Thursday, October 07, 2010

Memadahkan Tenang

Assalamualaikum warahmatullah.


***

Manusia suka bertanya, apa itu cinta?

Mereka bernyanyi dan bermadah, berpuisi dan bersyair untuk memaknakan cinta, untuk mentafsirkan cinta. Kadang-kadang ada yang menyebut, ia telah jatuh cinta. Atau ada yang memberitahu saudaranya, kamu telah jatuh cinta.

Aku, bukan mau menambah lagi pada kitab-kitab yang sudah jenuh membicarakan cinta.
Aku mau bertanya satu soalan lain. Tentang sesuatu yang sama ada akan subur kembang dengan hadirnya cinta, namun lebih kerap selalunya, ia akan melarikan diri apabila dikejar cinta.

Aku mau bertanya, apa itu tenang?

Mana dia nyanyi dan madah, puisi dan syair yang memaknakan tenang, mentafsirkan tenang?

Yang mana lebih payah dicari, tenang atau cinta?


***

Tenang itu -

adalah bukit-bukau hijau yang kemuncaknya diliputi kabus putih, di bawah matahari pagi yang putih perak, cahayanya yang diam, memantul pada titis-titis embun.

adalah langkahan kaki menyusuri Great Western Street dalam sepi malam hari, ditemani angin yang lembap dengan sisa hujan atau suram lampu jalan yang setia.

...adalah pelangi petang yang damai merentang langit kelabu kota Dublin selepas hujan reda, suatu Disember dua tahun sudah.

...adalah daun-daun matang yang gugur megah setelah sampai waktu, hidup yang kaya dan mati yang puas, melayah ditiup angin petang, seperti emas yang berjatuhan disuluh kilau matahari musim luruh.


Tenang itu,

mungkin serupa langit dan bumi yang bertutup salji, hingga malam menjadi putih berkilau, sedang kepul-kepul kapas turun berduyun-duyun seperti sayap bidadari.

boleh jadi adalah bulan yang mengambang penuh, menyuluh helai-helai kertas doa yang terbang menunggang malaikat, kiriman hamba untuk Tuhan.


Sepertinya tenang itu lebih indah daripada cinta.


Tenang,

adalah alun Quran ayah selepas Subuh dan nasyid zikir umi mendodoi adik dalam buaian, lebih sedekad lampau.

adalah kesenyapan sujud ketika roh menerawang melangkau alam maujud.

adalah roh yang akhirnya bebas daripada belenggu jasad, setelah lelah rebah rempah melayan dunia, tiba juga waktunya untuk ia buru-buru pulang, mau rebah bermanja di pangku Tuhan.


Mampukah tenang dan cinta - untuk selain Tuhan - duduk berduaan dalam satu kalbu?



***


Tenang,

adalah

sabar menanti kata Tuhan.
akur menerima kata Tuhan.
tunduk mengaku diri hamba, yang setiap inci hidupnya berhak dipisah-pasang sesuka hati oleh Yang Maha Berkuasa.

tahu bahawa Tuhan itu mengikut sangka hambaNya, lantas bersangka baik denganNya.
yakin bahawa Tuhan itu Yang Maha Pengasih, tidak sesekali menzalimi hambaNya.


***


Tenang itu juga serupa

derap kuda di medan perang

simpang siur peluru yang sibuk menghantar insan ke syurga dan neraka

tegar pahlawan yang dipenjara tanpa bicara

mata-mata yang kuyu dan merah bergadang merangka rencana kerja Islam

tubuh yang lenguh dan mengaduh dihumban mehnah sepanjang jalan

dan laungan takbir yang mengiringi langkah di tengah medan.








Tenang itu pada tangan yang bergandingan
dalam jalinan ukhwah atas nama perjuangan
dan mata yang bertentangan
dalam lingkungan akad yang direstui Tuhan.



Seperti tenang itu, sebenarnya tidak dapat hadir tanpa adanya cinta.




***


... (iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allahlah hati menjadi tenang. - Ar-Ra'd, 28.

1 comment:

Anonymous said...

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa TENANG kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(ar-Ruum: 21)