Monday, August 27, 2007

Ilmu dan Bakat dan Minat

Assalamualaikum.


6-8 Ogos yang lepas, saya bertuah dapat berbengkel bersama calon-calon karyawan muda tanah air, di bawah bimbingan pengkarya senior yang lebih dahulu, dan tentunya lebih arif meniti selok-belok serta mencicipi asam garam dunia sastera.

Banyak yang dapat saya kutip, dan pastinya bukan semata-mata ilmu mengarang. Saya siarkan di sini beberapa foto kenangan, mohon permisi daripada penggambar setia yang tidak lekang dengan kamera sepanjang program, saudara Fahd Razy. Yang mana satu saya? Dalam gambar di bawah itu, saya bukan yang memakai tudung hitam, bukan juga yang bertudung putih. Saya pilih belang warna lain untuk program ini. =)

Kalau mahu lihat foto yang lebih besar dan jelas (juga lebih banyak), jemput saja ke blog asal. Gambar-gambar ini saya ambil dari laman web rasmi kami ahli-ahli Grup Karyawan Luar Negara.




Pembimbing pertama, berdiri lima dari kanan, ya di antara gadis bertudung hitam dan jejaka berbaju kotak-kotak itu, Puan Salmiah yang begitu bersemangat mencurahkan tunjuk ajar perihal puisi. Dari pagi santak ke hujung malam beliau mendidik kami mengenali puisi, menghargai dan membela kehalusan seni berpuisi, dan menghasilkan buah pena yang bermakna serta berkualiti. Antara pesannya yang paling saya ingat,

1) Ekonomis dalam memilih kata-kata, sajak sepatutnya dapat menggunakan perkataan yang paling sedikit untuk menggambarkan seribu rupa dan ekspresi

2) Rajin menambahkan kosa kata untuk memantapkan karya, akrabi kamus

3) Santun dan berbahasa, seni itu indah dan halus, jangan dikotorkan, mahu marah-marah dan mengkritik ada caranya supaya tidak biadab dan gasar tidak berbudaya

4) Pemilihan tema untuk puisi, walaupun tidak dinafikan pentingnya, tidak begitu mustahak dalam menentukan kualiti puisi, jika dibandingkan dengan gaya bahasa, struktur, dan kesan-kesan seperti imej dan imejan. Sedikit berbeza dengan cerpen dan novel (akan dijelaskan kemudian).



Wanita berjubah ungu dan memakai skaf warna sedondon di hadapan itulah Puan Zaharah Nawawi, karyawan wanita yang begitu terkenal dan prolifik di Malaysia. Umurnya sudah melangkaui enam puluh, Subhanallah, lagak dan geraknya langsung tidak menggambarkan demikian! Boleh dikatakan 'penulis feminis', karya-karyanya banyak menampilkan watak-watak wanita yang hebat dan menempuh pelbagai cabaran. Pernah dengar manuskrip 'Anugerah' yang diangkat untuk dipentaskan sempena Hari Kemerdekaan beberapa tahun sudah (walaupun khabarnya adaptasi itu tidak berapa menjadi)?

Puan Zaharah sudah begitu lama menjadi pembimbing (anak didiknya antara Nisah Haji Haron dan Cikgu Faisal sendiri!), dan sesungguhnya benarlah seperti yang beliau nyatakan, sepuluh jam sepanjang satu hari itu tidak memadai untuk benar-benar 'membimbing' kami seperti yang dihajatkannya. Namun dalam jangka waktu yang terhad itu tidak sedikit curahan ilmu yang disampaikan beliau. Antara poin-poin berguna yang terkesan kepada saya,

1)Jangan lewah atau meleret-leret. Lebih kurang seperti mengarang puisi juga, ekonomislah. Jangan membazir dengan kata-kata atau deskripsi yang tidak perlu.

2) Tidak perlu ceritakan semuanya. Biarkan pembaca memahami sendiri melalui 'petunjuk-petunjuk' yang diberikan. (Teringat kata-kata Kak Nisah yang pernah disebut oleh seorang karyawan muda, tidak silap saya, Show, but don't tell.) Teknik demikian, selain daripada menunjukkan kebijaksanaan dan kecekapan pengarang, turut meraikan dan 'menyeronokkan' intelektualiti pembaca.

3)Jangan bohong atau berpura-pura. Konon mahu menulis karya penuh ilmiah atau menceritakan sesuatu isu yang hebat, tapi sebenarnya pengarang pun tidak tahu sangat tentang bahan yang diangkatnya itu. Don't put something that isn't there. Ilmu bantu amat-amat penting dalam penulisan sebuah karya yang baik, tapi jangan sampai tampak sangat bahawa ia tempelan, copy-paste atau percubaan yang gagal daripada penulis yang tidak ilmiah tetapi mahu berlagak ilmiah.

4)Persoalan tema. Cerpen yang bermutu, TIDAK BOLEH bertemakan cinta. Cinta semata-mata cinta, maksudnya. Menggunakan 'cinta' untuk menyampaikan mesej lain yang lebih tinggi dan utama, itu tidak mengapa, walaupun mungkin lebih baik - terutamanya bagi karyawan muda yang masih bertatih, contohnya seperti saya - untuk cuba mengesampingkan terus elemen cinta-cintaan. Karya Uda dan Dara serta Tenggelamnya Kapal Van der Wijck adalah contoh karya agung yang mengkritik perbezaan darjat melalui medium kisah-kisah cinta yang tidak kesampaian. Pesan Puan Zaharah juga, kalau mahu mendapat tempat dalam media arus perdana, tidak usahlah menulis cerpen cinta. Sudah terlalu banyak dan editor sudah 'jelak', sukar untuk mendapat perhatian apatah lagi untuk disiarkan, jauh sekali untuk menang apa-apa penganugerahan.




Gambar terakhir bersama dua pembimbing, Kak Nisah Haji Haron dan Cikgu Faisal Tehrani. Tak perlu saya unjukkan, saya yakin banyak yang kenal atau setidak-tidaknya dapat meneka yang mana mereka berdua.

Cikgu Faisal dengan gayanya yang santai dan mesra dan lawak-lawak bertempat yang mengingatkan saya kepada tulisan-tulisannya yang sharp-witted - wah di sini nampak bezanya pembimbing yang sudah berusia dengan pembimbing yang masih muda - menyampaikan teknik-teknik menulis novel dan prinsip-prinsip yang penting dalam membina wacana sastera. (Bukan maksud saya mengkritik pembimbing yang berusia, cuma mungkin jarak umur yang lebih hampir menyebabkan yang muda tampil lebih akrab.)

Pesan cikgu (mungkin tidak semuanya disampaikan sewaktu program, tapi saya petik daripada tulisan-tulisannya yang lain juga), ada beberapa yang ingin saya kongsikan.

1) Karya sastera bukanlah mencerminkan realiti semata-mata, sehingga segala kekotoran dan kebobrokan umat mahu dihuraikan sejelas-jelasnya sehingga seolah-olah meraikannya pula, walaupun ditopengkan dengan alasan mahu membuat kritikan atau membuka mata umat. Karya sastera patut memasukkan unsur-unsur ideal - bagaimana keadaan yang sepatutnya, yang perlu digapai dan dicapai oleh umat.

2) Karya sastera tidak hanya bersifat diagnostik iaitu menyatakan permasalahan yang wujud. Ia juga perlu menghulurkan penyelesaian kepada kesukaran tersebut. Bukankah sasterawan itu pencorak minda umat? Sasterawan, atau karyawan, bukanlah sekadar pencerita yang pasif yang hanya tahu menceritakan apa yang sedia wujud, sebaliknya mesti menjadi agen perubahan.
Nota : Novel BILA TUHAN BERBICARA sangat baik saya kira untuk dibaca oleh para pengkarya yang punya aspirasi untuk berjuang dalam medan sastera ini. Cikgu Faisal menyisipkan tidak sedikit prinsip-prinsip berkarya secara terpandu, bertanggungjawab dan bermisi.

3) Mesrai teori-teori sastera. Mungkin sekali dapat mencetuskan ilham berkarya dan memberi kemampuan menanggapi satu-satu karya dengan pelbagai perspektif.

4) Ada waktunya, ilmu yang terkandung dalam satu-satu penulisan itu lebih penting daripada unsur hiburan. Dengan kata lain, tidak mengapalah walaupun pembaca bosan kerana disuakan dengan karya yang mirip khutbah, asalkan pengetahuan yang diperoleh membukit-bukit banyaknya. Ini jauh lebih baik daripada pembaca diulit seronok membaca karya pop yang mengulang kisah-kisah klise yang tidak begitu mengenyangkan intelektualiti atau spiritualiti. Pada pendapat saya, sewajarnyalah penulis berusaha sedaya upaya memasukkan unsur-unusr ilmiah dan ilmu bantu dalam karyanya, dan melakukannya sedemikian rupa sehingga pembaca benar-benar dapat 'belajar sambil berhibur' atau 'beribadah sambil berhibur'. Mempelajari ilmu itukan ibadah? Karyawan seperti Cikgu Faisal sendiri, atau sasterawan yang veteran seperti Abdullah Hussain (aduh, saya masih tidak dapat melupakan IMAM, dan sekarang masih mengidam-idamkan DAN MALAM PUN BERLALU yang masih belum saya ketemu), Pak Arena Wati, Noordin Hassan dengan gagasan teater fitrahnya - ah sekadar menyebut beberapa nama - sesungguhnya sangat hebat dalam menggabungkan pengisian ilmu, wacana fikrah, dan keindahan sastera yang menyentuh hati serta menghibur dalam karya-karya mereka.

Kak Nisah pula menyentuh tentang hak cipta dan perundangan, yang saya kira tidak sempat saya perincikan di sini. Lawati sahaja blog beliau yang saya pautkan tadi, banyak mutiara yang beliau titipkan di sana dalam pelbagai cabang sastera dan legalitasnya sekali.

Salam sastera. Selalu saya pesankan kepada diri, menulis itu pencetusnya pelbagai. Ekspresi diri, kritik sosial, dedikasi untuk peristiwa yang menyentuh hati, apa sahaja. Tapi hujungnya biarlah untuk da'wah kerana Allah, insyaAllah.

meow~

No comments: