Saturday, October 16, 2010

Usah Ditanya Kenapa

Setengah jam. Setengah jam. Sejam. Hampir jam satu pagi.

Menatap cerpen yang rakan serumah tagkan aku di laman FB, patah demi patah, aku rasa wajahku panas. Ada ruapan yang menghangatkan mata, ada sebak yang menakung dalam kantung-kantung rasa. Bukan kisah cintanya yang memaut perhatianku. Aku sering sukar untuk hairan dengan karya-karya cinta, baik Islami mahupun jahili. Apatah lagi mau terpana atau termimpi-mimpi.

Walaupun sekali-sekala, ada susunan cerita yang menangkap perhatianku, lalu bergentayangan dalam kotak fikir. Ada paparan yang tergambar, di sebalik ayat yang bercerita, lalu paparan itu mengunjungi minda sedarku dan berdiam di situ sehingga beberapa waktu. Ada ucap watak yang bertalun seribu kali dalam deria dengar hati.

Barangkali cetera yang baru kubaca betul-betul sebentar tadi adalah lakaran hidup serupa itu, yang jarang-jarang kutemu. Yang kisah di sebalik ceritanya membikin aku senyap, kerana lisan yang kelu sering terpaksa meminta diri apabila bertembung dengan perkara hati.

Bukan cerita cintanya yang menarik hatiku. Aku, payah untuk hairan dengan kisah dan karya cinta. Aku mampu mengarang kisah cinta dan puisi cinta yang lebih syahdu, lebih dalam, lebih tragis atau romantis, daripada lambakan yang mudah kujumpa. Segalanya dengan izin Allah, bakat kurniaNya.

Yang syahdu ke minda sedarku adalah pasrahnya, kehambaannya, sedarnya tentang sebuah buku di tangan Tuhan yang Dia isikan perjalanan hidup setiap ciptaanNya. Buku itu hanya boleh ditulis oleh Tuhan, Tuhan semata-mata, dan sesuka Dialah apa yang berkenan Dia tuliskan. Yang sayu ke minda sedarku adalah penantiannya dan tulusnya menerima kesudahan sebuah penantian itu.

Ya, kerana buku hidup itu tulisan Tuhan, pengkarya agung segala kisah cinta, kerana Dialah pemilik cinta.

Aku, ada kisah yang meronta-ronta mahu dikhabarkan kepada dunia. Meronta-rontalah ia di situ, kerana ia tidak akan pernah aku luahkan dengan terang tanpa rahsia. Juta-juta kata yang kuhimpun, sekian lama ini, akan diam di mana ia patut berada.

Mungkin ini malam terakhir, sebelum selamat tinggal kepada sebuah mimpi itu perlu kuucapkan benar-benar. Aku, tidak tahu. Entah bila semuanya akan berkesudahan, dan entah bagaimana kesudahannya. Aku, benar-benar tidak tahu.

Sudah lebih suku jam selepas satu pagi.

Usah ditanya kenapa, jika kau yang membaca tidak memahami, mungkin engkau tidak perlu tahu pun kisah di sebalik cerita ini. Aku, hamba Tuhan yang gelepar jiwa lelah rasa mencari erti. Apapun, hampir semusim ini, sedikit pun aku tidak menyesali apa yang telah dan sedang terjadi.

Tuhan sentiasa punya waktu untuk mendidikku.

Terima kasih, Tuhan. Moga aku juga punya kuat dan sabar, untuk menerima dan menunggu.

Aku tahu, Tuhan tahu apa yang aku tuliskan di sini. Sewaktu jari-jariku bergerak ini, Dia melihatnya. Sewaktu mataku terasa hangat dan kerdipnya terasa basah, Dia memerhatikannya. Sewaktu aku resah bertanya, mengapa, mengapa, dan mengapa, Dia mengutuskan jawapan kepada hati yang mengerti, mengapa mesti redha dan terima. Kerana aku ini, tidak lain adalah hamba.

Tuhan, terima kasih. Moga aku hambaMu ini tidak pernah jemu dan letih, memandangMu dan mengadukan segala payah dan jerih.

Manusia, usah ditanya kenapa.

Tapi manusia, cuba khabarkan padaku, apakah sebab-sebabnya yang menghalalkan tangis dan air mata, sehingga ia tidak menjadi cabul, lemah dan hina?

Aku tidak tahu apa yang akan terjadi esok hari. Lusa, atau tulat nanti. Aku tidak tahu bagaimana permohonan kerja Foundation Yearku di sini. Aku tidak tahu bilakah borang-borang kemahiran klinikal yang perlu kusempurnakan penilaiannya itu akan penuh diisi. Aku tidak tahu adakah aku akan bekerja di sini atau di Malaysia nanti. Aku tidak tahu bagaimana pencapaianku dalam peperiksaan Januari nanti. Aku tidak tahu status kesihatanku sendiri pada waktu akan datang nanti, mungkin 10-20 tahun lagi, ada penyakit yang terpendam akan muncul menagih rawatan rapi. Aku tidak tahu. Aku tidak tahu cinta dalam hati ini, siapa pemiliknya yang berhak untuk kuberi. Aku tidak tahu cinta ini mahal atau tidak bererti, kerana hati yang menjadi rumahnya mungkin tidak cukup suci daripada anasir duniawi, terus aku juga tidak layak untuk menadah cinta yang persih murni. Lebih aku tidak tahu apa yang menantiku selepas mati nanti.

Namun aku tahu siapa aku, hamba Tuhanku. Betapa bening, andainya hatiku cukup suci, hingga pengetahuan itu saja cukup untuk memberi aku kuat dan tenang.

Manusia, aku pemilik hati rusuh yang mencari tenteram. Usah ditanya kenapa,

....tetapi jika kamu semua sudi mengirimkan doa kepada Tuhan untuk membahagiakan aku, mohonkan aku damai sejahtera, maka aku pohon agar malaikat juga mendoakan bahagia dan sejahtera untuk kamu.

Tupai, aku rindukan kau. Aku rindukan kau dan aku, dan aku rindukan kita semua. Aku rindu ketika-ketika kita kanak-kanak yang berangan-angan tentang masa depan yang comel dan riang. Aku rindu angan-angan kita yang comel dan riang itu. Aku rindu ketika kita semua masih dekat dan belum jauh. Aku rindu, dan ketika aku menulis kata-kata itu tadi, air mata gugur juga, dan aku berlari mencari gulung tisu hingga tersadung wayar netbook, lalu netbook jatuh terhempap ke lantai.

***

penantian adalah suatu ujian
tetapkanlah 'ku selalu dalam harapan
kerana keimanan tak hanya diucapkan
adalah ketabahan, menghadapi cubaan.

----
----
di dalam asa diri, menjemput berkahMu
tibalah izinMu, atas harapan ini

Rabbi, teguhkanlah 'ku di penantian ini
berikanlah cahaya, terang ku selalu
Rabbi, doa dan upaya hambaMu ini
hanyalah bersandar semata kepadaMu

Rabbi, teguhkanlah 'ku di penantian ini
berikanlah cahaya, terang ku selalu
Rabbi, segala upaya hambaMu ini
hanyalah bersandar semata kepadaMu

Rabbi, redhailah penantianku ini
hadirkanlah ketenteraman di dalam hati
Rabbi, hanya padaMu 'lah taatku ini
duhai tempat mengadu, segala resah diri

-mohon permisi, Dani Setiawan, aku pinjam puisimu, terlalu dekat dengan hati pada waktu-waktu serupa ini-


Malam, bulan sedang separuh mengambang. Hangatnya tidak seperti malam musim luruh. Apa awan tidak mahu menghujan?

Sepuluh minit sebelum dua pagi.

Mohon permisi, dan mohon didoakan.

No comments: