Thursday, November 02, 2006

sejuk ke sumsum tulang

assalamualaikum.

Melihat gambar2 seorang sahabat yang baru dikenali, gambar2nya dalam aktiviti2 yang begitu akrab dengan saya suatu ketika dahulu - dan masih lagi hingga sekarang - cukup-cukup menyentuh rasa. Menimbulkan satu macam perasaan yang menekan abdomen dari dalam dan mengasak tulang skapula serta vertebra. Rindu, minat, cinta, dan ya, kalimat Inggerisnya lebih tuntas, "passion".

Apa agaknya yang dia lakukan? Apa agaknya gambar yang saya tengok?

Gambar dia dan kawan-kawannya bersila dalam kelompok membincangkan soal pementasan, persembahan dikir yang meriah, pentas yang gemerlapan, tarian zapin yang santun berbudaya - ya, saya tidak sangka saya akan jumpa hal-hal seumpama itu lagi di Manchester ini, dan lebih tidak saya sangka saya akan jumpa orang yang seolah-olah punya cinta seperti saya. Di sini.

Kalau anda adalah orang yang pening melihat orang berpusing-pusing menari, tidak faham hujung pangkal persembahan teater, memilih untuk menonton CD daripada Malam Deklamasi Angkasapuri, menganggap tulisan-tulisan Shahnon Ahmad dan Usman Awang tidak lebih daripada cerita yang menarik atau bait-bait kata yang 'macam indah tapi tak berapa faham', atau dengan kata lain, melihat seni dan sastera sebagai hiburan (seronoknya tengok orang nasyid.. eh aku sedih la tengok drama tadi..) atau bahan elitis yang sukar dimengerti (amende Adman Salleh nak sampaikan dalam Paloh ni sebenarnya? berbelit-belit...), maka mungkin anda sukar memahami isi hati saya.

Saya tidak memandang rendah kepada orang-orang yang tidak meminati/memahami/menghargai sastera dan seni. Setiap orang ada kecenderungannya. Saya tidak minat baiki-membaiki kereta, bertukang, atau menjahit, sedangkan ada orang yang mencintai lapangan-lapangan di atas seperti saya mencintai seni.
(dalam dunia yang penuh kontroversi, provokasi, dan sangka buruk ini, saya perlu membuat kenyataan 'disclaimer' seperti ini hampir dalam setiap posting.. huhu..)

Saya rindu. Rindu untuk berada dalam lingkungan artistik yang sama-sama punyai bakat dan minat dalam seni. Yang akan memahami apabila perbincangan berlegar seputar metafora, voice projection, penghayatan, bahasa badan, dan teori sastera Rahman Shaari atau Faisal Tehrani. Apabila tutur berlingkar sekitar makna tersirat dan tersirat serta gaya bahasa dalam karya Abdullah Hussain, Fatimah Busu, Naquib Mahfouz, malah Salman Rushdie. Sesekali menyentuh perihal teater di KLPac atau Istana Budaya, seni filem Zhang Yimou dan UWei Shaari, atau muzik MNasir dan Kopratasa.

Jari saya terasa kejang untuk menaip kerana terlalu sejuk. Tapi mana mungkin saya menaip dengan lancar bersarung tangan? Ya, sekarang saya di dalam bilik. Di luar tadi begitu dingin, dengan berlapis-lapis pakaian saya berasa seperti hibrid antara sebiji ketupat dan seekor kucing yang tiba-tiba kehilangan bulu. Aduan ini tidak ada kaitan dengan tema perbincangan ya.

Mestikah saya korbankan semuanya? Yang saya rindu dan cinta? Untuk mengejar CINTA yang lebih agung, lebih tinggi dan lebih mulia?

salam,
meow~

1 comment:

Anonymous said...

Mengapa pula perlu korbankan kecintaan saudari? Adakah kecintaan saudari itu menghalang aliran Cinta Agung?

Jika tidak, saya tidak melihat sebarang sebab untuk mengorbankan cinta saudari itu. Saudari juga punya hak untuk mempunyai cinta untuk seni, seperti manusia lain punya hak untuk bercinta dengan kereta, hiasan rumah, jahitan, dan sebagainya.

Saya tidak mengerti...