Sunday, March 30, 2008

Tak Emas Bungkal Diasah, Tak Kayu Tangga Dibelah

assalamualaikum.

Entri di bawah saya tulis ke sebuah mailing list, respon kepada artikel ini Grace Under Fire yang dikongsi seorang kawan di situ.



1)

Feminisme.
Cool. Applause to Dr Wan Azizah. Padan benar waktu terbaca artikel ini, sebaik sahaja usai Simposium IMAM Dublin 2008 (yang Project Managernya adalah perempuan yang bukan sahaja lengkap ciri-ciri Muslimah idaman tetapi juga berkaliber dan berwawasan - orangnya VP IMAM Eire SC, hehe, ops, saya VP IMAM UK SC, jangan silap perhitungan); dan baru sahaja dapat melihat sendiri nama puan doktor terpampang di atas papan 'wall of fame' RCSI sebagai atara pemenang Gold Medal untuk tahun 1977.

Mereka bukan malaikat, sahabiah atau para bonda kaum Mukminin. Namun melihat Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah mencapai kedudukan terbilang dalam lapangan politik negara, tidak dapat tidak mercup rasa bangga. Terutamanya dalam kejayaan Izzah, alah limau oleh benalu.

Dalam keadaan Muslimah asyik ketawa mengekek-ngekek sambil bergosip, meleleh liur melihat artis kacak dan fesyen mendakap pinggul dalam majalah-majalah hiburan dan fesyen, atau dalam ruang lain larut dalam dunia fikrah yang simplistik sambil meneguk sepenuhnya apa-apa yang diajar orang tanpa merasakan perlu untuk mengambil tahu soal praktikaliti dan realiti semasa, becok bercekcok tentang isu-isu remeh dan temeh, meminggir daripada intelektualiti dan aktivisme 'biarlah Muslimin saja yang ke depan, kita berukhwah di belakang sudahlah...', nah tampil dua Muslimah berkerudung sempurna berakhlak santun (malah saya yakin ada 'tarbiyah') yang mampu cemerlang dalam pengajian, gemilang dalam kepimpinan dan terbilang dalam perikemanusiaan. Ah, ketepikan pendirian politik apatah lagi kepartian, saya bukan mahu menggulati soal itu sekarang - jangan ada siapa-siapa yang paranoid menegur melarang berpolitik sebagai respon kepada kenyataan saya ini!

Saya selalu menyuarakan gusar, apabila melihat media - baik yang
mainstream mahupun yang alternatif - masih seperti terkesip-kesip memuatkan tulisan intelek lagi berkarisma daripada golongan Muslimah, dalam apa sahaja isu. Saya tidak rasa para penyunting mengamalkan diskriminasi gender - walaupun itu mungkin. Lebih besar kebarangkalian, golongan Muslimah yang terkesip-kesip untuk menulis atau bersuara. Bukan tidak ada, ada, tapi, balik-balik yang itu-itu juga. Boleh dihitung dengan jari Muslimah (jenis emas padu, bukan plastik atau emas saduran) yang bersuara atau menulis tentang isu-isu umat, isu-isu besar, memimpin cambahan idea, menggerakkan aktivisme, terutamanya untuk hal berkaitan masalah kemanusiaan berkaitan wanita (dan anak-anak serta belia) yang sepatutnya dipandang dan ditangani daripada perspektif Islami - hak asasi, pendidikan dari kecil sampailah masuk universiti, keadilan sosial, kekeluargaan, pembangunan terancang, politik, polisi kerajaan, dan sebagainya. Yang banyak bunyi adalah wanita yang belum bersyahadah atau Muslimah jenis plastik atau emas saduran.

Tak boleh salahkan mereka juga, mereka banyak membaca, banyak pengetahuan, dan mahu mengambil tahu, mahu berbudi, hanya hidayah dan taufiq Allah belum meresap hati-hati mereka lantas pandangan yang diberi tandus nilai Islami. Tapi apa kesannya? Kesan paling jelas tentulah pandangan-pandangan ini menjelajah media dan menerobos akal budi umat, mempengaruhi untuk memandang dunia daripada sudut yang serupa. Kemudian timbul persepsi bahawa Muslimah yang akur Islam ini 'ortodoks', memang tak intelektual dan tertindas, Muslimah 'moden' itulah yang paling merdeka, bebas, lagi berakal sihat. Bahawa pengamalan Islam versi (atau pergerakan Islam) ini lelaki sahaja yang dialu-alukan mengeluarkan pendapat dan didengar cakap mereka. (Er, sebenarnya memang betul juga kan,
to a certain extent?)

2)

Belum tentu pelajar yang 'ikut peraturan', tak mahu aktif dalam mana-mana gerakan
mainstream itu manusia mandom yang tak ada potensi.
Tentu sekali wanita yang lemah lembut, tak bising, tak agresif, tidak boleh disimpulkan sebagai wanita inferior dan pasif yang memerlukan emansipasi atau hanya akan mengangguk kepada suami. Kehebatan itu pada iman, ilmu, dan akhlak. Cara menterjemah dalam aktiviti sehari-hari itu, cerita lain.

Apapun, asal besi pengapak kayu, asal emas menjadi penduk.

3)

Tembikar tidak berkilau sebelum dibakar.


4)

Tak mara berdayung; bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu.

meow~


GLOSARI
alah limau kepada benalu - (hehe, cari sendiri kalau nak tahu.)
asal besi pengapak kayu, asal emas menjadi penduk - Darjat seseorang dapat ditentukan pada sifat perangainya. (Penduk adalah salut sarung keris)
tak mara berdayung; bergalah; patah galah bercemat, sesudahnya sampai juga ke hulu - Segala daya upaya akan dilakukan, untuk menyampaikan maksudnya. (Bercemat maknanya menarik perahu dengan tali yang diikatkan kepada perahu itu.)


1 comment:

Anonymous said...

Dibah, tolong tambah lagi satu glosari : `Tak Emas Bungkal diasah, tak kayu tangga dibelah', maksudnya apa? :))