perubatan. Sekitar tiga tahun tiga bulan dalam sekolah hidup di kota Manchester.

Aku lihat-lihat diri dalam cermin minda, lalu nampak figura yang sudah jauh lebih anggun, lebih dewasa. Yang selesa tanpa rendah diri, tanpa bangga diri. Tidak lagi canggung, kalut, sesekali selekeh. Yang sudah pandai dan tega menduga lautan, dengan kail yang panjangnya sejengkal tawakal.

Aku lihat-lihat diri dalam cermin hati, lalu nampak jiwa seperti pohon yang subur rendang. Daunnya sudah lebat dan hijau, sudah berani-berani mengajak orang tumpang berteduh. Turisan-turisan pada kayunya - tentu dahulu pernah mengoyakkan kulit dan melelehkan pedih, banyak yang sudah menjadi ukiran yang cantik, malah ada yang menjadi punca dahan baru bertunas.

Tuhan, aku bukan mau riak dan takbur, tapi aku mau melihat yang baik-baik, yang cantik-cantik sahaja, pada ketentuan dan kurniaanMu untukku.

Aku mensyukuri nikmatMu, ujianMu, yang mana semuanya itu, dalam takut dan harap, aku mohon, aku yakin, berkesudahan dengan kebaikan dan kemuliaan untukku, kerana Engkau guru paling Sabar, paling Penyayang, paling Pemurah dengan segala kemudahan, walaupun kelulusan dalam sekolahMu ini sungguh bukan mudah untuk kujulang.

Waktu-waktu tertentu dalam sehari, aku berdiri dalam saff yang rapi untuk menghadap Tuhan. Qiam, rukuk dan sujud seiring mengikut rentak takbir yang diucapkan penuh takzim. Hati-hati dalam jasad yang bersatu, tunduk membesarkanMu, Engkau kuatkanlah ikatannya, wahai Allah. Sungguh tidak dapat dibayangkan kehidupan ini tanpa solat berjemaah, tanpa zikir dan doa yang dikongsi bersama, tanpa salam dan pelukan seusai menyembah Tuhan. Aku memandang solat berjemaah itu sebagai jantung ukhwah, ikatan antara hati-hati yang dipersatukan oleh takbir sewaktu menghadap Allah - maka apakah lagi yang dapat memisahkan tautannya?

Sepanjang waktu setiap hari, aku bergerak dalam saff yang rapi untuk menghambakan diri kepada Tuhan. Langkah, tutur, dan tingkah, ritmanya mungkin berbeza rentak, tetapi nada yang melatari tetap sama. Aku yang pernah memandang skeptik kepada susunan seumpama itu, hari ini melihat semula hari-hari belakang dengan kesyukuran, kerana pernahnya merasai kesilapan itu menyebabkan kebenaran begitu asyik manisnya. Aku yang pernah menterjemah dunia dengan pandangan membangkang dan kedegilan, hari ini menoleh semula kepada hari-hari belakang, untuk tersenyum melihat kesabaran, kesungguhan dan kasih sayang yang membimbingku menunjukkan jalan.

Jalan ke madrasah yang terhampar seluas dunia, bernaung di bawah kubah masjid yang tesergam seluas angkasa, untuk menyertai saff yang berlapis-lapis dari satu hujung ke satu lagi hujung alam maya, yang semuanya hanya memandang ke syurga sana.

Ayah selalu menyebut, Tuhan itu Maha Baik. Lalu bertawakkallah dan berdoalah kepadaNya.

Allah, nikmatMu yang manakah lagi aku dustakan? Terlalu banyak...maka ampunilah aku, kerana tidak akan mampu aku menghitung Maha Baiknya Engkau.

***

Perlahan-lahan, aku diasuh, dididik, diajar untuk menjadi dewasa. Perlahan-lahan, sahabat-sahabat yang dikasihi pulang meneruskan perjuangan di tanah air. Perlahan-lahan juga, mereka yang menjadi tempatku bermanja, berpaut, bersandar, mula menjauh, meminggir, bukan kerana khilaf atau tengkar, namun kerana fitrah hidup ini, meniti kedewasaan, ruang yang dipugar kian lama kian besar, lantas perpisahan itu menjadi tuntutan yang tidak dapat dihindar.

Aku kepingin menjadi anak burung yang mencicip-cicip di dalam sarang, selesa bersama kawan-kawan, menunggu kakak, abang, ayah dan ibu pulang memberi makanan.

Tapi kawan-kawan juga semua mau terbang. Akan terbang. Malah ada yang sayap-sayap sudah mengepak, perkasa mendaki awan, masakan aku masih mencicip-cicip di dalam sarang?

Beratnya menjadi dewasa. Terjun ke langit lepas dan menongkah angin itu jauh lebih sukar daripada hanya memerhati dan berwawasan tinggi. Jauh lebih payah daripada belajar dan berlatih, melonjak ke puncak pokok, tidak mengapa kalau jatuh boleh cuba lagi! Getirnya melepaskan satu demi satu pautan, dengan kepastian bahawa dalam satu waktu yang dekat, aku akan terbang sendirian.

Lantas aku ternampak imejan roket yang menuju ke bulan, bukankah untuk mencapai kelajuan maksimum, satu demi satu muatannya dilepaskan, begitu sahaja dibuang?

Keruwetan yang selama ini aku hanya perhatikan, sekarang menjadi tanggungan yang harus aku fikirkan, selesaikan. Aku yang sebelum ini selalu-selalu hanya mengadu resah dan bercerita kepada kakak dan teman, sekarang harus mengubah orientasi, menjadi pendengar, pendidik, dan penasihat, yang bukan sahaja matang, tetapi juga teladan.

Pengorbanan itu amanah dan bukan lagi pilihan.

Berdiri di dalam saff, makmum perlahan-lahan akan ditolak ke depan menjadi imam.

Berdiri di dalam saff, walaupun setiap makmum yang menjadi ahlinya, sendiri-sendiri berbicara dengan Tuhan, qiam, sujud dan rukuk tetap seiringan.

Dalam saff ini, aku menjadi dewasa, dan walaupun aku sendiri-sendiri menempa laluan, gerak langkahku tidak akan keseorangan.

Dengan izin, kasih sayang dan pertolonganMu, wahai Allah.

Salam.
meow~

2 comments:

MSI said...

Terima kasih diatas artikel ini , teruskan menulis sahabat

Hamra' said...

Sangat suka.