Thursday, January 17, 2008

Pahlawan Itu Seperti Siapa?

PAHLAWAN ITU SEPERTI SIAPA?

-dedikasi untuk sahabat-sahabat akrab seperjuangan; jika anda rasa saya tujukan ia untuk anda, maka mungkin sekali andalah orangnya-

I

Tampang pahlawan itu seperti Hang Tuahkah

Melaka buminya, Melaka langitnya
Melaka hidupnya, Melaka matinya
ketika tangannya diangkat menyembah raja
wajahnya tunduk mengucup marhaen
tiang-tiang seri istana mesti dipangku jangan runtuh
jangan rakyat ditimpa sampai rebah-jatuh
langit-langit istana mesti ditunjang jangan roboh
jangan rakyat hilang tempat berteduh

Teja puteri istana,
Tuah mainkan cinta.
Serah pada raja,
Demi aman Melaka.

Melur dari desa,
Tuah punya cinta.
Satu titah raja,
Tuah serahkan nyawa.
Demi aman Melaka.

Hang Jebat adinda,
berkorban segala membela.
Kasyaf guru Sang Adi Putera
"Matimu kelak, di hujung senjata."
Senjata Tuah kekanda.
Tuah kekanda dibela.
Memburaikan perut adinda.
...Demi aman Melaka.

II

Ah, tampang pahlawan itu seperti Hang Jebatkah?

Melaka juga buminya, Melaka juga langitnya
Melaka juga hidupnya, Melaka juga matinya
rukun juangnya keadilan
rukun hidupnya setiakawan
pantang baginya kezaliman
pantang baginya pengkhianatan.

Jebat melihat Hang Tuah kekanda,
saudara kasih setia.
Rajalah segala-gala,
rela korbankan jiwa
maruah atau cinta
tiada harga
kecuali direstu raja.

Raja dihasut fitnah
Tuah dituduh bermukah
Taming Sari berganti tuan,
Sumpah Jebat ikrarkan.
Di depan raja, Melaka dibela
di dalam dada, menuntut bela.
Demi adil Melaka.

Raja adil raja disembah
Raja zalim raja disanggah
Raja zalim Jebat menyanggah
Taming Sari mabuk darah
Berontak Jebat membuak amarah
Kebal Jebat tak berani dijerkah
Demi adil Melaka.

Sultan menikus di dalam istana
Padah Jebat merampas kuasa
Demi adil Melaka.

Raja adil Jebat sembah
raja zalim Jebat sanggah
adil dan zalim kitab manakah
zalimnya raja membunuh seorang
adilnya Jebat amukkan ratusan?
....Demi adil Melaka.

III

Atau mungkinkah akan ada

yang mewirakan Sang Rajuna Tapa
membuka pintu kota
musuh menyerbu melata
kerana Anum cahaya matanya
ditabrak lembing sultan durjana?

-pasca dialog di hujung malam membawa ke awal dinihari,
3.25 a.m.-



assalamualaikum,
meow~

No comments: