Wednesday, January 13, 2010

Cinta dan Pengasingan

Salam.

Tulisan kali ini bukanlah asli - tetapi terjemahan daripada karangan Tariq Ramadan, dipetik dari laman web rasmi beliau.

Mengapa mau disalin semula dalam bahasa ibunda? Apabila membacanya, minda ini tidak lepas-lepas menuturkan semula ayat-ayat yang dibaca dalam bahasa Melayu, dan kedengarannya ia begitu indah jika diterjemah.Artikel asal ada di sini .

Terima kasih kepada kakak yang memasang 'tag' Facebook yang memautkan profil saya dengan artikel ini.

***

Setiap kali peristiwa kerohanian cuba dihuraikan, cinta akan disebut dengan sifat-sifatnya yang pelbagai - dua wajahnya yang berbeza, gambarannya yang sukar difahami. Cinta adalah sekolah yang memperkenalkan kita dengan kehidupan. Di dalamnya, kita belajar untuk maju ke hadapan, untuk bangkit mengatasi halangan-halangan dalam diri, dan kemudiannya untuk mencapai kebebasan - namun ia juga boleh menjadi sebuah penjara, di mana kita dibelenggu oleh rantai yang berlapis-lapis.Kita tenggelam, sesat, dan akhirnya benar-benar terikat.

Setiap ajaran kerohanian, falsafah dan agama bersetuju tentang ini, dan menawarkan kebenaran yang serupa: setelah tenggelam dalam cinta, seseorang itu akan menemui kembali apa yang pernah dicari-carinya di situ, kerana cinta adalah cermin, adalah juga perkhabaran.

Lantaran dirinya terumbang-ambing oleh hanyutan emosi dan kemahuannya untuk memiliki, cinta manusia akan sentiasa menyeksa dirinya sendiri, dirundung oleh perasaan tidak puas dan hati yang terbelenggu. Namun apabila manusia itu menguasai rohaninya, cintanya akan membawanya keluar daripada sangkar diri, mengizinkannya mencapai kepuasan dan penyerahan.

Maka cinta itu sebenarnya umpama satu proses pendidikan. Kita belajar untuk akur, mengikut, dan kemudiannya mengasingkan diri, perlahan-lahan kian sedar akan kekaburan realiti serta pentingnya keseimbangan, yang sememangnya payah untuk dicapai, rapuh apabila dipegang. Mengenal diri, mencintai diri seadanya, belajar untuk mencintai dengan lebih baik, untuk memberi, untuk menyerahkan diri dan memaafkan adalah proses seumur hidup yang tidak pernah lengkap, tidak pernah tamat, dan sentiasa menuntut pembaharuan.

Mencintai tanpa keterikatan, mencintai tanpa menjadi objek tempat pergantungan orang, memerlukan manusia membentuk kemampuan mentafsir yang tajam, memperkasakan peribadi dengan keberanian dan nilai yang tinggi atas kewujudan dirinya. Mencintai kehidupan dan menyaksikannya berlalu perlahan-lahan, mencintai diri sendiri tanpa melayan sebarang kepura-puraan atau fantasi, mencintai orang-orang yang disayangi dengan mengetahui bahawa waktu akan membawa mereka pergi, mencintai tanpa memuja, dan mencintai dengan kesedaran bahawa hakikat kewujudan ini tidak tuntas, tidak jelas, bahkan seringkali hanyalah relatif, bayangan dan bandingan.

Inilah pengertian mendalam kepada cinta yang penuh belas kasihan, yang mengikut ajaran Buddha, akan membawa insan kepada kebebasan. Dalam agama-agama samawi, keesaan Tuhan membawa pengertian yang sama dalamnya. Kemerdekaan mesti dicari, bebas daripada khayalan sendiri, daripada menyembah nafsu dan berhala-berhala dalam jiwa, jika mau mencapai cinta yang jernih, cinta yang mendatangkan kefahaman, sementara kita mau mencapai satu kehampiran spiritual sehingga mampu melihat jarak dalam perkiraan yang mutlak. Inilah pengalaman sufi yang cuba disampaikan oleh al-Jilani (kurun 11-12) dan Rumi (kurun 13), sepertimana pengalaman kerohanian dan kesufian yang lain. Tulisan Gibran, Prophet, menyimpulkan bagaimana cinta kepada Kesempurnaan dan/atau Tuhan membawa manusia meninggalkan dirinya sendiri. Katanya, "Jika kamu mencintai, kamu tidak sepatutnya mengucapkan 'Tuhan berada di dalam hatiku' bahkan sepatutnya, 'Aku berada di dalam hati Tuhan'"

Mencintai tanpa keterikatan. Tiada satu cita-cita pun yang boleh menjadi lebih payah untuk dicapai, dan untuk sampai ke situ menuntut latihan yang lama, sukar, dan adakalanya menyakitkan. Matlamatnya adalah untuk mencintai tanpa sebarang ilusi, angan-angan atau tanggapan dusta. Semua itu menjadi lebih payah lantaran kita kadang-kala menyamakan mencintai dengan keterpedayaan. Bagaimana kita boleh melangkah daripada ilusi cinta kepada kejernihan cinta? Bagaimana mampu untuk mengasingkan diri daripada sesuatu yang sesungguhnya terikat dengan kita?

Gibran dalam karyanya Prophet turut menyebut: "Cinta tidak pernah memiliki, dan tidak pula dimiliki", namun apakah pula nasib mereka yang telah dimiliki, dirasuk cinta, wanita dan lelaki yang dibutakan oleh cinta dan dirantai oleh belenggu?

Bagaimana dapat kita menggapai di luar sangkar diri, untuk bersatu dengan Kesempurnaan, atau Cahaya Yang Satu? Cinta sesungguhnya menjanjikan kebaikan, keindahan dan kesejahteraan, tetapi janji itu sentiasa datang dengan limpahan air mata, penderitaan dan kesakitan. Kehidupan adalah kesengsaraan; kehidupan adalah kecintaan ... kecintaan adalah kesengsaraan. Dan jika kita ingin hidup, mestikah kita mencintai kesengsaraan ini sehingga tibanya mati?

'Cinta' yang mengatasi cinta adalah cinta yang memerdekakan. Ia mendatangkan kepuasan dan kesediaan menghadapi apa saja kemungkinan. Lantas haruslah kita mendidik kesedaran dan hati, untuk mencintai dalam satu-satu waktu sambil mengakui akan perjalanan masa, untuk berada di sini dan mengetahui bahawa apabila tiba ketikanya kita akan pergi. Untuk mencintai sambil belajar untuk beredar: cinta yang paling murni tidak pernah lupa akan perpisahan, dan tidak sekali-kali ia lupa tentang kematian.

Cinta dan maut adalah padanan yang paling manusiawi: cinta manusia yang paling dalam cuba untuk menyisihkan sebarang ilusi tentang maut yang pasti menjelang. Kerapuhan itu adalah kekuatannya. Kekuatan hati yang tawaduk tersembunyi di sudut kesedaran itu - dalam cinta - tentang maut.

Kembali ke permulaan. Kitab-kitab suci, riwayat-riwayat purba dan falsafah setiap zaman mengajak kita untuk melihat dan belajar daripada Alam, keindahan dan kitarannya, daripada yang fana dan yang abadi. Kita tahu bahawa mencintai itu adalah fitrah yang hadir semula jadi, tetapi kita diajar cara bercinta yang lebih agung, mencintai secara sedar dan spiritual, serta memahami pengertian dalam pengasingan. Kita perlu memilih antara Kant yang terkekang dan Nietzche yang terburu-buru, antara jalan yang dipilih Buddha atau Dionysius, antara cinta Tuhan dan cinta Nafsu. Antara kebebasan dan melayan keperluan, antara kemerdekaan dan keterikatan, antara pengasingan dan percantuman.

Seseorang itu tidak mampu memilih untuk mencintai atau tidak, tetapi boleh memilih bagaimana caranya untuk mencintai. Alam menjadi cermin, bilamana menghadapnya wajah kita mesti diangkat, lantas mata merenung ruang-ruang yang jauh dan dekat, sementara mengetahui bahawa walaupun sekarang kita wujud sepenuhnya di sini, bumi tetap akan memberi ruang kepada orang lain setelah ketiadaan kita.

Ruang dan waktu yang terbentang luas seperti cermin membayangkannya, diri yang merdeka memahaminya, dan Yang Satu mengulang-ulangnya: untuk mencintai adalah untuk berada di sini, hampir kepada keluarbiasaan di dalam kebiasaan, untuk menawarkan, memberi dan memaafkan. Mencintai adalah untuk mendamaikan antara keberadaan yang kaku dengan perjalanan yang mundar-mandir, akar banir yang teguh dengan angin yang kencang.

Mencintai adalah menerima dan belajar untuk melepaskan. Mencintai adalah memberi dan belajar untuk pergi. Dan sebaliknya.

meow~

1 comment:

Anonymous said...

Kamu terjemahkan artikel ini?
Tahniah!
Esok lusa terjemahkan satu buku Dr Ramadhan terus :D