Salam.
Cetusan untuk menulis entri ini sudah hadir dalam tiga minggu yang lepas - sewaktu menunggu kenderaan untuk pulang ke Manchester. Namun kepenatan mental dan fizikal pada ketika itu, dan kesibukan yang menyusul sesudahnya menjadi alasan yang baik untuk terus bertangguh-tangguh.
Imbas kembali - lokasi di lapangan terbang Malaga, Sepanyol. Waktu sekitar jam 2.10, kami berempat beratur menunggu boarding pass diperiksa dan dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Saya paling hadapan, menghulur kertas bercetak maklumat peribadi dan penerbangan kepada pegawai di kaunter. Wajahnya sedikit berubah.
"You'll need to run."
Saya menelan air liur. Malapetaka apa pula ni?
Pandangannya menyeluruhi boarding pass saya, dan mengulang sekali lagi bahawa saya perlu segera berlari - ke mana dan mengapa, saya belum pasti. Cuba bertenang. Tentu ada salah faham, tidak mungkin kami perlu berlari ke mana-mana sedangkan jadual berlepas pesawat adalah kurang sepuluh minit lagi!
Tanpa menjelaskan masalah kami, dia melihat boarding pass Teh, Madihah dan Shahirah.
"You all will need to run."
(Goodness me what the heck, just tell us what's the problem already!!)
Rupa-rupanya, kami lupa mendapatkan pengesahan pasport di kaunter RyanAir. Tak ada cop yang sepatutnya ada. Kami cuba menjelaskan bahawa kami sudah melepasi kaunter imigresen, namun tiada gunanya - biar langit runtuhpun, boarding pass kami itu mesti mendapat cop barulah dibenarkan terbang.
"You'll really need to run. Go back across the main departure hall to the RyanAir office. Run, you only have seven minutes."
O shooot. Shoooooot.
"Seven minutes?" Shahirah berpusing dan terus berlari, seiring dengan Teh dan Madihah. Bukan senang jalan yang bakal kami tempuh - perlu menongkah arus berpatah balik meredah kaunter imigresen dan sekuriti, di mana beg-beg semuanya diimbas di bawah mesin, entah akan lepas atau tidak, dan.. TUJUH MINIT.
I hate running. If there's one thing I really, really couldn't bear, it's running to chase something. I almost never run to catch a bus - I'd rather wait.
Saya cuba berlari, dengan sebelah tangan menarik bagasi beroda, dan beg sandang bergayut di bahu. Namun hanya beberapa tapak, seluruh otot dan sendi memprotes. Tali beg sandang terbelit-belit dan tersangkut-sangkut, beg terlambung-lambung melanggar kaki. Lantas saya lucutkan beg dari sandangan, talinya dilipat-lipat dan dipegang dengan tangan yang sama menarik bagasi beroda. Cuba berlari lagi - namun - hanya beberapa tapak.
Saya tidak larat.
I hate running. Running to chase something, that is. I don't like to run, I don't like to chase. Being already tired to the bone after six days in Spain preceded by loads of work and never getting to slow down didn't help.
Shahirah, Teh dan Madihah sudah laju ke depan. Dengan beg yang digalas dan ditarik, mereka berlari, berkejar ke kaunter RyanAir, mengejar waktu dan pesawat yang bakal berlepas, mengejar waktu sebelum dipintas oleh minit ketujuh.
Saya - jauh di belakang, tidak sanggup berlari lagi, mental dan fizikal yang mengongoi tidak berdaya, sesekali cuba berlari, namun hanya setapak dua sebelum kembali menjadi langkah-langkah cepat yang dipaksa, mengheret kaki sambil menahan sakit dan sesak dalam dada. Merempuh kaunter imigresen dan barisan sekuriti - bukan senang untuk bergerak melawan arus, it's supposed to be a one-way traffic - mujurlah ada pegawai yang memahami dan membenarkan saya (kami) lalu.
Dalam kepala, saya mencongak-congak. Apakah yang paling teruk akan berlaku? Perlu beli tiket kapal terbang baru. Berapa? 100 euro? Mungkin. Saya teringat peristiwa terlepas penerbangan pada awal tahun 2008. Sekitar GBP80 perlu dibelanjakan untuk satu tiket yang baru. Sanggupkah saya berbelanja 100 euro - mungkin lebih - hanya kerana tidak mampu berlari lagi?
Sahabat saya yang bertiga mungkin sudah sampai ke dalam kabin. Saya termengah-mengah mengheret kaki, selaju mungkin, selepas berjaya melepasi sekuriti dengan memotong barisan dan mengimbas beg sepintas lalu. Hampir menangis memberitahu pegawai yang pada mulanya berkeras memaksa saya beratur di belakang orang lain.
"I am going to miss my flight!!!!" Tak faham-faham ke haaah??
Walaupun tidak sanggup berlari, harapan masih tidak saya lepaskan sepenuhnya. Masih mahu mengejar walaupun minit ketujuh sudah lama memintas, sudah sampai ke garisan penamat. Masih belum mahu berputus asa, masih ada doa di celah-celah nafas yang putus-putus mencungap, masih ada gesa-gesa dalam langkah laju yang berat - walaupun kalau diikutkan hati, saya sudah 80% yakin yang pesawat sudah meninggalkan saya, sudah mahu bersandar di dinding melepaskan lelah sambil mengesat air mata yang mungkin gugur.
Di kaunter sekuriti, saya terserempak dengan pegawai yang mula-mula menyuruh kami berlari tadi. Dia sudah meninggalkan posisinya - tentu tugasnya sudah selesai.
"Quick, you need to run, or you'll miss the flight!"
Harapankah itu? Pesawat masih belum berlepaskah?
Kaki sudah tidak sanggup berlari. Apa nak jadi pun, jadilah. Namun ada laju yang sedikit bertambah dalam setiap hayunan langkah. Koridor ke arah gerbang berlepas dirasakan begitu panjang.
Masih ada pegawai lain yang bertugas di hadapan laluan terowong yang menuju ke arah pintu pesawat. Dia tersenyum lebar melihat saya yang mencungap, langkah seperti banduan yang cuba berlari dengan bola besi membelenggu kaki. Allah, masih sempatkah rupa-rupanya?
Ketika kaki saya menapak - selaju yang mampu, ditampungi saki-baki tenaga fizikal dan mental yang benar-benar tinggal hanya sisa terakhir - melalui terowong besi ke arah pintu pesawat, dan melihat tiga sahabat saya berdiri di sana menunggu saya, dada menjadi terlalu sebal sampai tidak mampu merasai apa-apa, hanya syukur, syukur, syukur.
I was overwhelmed - mentally, physically, spiritually. Allah, alhamdulillah..'ala kulli haal, alhamdulillah...
Boarding pass diserahkan kepada pramugar(i/a?) yang menanti di muka pintu, lantas bergerak bersama sahabat-sahabat mencari tempat duduk, saya tidak mampu mengucapkan apa-apa, dada seperti mahu pecah, rengkung digesel kertas pasir, perut bergelodak mahu muntah, air mata di belakang empangan minta mahu menyembur keluar, syukur atas belas kasihan Allah, terharu dengan kesetiaan sahabat yang menanti...saya terduduk di atas kerusi, mengatur semula nafas dan composure.
Saya tidak suka berlari. Mengejar. Mengharap benar-benar. Kompetitif itu bukanlah sifat saya - mungkin beberapa tahun dulu, ya, tapi sekarang, tidak lagi. Apa yang saya pertandingkan, yang saya menangi, sejak kebelakangan ini, semuanya dilakukan atas dasar tanggungjawab. Dustalah kalau saya mendakwa tidak suka, atau benci kepada pertandingan - pilihanraya pimpinan pelajar, ranking akademik di universiti - namun sesungguhnya, kemahuan untuk menang, untuk ke hadapan itu tidak sekuat dulu. Saya sudah puas, mungkin penat - bertanding, berebut dan berlumba.
Penat juga apabila yang dikejar tidak tercapai - daripada menanggung kecewa apabila bas yang dikejar menutup pintunya dan bertolak sejurus selepas saya termengah-mengah sampai ke tepi tayar belakang, lebih baik tidak perlu kejar, kalau terlepas tunggu saja bas yang lain!
Mengapa dalam hidup ini, kerap benar saya perlu 'berlari' mengejar sesuatu yang saya tidak pasti? Saya ingin hanya bergerak mengikut keselesaan saya sendiri. Laju atau perlahan, what matters is going at my own pace. Saya tidak suka bergerak laju kerana dipaksa atau mengikut rentak orang. Bergerak perlahan kerana dilambatkan oleh orang juga amat-amat mengganggu.
Sewaktu kecil saya sering ke mana-mana seorang diri - contohnya ke tandas, ke kantin atau ke pusat sumber sewaktu rehat - kerana begitu canggung mengajak orang lain bergerak dengan kelajuan saya, atau bergerak mengikut rentak orang lain. Sesudah mengenal usia dewasa, bersiar-siar atau pergi membeli-belah itu aktiviti yang lebih suka dilakukan seorang diri - kerana alasan yang sama.
Mengikut rentak orang lain atau 'memaksa' orang lain mengikut rentak saya itu bukanlah sesuatu yang saya selesa, apatah lagi suka, lakukan - kecuali, mungkin, jika bersama-sama orang yang paling rapat, orang yang saya sayang, orang yang penting bagi saya. Kasih dan tanggungjawab mampu menyebabkan insan menerima apa sahaja - malah jengkel dapat berubah, mulanya hanya rela, kemudian menjadi suka.
Saya ingin hanya bergerak mengikut keselesaan saya sendiri. Laju atau perlahan, what matters is going at my own pace.
Tapi hidup tidak begitu, bukan.
Ada waktu-waktunya saya perlu berlari. Terpaksa berlari. Mengejar dan mengharap, sedang dalam waktu yang sama, menanti. Baik dalam urusan kerja, akademik, mahupun urusan-urusan lain yang lebih sulit dan rumit. Risiko itu mendidik hati untuk tawakkal, untuk bergantung dengan Allah dan menerima segala ketentuan. Berlarilah, setidak-tidaknya akan sampai juga ke garisan penamat - bezanya hanya cepat atau lambat. Jangan hanya menyeret kaki berjalan, kelak terlalu lambat.
Jangan takut untuk tampak kalah, kerana Allah mengira setiap peluh yang menitik dan air mata yang tumpah.
Bukankah insan yang terlalu angkuh untuk berlari, terlalu pengecut untuk tewas dalam perlumbaan, sebenarnya kurang tegar berpaut dengan Tuhan - dan akhirnya akan kandas hanya di garisan permulaan?
"I'm afraid, you'll have to run. You only have...."
"...before the plane of life took off without you."
meow.
Monday, January 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Kucing tak suka lari? Kene cari pseudonym baru la kak.... -madihah newcastle =)
Fuhh... Aku juga pada awalnya hampir menitiskan airmata tatkala menanti kisah seterusnya semasa kau sudah tidak bermaya lagi berlari.
Tapi, jika aku di tempat kau pun, aku tidak akan berlari. Kerana aku sangat tahu, kapal terbang tidak akan meninggalkan aku kerana minimum 30 minit juruterbang akan menunggu beberapa lagi penumpang duduk. Juruterbang masih seorang manusia dan kebiasaannya mereka sudah melepasi tahap EQ yang stabil.
Walau apa pun, rasanya aku sangat berterima kasih kerana mengingatkan, "hidup ada waktunya perlu berlari."
p/s: Lama tidak bertanya khabar pada sahabat yang saling tidak pernah bersua ini.
banyak benda daptat walaupun dengan berlari
sangat suka entry ini.
...kadang2 kita berlari mengejar sesuatu yang tidak kita sndiri pasti...
Post a Comment