Monday, July 21, 2008

Wajah-wajah Wanita

Salam.

Lama sungguh tidak menulis, dan saya tidak mahu memberi alasan untuk itu. Syukur sungguh akhirnya mendapat peluang (dan semangat) semula. Sekarang saya berada di sebuah kafe siber di tingkat atas sebuah lot kedai, perlu mendaki anak-anak tangga simen dalam kolong sempit di sebelah sebuah bengkel motosikal untuk sampai ke sini. Ruang lapang sebesar dua bilik darjah, berlapik karpet biru berhabuk (pelanggan perlu menanggalkan sepatu sebelum masuk) dengan deretan komputer meja di pinggir dinding adalah kafe siber kedua yang saya tujui selepas capaian Internet yang terlalu perlahan menyebabkan saya meninggalkan kafe sebelumnya. Angin dari tetingkap nako yang terbuka menghadap jalan raya tentu sahaja tidak mampu mendamaikan hangat matahari jam dua Malaysia, tanpa bantuan kipas-kipas siling yang setia berputar. Ya, di sini tidak ada penyaman udara.

Saya baru mendirikan 'rumah' baru, tapi buat masa ini biarlah ia tidak didedahkan dahulu. Saya mahu membina identiti baru dengan gaya yang - mungkin, sedikit berbeza.

+++

Kalau berbicara tentang wanita - sifat-sifat, sejarah, peranan, ah apa-apa sahaja baik yang berciri akademik mahupun pop culture, tentu sahaja penceritaannya akan meleret-leret tanpa kesudahan. Waktu saya di kolej dulu, antara tajuk yang laris dipilih pelajar-pelajar untuk menyelesaikan Extended Essay Malay A1 mereka adalah 'pemaparan watak wanita', 'ketabahan wanita', dan lain-lain yang seangkatan. Jarang benar saya jumpa 'pemaparan watak lelaki', 'ketabahan lelaki' menjadi judul kajian teman-teman - kecuali seorang (yang meminjam novel saya sebagai salah sebuah rujukannya!)

Saya sudah pernah menulis tentang satu segi kompleksiti identiti wanita-lelaki dan kesan interaksi dengan masyarakat dalam entri Yang Bernama Cinta.... Tidak, bukan itu yang saya pingin mau ulas sekarang. Sebagai refreshment - untuk diri sendiri, sebenarnya - setelah ibarat berzaman-zaman lamanya tidak menulis, saya suka melakar wajah-wajah wanita yang sering saya ketemu dalam hari-hari hidup. Membandingkan mereka? Mungkin.

Saya tidak mahu memetik banyak contoh, tidak banyak masa yang ada di sini sebelum ibu datang menjemput pulang ke rumah. Cukup sekadar bandingan wajah wanita dalam satu batasan masa - waktu remaja akhir dan awal dewasa. Waktu-waktu beraktiviti, beridealisme, sebelum beramai-ramai menjadi manusia disillusioned yang bosan dengan perjuangan dan tersadai dalam rutin untuk meneruskan penghidupan.

+++

1. Pemimpin Pelajar A

Rambut didandan rapi dan disembur spray supaya tidak lari-lari atau berselekeh dicuit angin. (Waktu perjalanan ke tempat program la, dalam bangunan tak ada angin, ada air cond saja). Wajah sudah dilumur foundation, jangan lupa concealer untuk menyorokkan parut-parut jerawat yang tak cantik bila disuluh lampu kamera dan bedak padat untuk menyudahkan kemasan. Ops maskara bersememeh, berus lama ini mesti diganti baru. Gincu Maybelline merah lembayung tentu padan dengan warna matte pembayang mata yang tentu pula serasi dengan kebaya Kota Bharu merangkul badan. Kain batik lepas, menyahut seruan pihak yang membatik-batikkan semua yang boleh dibatikkan.

Kasut dah padan dengan beg tangan?

OK, mari sambut VIP. Datin A, Datin B, Puan Sri C, Presiden NGO X dan Presiden NGO Q. Berbual-bual santai tentang projek membantu anak yatim di bandar sana dan kes wanita teraniaya di kampung sini sebelum majlis bermula. Kutuk tokoh politik itu dan ini kerana memecahbelahkan perpaduan rakyat, berfikiran kolot dengan ideologi sempit. Pemimpin pelajar A dipuji, contoh belia yang progresif dan menjadi harapan bangsa. Tidak membuang masa dengan perkara yang sia-sia, tidak juga hanya belajar tanpa mempedulikan masyarakat. Perempuan mesti membuktikan yang kita mampu tampil ke hadapan, mampu bersuara, mampu melontarkan idea-idea bernas. Pemimpin Pelajar A membilang-bilang, hmm, jawatankuasa program kali ini sebahagian besarnya perempuan, tamu-tamu VIP juga sebahagian besarnya perempuan, ya, wanita akan terus berjuang untuk mendapatkan tempat dan suara! Lelaki tidak akan dapat mendominasi. Pemimpin Pelajar A membetul-betulkan selendang yang disangkut di bahu kanan, wanita yang berjaya tentu sahaja anggun dan menawan sentiasa.

Dewan berhawa dingin. Sofa empuk melapik tubuh-tubuh VIP, kerusi tak kurang empuk mengalas jasad-jasad penonton yang mendengar lontaran-lontaran idea yang sungguh bernas dalam ceramah demi ceramah, forum demi forum, jawapan demi jawapan yang diperdengarkan. Nota-nota laju dicatat (mana yang faham lah kan, bahasa rasmi kita Bahasa Malaysia tapi entah kenapa program sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris... mungkin untuk menyelarikan dengan gesaan membahasainggeriskan ilmu). Program selesai.

Pemimpin Pelajar A dan teman-teman seperjuangan meraikan program yang sudah selesai dalam perjuangan yang belum selesai di sebuah restoran mewah, langsung terlupa tentang orang-orang teraniaya dan kanak-kanak miskin yang menjadi bahan seminar tadi. Malam itu dia pulang awal, esok ada satu lagi seminar tentang peranan pelajar universiti dalam mengkritik pemimpin. Kertas kerjanya sebagai panel utama perlu disiapkan. Nota mental dibuat, perlu hubungi Intelek P dan Intelek Q untuk membincangkan bahan-bahan rujukan besok. Nama-nama tokoh falsafah dan reformis sosial-politik serta hasil kajian mereka akan memberi ketumpatan yang impresif kepada pembentangannya.

Sambil mencuci mekap Pemimpin Pelajar A teringat pula tentang konsert amal yang bakal diadakan minggu hadapan. Aktiviti yang baik untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dan memberi ruang berhibur, bersantai-santai, kepada pelajar-pelajar yang tentu sahaja tertekan kerana sibuk belajar.

Ah, ruwetnya! Sibuk! Nasib baik pointer aku stabil!



2. Pemimpin Pelajar X

Tudung labuh dibetul-betulkan. Rona kelabu memang sesuai dikombinasikan dengan apa sahaja warna lain, senang apabila selalu terkejar-kejar ke sana ke mari. Baju-T labuh ke lutut warna hijau terang dan jeans biru tua, itulah yang sempat dicapainya. Kasut sukan yang bersih walaupun sedikit lusuh terasa selesa menemani hayunan langkah, Pemimpin Pelajar X mencapai topi keledar dan memecut motosikal meredah arus trafik dan panas matahari yang baru meninggi. Mata terasa perit, tidur dua jam menyudahkan tugasan usrah, kecamuk fikiran kerana assignment yang belum selesai cuba disisihkan.

Tergesa-gesa Pemimpin Pelajar X memarkir motosikal dan berlari-lari anak ke dewan sekolah menengah. Program bersama pelajar Tingkatan Lima. Teman-teman seperjuangan sudah menunggu. Yang lelaki tidak perlu disuruh-suruh, mengangkat kerusi meja dan menyusun di tepi dewan supaya ruang terbuka luas. Yang perempuan berkerumun di satu sudut, memastikan peralatan multimedia berfungsi. Sesekali beberapa orang lelaki mendekati Pemimpin Pelajar X, bertanyakan sesuatu dan kemudiannya akur mengikut arahan. VIP yang sampai dibawa ke kantin, minum-minum kopi dan berbincang-bincang dengan dua tiga orang penganjur. Pemimpin Pelajar X tidak ada bersama, dia sibuk menguruskan masalah sofa tidak cukup untuk panel forum duduk nanti.

Program berlangsung. Pelajar mendengar, ketawa, dan menangis. Nota-nota diambil. Kakak-kakak dan abang-abang menjadi fasilitator. Nombor telefon dan alamat ditukar-tukar. Program selesai. Nasi bungkus diagih-agih kepada para penganjur yang rata-rata belia dari pelbagai universiti.

Pemimpin Pelajar X tersandar penat. Perjuangan belum selesai dan program sebenarnya belum selesai. Dia dan teman-temannya pula duduk berkeliling membuka perbincangan. Keluh-keluh mengeluh. Serabut. Ada lelaki yang berapi-api dan ada perempuan yang memetir-metir dalam pemikiran dan idea. Keras sukar digugah. Rata-rata menyebut rujukan, tokoh dan peristiwa yang serupa apabila memberi hujah. Ada yang membungkam - tidak faham, akur, atau tidak peduli? - apabila diajukan isu dan pendapat yang dihurai rumit. Ada perempuan yang membatu malu-malu di belakang dan ada lelaki yang menikus takut-takut - juga di belakang, walaupun dalam kelompok yang berlainan.

Pemimpin Pelajar X memecut motosikal pulang dalam kegelapan malam seorang diri. Tawaran seorang teman untuk mengiringi ditolak, kampusnya tidak jauh dan malam belum terlalu larut. Fikirannya kecamuk lagi. Anak-anak buah yang bertatih-tatih gelincir bangun antara idealisme terlampau dan realisme totok. Dirinya sendiri yang terpelecok tersungkur dalam menyeimbangkan aktivisme dan pelajaran, teraba-raba dalam pembacaan, falsafah dan pemikiran yang masih sedikit dan dangkal. Malam ini dia merancang mahu belajar di dalam madrasah kampus, mencari ketenangan, harap-harap tidak diserbu Pemimpin Pelajar A seperti tempoh hari.

Dia benci amat dengan Pemimpin Pelajar A dan konco-konconya itu.

+++


Saya boleh sahaja merangka watak hitam dan putih, tetapi pelakaran julat kelabu dengan ton berbeza-beza rasanya lebih berjaya untuk... untuk apa ya?

Salam,
meow~

5 comments:

Zulhimi said...

Macam watak-watak dalam cerita keris merah lawan anak bulan warna hijau..... I rest my case. Salam.

Anonymous said...

salam.

Wah, glad to see that people are still reading my blog despite me being 'missing' for awhile. Hehe.

Well Zul, thing is, literature - especially satirical ones - can be translated in ever so many ways, and they tend to colour themselves. Pretty much the way cells arrange themselves after the initial zygote differentiation.

When it comes to putting bits of colour to images, sometimes they're fixed in the right place and sometimes they aren't.

Pembaca mempunyai hak sepenuhnya untuk mewarnakan cerita-cerita saya... tapi ingat, warna itu anda yang letak sendiri, bukan saya. ;-)

Anonymous said...

abes tu apa warna sebenar. macam mane nak 'kenali saya dari penulisan saya' ni?

hehe

Taufik said...

Hah, relativism... Itu la epistemology of certainty kuburan. Apa kata setiap 'saya' berlainan bagi setiap 'anda'?

Anonymous said...

Allah never look at ur flesh or body,but ur deeds..

InshaAllah let's pray for both girls in the story..

Hopefully both will be guided to what Allah wants and loves..

Let see,my 'colour' of the story then..

hehe..

the end of both girls might be different..

Maybe,for the first girl,even though it seem that she's look not so 'alim' in certain aspects but ,
one day she felt pity of an animal,a thirsty cat maybe,and she helped it with full heart,and her sincerity was verified by Allah and weighted heavily in the Day of Judgement,until that "Deed" of helping a cat,is over her 'sins' and Allah loves her because of that very sincere and special deed..

For the second girl,maybe..until at one point in her life,she felt so 'ujub' with her 'kealiman' or 'kehebatan perjuangan',every deeds she did like 'debu-debu berterbangan' -

zero in the scale of mizan..

Allah didn't like her because what she had in her heart or her conduct with other people..

Nauzubillah..

~~~

p/s;sorry for the long one and sorry for the 'mixture' of language i do have..;p

anyway,nice blog my sis!