Monday, November 06, 2006

serigala tanah merah

assalamualaikum.

Perkenalan dengan dia adalah episod yang menarik. Dan saya yakin, episod-episod ini masih dalam peringkat permulaan cerita. Provokasi yang diutarakan, ya saya akui, mencabar kesabaran dan rasionaliti. Sementelahan ketika yang dipilih adalah bertepatan dengan waktu yang sarat ketegangan buat saya. Dan serangan yang di luar jangkaan mungkin menyebabkan respons saya lebih beremosi daripada yang sewajarnya. Maka seperti yang sering saya lakukan selepas satu-satu konfrontasi, saya akan memutar kembali peristiwa itu dan menganalisisnya semula dalam keadaan mental yang lebih segah. Entri ini ditujukan khas untuk dia.

Saya merujuk Merriam-Webster Online Dictionary untuk mencari definisi 'idealis'.
1.a) seorang yang mengikut satu teori atau idealisme falsafah
b) seorang penulis atau artis yang menyokong atau mengamalkan idealisme dalam seni atau tulisannya
2. seorang yang dipandu oleh idealisme, terutamanya seorang yang meletakkan idealisme sebelum pertimbangan praktikal.

Ya, saya mengaku saya seorang idealis. Saya ada ideologi dan falsafah yang saya yakini, yang cuba saya sebarkan melalui kesenian dan tulisan-tulisan saya. Melalui bicara saya dengan orang-orang 'terpilih'. Dan ada waktunya, saya terlalu idealistik, sehingga mengetepikan praktikaliti.

Idealistik, lawannya realistik. Begitukah? Merriam-Webster memberitahu saya, realis adalah orang yang mementingkan fakta atau realiti (kenyataan) dan menolak sesuatu yang tidak praktikal dan berciri wawasan atau visi, yang belum tentu mampu dicapai.

Bagi saya, adalah suatu hakikat yang perlu diakui, hampir semua kejayaan besar-besar di dunia ini bertitik tolak daripada visi. Garapan idea yang seringkali tidak punya wajah yang jelas apatah lagi binaan yang utuh. Hanya keyakinan daripada penjulang-penjulangnya untuk memperjuangkan idealisme itu sehingga menjadi realiti, walaupun mulanya seperti mustahil. Sewaktu Malaya mula-mula merdeka, pernahkah ada sesiapa membayangkan Malaysia akan maju seperti hari ini? Imej wanita-wanita terpelajar yang berpakaian menutup aurat, yang begitu ramai di Malaysia hari ini, realistikkah jika dibayangkan pada zaman Muslimat berkelubung digelar hantu komkom dan dicop sebagai ciciran universiti? Realistikkah gagasan as-Syahid Syeikh Hassan al-Banna yang mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin, memvisikan Islam menjadi ustaziyatul alam bermula dengan gagasan yang diasaskannya, pada ketika Islam di Mesir seperti anak kucing yang terjatuh ke dalam longkang sewaktu hujan. Malah, adalah amat tidak realistik jika difikirkan Islam yang gah sedunia hari ini, andai diukur dengan keadaan sewaktu Nabi Muhammad S.A.W. mula-mula berusrah di rumah al-Arqam.

Sesuatu gagasan yang besar yang mendatangkan kejayaan yang merubah norma seringkali sangat-sangat idealistik pada permulaannya, kerana perubahan yang didatangkan itu sendiri adalah sesuatu yang kurang realistik jika dipandang secara relatif dengan realiti semasa. Idealis, amnya, adalah mereka yang mengimpikan perubahan. Perubahan yang memerlukan masa dan perancangan yang teliti. Dan seperti si tukang masak yang tidak lekang dengan masakannya, si peminat kucing yang tidak lepas dengan kucing-kucingannya, idealis tidak akan senang duduk tanpa idea-ideanya. Tanpa kritikan dan cadangannya. Tanpa wawasannya.

Seorang tukang masak akan memberitahu, cuba-jaya, try-and-error adalah mustahak untuk mencapai kesempurnaan. Dia akan bangga dengan masakannya, dan akan gembira berkongsi resepi dengan rakan yang dipercayai dapat membantunya menyediakan hidangan yang terbaik apabila masanya benar-benar tiba untuk dia menyajikannya kepada orang ramai.

Demikian juga seorang idealis, kerana idea tempatnya adalah pada bicara dan tulisan, pada perwatakan yang ditampilkan, bukan pada pinggan mangkuk dan periuk belanga, maka lumrahlah untuk seorang idealis membicarakan ideanya dengan sesiapa yang diyakini layak mendengar. Memperbincangkan ideanya, supaya sebarang kelemahan dapat diperbaiki, apabila benar-benar tiba waktunya untuk idea itu dijelmakan dalam rupa konkrit. Hidup adalah proses pembelajaran dan pembinaan, sehingga hari kematian, tidak ada kesempurnaan.

Para idealis seringkali dihadapkan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan penuh skeptik. Bukan kritikan membina. Tetapi lontaran-lontaran skeptik yang menduga semangat. Seperti Tun M yang berdepan dengan aneka macam kutukan yang akhirnya diam dengan sendiri apabila projek-projeknya (LRT, Proton, projek2 yang benar2 memanfaatkan umat dan bukan mega al-membazir) berjaya.

Kalau sudah namanya idea, idea pula yang diutarakan oleh anak-anak muda yang mengaku (ya, kami mengaku, kami tidak mendabik dada sebagai serba tahu yang kaya ilmu) masih dalam fasa belajar, maka memang amat logik akan ada anekaragam lompong dan kepincangan pada mata sang pemerhati. Kami (saya) belum mampu, malah mungkin belum layak mengutarakan 'matlamat' yang terperinci, 'planning' yang bersistem, apatah lagi 'action plan' dengan langkah demi langkah yang tersusun. Kami (saya) adalah anak-anak muda. Kami belum punya kuasa. Belum punya suara yang mampu menggegar dunia. Yang kami ada hanyalah idea. Idea dan semangat yang berkobar-kobar, sepertimana layaknya anak-anak muda.

Kami mencari ruang, mencari peluang, dan dalam kami mencari, adalah lumrah untuk kami membicarakan idea-idea kami. Benar, kami bangga dengan idea-idea kami. Kami bersyukur kerana Allah mengizinkan kami untuk memikirkan hal-hal sedemikian, mengurniakan ilmu kepada kami. Dan kami akan membicarakan idea-idea kami sebagai usaha untuk mengekalkan semangat kami, untuk memperjelaskan fikrah kami sendiri, untuk menambah pengetahuan dan keyakinan kami, untuk memahamkan orang tentang fikrah kami, dan untuk menyusun strategi kami sedikit demi sedikit sehingga sampai waktunya untuk kami benar-benar bertindak. Kami masih belajar, ya kami masih belajar.

Kami, ya, saya, adalah idealis yang masih belajar. Dan seperti tukang masak yang bangga dengan masakannya, saya gemar berkongsi idea saya, membincangkannya dengan sesiapa yang saya kira layak dan mungkin berminat. Dan seperti biasa, saya akan dihadapkan dengan pertanyaan-pertanyaan tentang matlamat, perancangan, dan pelan tindakan. Tetapi ada beza yang amat besar antara pertanyaan yang ikhlas dengan minat untuk mengetahui dan menasihati mana-mana yang kurang, atau pertanyaan yang sengaja ditanyakan dengan tujuan untuk tuntas mematikan hujah saya. Pertanyaan yang menyembunyikan kata-kata, "tengok, cakap aje lebih. tak ada apa-apa pun sebenarnya." Dan kedua-dua jenis pertanyaan ini ada kesannya yang tersendiri, ada pengajarannya yang tersendiri.

"dare to be different and telling ppl u r different is not the same."
Dari segi keterampilan sebagai seorang idealis, kami (saya) terdedah kepada pelbagai spekulasi. Ya, kami berbeza. Kami berbeza daripada orang lain, seperti mana setiap orang mempunyai keunikan yang tersendiri. Keunikan kami mungkin daripada aspek pemikiran kami yang melayakkan kami digelar idealis. Dan seperti seorang 'kuceng jahat' pernah berkata, tidak salah saya, "minda mengawal lagak", maka logiklah jika keperibadian kami mencerminkan kelainan pemikiran kami.

Adakah saya perlu berpura-pura merendah diri, berpura-pura setuju dengan kedangkalan yang jelas terpampang di sekeliling saya, menapis tutur kata saya agar kedengaran (atau dibaca dalam skrin Yahoo Messenger) sebagai 'orang biasa'? Benar, pandangan peribadi perlu dipaparkan dengan berhati-hati, kerana setiap orang mempunyai perasaan dan pandangan yang perlu dihormati. Tetapi dalam ruang-ruangnya, dengan orang-orangnya, saya kepingin menjadi diri saya. Yang tuntas dengan kata-kata, analitikal dengan nilaian mata. Yang gemar bermain retorik bahasa. Yang mungkin ditafsirkan sebagai insan angkuh yang mencari kekaguman orang. Yang seringkali berlaku jika saya silap mempercayai orang (jarang berlaku, kerana saya sangat jarang mempercayai orang) atau jika fasa perkenalan masih dalam peringkat awal. Seperti perkenalan saya dan dia. Dan perkenalan saya dengan ramai orang yang masih baru saya kenali. Dan saya perlu hati-hati. Betul. Salah faham begitu mudah berlaku.

'Estimation' adalah satu lagi isu yang diketengahkan. Mungkin saya 'underestimate' atau 'overestimate' orang atau keadaan. Itu kepincangan. Tetapi manusia manakah yang tidak membuat penilaian pada kali pertama pertemuan? Ada sebabnya istilah 'pandang pertama' atau 'first impression' mendapat tempat dalam perbendaharaan kata. Tambahan pula jika kedangkalan dan kejahilan yang terpapar jelas teserlah. Yang menjadi soal utama bukanlah sama ada saya 'underestimate' atau 'overestimate' satu-satu situasi - kerana ia banyak bergantung kepada persepsi dan emosi - tetapi bagaimanakah reaksi saya terhadap situasi itu dan adakah ia relevan dengan situasi tersebut. Selepas menganalisis tentunya. Dan sesudah analisis dibuat, estimasi yang terhasil insyaAllah lebih tepat. Dan jika dia merasakan bahawa saya tersilap nilai, saya amat menghargai nasihat dan pandangannya. Bukan sekadar sindiran-sindiran retorik yang tidak jelas dan seolah-olah memperlekehkan saya.

Kami, ya, saya, adalah idealis. Saya masih muda. Saya tidak punya kuasa, dan saya tidak punya suara untuk menggegar dunia. Apa yang saya ada, hanyalah idea dan semangat. Mata saya kritis melihat kedangkalan di sekeliling saya, lantas saya menanggapinya dan merumus penilaian saya terhadapnya, dan saya genggam azam untuk melakukan sesuatu ke arah menjana perubahan. Saya rakus menyantap lambakan ilmu di sekeliling saya. Saya cakna berusaha menyuburkan iman saya, agar hidayah dan taufiq daripada Allah memandu jalan saya. Saya terpisah dengan sahabat-sahabat sefikrah. Saya belum punya organisasi sendiri, dan saya tidak pasti sama ada ia akan wujud atau tidak suatu hari nanti. Saya tidak punya perlembagaan, matlamat, perancangan dan pelan tindakan yang terperinci.

Tapi saya punya visi. Kami punya visi. Dan insyaAllah, kami akan membina idea-idea kami sehingga dapat dijelmakan dalam bentuk yang konkrit dan realistik, bukan hanya idealistik. sehingga itu, kami akan membincangkan idea-idea kami, dan bertindak sekadar kemampuan kami, bersesuaian dengan realiti, di mana sahaja kami dapat berusaha dan berbakti.


Dia, dan anda, boleh saja bersama saya, atau meninggalkan saya, atau terus-terusan sinis terhadap saya. Saya tidak 'expect orang akan kagum dengan saya' atau 'expect orang akan terus sokong saya'. Sejarah dan sirah sudah banyak mengajar bagaimana orang yang mengusahakan sesuatu seringkali tewas dan tumbang sebelum melihat apa-apa kejayaan. Dan pengalaman saya juga banyak mengingatkan saya kepada kenyataan itu. Seperti kata dia juga, "kalau takut dilambung ombak, jangan buat rumah di tepi pantai". Ya, saya memang sangat-sangat sedar akan hakikat itu, dan sudah berkali-kali diingatkan oleh aneka peristiwa.

Saya berhasrat untuk memulakan sesuatu dari sudut saya berdasarkan kemampuan saya, mengusahakannya, bekerjasama ke arah matlamat yang seiring, dan kalau tidak sempat menamatkannya, biarlah yang lain menyambungnya dari sudut mereka dengan cara mereka.

Kalau dia, atau anda, atau mereka, mahu mengerti, silakan. Kalau mahu memperlekeh, juga silakan.

Saya tidak kisah. Saya tidak menyampah. Betul. Tak tipu. Saya jujur.

Maaf kepada pembaca yang kebosanan dengan tulisan ini atau tidak memahaminya. Dan kalau anda ingin membuat perkiraan bahawa ini salah satu cara saya untuk syok sendiri, silakan. Ini blog saya, dan saya punya suka nak tulis apa. Dan anda pembaca saya, dan anda punya suka nak fikir apa atau komen apa.

Kepada dia, serigala tanah merah, anda seorang yang menarik. Perkenalan kita masih dalam episod-episod awal. Saya seronok mengenali anda dan saya ingin saling berkenalan dengan anda lebih jauh. Anda benar-benar membuat saya berfikir walaupun provokasi anda adakalanya melampau.

"ko nak buat ape yg ko percaye ke, ko nk please orang? kalo ko rs dunia tu perlu diubah, apsal ko kna ikut dunia?"

Menarik untuk difikirkan, dihuraikan, dan dihujahkan.

Cuma saya fikir, ada baiknya kalau kita sama-sama jangan menganggap seseorang itu begitu-dan-begitu, hanya kerana kita sendiri yang begitu.

Saya tahu anda tidak marah. Kerana anda baik dan cool. :-)

salam perjuangan, meow~~

4 comments:

Anonymous said...

Wow!! Panjang giler post kali ni. Ni mesti tak puas hati tahap gaban nih hehehe... okeh2...nak gi baca jap...

Anonymous said...

Disebabkan di sini terdapatnya seorang yang mendabik dada mengaku sebagai seorang idealis, saya ingin mengajukan beberapa soalan;

Poin 1 - "Idealistik, lawannya realistik. Begitukah?" Oh, tidak. Mereka tidak berlawanan. Mereka perlu beriringan. Bahkan, sepatutnya idealistik yang perlu mengiringi realistik. Semacam tidak kena jika realistik yang mengekori idealistik. Ibarat jalan melangkah ke belakang kalau begitu.

Poin 2 - "kerana perubahan yang didatangkan itu sendiri adalah sesuatu yang kurang realistik jika dipandang secara relatif dengan realiti semasa." Idealis juga perlu mengambil kira soal logik atau tidak untuk melaksanakan suatu idea bersesuaian dengan zamannya. Idealis mungkin mampu mencadangkan dan membayangkan bermacam-macam jenis idea, namun keupayaan dan kemampuan yang ada perlu diambil kira dari faktor semasa.

Mohon penjelasan berkaitan dengan 2 poin ini.

Namun, bukan kita tidak menyokong adanya golongan-golongan terpelajar dan mampu menghasilkan idea-idea yang bernas seperti anda.

Sebenarnya, jika diberi peluang dengan lebih terbuka, bakat dan kebolehan mungkin boleh dikembangkan dengan seluas-luasnya.

Ambillah kesempatan yang ada di sekeliling anda untuk membuahkan idea-idea bernas, disertai tindakan, untuk kebaikan ummah, serta untuk kesejahteraan sejagat.

Anonymous said...

Boleh saya katakan entri blog yang paling panjang pernah saudari karang.

Saya kurang jelas dengan situasi sebenar saudari dengan 'dia', namun saya fikir saya boleh agak isi perdebatan hangat itu (bukan berdasarkan "foresight" tetapi "intuition"). Teringin pula mahu mengetahui perkara sebenar.

Bagi saya, perlulah kita menjadi idealistik. Benar kata saudari, kebanyakan kejayaan dan pencapaian besar bermula dengan suatu idea, yang seringkali ditafsir sebagai terlalu "idealistik". Di sini, idea berjalan dahulu.

Kemudian, perlaksanaan untuk menjelmakan idea tersebut perlulah dipandu oleh pemikiran realistik. Ingat! Hanya dipandu sahaja. Bukan sepenuhnya bergantung kepada pemikiran realistik. Kerana pemikiran realistik selalunya tidak membawa ke mana-mana. Oh silap, realisme itu ada membawa ke suatu tempat: jalan buntu. Kerana terlalu realistik dari segi pemikiran, seringkali manusia itu menjadi takut atau "sceptical", berfikir nanti yang ini tidak akan menjadi, yang itu tidak akan menjadi. Jalan buntu.

Oleh itu, perlu ada idealistik dan realistik. Janganlah kita melempar batu atau segala macam sampah kepada yang idealistik. Seperti kata sang juba', idealistik dan realistik perlu berjalan beriringan. Namun berbeza sedikit pendapat saya. Saya fikir idealistik perlu berjalan di hadapan realistik, kerana segalanya bermula dengan idea, dan realistik itu di belakang bertujuan supaya idealistik itu tidak menjadi TERLALU idealistik. Semacam pengawal. Mereka saling memerlukan.

Kata putus, ambillah jalan tengah, seperti yang biasa kita dengar dari mulut Rasulullah s.a.w.. Jangan terlalu idealistik, jangan terlalu realistik. Saya kenal saudari Adibah sebagai seorang yang idealistik, ya, tetapi saya juga tahu dia juga bukanlah seorang yang TERLALU idealistik. Satu contoh orang yang mengambil jalan tengah.

p/s: Sudah lama tidak mendengar khabar kucing belang. Kucing belang sebelah rumah sudah pindah jauh!

harisNoor said...

Oh ya, saya baru sahaja menambah "link" dari blog saya yang baru ke blog saudari. Klik saja nama saya di atas.