Tuesday, October 16, 2007

Musim-musim dan Pohon Mapel

Assalamu'alaikum.

Sudah lama rasanya tidak menitipkan puisi romantis di sini. Saban hari memijak daun-daun kuning coklat yang basah bertaburan di atas aspal lembap, meredah hujan yang kadang-kadang renyai atau adakalanya lebat, dipayungi awan yang rendah mendung, sedang pokok-pokok baik rendang mahupun agam seperti diam dalam sendu ketika canda musim bunga dan ceria musim panas meninggalkannya helai demi helai; bertindih pula dengan kunjung-pergi cerita-cerita hidup yang sentiasa sarat dengan pelbagai rasa, ah saya terusik! Bait-bait ayat mula mengapung minta dituris dalam lembar maya.


Musim-musim dan Pohon Mapel

Musim luruh adalah satu musim
daripada musim-musim rindu.

Ranting-ranting menggigil sendiri -
ranting-ranting sepi;
melambai daun-daun pergi
berselerak di hujung kaki.

Ketika langsir malam meminjamkan sembunyi
pohon mapel berjongkok curi-curi
mengutip perca kain merah-kuning yang bertabur
mahu jahit semula selendang yang koyak
dengan jari-jarinya yang runcing rapuh.

Musim luruh adalah musim rindu,
yang hanya mengizinkan rindu!
Bukan temu.

Perca kering berderai
pohon mapel mahu berjongkok lagi
memungut lagi
menjahit lagi
tapi alam sudah cerah dijenguk pagi
perca hancur dilatam kaki-kaki
yang tergesa-gesa mengejar hari.

Musim luruh adalah satu musim
daripada musim-musim rindu.

Musim salji nanti
rindu akan mati
menamatkan musimnya
yang sudah terlalu lama.
Pohon mapel, tunggulah musim semi
tunggulah datang cinta
bersama udara wangi dan sinar suria
selendang hijau
sebagai maharnya.

salam,
meow~





1 comment:

bashy said...

ur choice of words is excellent..really love it..blh menjadi mentor saya?:)