Monday, September 27, 2010

Lebih Cantik, Lebih Murah, Lebih Baik...

Assalamualaikum warahmatullah.


Beg Tangan dan Kasut


Petang semalam, saya menemani adik-adik yang baru sampai ke Manchester, pergi membeli-belah. Shopping list mereka mudah - beg untuk ke kelas dan berjalan-jalan, kasut sukan, mungkin sepasang dua pakaian. Saya, yang konon tidak ada kerja, menawarkan diri untuk menjadi pengiring.

Ketika ditanya - mahu yang murah, tetapi dapat beli banyak dan kerap; atau yang sedikit mahal, tetapi berkualiti dan jarang-jarang diganti - mereka tidak kisah. Lalu antara ke Primark atau ke Arndale, saya bawa mereka ke Arndale.

(Waktu mula-mula sampai ke Manchester, saya lambat kenal Manchester City Centre... keluarga angkat yang membawa saya, mendahulukan Salford Quays dan Trafford Centre. Saya lewat kenal Primark, kerana diperkenalkan dulu dengan toko-toko high street seperti Zara dan BHS. Berkali-kali saya dititipkan nasihat - tidak mengapa berbelanja lebih sedikit untuk barang-barang berkualiti, investment kata kakak angkat. Lalu pengaruh itu, berbekas dan terkesan, sampailah ke hari ini...)

Suatu yang saya perhatikan, adik-adik ini, lama memilih-milih. Dari satu kedai, ke satu kedai. Masuk Clarks, alamak semuanya mahal melampau-lampau, koyak poket. Masuk H&M, sudah ada beg sandang yang berkenan, tapi kami putuskan, nantilah, kita tengok kedai lain dulu. Lepas ni kalau tak ada yang lebih cantik, kita masuk kedai ni semula.

Begitu juga dengan kasut sukan. Sepasang, sepasang dibelek dan dicuba. Mula-mula berkenan yang ungu, tertarik melihat yang merah, kemudian merah jambu, kemudian yang ungu semula. Mula-mula terpikat dengan kasut di rak hadapan, kemudian membelek-belek kasut lain di rak-rak belakang, sepasang demi sepasang, lalu mencari kasut yang lain pula di rak hadapan.


Tak apa dik, akak tak kisah temankan korang. =)



Cuma yang bermain-main di fikiran, sambil jari menekan-nekan kekunci BlackBerry di tapak tangan (mengisi masa menunggu...), adalah -

....betapa manusia ini, jika ada pilihan, ia akan memilih. Ia akan memilih semahu-mahunya. Betapa manusia ini, sentiasa ada 'kalau' dalam fikirannya. Sentiasa memikirkan, bagaimana kalau selepas ini, ketemu barang yang lebih cantik, lebih murah?

Sewaktu kanak-kanak dahulu, saya selalu ditegur oleh ayah dan mak cik kantin, kerana 'berehi angkat letok'. Anak cikgu, manja dan dimanjakan, berpeluang mengada-ngada, memilih-milih kuih ketika waktu makan. Pegang seketul, eh tak jadilah, nak kuih lain yang lebih sedap. Pegang yang itu pula, eh tak naklah, kuih yang itu lebih besar. Orang tua mana yang tidak menegur?

Sewaktu kecil kita rambang mata memilih permainan, kuih dan aiskrim. Setelah dewasa, ada antara kita yang membawa-bawa tabiat serupa itu dalam ruang-ruang hidup yang lain, yang lebih serius. Sewaktu berbelanja puluhan pound di pasaraya contohnya.

Sewaktu memilih pasangan hidup contohnya.



Muktamad



Membuat keputusan untuk membeli satu-satu item, untuk komited dengan sebuah beg sandang berkotak-kotak hitam putih atau sepasang kasut hijau kalimantang, bererti rela melepaskan kemungkinan-kemungkinan yang boleh jadi datang, di kedai-kedai yang belum dijenguk, untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Kemuktamadan sebuah keputusan itu menjadikan kita gentar, kita bertangguh, kita takut rugi.

Kita takut dengan sesuatu yang muktamad. Sesuatu yang daripadanya tidak dapat kita berundur atau berpatah balik lagi. Mungkin kerana itulah, kita takut akan mati. Walaupun bezanya, mati itu bukan boleh dipilih-pilih.

Saya terfikir.

Hidup yang lama bukanlah jaminan untuk lebih dekat dengan Allah. Cepat atau lambat matinya bukanlah penentu banyak atau sedikit amal yang dibawa pulang.

Cerewet atau tidak memilih bukanlah penentu mendapat barang yang terbaik. Panjang pendek tempoh memilih, angkat dan letak, banding dan beza, bukanlah jaminan bahawa barang yang kita peroleh pada hujungnya - kalau kita akhirnya memutuskan untuk membeli apa-apa - adalah barang yang terbaik.

Mungkin ada yang lebih baik yang kita tidak terpandang, belum ketemu, atau sudah terlepas kerana terlalu lambat membuat keputusan. Mungkin waktu dan belanja yang dihabiskan dalam usaha memilih dan mencari itu, tidak berbaloi pun dengan hasil yang diperoleh.



Pandu Uji


Saya teringat dialog suatu siang dengan seorang rakan 'orang putih'. Dia sudah dua tahun tinggal bersama teman lelakinya, konon memeriksa kesesuaian. Sukar baginya menerima ideal anak-anak muda Muslim yang tidak mahu bercinta, atau setidak-tidaknya mengelak daripada bergaul bebas, sebelum mendirikan rumahtangga.

Seperti orang yang mahu membeli kereta, bagaimana mahu tahu prestasinya sebelum dipandu uji? Bagaimana boleh yakin, dialah 'orangnya' kalau belum bercinta sakan, kalau belum berkongsi kamar? Itu fikirnya.

Jawapan kita yang punya aqidah dan bersyahadah ini tentu sahaja lain daripada telahan seumpama itu. Kita punya iman dan tawakkal, dan kita telah disajikan dengan bukti - masyarakat Barat tuna susila ini, begitu lama mencuba pun, memilih-milih, 'angkat-angkat-letak' tanpa batasan pun, setelah pilihan dibuat, bercerai-berai juga sudahnya.

Kita punya iman dan tawakkal, dan kita berpegang kepada konsep takdir dan berkat.

Tempoh memilih-milih yang lama, malah boleh mencuba-cuba, bukanlah jaminan pilihan yang terbaik, jika tiada barakah dan redha daripada Allah.

Contoh yang selalu disebut-sebut, bagaimana datuk nenek kita dahulu tidak perlu pun memadu asmara sebelum nikah, tetapi ikatan mereka utuh sehingga sampai ke kuburan, yang diatur sebelah-menyebelah.

Tidak perlu dibandingkan dengan anak-anak muda hari ini, yang bercinta dengan asyik dan majnun, tetapi bergilir ganti cintanya sepantas bertukar bulan dan tahun. Konon mahu mencari keserasian.

Aduhai, lama-lama memilih-milih, mencuba-cuba, memandu uji serupa itu, apalah gunanya kalau kereta dibeli orang juga sudahnya? Kereta yang dipandu uji berkali-kali, tidak rasakah diri terpedaya, digunakan percuma, oleh tangan-tangan yang sebenarnya tidak mampu membeli skuter pun, apatah lagi kereta berjenama?



Apa, dan Siapa, Yang Baik?


Dialog yang masih saya ingat, sewaktu pulang dari menziarah seorang sahabat yang baru dianugerahi Allah SWT dengan cahaya mata. Dalam perjalanan pulang menaiki kereta, dua orang sahabat, lantas berbicara tentang cinta, hati, teman lelaki dan calon suami. Perhatian : dialog berlaku antara dua orang mek Kelate yang belajar di luar negara.


X : Bagi I, walaupun dio lagu tu, tapi dio baik.

Y : Gapo definisi baik you?

X : Dio baik la, sebab dio pandai ambil hati I, sayangkan I. Dan I yakin, kalau I nikoh dengan dio, dio akan setia dengan I dan ikut cakap I.

Y : Kalu I la mek, I'd like to assess a man as baik or not, buleh wak laki or not, based on how baik is he as a Muslim. Kalu dengan Allah pun seorang lelaki tu tak jaga amanah, inikan pula nak jaga amanah dengan bini dio. Yes, people said that ore alim alim pun gelenya jugok. Memang betul pun. I know religious faith is not the safest bet to assess someone's goodness and marriageability, but I couldn't find a better bet than that.



Harga yang Mahal, dan Citarasa yang Tinggi


Saya, punya kaedah sendiri dalam membeli-belah. Entah satu kelemahan, entah satu keunikan - saya amat cenderung dengan barangan berjenama, atau yang 'bercitarasa tinggi' (konon). Prinsip yang saya amalkan, beli hanya jika perlu, namun jika membeli, pastikan yang berkualiti, tidak kisah harganya tinggi, asalkan puas di hati.

Antara kegusaran saya selepas beg tangan dicuri waktu cuti yang lepas, selain daripada kehilangan netbook dan dompet, adalah kehilangan sebotol wangian berjenama, hadiah perpisahan daripada seorang kawan - dan kesempitan wang sesudah itu menyebabkan saya hanya tergamak menggunakan semburan berharga kurang GBP2 yang dibeli di farmasi, sehinggalah kemampuan mengizinkan saya baru-baru ini mendapatkan sebotol D&G The One yang keharumannya lama saya rindu-rindu.

Mungkin kecenderungan serupa ini bertumbuh kerana kenangan waktu kecil saya, ketika keadaan keluarga menyebabkan saya berpuas hati dengan barang-barang yang sederhana. Sehingga meningkat remaja, seterusnya mendewasa, saya jadi terbawa-bawa, sentiasa rasa bersalah untuk meminta-minta lebih daripada orang tua, walaupun keluarga sudah mampu. Lantas setelah memegang wang sendiri - walaupun ya amanah, tajaan rakyat - apabila hadir keperluan untuk membeli-belah, saya usahakan untuk mendapatkan yang berkualiti, apatah lagi setelah dipengaruhi oleh kakak angkat dahulu.

Tidak perlu banyak, tidak perlu kerap. Beg tangan yang saya beli, waktu tahun pertama di Manchester, saya guna - tidak pernah, saya ulang, tidak pernah - saya beli beg tangan yang lain, sehinggalah hujung tahun keempat, ketika penyandangnya sudah pecah-pecah menampakkan tetulang plastik biru dan jahitan benang beruraian, sudah segan untuk disangkut ke bahu. But knee-length yang dibeli waktu tahun ketiga di Manchester, sampai sekarang masih belum saya gantikan dengan yang baru, walaupun tapaknya sudah haus benar dan pecah-pecah. Guna sampai puas.

Seperti cinta, tidak perlu banyak, tidak perlu kerap, satu sudah memadai, asal hati berkenan dan jelas arah tujuan.

Hingga lusuh jasad, luluh menjadi tulang dan debu, indahnya jika cinta, hanya satu, hanya satu. Benar, kerja Tuhan siapa tahu. Justeru jagalah cinta - jatuhnya, jangan terlalu lekas, jangan terlalu senang, kerana setelah engkau mengerti nilai sebuah cinta, maka akan bertandang kesal jika dahulu lalai menghargainya.

Kelopak-kelopak bunga ceri dan bunga epal, begitu mudah gugur berderai, putih dan merah jambu, diusik angin musim bunga. Ketika seperti hujan itu ia cantik, ketika bertaburan ibarat hamparan ia masih cantik, ketika dipijak-pijak dan kering layu, cantiknya hancur bercampur debu.



Memilih?


Saya tidak bersetuju perbuatan berlebih-lebihan dalam urusan pilih-memilih sehingga melanggar hukum syariat, membazirkan waktu dan, dalam sesetengah keadaan, menzalimi orang lain. Namun dalam apa keadaan sekali pun, insan tidak wajar melampau ke kiri atau ke kanan. Tidak gemar merumitkan urusan memilih, tidak bererti mengentengkannya terus.

Dalam urusan pilih-memilih harus, bahkan MESTI berhati-hati. Apatah lagi jika menyentuh soal jodoh dan nikah. Ini bukan hal beg tangan atau kasut, bukan juga hal rumah atau kereta. Tetapi soal bahagia dan derita seumur hidup.

Saya, adalah seorang yang pemilih. Selektif. Choosy. Cerewet. Entah.

Dan saya amat-amat kecewa dengan pernyataan sesetengah pihak, yang menyalahkan individu lain - wanita terutamanya - yang lambat bertemu jodoh,

"Ha, itulah, memilih sangat."


Ini bukan soal beg tangan dan kasut, tetapi soal mati dan hidup. Wanita, setelah menikah dan bergelar isteri, suami itulah imamnya, di situlah cinta dan taatnya, syurga dan nerakanya. Terus salah apanya jika kami memilih?


Semakin penting sesuatu itu untuk seseorang, maka semakin telitilah proses memilih. Pada penghujungnya, rasa puas hati dengan dapatan yang diperoleh menjadikan segala kesukaran yang dihadapi lebih awal, berbaloi.

Umi terkenal cerewet - sanggup berkeliling pasar raya Kota Bharu, Machang dan Kuala Krai, mungkin sampai ke Tanah Merah, hanya untuk mendapatkan sebuah beg tangan atau sepasang kasut. Apabila menyediakan juadah di rumah, ayah jelas amat gembira kalau umi memuji masakannya sedap. Di rumah, kehebatan ayah memasak tidak terlawan oleh sesiapa hatta umi - tetapi bagi ayah, pengiktirafan terbaik adalah apabila umi suka - mungkin kerana cinta, mungkin kerana umi yang, teliti (baca : cerewet.). Hehe.

Namun dari satu hujung yang lain - sampai bila, manusia, harus memilih tanpa henti-henti? Until all the checkboxes are ticked? Akan tibakah waktu itu, dan lebih menginsafkan, adakah diri layak pula untuk memenuhi kotak-kotak dalam senarai orang lain?

Kalau hati sudah tetap, tidak perlu angkat-letak lama-lama. Ayah memilih umi dalam tempoh kurang tiga bulan selepas berkenalan (kalau tak salah mengutip sejarah la). Saya memilih untuk ke United Kingdom dalam masa kurang 20 minit, sedangkan rakan lain menarik-narik rambut berminggu-minggu hendak membuat keputusan. Dan jika hati sudah mengatakan iya, perkenalan yang kurang seminggu pun boleh mencetuskan pilihan dengan kesan berpanjangan.


Aku memilih, dari sudutku, dan kau memilih, dari sudutmu. Akan bertemukah pilihan itu dalam satu wadah bernama .... ?


Kerana memilih itu urusan payah, maka Allah kirimkan hadiah, bernama solat dan doa istikharah. Tidak akan rugi dan kecewa, sesiapa yang memohon petunjuk daripada Allah dan sabar menerimanya.

Dan kerana manusia itu begitu terbatas kuasa dan pengetahuannya, maka carilah kepastian, dalam cangkir-cangkir tawakkal. Tiada suatu apa pun yang pasti melainkan keadilan dan kebijaksanaan Allah SWT.


"...Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya." - Ali Imran, 159



Nota : Seorang kenalan saya dalam FOSIS mengaku pernah beristikharah sebelum memilih untuk makan tengah hari. Comel kan? =)

Nota di atas bertujuan untuk memperingatkan, istikharah itu untuk membuat apa saja keputusan, bukan hanya untuk, yang gitu-gitu saja!


10 comments:

Zulhimi said...

Kalau memilih sangat, you'll miss the boat. Kalau tak pandai memilih pulak, menderita.

I'll quote from Dr. Asri's lecture in Dewan Penyayang Pulau Pinang:

Islam ini adalah satu jalan yang lurus di tengah-tengah di antara cuai dan berlebih-lebihan dalam membuat keputusan.

The answer is not in black or white. It's grey. That's life.

Anonymous said...

Assalamualaikum ww dib, sienyo ko mun..hile barang2 berharga ka? hok saen mun wi hdiah tu sure deo tak marah ..takpowlah nnt allah ganti yg lebih baik..

salam kejauhan
mek yg merinduimu dan kau rindui..

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...

salam dib..ur things dirompakkah? takpelah may allah replace something btter inshaallah. bout the gift from a friend rasenye dea tak kesah kot..har har...

salam pekerjaan khamis ni bermula,
mek hok mun rindu.

tupai said...

rindu.

sabar.

manis.

aku hilang kata-kata.

MSI said...

Penat baca =)

Kadang2 bukan masalah memilih, tp masalah x boleh pilih sebab yang paling cikai pun x mampu untuk dimiliki.
Nak beli nasi lemak , paling murah harga singgit, tp duit dalam poket ada lima sen

Teruskan menulis..

Kaka Fizah said...

Betul cakap Shanon, panjangnya Adib tulis, cerita kali ni berbentuk macam piramid, at last, you mean 'something'

Kesimpulan, Allah berikan pilihan kepada kita di dunia ini, dengan dikurniakan akal yang dipandu dengan ilmu.

Percaya atau tidak, semua yang kita buat atas dasar pilihan yang kita pilih sendiri..

Macammana nak memilih yang terbaik melalui empat perkara;
1. Istikharah
2. Istisharah
3. Determination
4. Stick to the pilihan yang telah dibuat.

Applylah empat perkara ini di dalam semua pilihan yang ingin dibuat, bukan hanya waktu ingin memilih jodoh atau nak pilih kerjaya.

Take care Adibah !!

Anonymous said...

Kita memilih sebab kita ingin mencari orang yang kita mahu... Nak cari orang kuat sembahyang, orang alim bukan susah (tak percaya?). Cari orang hensem/cantik pun tak susah. Tapi bila nak cari orang alim dan hensem/cantik? agak susah lah sikit. Semakin banyak kreteria semakin susah lah nak cari... Jadi akhirnya... Kita cari orang yang kita buat hati kita berbunga. Mungkin buruk pada pandangan orang, tapi cantik pada pandangan kita. Jangan kata kerja cari jodoh tu kerja Allah. Allah lebih suka kita usaha cari sendiri dari dia tolong cari untuk kita.