Saturday, April 05, 2008

Aisyah Zaatiyah 2?

Selepas Semusim di Karang Setra


Anjing-anjing – atau serigalakah itu? – melolong tidak henti-henti, sejak pulang dari masjid tadi, sampailah sekarang, lewat tengah malam, sedang aku menulis di bawah cahaya pelita. Neng Seri, bocah comel berkaki tempang yang suka berceloteh itu pernah bercerita, lolongan itu memanggil bulan turun menerangi hutan-hutan rimba. Ah, kiranya ada bulan yang benar-benar dapat turun menerangi kelam pulau tersumpah ini!


Sudah semusim aku di sini. Menghamba diri di Karang Setra. Selamat tinggal kepada pakaian-pakaian mewah, barang kemas, harum-haruman, permaidani tebal dan sofa empuk. Aku lihat cermin sompek di sudut meja, nampak bayang wajahku samar-samar. Aku tarik pelita ...



Assalamualaikum.

Tadi seorang rakan menyebut tentang sequel Harum Cinta Aisyah. Langsung saya teringat perca cerpen yang pernah saya mulakan sedikit waktu dahulu, tetapi saya pinggirkan begitu sahaja selepas selesai barang semuka. Saya baca-baca semula, timbul hasrat untuk menyudahkan. Tidak, saya tidak percaya dengan teater sequel, setidak-tidaknya untuk peringkat kemampuan saya. Belum cukup hebat untuk itu. Berapa banyak produksi - filem, terutamanya - yang gah pada versi pertama, tetapi tiba-tiba kemunculan sequel demi sequel atau prequel yang pincang terus menenggelamkan semua yang cemerlang-cemerlang dulunya? Malah boleh pula menjadi seperti noda untuk reputasi penulis, lucu bukan, kalah bersaing dengan diri sendiri?

Saya belum sehebat JK Rowling dengan Harry Potternya atau Allahyarham P Ramlee dengan Bujang Lapok dan Do Re Mi beliau. =)

InsyaAllah, saya kepingin mengusahakan cerpen sahaja untuk sequel. Kalau ada rezeki, mungkin terpacul di mana-mana media.. penghujung tahun ini, tahun hadapan? Seperti cerpen yang saya hantar ke Fokus SPM - mungkin 6-7 bulan lepas, sampai sudah lupa dan 'halalkan' sahaja ia berkubur tanpa nisan dalam kotak mel editor - tiba-tiba dikhabarkan tersiar untuk edisi Mac. Alhamdulillah.

Cerpen itu satira tentang masyarakat yang obses dengan dunia hiburan dan realiti TV, prejudis dengan setiap yang berbau Islami, tuntas leka dengan tafsiran Islam yang mereka suka, versi ringan tanpa berat-berat beban. InsyaAllah hujung April ini saya kongsikan bersama pembaca. Hak penerbitan majalah mesti dihormati, seperti pesan Kak Nisah Haron kan =D

Balik kepada sequel yang saya sebut-sebut tadi, ah, saya pun belum pasti apa yang mahu dikaryakan. Lumrah, bila-bila dan apa-apa pun yang saya tulis - puisi, cerpen, drama, lirik, hatta karangan untuk peperiksaan dan esei TOK untuk Diploma IB - saya hanya tahu apa yang akan keluar apabila saya menulisnya. Ilham itu datang secara real-time, saya kurang pandai merangka-rangka lebih awal. Paling tidak pun hanya memacakkan tiang-tiang untuk menjadi garispandu, tetapi susun atur papan dinding, lengkok alang apatah lagi ukiran pada daun tingkap, hanya akan jelas setelah tangan menyentuhnya.

Namun yang samar-samar saya nampak, isu kerja-kerja kemanusiaan - Relief Work - yang bertindih papas dengan operasi misionari. Dilema di mana mahu berbudi - di perantauan nan getir atau di tanah tumpah darah sendiri yang tidak kurang memerlukan pengorbanan? Pertembungan budaya dan tradisi dengan pemodenan dan industri, harga apakah yang mesti dilangsaikan untuk mengecap kemajuan? Benarkah kemajuan itu yang didamba-damba oleh sebuah umat yang dicap mundur untuk membeli bahagia? Dan ya, tidak semua orang berharta dan berkuasa itu hatinya sudah bertukar menjadi tulang-tulang dibakar matahari.

Soalan terakhir yang saya sendiri belum pasti jawapannya, cinta baru untuk Aisyah?

Salam sastera,
meow~

2 comments:

Anonymous said...

Salam Wbt

Cinta baru buat Aisyah? Haruskah ada? Kalau ada, tunjukkan kemana laluan nya ummmuhurayrah? :) Buat la sequell...... heh.. Bittaufeeq ukhti

thefourtharif said...

Saya merindui karang setra!