Monday, June 25, 2007

Siapa dan Apa yang Pseudo?

Assalamualaikum.

Sekarang saya agak euforia, usai bicara lewat telefon hampir setengah jam dengan seorang sasterawan muda yang sudah lama - dan sampai sekarang - saya hormati dan kagumi sebagai ikon sastera, sebagai guru. Perbualan yang didasari oleh urusan rasmi sebenarnya - mengundang cikgu menjadi salah seorang pembimbing dalam satu program anjuran bersama pelajar-pelajar bekas rakan sekolej.

-mohon permisi, cikgu, saya kongsikan sedikit di sini untuk ramai-ramai ambil iktibar, kalau ada yang mahu-

Tidak dapat tidak, pelbagai isu lain turut disentuh walaupun mungkin ada yang cuma sipi-sipi disebut. Figura yang sering dikunjungi kontroversi, bersulam tawa kecil cikgu seperti mengungkapkan secebis keluhan. Ungkapan yang saya begitu persetujui, yang berkali-kali saya ucapkan kepada sesiapa yang membicarakan perihal ini dengan saya.

"15 tahun perjalanan sastera saya, adakah mereka benar-benar mengambil tahu? Baru dalam dua tahun nama saya menjadi sebutan dengan penuh kontroversi, oleh pihak-pihak tertentu yang menghentam saya. Maka saya dipandang dengan stereotaip yang begitu-begitu. 13 tahun sebelum itu, siapakah yang tahu apakah yang telah saya lalui? Perubahan dan perjalanan saya? Di mana saya dan ke mana saya?"

"Baru-baru ini saya ketemu seorang yang seperti terkejut setelah bercakap dengan saya. Wah, rupa-rupanya saya bukan sedahsyat yang diuar-uarkan itu!"

Lebih kurang begitulah cebis-cebis yang cuba saya petik, tentu sahaja bukan tepat sebiji-sebiji seperti kata cikgu, tapi insyaAllah itulah intipatinya.

Entahlah, saya belum punya cukup ilmu untuk menyatakan pendirian saya terhadap isu-isu yang 'kontroversi' yang cikgu sampaikan, polemik yang berkisar seputar nama dan pemikiran cikgu. Tapi yang saya tahu, cikgu yang 'pelik' sekarang memang berbeza daripada cikgu yang dahulu, cikgu pada waktu-waktu saya meniti bulan-bulan pertama di kolej.

Dari segi tutur kata jauh lebih lembut dan manis dengan sinisme dan sarkasme yang berpada-pada. Cara berfikir dan mengutarakan pendapat juga berlainan. Gaya tulisan, prinsip berkarya, ada modifikasinya. Tidaklah maksud saya, dahulu cikgu kurang sopan atau gasar. Tidak sama sekali. Tidak juga saya mahu mendabik dada pintar menganalisis apatah lagi menilai peribadinya. Pokok ceritanya di sini, saya yang sudah bertahun-tahun membaca dan memerhati berani berkata yang saya nampak takah-takah bezanya. Dan saya perlu mengakui yang beza itu adalah ke arah yang lebih baik, umumnya.

Saya pernah ditanya tentang cikgu. Pernah ditegur, malah ada bau-bau 'dimarahi' kerana itu. Ah, saya bukan penyokong fanatik apatah lagi pembela tanpa gaji. Jauh sekali saya mahu berkempen menyuruh semua orang berfikiran seperti saya atau menuduh semua orang yang tidak menyetujui cikgu sebagai - ah, apa-apa sahaja yang tidak-tidak itu.

Saya hanya terfikir, ya, betapa mudah kita menghukum dan menilai seseorang hanya dengan satu dua artikel daripada figura-figura yang kita agung-agungkan, apatah lagi jika disuakan sepatah dua 'bukti' yang kononnya menyokong. Kita malas membuat kajian sendiri. Kita taklid dengan 'mereka' yang membuat 'kajian' dan membongkar 'penyelewengan' dengan segala macam 'pendedahan' yang panas-panas. Atau kalau kita kaji pun, kita kaji secara sambalewa, dengan saiz sampel yang sebesar kuman dan kajian yang bertampung-tampung dengan fallacy kita buat kesimpulan tentang populasi. Aduh, kasihan guru Statistik, Business and Management, Theory of Knowledge dan Pendidikan Agama Islam kamu! (kalau anda belajar subjek-subjek ngeri inilah, kalau tidak, mungkin anda tidak boleh begitu keras dipersalahkan, sepertimana layaknya orang jahil yang melakukan kesilapan kerana kebodohannya)

Penemuan-penemuan hangat itu langsung kita sebarkan - wah, forwardkan email ini, sebarkan tentang pendedahan itu dan pendedahan ini, 'berdegar-degar' kita hebahkan penemuan terbaru kita, bersemangat kita sebarkan 'hadith' yang belum tentu sanad dan matannya! Orang itu dan orang ini kita terus hukum sebagai musuh dan seteru. Seronok sungguh berdebat dan mematahkan hujah-hujah lawan. Lebih bagus kalau dapat mengutuk orang lain sebagai bodoh, sesat lagi menyesatkan.

Ada lagi yang lebih seronok. Alangkah 'syok'nya mencerca orang lain sebagai 'pseudo' itu dan 'pseudo' ini. Pseudo-intelektual. Maka para intelektual tulen yang amat istimewa dan payah ditemui lagi mulia dan suci pun bercanda riang ria mem'babi'kan, men'-letak apa-apa perkataan mencarut di sini-'kan golongan pseudo-intelektual yang sesat lagi menyesatkan ini.

Pseudo-intelektual yang gigih membuat kajian ke sana sini, yang tidak sepatah pun mengeluarkan kata-kata kotor apatah lagi mencaci maki sesiapa yang tidak sependapat dengan mereka. Yang membaca pelbagai buku, mengembara ke seluruh pelosok dunia atas nama kemanusiaan dan ilmu, yang menitiskan keringat malah membahayakan nyawa untuk mendalami satu-satu isu dan menyuarakan apa yang mereka yakini benar.

Wahai para intelektual tulen, pejuang agama, agamawan perwira, yang begitu hebat sehingga dapat menilai siapa yang pseudo dan siapa yang jitu, cuba tunjukkan sejauh mana usaha anda untuk agama dan bangsa anda? Buku apa yang sudah anda baca? Kajian apa yang sudah anda buat? Dengan siapa anda sudah berguru? Tidak mengapa, anda mungkin takut sesat kalau mengkaji tulisan-tulisan ahli falsafah Barat, jawapan-jawapan Islami pun diterima, bahkan amat dialu-alukan di sini. Besar mana pengorbanan yang sudah anda lakukan demi kebajikan manusia sejagat? Sejauh mana anda benar-benar prihatin - dan melakukan sesuatu yang signifikan - dengan isu REALITI yang melanda kemanusiaan, melanda ISLAM? Sejauh mana anda mencintai dan menghargai ilmu, tanpa menanti disuapkan? Ingat, daurah-daurah dan usrah-usrah atau (apatah lagi!) ceramah-ceramah politik tidak dikira sebagai jawapan!

Setakat mencarut dan menuduh semua orang keji, orang tak siuman di bandar Kuala Krai atau yang seronok menayang 'birthday suit' di kampung saya pun boleh buat.

-alamak, habislah, adibah abdullah dah sesat. dah jadi puak liberal. anak buah amina wadud.-

Sahabat yang saya kasihi kerana Allah,

Penatlah kalau kena buat 'disclaimer' untuk semua kenyataan, walaupun itulah hakikatnya dalam dunia yang penuh prasangka ini.

Sesungguhnya yang ingin saya sampaikan bukanlah mengiyakan apa yang tidak, atau menghalalkan apa yang haram. Mohon dijauhkan Allah. Saya hanya menyampaikan pandangan saya tentang fenomena yang bagi saya menyedihkan. Memang, para intelektual di Malaysia - dan di luar negara juga - banyak yang tidak meniti di atas jalan yang benar. Namun demikian kegigihan dan kesungguhan mereka bagi saya tetap menghasilkan mutiara. Mutiara yang perlu kita pilih, antara butir pasir, kulat, dan debu yang mereka campakkan, untuk manfaat kita. Untuk manfaat Islam dan da'wah. Setidak-tidaknya contohilah iltizam mereka dalam menambah ilmu, mengkaji dan berbakti kepada umat.

Baca buku ilmiah (bukan setakat Ayat-Ayat Cinta, Tautan Hati, dan Tentang Cinta sahaja, walaupun buku-buku inipun ada bagusnya) dan buat kerja sukarela. Buat field-work, terjun ke tengah-tengah masyarakat. Anak yatim, warga tua, ahli politik, ilmuwan, biar semuanya kita pernah rasa dan kita mengerti. Hadiri program-program bermanfaat - yang tidak melanggar aturan agama tentunya, wah letih sungguh buat disclaimer ini! - walaupun yang tidak dianjurkan oleh jemaah atau disuruh oleh naqib/naqibah. Dzatiyah, kesungguhan mencari ilmu dan mentarbiyah diri sendiri, seutuh mana kita miliki?

Sidi Abdul 'Aziz Ahmed, seorang tokoh pendakwah yang saya hadiri ceramahnya sewaktu menziarah ke Sheffield beberapa bulan lepas, mengungkapkan kata-kata ini yang masih segar dalam ingatan saya. Secara kasarnya beginilah,

"Kita hairan kenapa da'wah kita tidak menjadi. Kenapa orang tidak mahu melayan seruan kita ke arah Islam, jalan yang benar. Tapi kita lupa, untuk berkesan, da'wah perlu berlandaskan cinta. Kasih sayang. Da'wah kamu tidak berkesan kerana kamu tidak bangun malam, menangis untuk mendoakan orang-orang yang kamu da'wahkan. Menangis memohon agar Allah membuka hati-hati mereka untuk menerima hidayah, mendoakan mereka dengan penuh kasih sayang."

Sayangkah, cintakah, kalau asyik mengutuk dan mencerca? Logiknya, kalau si Alif diajak oleh Ba dan Ta, "Marilah ke jalan yang benar, hai babi, hai makhluk celaka!"
Yakinkah Alif dengan jalan yang benar yang diajak oleh Ba dan Ta itu?
Atau, "Marilah ke jalan yang benar, wahai Alif. Sesungguhnya selama ini engkau manusia yang bodoh lagi tidak berguna, pelajaran pengetahuan engkau itu semuanya sia-sia."
Kok iye pun Alif itu sesat, takkanlah diberitahu begitu depan hidungnya? Kalaupun hatinya terbuka untuk bertaubat, sedikit sebanyak keegoannya setelah dihina akan menguatkan lagi tekadnya kepada jalan pilihan asalnya.

Ataupun Ba dan Ta bercakap dengan Sin dan Jim,
"Alif tu sesat. Bodoh. Pseudo-intelektual. Buat amal kebajikan sia-sia saja. Perosak umat."
Akan sampai juga kepada Alif. Akan yakinlah lagi Alif, golongan orang-orang seperti Ba dan Ta ini, sudahlah tidak sopan, suka bercakap kasar dan mengutuk sesedap hati pula.

Dapat kan apa yang saya mahu sampaikan? Tak perlulah saya banyak-banyak berhujah tentang hikmah. Saya sendiri masih banyak perlu belajar tentang ini.

Apa sahaja usaha - da'wah salah satunya - jika diinspirasikan cinta dan kasih sayang akan mempunyai kekuatan dan ketulusan yang mengagumkan, insyaAllah.

Wan, seorang teman yang saya ketemu waktu menghadiri Projek Amanat Negara IV di London musim bunga lepas, memberi komen ini tentang berhujah dengan intelektual.

"Kau perlu berikan fakta-fakta. Kautak setuju dengan hujah mereka? Mereka menentang agama? Nah, huraikan fakta-fakta untuk menentang penghujahan mereka."

Tidak dinafikan, tidak semua isu terutamanya yang berkait dengan agama boleh diperjelaskan semata-mata dengan fakta. Agama Islam, deenul-haq, difahami dengan hati, qalb, bukan semata-mata dengan aqal. Tapi adakah ini alasannya untuk berkata sepatah dua, bahawa Islam ini begini dan begini ajarannya, kalau engkau manusia yang terbuka hatinya engkau akan nampak kebenarannya, kerana engkau ini gelap hatinyalah engkau masih buta perut akan al-haq ini, sedangkan sang da'ie (atau da'ieyah) malas belajar, malas menimba ilmu dan malas mengkaji mencari data serta fakta? Bergantung kepada "kata-kata yang benar dan berhikmah dan hadir dari hati itu lebih berkesan daripada kata-kata yang sarat berfakta".

Islam itu sesungguhnya logik. Faith that can be proved with logic, although ultimately faith has to be independent of logic. Boleh dibuktikan dengan hujah untuk mendekatkan orang kepada Islam walaupun tidak sepatutnya kebenaran Islam itu digantungkan kepada hujah dan fakta semata-mata.

Tidak kasihankah para intelektual yang hanyut kerana para da'ie malas berusaha untuk mendekati mereka? Mendekati dengan cara yang semenggah dengan intelektualiti (dan keegoan, intellectual pride tentunya) mereka?

'Da'ie' yang lebih seronok mencaci dan mencerca dalam blog, dalam laman web, di mana-mana sahaja, asalkan tidak bersemuka dengan mana-mana pseudo-intelektual yang mereka keji-kejikan.

'Da'ie' yang leka dengan alam da'wah sendiri, dalam usrah-usrah dan daurah-daurah yang menggembirakan dan menenangkan hati, mendamaikan dengan rasa diri terbenteng daripada kecamuk ma'siat di dunia luar, mengasyikkan dengan romantisme 'jalan perjuangan yang penuh onak duri', menyelesakan dengan pemahaman yang dicorakkan mengikut apa yang ditunjuki orang lain sepenuhnya tanpa berani menjelajah mana-mana 'territory' asing daripada yang biasa dilalui.

Tulisan saya ini tidak ada kaitan dengan cikgu saya, atau dengan siapa-siapa yang lain yang siapa-siapa rasa mahu kaitkan dengan saya.

Saya sendiri masih banyak yang perlu belajar. Kalau tidak ada sesiapa yang terfikir apa-apa daripada tulisan saya ini, cukuplah saya seorang yang berasa terpukul dengan apa yang saya tulis sendiri.

Allah Maha Mengetahui.

salam perjuangan di alam nyata,
meow~

Friday, June 22, 2007

oppression of women?

assalamualaikum,

I've put a link to a news-bulletin - presumably originating from Australia, considering the title of the bulletin - that describes and bemoans the 'Islamically-justified' maltreatment of women in a supposedly Islamic environment. It was so thought-provoking that I put it in my chatbox for all my intelligent and sensitive readers out there to ponder on and perhaps draw some conclusions.

Well, a very interesting response was put in my chatbox by Taufik. I think there's a significant erudition in his analysis, worth a more coherent read than the down-to-up fragmented way in the chatbox.

wonder what happened to india? Surely one can't blame the manipulation of the Qur'an for the brutal killing of women at india too, right? Is it coincidence that pakistan was part of india?

India, Pakistan, Bangladesh, n Nepal are all in the 'more men zone', so why didn't the writer highlight this and the possibility of a socio-custom related theory as can be seen by this geographical-related pattern? Same goes to the Africa continent and do note that 0.3% difference is so small (around 90k in 30 mill population), so the 'more men' and 'more women' division is actually more psychological rather than anything else.Owh, Malaysia has more men than women too, what went wrong? ops... I must say that it is shameful that Muslims all over the world are not practicing 'true Islam' to bring ourselves out of jahiliyah. Talking about Orwelian, just listen to Bush: “God told me to invade Iraq.” This war on terrorism, with no clear enemy, no clear end, and often for the benefits of the superpowers just smacks of Orwellian. After all "War is Peace", Mr. Bush and co. preach about that everyday in thier "War Against Terrorism" campaigns. "Freedom is slavery", just look at Guantanamo Bay and other Iraqis POW. "Ignorance is strength, well, where did Mr. Bush, Mr. Blair, n co. get support from? Rationalist can be biased too. Fikir dalam2.

Ah, talk about Orwell! Quite sadly, upon my arrival in Malaysia, i discovered that due to some sort of 'mengemas' work done at home, my '1984' is buried somewhere in my book-stash (one whole room of books and papers n whatnots). And since I've been busy reading other stuffs in my looong and tedious reading list, I've been postponing the excavation to retrieve my priceless books.

Other comments are very, very welcome as well. =)

Salam,
meow~

Tuesday, June 19, 2007

segitiga cinta - III

Barangkali kerana situasi berbeza di luar negara, barangkali kerana sebenarnya saya yang tersilap mengenali Z sebelum ini.

Barangkali kerana situasi di tanah air yang telah berubah, atau barangkali kerana sebenarnya saya yang tersilap mengenali A sebelum ini.

Barangkali juga saya sebenarnya yang telah berubah.

Cinta boleh saja beralih arah.

Saya nampak dalam Z, kelebihan, keistimewaan dan keindahan untuk saya yang tidak saya nampak sebelum ini. Sebelum ini, kalaupun saya nampak itu semua, saya tidak rasa ia untuk saya. Saya rasa kebahagiaan melalui jalan itu adalah untuk orang lain kerana saya tidak fikir saya akan menemui self-fulfilment dan sense of belonging di situ. Bersama Z. Saya tahu, ia adalah jalan yang baik, malah hampir dengan 'damai abadi' itu, tapi saya lebih mahu bersama A.

Mahu, adakah lebih dipandu nafsu ketika itu? Cinta saya kepada A, harapan saya agar kemurnian Z tumbuh dan subur dalam intelektualiti A, adakah itu semua berlandaskan nafsu sahaja? Adakah dalam menguar-uarkan dukungan kepada rasionaliti, saya sebenarnya dipandu oleh emosi?

Diri berdialog dengan diri.

"Bukan salah engkau sepenuhnya. Dulu memang engkau tidak nampak bahawa Z juga intelektual dan rasional. Dulu, memang Z yang selalu menyanggah engkau dengan hujah-hujah yang kurang munasabah. Logiknya kalau engkau nampak itu semua, kalau engkau nampak bahawa Z lebih istimewa daripada A - kerana Z punya akal sempurna dan hati murni sedangkan A hanya punya kesempurnaan akal sedangkan hati yang masih banyak tanda tanya tentang kesuciannya - engkau akan memilih Z."
"Belum tentu. Mungkin ketika itu aku sudah nampak tapi aku saja buat-buat tak nampak. Mungkin ketika itu aku sudah tahu tapi aku sengaja menghalang akal daripada mengaku. Mungkin ketika itu aku sudah faham tapi aku sengaja menyekat hati daripada mengerti!"
"Hanya sekadar mungkin. Mungkin ya, mungkin tidak. "

"Lihat mereka yang begitu rapat dengan Z itu. Betapa ikhlasnya mereka. Dan akal mereka juga bukan calang-calang, malah lebih mulia kerana dipandu dan dibataskan oleh hati. Sedangkan aku mendewa-dewakan akal."
"Kenapa tiba-tiba begitu apologetik? Kausendiri tahu yang kaubukan sehina itu. Kaubukan sekeji itu. Mungkin dahulu engkau ada melakukan kesilapan, tapi tidak bermakna setiap penilaian engkau dahulu adalah songsang. A juga punya kelebihan, tidak patut engkau mencaci diri sendiri kerana melihat kelebihannya. Apatah lagi kelebihan itu memang kelebihan. Keistimewaan."

"Kenapa aku hanya nampak ia pada A? Kenapa aku tidak nampak ia pada Z? Dari dulu? Tidakkah itu bermakna pintu hatiku yang tertutup?"
"Kalaupun ia terbuka, kalau tidak ada apa-apa yang berbaloi untuk masuk, tidak ada gunanya. Mungkin dahulu pintu hatimu tertutup kepada Z kerana engkau memang tidak diperlihatkan dengan sifatnya yang sebenar! Engkau memang tidak diperlihatkannya, bukan engkau yang tidak nampak! Atau jika engkau benar-benar diperlihatkan secebis daripadanya pun, imej dan imejan itu terlalu lemah untuk meyakinkan engkau bahawa apa yang engkau nampak adalah realiti yang konkrit, bukan 'kes terpencil' atau 'ilusi optik'. Justeru engkau memilih untuk berpegang kepada apa yang lebih jelas diperlihatkan kepada engkau, iaitu kelemahan Z. Dan kelebihan yang engkau lihat pada A."
"Betul juga... tapi, dahulu aku begitu canggung jika hendak didekati Z, atau didekatkan dengan Z. Siang-siang aku sudah curiga. Sedangkan jauh di sudut hati, aku begitu kepingin untuk merasai kemurnian dan ketenangan seperti yang tampak pada mereka yang satu jalan dengan Z. Mesra dengan Z. Tapi sungguh ketika itu aku merasai bahawa Z tidak sesuai dengan aku, dan aku tidak sesuai dengan Z. Silap siapa? Kesilapan kolektif mungkin, dikongsi bersama antara aku dan mereka yang hampir dengan Z yang menayangkan paparan tidak kondusif untuk aku. Lantas aku memilih A, yang kelihatan lebih sesuai dengan aku. Dan aku mungkin sengaja menambahkan emphasis kepada kelemahan-kelemahan Z agar aku tidak berasa lebih sesal dan kesal kerana tidak dapat bersamanya."
"Em, refleksi dan introspeksi yang bagus. Elok saja engkau muhasabah, tapi jangan asyik mempersalahkan diri sendiri sebelum mengenalpasti duduk perkara masalah sebenar."

"Sekarang semuanya seperti berpusing. Terbalik. Berputar. Apa-apa saja yang lari daripada status quo dalam kerajaan pemikiran aku. Aku nampak dengan jelas apa yang tidak aku nampak sebelum ini. Dan hati aku seperti bertukar tolok piawaian, menerima dan memahami apa yang sukar dimengerti selama ini. Dan penerimaan mereka di sekeliling aku - orang-orang yang rapat dengan Z tentunya - berlainan sekali dengan 'kaum kerabat' Z yang hampir denganku di tanah air dahulu. Semuanya berlaku serentak. Adakah hatiku yang terbuka kerana perubahan persekitaran, atau persekitaran yang aku lihat berubah kerana hatiku yang sudah terbuka?"
"Engkau tercampak ke luar negara ini, bersama dengan Z, adalah bersebab, dan menjadi sebab pula kepada akibat-akibat yang lain. Perkenalan engkau, cinta engkau, dengan A dahulu juga punya sebab dan akibatnya. Perancangan Tuhan itu cantik. Ketika engkau diperlihatkan dengan perwatakan Z yang sebenar, kemuliaan Z yang sebenar, ketika engkau dimesrai oleh mereka yang hampir dengan Z, ketika itulah hati engkau terbuka. Tak perlu engkau persoalkan, telur dulukah yang menetas atau ayam dahulu yang bertelur. Tidak perlu."
"Ya, aku setuju. Tidak perlu."

"Yang perlu sekarang bukanlah menyalahkan diri atau membuang masa menyesali kesilapan tanpa hasil. Malah aku yakin keakraban kau bersama A dahulu sungguh-sungguh memperkaya engkau dengan ilmu dan pengalaman yang sukar diperoleh. Yang perlu engkau mantapkan lagi dan gunakan untuk menyalakan obor perjuangan yang sekian lama dijulang Z. Sekarang, fokuskan kepada apa yang perlu engkau perbaiki, dan perbaikilah. Apa yang boleh engkau manfaatkan, langsung manfaatkan! Sama ada bersama A atau bersama Z, pokok pangkalnya, engkau cari damai abadi itu."

"Tapi aku terfikir. Dari seberang laut merentas benua ini, setelah aku jauh dari A, buruk-buruk A semakin jelas pada pandangan aku. Yang baik-baik pada A semakin pudar. Setelah aku mesra dengan Z, akrab dengan Z, aku nampak jelas yang baik-baik padanya, aku seperti tidak nampak buruk-buruk padanya. Aduh, pseudo-pencerahankah ini? Kebenaran mutlak, bagaimana hendak kucari?"
"Engkau tahu jawapannya. Tanyalah hati. Hati yang terpandu dengan wahyu Tuhan dan pesanan Nabi."

Insya-Allah, ketika itu, saya yakin saya ketemu jawapannya. Kekecewaan melihat buruk-buruk A yang makin banyak dilemparkan ke ribaan saya hari demi hari, buruk-buruk yang teruk, yang saya rasa semakin payah untuk diselamatkan lagi, tambah menguatkan keyakinan saya bahawa cinta saya sepatutnya untuk Z dan bukan A. Keyakinan saya itu sehingga sanggup melepaskan cinta A yang saya kejar dan belai selama ini, malah menerima lamaran Z pada suatu waktu yang tenteram. Mengikat tali pertunangan. Restu keluarga? Mereka tidak kisah, mereka setuju asalkan saya bahagia. Mereka yakin dengan pertimbangan saya, sementelahan keadaan saya, sayalah yang lebih mengetahuinya berbanding mereka. Mereka pun bukan tidak kenal Z, mungkin lebih kenal Z dalam setengah-setengah seginya berbanding saya.

Saya dimaklumkan - dan sedia maklum - bahawa mungkin sekali saya terpaksa meninggalkan A, benar-benar tinggalkan. Yalah, kalau mahu berumahtangga dengan Z, mana mungkin saya menyimpan hubungan sulit dengan A di belakangnya? Dua cinta tidak boleh berkongsi satu hati!

A tidak saya maklumkan dengan keputusan saya. Tapi perlahan-lahan, kemesraan kami semakin kering. Saya semakin sinis dengannya dan dia mula curiga dengan saya. Saya tidak kisah.

Untuk suatu jangka waktu, saya bahagia dengan keputusan saya. Saya korbankan sebahagian sifat keras kepala saya yang dulu, saya gantikan dengan kerendahan hati dan kesudian menerima tunjuk ajar. Saya tidurkan sebahagian sifat asertif saya, saya belajar beralah dan diam daripada memprotes dan bertelagah. Tidak bermakna saya sudah jadi beku atau dungu. Tidak bermakna saya mempertuhankan atau mempernabikan Z.

Tapi pengalaman mendidik saya menjadi lebih berhati-hati dalam membuat penilaian, tambah-tambah berhati-hati dalam melaksanakan tindakan. Strategi, strategi, strategi, seperti yang dipelajari bersama A dahulu! Saya mahu menang di dunia ini dan menang di dunia yang satu lagi, serta mengajak seramai mungkin insan ke arah kemenangan yang sama. Tentunya misi sebesar ini memerlukan strategi. Strategi yang lebih mustahak, terperinci dan suci daripada strategi untuk menundukkan lawan dan menegakkan hujah sendiri.

Cerita ini sudah hampir kepada penamatnya. Ah, sebenarnya tidak ada penamat kerana cerita ini adalah cerita hidup. Kesudahan cerita hidup akan sentiasa tergantung, hatta jika disudahkan dengan maut, kerana sesudah maut segalanya masih menjadi tanda tanya!

Cinta pertama saya, setelah saya selidik kembali sejarah hidup dan koleksi memori dalam hati, adalah Z, bukannya A. Hanya persekitaran dan peluang membuka hati saya kepada A, dan hanya setelah lewat - ya, lewat, jika dibandingkan dengan mereka yang lebih awal - barulah cinta saya kembali kepada Z.

Pengalaman dan pengetahuan bersama A, cukup berharga, dan sampai sekarang, saya masih belum memberitahu A tentang keputusan saya. Praktikaliti dan rasionaliti memberitahu saya bahawa dalam beberapa segi, walaupun Z cukup all-round personalitinya, masih belum dapat menandingi A. Lantaran itulah, saya masih berbaik-baik dengan A. Masih mesra dengan A. Masih ada bisikan bahawa yang buruk-buruk pada A itu seperti penyakit kanser yang kelihatan tenat tetapi masih boleh disembuhkan. Dan setelah masa berlalu semakin jauh daripada detik awal 'pencerahan agung' yang membenihkan cinta saya kepada Z, kelemahan-kelemahan Z juga perlahan-lahan kembali saya nampak.

A, tidak pernah berputus asa dengan saya. Mengajak saya, menarik saya, sehingga satu tahap saya rasakan, walau macam manapun saya berhasrat - malah berazam - untuk meninggalkannya, A akan tetap mengejar dan mencari saya, dan minda separa sedar saya tetap akan membawa saya kepadanya. Minda sedar saya memaku saya ke sisi Z, tapi kadang-kadang kecenderungan untuk kembali kepada A itu cukup kuat sehingga membawa saya kepada dilema. Ke arah mana sebenarnya saya dalam segitiga cinta ini?

Paling baru, Z mengajak saya menghadiri majlisnya. A juga mengundang ke majlisnya sendiri, pada waktu yang sama.

Saya memilih untuk menghadiri majlis Z, dan majlis A juga, walaupun ia akan sedikit mencacatkan majlis Z. Waduh.

Cinta saya masih pada Z, saya tidak fikir ia - dan saya harap ia benar-benar tidak - akan berubah. Saya masih yakin bahawa hati yang bersuluh cahayalah yang memandu saya ke arah Z dan cintanya. Saya masih berpaut pada justifikasi bahawa setiap keakraban saya dengan A, adalah bermatlamat untuk memperbaik diri sendiri, menjayakan agenda Z dan mengikat hubungan kami lebih teguh.

Namun dilema itu masih datang, kadang-kadang. Ke arah mana sebenarnya saya dalam segitiga cinta ini?

Tuhan, tetapkan langkahku.

-selesai-

Monday, June 18, 2007

segitiga cinta - II

Antara saya dan Z memang sudah ada hubungan lama. Lama kenal, sebelum kenal A lagi. Menyelongkar lemari buku di kamar ummi yang selalu saya curi-curi masuk waktu zaman kanak-kanak dulu, cerita yang berkait dengan Z sudah saya ketemu. Ayah juga fasih berceloteh tentang pelbagai perkara yang saya tahu Z akan faham dan suka.

Seperti mana mereka kenal A, begitulah keluarga kenal Z. Tapi perjalanan hidup saya, dalam tahun-tahun pembentukan itu, lebih mengakrabkan saya dengan A. Z selalu ada, selalu saya ingat, tapi saya tidak rasa akrab dengannya.

Apa yang salah dengan Z? Memang, mereka yang tidak mengerti sering menuduh Z yang macam-macam. Sama seperti A. Tapi tuduhan kepada Z lain sedikit.

"Ektrimis. Itu tak boleh, ini tak boleh. Kawan la rapat sangat dengan Z tu, nanti engkau pun jadi macam dia."
"Macam mana tu?" Saya pura-pura tidak faham.
"Macam tulah! Tak suka campur orang. Dunia ini kotor kan, lantas pergilah bersuluk di mana-mana. Berkelompok dengan orang-orang dia sahaja. Tak mahu maju, tak mahu moden. Ilmu yang berguna cuma ilmu yang dituntut di pondok-pondok."
"Wah, cakap macam engkau kenal sangat dengan Z ya!"
"Er.. alah, siapa tak kenal! Tengoklah orang-orang yang baik dengan Z, dulu, ramai-ramai tinggalkan universiti, kononnya apa yang mereka buat itu dapat datangkan kebaikan untuk semua orang. Lepas baik dengan Z, tak mahu pedulikan anak isteri, tinggal rumah buruk, asyik ke hulu ke hilir berceramah dan ajak orang ikut mereka. Mereka yakin sangat apa yang mereka bawa itu adalah penyelesaian untuk semua masalah sekarang."

"Bukankah memang betul apa yang mereka yakin tu? Engkau tak yakin ke? Agama engkau apa?"

"Er, er, ya, ya, betul, betul, tapi bukan caranya seperti yang Z buat tu.. ish, tak berkenan aku!"
"Kalau bukan macam tu, macam mana?"
"Aah, macam-macam mana pun, bukan macam itu!"
"Cuba beri 'macam' yang paling betul mengikut taksiran dan tafsiran engkau."

Dia seperti terkedu. Menggaru-garu hidung, mungkin mahu mengorek tapi segan dengan saya. Meneguk air penuh segelas sekali harung, wah tidak ikut sunnah, seperti unta, tapi saya tidak ingin menegur. Nanti dia kata saya sudah terpengaruh dengan Z.

"Kau suka bela Z lah. Tak lama lagi jadi begitulah engkau. Orang lain semuanya tak betul. Mereka saja yang betul. Tinggalkan dunia, asingkan diri, hidup tak seperti orang lain."
"Aku rasa penghujahan kau, penuh fallacy. Generalisasi yang tidak sepadan dengan realiti."
"Eh, mana ada! Ha, lagi satu. Cuba kautengok satu kelompok orang yang kononnya rajin berbaik dengan Z, bukankah merekalah juara mengutuk orang? Setiap kali bercakap tiadanya yang molek-molek tentang orang yang tidak sefikiran, ah, se'fikrah' dengan mereka. Mengutuk menghina dengan perbendaharaan kata yang begitu kaya, sampai menyebut semua binatang di hutan untuk dijadikan bandingan! Cakap sahaja lebih, orang itu salah, orang ini salah, dia saja yang betul, kerja tak dibuatnya pun. Lagi satu, yang suka bom-bom orang, bunuh-bunuh orang, jihad sana jihad sini pancung semua kafir sembelih semua Yahudi bukankah puak-puak Z juga?"

Bersembur-sembur air liurnya. Aduh, kalau mahu menawarkan servis air pancuran, sediakanlah tuala!

Saya malas hendak berhujah-balas. Tidak kenal Z, prejudis dengan Z, mengambil cebis-cebis cerita di sana sini, mengembungkan kuman sebesar gajah, maka jadi begitulah. Saya tahu siapa Z, dirinya yang sebenar. Yang buruk-buruk itu memang benar berkait dengan Z, tapi sifat asal Z bukanlah begitu. Lumrah sesuatu yang murni itu bila diselewengkan, disalahertikan, akan menjadi keji, malah sekeji-kejinya.

"Ummi kalau dapat menantu, kepingin yang seperti Z,"

Memanglah, siapa tidak mahu? Berakhlak mulia, sopan santun, berbudi pekerti. Lemah lembut tutur bicaranya, halus akhlaknya. Alim dan warak, mesra masjid dan tidak lepas laku, buas dan liar jauh sekali. Fikiran dan tindakan sentiasa bermatlamatkan satu, 'mencari damai abadi' bak kata pak perdana menteri, damai abadi untuk diri sendiri dan umat juga. Siapa tidak mahu?

Tapi yang bertahun-tahun benar-benar bertakhta di hati saya adalah A, bukan Z. Saya tahu Z baik. Saya tahu Z mulia. Tapi saya seperti tidak selesa dengan seringnya Z mengecewakan intelektualiti saya. Mengecewakan rasionaliti saya. Matlamat yang suci tidak semestinya menjadi alasan untuk menerima bulat-bulat cara yang pincang. Z, pada saya, tidak mempunyai persediaan kematangan ilmu dan keluasan pengetahuan seperti A. Kerapkali dalam keghairahan mengejar matlamat suci, Z terapung-apung di awang-awangan dan lupa berpijak ke bumi. Hujah-hujah yang dangkal disuapkan kepada saya berulang-ulang kali. Z seperti begitu naif tentang realiti. Dunia hari ini yang lebih daripada retorika bahasa, pembahagian tuntas baik-jahat hitam-putih dan semangat berapi-api yang entah bagaimana diterjemahkan kepada tindakan produktif.

Kerana itulah saya memilih untuk bercinta dengan A. Ketika itu, saya rasa, lebih mudah untuk bersama A, memesrai A dan perlahan-lahan mencipta Z dalam identiti A, daripada mencari A dalam Z. Sementelahan A menunjukkan reaksi positif. A juga menyenangi saya dan menerima saya mengakrabi dirinya, sedangkan Z seperti mahu tidak mahu, malah menjauh.

Tapi, semuanya perlahan-lahan berubah, apabila saya dan Z keluar negara bersama, sedangkan A tertinggal di tanah air.

-bersambung-

Sunday, June 17, 2007

segitiga cinta - I

Dah lama saya kenal A. Sejak awal belasan tahun. Dulu, saya tak kenal sangat dengan A. Tak kenal dengan mendalam, maksud saya. Saya tertarik dengannya kerana intrig yang mendalam pada sifatnya. Peribadinya rumit, selalu berkait dengan teori-teori menarik, isu-isu panas, hal-hal besar dan orang-orang penting. Keluarga, terutamanya ayah, bapa saudara, malah arwah moyang pun selalu bercakap tentang A. Mereka kenal A dan tidak menghalang saya meminati A.

Perkenalan saya dengan A semakin jauh dan semakin akrab. Saya semakin mengenali siapa A, keperibadian A semakin jelas pada pandangan saya. Saya semakin suka kepada A, malah mungkin sudah jatuh cinta dengannya.

"Kenapa awak sukakan saya?"
"Awak intelek. Analitikal, adakalanya pragmatik dan radikal. Saya suka. Minda saya selalu diasah, dituntut dan dipacu ke potensi maksimum bila bersama awak."
"Tapi saya agresif. Kadang-kadang saya marah-marah. Bertindak kasar. Orang selalu tuduh saya macam-macam. Kata mereka, perangai saya penuh tipu muslihat, malah ada yang mencela saya, kata mereka, saya kotor."
"Mereka pandang buruk awak saja. Ada yang baik pada awak, yang saya nampak. Kalau kita cari yang baik, yang baik itulah yang kita akan dapat."
"Awak tak takut terpengaruh dengan apa yang buruk-buruk tu?"
"Manusia seperti saya memang ada kecenderungan kepada yang baik dan yang buruk. Saya yakin, saya mampu mencari kebaikan dan menghindar daripada keburukan. Malah siapa tahu, saya mampu pimpin awak sampai semua sifat-sifat baik awak menghapuskan yang tak elok tu."
"Apa yang baik sangat tu? Awak cakap macam saya ni mulia sangat.. " A ketawa kecil, tangannya membelek-belek buku A Short History of Islam sambil matanya mengimbas-imbas malas halaman-halaman di hadapannya. Saya tahu perhatiannya tidak di situ. Dia sudah khatam buku itu berkali-kali. The Prince tulisan Machiavelli, kritik sosial-agama Karen Armstrong, karya-karya Leo Tolstoy, Fjodor Dostoyevsky dan George Orwell, malah Jose Rizal dan Syed Sheikh Ahmad al-Hadi dengan Faridah Hanomnya, semua itu di hujung jari dan lidah A saja. Saya nampak bibirnya menyenget cuba menyembunyikan senyum. Perasan barangkali. Dapat perhatian saya.

"Tak pun. Saya tahu awak tak mulia. Jahat lagi. Bukan saya tak tahu apa yang awak buat. Saya tahu kenapa orang tak sukakan awak."
Riak wajah A berubah sedikit. Antara menanggapi kata-kata saya. Senda atau serius?
"Bila orang yang tak cukup pintar menyusun strategi, ketinggalan tak mengetahui isu-isu dan teori terkini, lembab memahami agenda-agenda rahsia dan maksud tersembunyi di sebalik peristiwa atau kiasan kata, bertingkah seperti pemain catur yang tidak peka meneka gerak-geri yang bakal diatur lawan, mereka cepat sahaja awak singkirkan. Mereka seperti tidak layak bersama-sama awak, duduk dalam kelompok awak. Menikmati apa yang orang-orang dalam kelompok awak nikmati."
"Apa yang awak maksudkan? "apa yang orang-orang dalam kelompok saya nikmati".. wang? Kuasa?"
Saya ketawa kecil. Ah, A ini memang, personalitinya dinamik dengan facet yang pelbagai rupa. Dia sangka saya memandangnya dari sudut itu. Tidak, bukan begitu.

"Itulah, suka menyampuk! Bukan wang dan kuasa itu yang saya maksudkan. Memang ada yang berbaik-baik dengan awak untuk mendapat itu semua. Tapi itu saya tak setuju, itu saya tak mahu, melainkan jika ia digunakan untuk kebaikan dan diperoleh dengan cara yang bersih. Nikmat yang saya maksudkan adalah keistimewaan bersama orang-orang pintar, orang-orang terpelajar, membincangkan perkara-perkara besar dan kecil yang berimplikasi besar, mempunyai bahagian dalam mengukir masa depan umat! Saya sukakan awak, kerana dengan bersama awak, saya rasa saya dapat keistimewaan itu."

"Awak memang aneh." A ketawa lagi. Lebih telus. "Oh silap. Bukan aneh, tapi unik."
"Tengok, itu satu lagi sifat awak. Pandai berkata-kata. Kemahiran sosial yang bagus."
"Banyak orang menuduh saya hipokrit." A membuang pandang ke luar tingkap, lampu-lampu bandaraya begemerlapan menghidupkan malam yang seperti tidak pernah tidur apatah lagi mati.

"Terpulang kepada bagaimana mereka menilai. Menuturkan perkara yang betul, dengan cara yang betul, pada tempat yang betul kepada orang yang betul, boleh jadi strategi, bukan hipokrasi. Memiliki kemahiran itu - mencetuskan perasaan yang kita kehendaki, dalam individu yang kita hadapi, lantas mendapatkan tindakan yang kita mahukan daripada mereka, untuk memperoleh hasil yang bersesuaian dengan perancangan jangka pendek atau jangka panjang kita - adalah sesuatu yang sangat mahal, tidak ternilai! Memerlukan ilmu pengetahuan, pengalaman dan akal yang tidak sedikit. Ah kawan, bukankah menguasai manusia itu ertinya merajai dunia? Seperti senapang dan pisau, salahkah kalau menggunakannya untuk menembak penjahat atau memotong ikan?"

A senyum sahaja, tidak menjawab. Membiarkan saya berkata-kata. Dia membetulkan kaca mata tanpa bingkai yang dipakainya dan membuka buku Yusuf al-Qardhawi, Islamic Awakening. Melihat buku itu, fikiran saya seperti disentap. Teringatkan Z.

-bersambung-

Friday, June 15, 2007

Igau Milah di Pangkal Subuh

Assalamualaikum.

Cerpen ini tersiar dalam ruangan Tunas Cipta, Dewan Sastera Mei 2007. Saya tidak tahu macam mana rupanya selepas diedit puan penyunting, tapi inilah rupa teks asal yang pernah saya tulis sedikit masa dahulu.


Em, kepada para da'ie, da'ieyah, dan mereka yang hari-hari cakap tentang dakwah, tentang kumpulan sasar dakwah, tentang dakwah fardiyah dan 'ammiyah, tentang jemaah dan tarbiyah, tentang kahwin dan Baitul Muslim, eloklah baca dan fikir dalam-dalam.

Belang kehidupan itu tidak semestinya antara putih dan hitam, banyak juga yang kelabu, dan berapa banyak antara insan yang terperangkap dalam warna yang memerangkapnya tanpa ada yang mahu peduli!

Dan Allah juga Maha Mengetahui.

meow~


Milah terkebil-kebil dalam kemamar, tapi telinganya yang lebih luas terbuka daripada matanya yang separuh terpejam meyakinkannya, ‘dia’lah yang azan. Tiada suara lain sesedap itu di kampung ini. Gaya tariknya di hujung-hujung ayat itu yang istimewa, alunannya menyentuh kalbu. Sedap sungguh. Jelira di telinga dan dalam menusuk ke ulu hati. Tapi rugi, Milah hanya sempat mendengarnya selepas ‘hayya’alal falaah’. Azan sudah hampir habis. Tak apa, lain kali Milah akan cuba bangun lebih awal sebelum azan subuh. Biar puas Milah mendengar azannya dari mula sampai tamat.


Milah dakap bantal golek, mengiring ke kanan. Nampak dinding bilik sebelah sana yang samar-samar dijamah cahaya pelita dari sebelah sini. Nampak bayang-bayang berbalam-balam. Bila angin dari luar berhembus masuk melalui tingkap nako yang separuh tertutup dan langsir terbuai-buai, bayang-bayang turut membesar dan mengecil. Milah angkat jari depan api pelita, nampak bayang-bayang yang besar di dinding. Jari kecil saja tapi bayang-bayangnya besar. Sejuk, Milah menarik selimut lebih rapat ke tubuh dan mengerekotkan tubuhnya. Lutut dibengkokkan hingga hampir berlaga dengan dada. Dari balasoh di belakang rumah, kedengaran bacaan al-Fatihah yang merdu, tegas tetapi lunak. Dialah itu. Milah mengeluh. Galat benar rasanya tengah kotor sekarang ini, kalau tidak tentu dia sudah terkocoh-kocoh dengan telekung dan sejadah berjemaah Subuh diimamkan dia. Tapi hal kotor bersih ini bukan boleh dikawal-kawal sendiri.


Ayam berkokok satu, dua, tiga kali. Milah mula berangan-angan. Bila takbir ‘Allahuakbar’ dilafazkan, Milah nampak dirinya turut rukuk menyusul rukuknya dia. Selepas salam ke kanan dan salam ke kiri, jemaah bersalam-salaman, dan Milah bersimpuh sopan di sisi dia, mencium tangan … eh mengabang pula, Milah tersenyum-senyum seorang diri. Tersengih-sengih terkulum-kulum dalam selimut. Sayup-sayup terdengar air berdebur di perigi. Siapa tu? Abah atau ma. Kalau abah, memang awallah bangunnya, kalau mahu, sempatlah abah nak sembahyang Subuh. Selalunya abah bangun cari nasi berlauk dan pulut pagi ma saja, masa ayam yang berkokok waktu dinihari tengah berebut hampas kelapa di muka pintu belakang rumah. Tapi kalau ada nasi lebihan semalam, ayam tentu akan berebut-rebut mematuk nasi dahulu.


Milah katup mata, cuba tidur kembali. Tapi mata saja yang rapat jik sedangkan otak di belakangnya berputar-putar merangka macam-macam. Macam-macam cerita yang semuanya ada muka dia. Dia itu, dia ini. Penat mengatup mata, Milah celik kembali dan pandang bumbung zink. Mengantuk sudah tak ada. Mahu mandi, sejuk. Dengar air perigi berdebur-debur pun Milah boleh tambah gigil.


“Milah, kalau dah bangun, tolonglah ma kat dapur ni…” melayang suara ma dari luar pintu bilik. Pintu bilik yang cuma boleh dibuka oleh orang dalam rumah diselak tiga, tapi tingkap nako yang menghadap jalan bocor tiga keping terbaha begitu sahaja hanya ditutupi langsir berdebu. Rupanya ma yang mandi berdebur-debur tadi. Milah mengeluh malas dan bangkit. Kain selimut dilipat dan diletak di atas bantal yang ditepuk-tepuk. Tilam Dunlop yang sudah rapat dengan lantai papan tidak perlu dilipat. Memijak lantai papan beralas tikar getah, sejuknya menjalar dari tapak kaki ke tulang belakang. Bulan pucat sisa purnama semalam masih cantik di langit hitam kebiru-biruan. Sekejap lagi matahari akan terbit. Malam akan pergi, tapi bulan yang cantik juga akan pergi.


Lepas makan pagi abah terus bersiap, bau minyak wangi menusuk hidung.


“Ke mana abah?”


“Tak usah menyibuk. Duduk rumah tolong ma mu,”


Milah senyap dan terus masuk ke dapur. Ke perigi menjenguk ma yang sedang membasuh. Bosan pula seorang-seorang. Beginilah kalau Kak Yah yang ikut suaminya di Gua Musang tidak pulang, kalau Abang Stopa yang kerja kilang di Pengkalan Chepa tidak kelik.


“Ma, abah gi mana?” ma tidak menoleh daripada kain yang sedang dibilas dalam baldi. Ma tidak menjawab pun.


“Ma, abah gi mana?”


Tiba-tiba ma angkat sebelah tangan dan genyeh hidung. Ma pandang Milah sekilas, nampak mata ma merah dan ada buih sabun terpalit dekat pipi.


“Ma tak tahu.” Ma mengesak. Milah terdiam. Ma teriak. Milah tak pernah tengok ma teriak. Milah telan air liur. Perlahan-lahan Milah mengundur.


“Milah, tolong hantarkan baju yang ma dah jahit tu ke rumah Che Su,” Milah tahu ma cuba keraskan suara. Milah cuma mengiyakan sekali. Dadanya mula rasa tersumbat, perutnya senak dan jantungnya mula berdegup cepat-cepat. Rumah Che Su.



***


Minta-mintalah bertembung dengan dia. Milah berharap-harap dalam hati sambil kakinya melangkah cepat ke arah rumah Che Su. Minta-mintalah dia ada di rumah. Tapi kalau dia ada pun, apa yang Milah hendak cakap? Hendak buat?


Tahu-tahu sudah sampai di muka tangga rumah Che Su. Debar dalam perut dan dada Milah makin hebat. Jantungnya menendang-nendang dada dan rasa macam hendak terjun ke dalam perut. Macam ada batu yang menyekat kerongkong, batu yang membuat Milah rasa so’oh. Melihat motor Suzuki yang selalu dia tunggang bila Milah terpandang dia petang-petang, Milah rasa macam hendak rebah. Milah angkat tangan yang tidak pegang beg plastik dan raba kepala. Terasa rambutnya yang panjang mengurai berombak-ombak melepasi bahu, diikat bertocang satu. Milah pandang ke samping, nampak lengan-lengannya yang putih kuning terjulur keluar dari lengan baju-T yang senteng di atas siku. Milah pandang ke bawah, nampak sepasang kaki berselipar jepun dan tiga inci betis yang putih gading terpacul dari hujung kain batik yang singkat. Milah rasa macam hendak menangis. Malunya. Tentu dia tidak mahu pandang pun Milah. Rasa hendak berlari pulang ke rumah.


“Ass… assalamualaikum Che Su!”


Minta-mintalah tiada sesiapa di rumah. Minta-mintalah dia masih mengaji al-Quran di balasoh belakang rumah Milah. Minta-mintalah pintu yang separuh terbuka itu lupa ditutup oleh Che Su sewaktu turun bertandang ke rumah siapa-siapa. Tapi pagi-pagi begini mana ada orang berderat lagi. Che Su muncul di pintu, dalam jubah dan skaf batik berjahit di tengah yang biasa dipakainya, tersenyum lebar menyambut salam Milah.


“Waalaikumussalam… Milah rupanya. Naiklah dulu!”


“Tak..tak payahlah Che Su, Milah nak hantarkan baju, ma dah siap jahit,”


“Dah siap? Cepatnya. Hai, sepatutnya orang perempuan ni boleh menjahit pakaian sendiri, tapi begitulah, sejak ada cucu ni sibuk bermain dengan cucu, sampai kain baju sendiri pun kena hantarkan upah jahit. Naiklah dulu Milah, Che Su nak ambil duit,”


“Milah nanti kat tangga tak apalah..” berat benar Milah hendak naik, takut dia ada di dalam. Tapi Che Su menarik tangannya dan Milah tak kuat untuk menolak. Mahu tidak mahu selipar jepunnya ditanggalkan dan setapak demi setapak kakinya yang sudah sejuk mendaki tangga simen rumah Che Su.


Milah bersimpuh di tepi dinding. Ada kerusi rotan dengan kusyen-kusyen empuk, tapi Milah segan hendak duduk. Biasa duduk di atas lantai papan beralas tikar getah buruk, bersimpuh di atas karpet lembut begini pun Milah rasa janggal. Milah teringin bangun melihat gambar-gambar dia di dinding, tapi Milah segan. Che Su yang tadinya menghilang bersama bungkusan baju, keluar menatang dulang berisi jag dan cawan.


“Assalamualaikum umi!”


Milah hampir tercekik meneguk air teh. Simpuhnya dikemaskan serapat-rapatnya. Che Su terburu-buru membuka pintu yang ditutup separuh, dan dia, dia itulah, mencium tangan ibunya penuh sopan sebelum melangkah masuk ke biliknya selepas mengangguk dan tersenyum sekali ke arah Milah yang panas-sejuk di tepi dinding, Milah yang menjeling mengekori susuk sederhana tinggi berkulit putih cerah berambut ikal itu dengan mata yang penuh harap agar dia akan melihat harapannya, Milah yang tunduk setunduk-tunduknya dengan harapan dia yang berjubah putih berkopiah putih itu tidak akan perasankan rambut dan lengannya, Milah yang hatinya kembang memenuhi dada hanya dengan sekilas pandangan, sekali anggukan dan sekilat senyuman.


“Begitulah Ikram. Kalau tak meninggi hari tak pulang dia dari balasoh tu,” Milah tidak akan tersilap mendengar nada bangga yang cuba diselindungkan secara bersahaja oleh Che Su. Adli Zil Ikram bukan sahaja kebanggaan Che Su, tapi juga kebanggaan seisi kampung. Adli Zil Ikram yang bakal bergelar doktor tapi mampu menjadi imam – sebut sahaja sembahyang apa, Subuh, Zuhur, terawih, sembahyang raya, sembahyang jenazah – Milah yakin Adli Zil Ikram mampu melakukan semuanya.


Memang sudah lama Milah tahu anak jiran sekampungnya itu budak baik, bila sesekali pulang bercuti – Adli Zil Ikram bersekolah asrama sejak Tingkatan Satu – rajin benar dia mengunjungi balasoh di belakang rumah Milah itu. Tapi Milah tidak caro sangat dengannya, baginya orang-orang yang baik, bijak dan kaya seperti Adli Zil Ikram juga tidak akan menghiraukannya. Hanya laungan azannya yang Milah cukup kenal, menemani kemamarnya waktu ayam membuka mata, hingga Milah belajar merindu bila empunya suara itu kembali ke kota menyambung pelajaran. Milah belajar berdebar apabila terpandang dia melintas di depan rumah atau berselisih dengannya di mana-mana.


Dan sejak pulangnya Adli Zil Ikram bercuti dari universitinya sebulan yang lepas, laungan azan itu menusuk hati Milah semakin dalam, menerjah nuraninya semakin padu, hingga benar-benar terbuka hati Milah untuknya, hati yang tidak pernah tertutup untuknya sejak itu, apatah lagi apabila Milah melihat kopiah putih yang melekap di atas rambutnya yang hitam ikal, apabila Milah melihat dia memakai baju-T atau jubah putih – warna kegemaran dia – yang menambahkan seri wajah yang cerah berseri-seri dengan matanya yang coklat jernih, apabila Milah mendengar bacaan al-Qurannya yang lunak merdu, apabila Milah mendengar kuliah agamanya tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka, peranan golongan muda yang Milah tidak berapa faham tapi Milah tetap dengar dengan penuh minat kerana Adli Zil Ikram yang berceramah, apabila Milah mendengar orang kampung tak putus-putus bercerita tentang baiknya dia begitu dan begini, apabila Milah panas telinga mendengar anak-anak dara saing-saingnya tergelak-gelak tersipu-sipu bila bercakap tentang dia.



***


Pagi tetap bersih dan sejuk. Milah menengung di muka jendela. Milah terasa mahu berderat ke rumah Siah. Manalah tahu kalau-kalau Adli Zil Ikram lalu, elok dikelubungkan kepala dengan skaf, walaupun rumah Siah di sebelah saja. Milah pakai skaf, manalah tahu kalau-kalau bertembak dengan Adli Zil Ikram.


Siah kawan baiknya sejak kecil lagi. Mereka bersekolah sama-sama, gagal PMR sama-sama dan sampai tiga bulan lepas mereka sama-sama diperuk di rumah menunggu orang masuk meminang. Sekarang Siah sudah bergelar tunangan orang. Bangga benar Siah bercerita tentang bakal suaminya. Polis. Lawa. Tinggi. Hitam manis. Tinggal di Kota Bharu. Berkenan melihat Siah bila berjalan ke kampung ini mengikut kawannya. Tidak hairanlah orang berkenan, Siah memang cantik. Kulitnya tidak putih tetapi cerah dan bersih, bermata bulat dan bulu matanya lentik. Kalaulah Milah cantik seperti Siah….


“Milah, Milah! Berkhayal ke mana?”


“Aa?” Milah rupanya telah membuat ceritanya sendiri sewaktu Siah sedang menceceh. Siah geram, ceritanya tentang tiga pasang baju yang disewa khas untuk majlis kahwinnya nanti tidak didengar rupa-rupanya.


“Mu ni kenapa? Aku baru nak cerita pasal pelamin yang mak aku nak sewa. Mu ni pelik sejak dua tiga minggu ni. Suka khayal. Mu nakkan orang ke?”


“Aku… aku….” Milah rasa hendak ceritakan semuanya kepada Siah. Milah rasa penat menyimpan semuanya seorang diri. “Aku… aku nakkan Adli,”


“Adli? Adli Zil Ikram ustaz doktor tu?” mata Siah yang bulat terbuka luas.


“Hem,” Milah angguk. Rasa bangga kerana orang yang dipilihnya orang yang baik. Hanya jauhari yang mengenal manikam, kata orang. Dulu dia tidak faham jauhari itu apa dan manikam itu siapa. Arwah nenek yang memberitahu, jauhari itu tukang permata yang bijak pandai dan manikam itu batu permata yang mahal. Tentulah Milah ibarat jauhari yang bijak pandai kerana tahu memilih batu permata seperti Adli.


“Berani engkau nakkan orang baik lagu tu…”


Milah makin bangga. Siah memujinya kerana dia berani? “Aku tahu dia baik, sebab tu aku cuba jadi baik supaya dia akan berkenan dengan aku. Tengok, dulu mana ada aku pakai baju kurung macam sekarang. Nanti aku nak belajar pakai tudung betul-betul, tak naklah skaf ikat terkeluar rambut macam ni. Sejak berhenti sekolah dah lama aku tak pakai tudung elok-elok. Malam-malam aku nak mengaji, aku nak rajin-rajin pergi balasoh kalau dia jadi imam..” Milah tersenyum-senyum, dan tunduk ke bawah melihat kakinya. “Tapi aku susahlah nak pakai stokin. Tak boleh bayang aku pakai selipar jepun berderat pakai stokin. Nantilah kalau…”


“Kalau apa? Kalau dah kahwin dengan dia?” ketawa Siah meletup selepas terdiam mendengar Milah berceloteh. “Padanlah kau sekarang.. dengan baju kurung… yang jarang-jarang sekali pakai tudung tiba-tiba rajin letak skaf atas kepala… kau nak pikat Adli rupanya? Kau rasa kalau kau pakai tudung labuh Adli akan nakkan kau ke?”


Bangga Milah ghaib. Milah rasa tersinggung. Rasa sebal. Rasa dihina dan dipersendakan oleh saing yang dipercayai.


“Dahlah Siah, biarlah aku balik dulu. Aku tahu aku tak layak nakkan dia. Aku tak cantik macam kau.”


“Bukan begitu Milah, janganlah terasa, mu dah saing dengan aku lama, mulut aku memang lembik. Aku cuma terkejut..” Siah menarik lengan Milah yang sudah hendak bangun. “Milah, aku tahu mu nakkan dia sebab dia baik. Dia kaya, lawa pula tu,”


“Bukan…” Milah dicantas oleh Siah.


“Aku sayangkan mu Milah, aku tak se mu kecewa. Aku dengar dia sukakan Dayah….”


“Dayah?”


“Hem, Dayah, anak Tuk Imam Mat Usin, aku dengar bini Tuk Imam tu pun baik dengan emak si Adli.… eh, mu teriak Milah?”


Milah cepat-cepat kesat air mata yang terbit dengan hujung skaf. Milah buat-buat senyum dan minta diri. Siah faham dan Siah tidak menahan Milah lagi. Nasib baik rumah Milah sebelah rumah Siah, sebab air matanya makin bertitik-titik. Milah cuba meyakinkan dirinya bahawa cerita itu cumalah gosip-gosip bahan bualan saing-saingnya. Malam itu Milah pergi berjemaah juga di balasoh walaupun kiblatnya terawang-awangan.


***


Cincin bukan untuk diberikan kepada si kudung. Bulan tidak pernah kepingin untuk mencemar duli turun ke ribaan sesiapa. Milah sahaja yang mahu bermain dengan khayalan. Milah sahaja yang berangan-angan. Bila Adli Zil Ikram berceramah tentang wanita solehah, Milah rasa Adli Zil Ikram bercakap tentang dia. Bila mata yang coklat jernih itu kadang-kadang bertembung dengan pandangannya – nampak dirinya yang berskaf dan berbaju kurung – sewaktu berselisih jarang-jarang sekali, Milah membaca sapaan yang tidak dihulur, Milah nampak perhatian yang tidak ada, Milah perasankan orang yang tidak perasankan Milah langsung. Milah perasan seorang. Milah tak malu. Padan muka Milah. Itulah perasaan Milah sekarang.


Milah teriak dalam telekung sembahyang. Milah duduk atas tilam Dunlop nipis dan teriak. Air matanya deras bertitik-titik. Hingus diserok-serok tapi meleleh juga. Basah telekung Milah tidak peduli. Telekung yang kekuningan itu pun sudah banyak petik lalat. Sudah ada bau-bau hapak.


Adli Zil Ikram sangka orang lain tidak nampak. Dayah sangka orang lain tidak nampak. Orang lain kecuali kawan Dayah dan kawan Adli Zil Ikram. Ada orang lain. Ada Milah yang memandang, Milah yang hampir masuk ke pekarangan rumahnya dari belakang balasoh dan terdengar bunyi orang bercakap-cakap yang menyebabkan langkahnya terhenti.


Adli Zil Ikram menegur Dayah dan kawannya. Memberi salam barangkali. Dayah yang putih merah cantik bertelekung putih melepak bersulam kerawang berbau wangi terhenti. Menoleh dan menjawab salam. Kawan Dayah turut terhenti melangkah. Adli Zil Ikram tersenyum dan kelihatan segan-segan. Kawan Adli Zil Ikram menepuk bahunya dan ketawa kecil. Dayah tunduk sopan, bibirnya yang merah segar itu tentu mengulum senyum. Mungkin wajahnya yang putih merah jadi bertambah merah-merah. Adli Zil Ikram keluarkan sesuatu daripada saku jubah putihnya dan hulurkan kepada Dayah. Nampak seperti surat. Dayah teragak-agak dan ambil. Dayah ucap terima kasih dan cepat-cepat pergi. Adli Zil Ikram pandang Dayah berjalan sambil Dayah sampai ke pagar depan balasoh.


Milah rasa seolah-olah berpuluh-puluh batang jari menunjal dahinya, memberitahunya bahawa dialah si tangan kontot yang mahu memeluk gunung, dialah manusia yang tersilap mengukur baju di badannya sendiri.


Siapalah Milah. Adli Zil Ikram tidak tahu Milah merangkak-rangkak baca Quran dengan impian suatu hari nanti akan mengaji dengannya. Milah tahu dia jahil, ilmu agamanya setakat yang dipungut daripada ustaz-ustazah sebelum sekolahnya diberhentikan dahulu, alangkah cantiknya kalau ditampung dan diperlengkap oleh Adli Zil Ikram. Besarnya harapan Milah untuk menjadi isteri solehah yang taat dan setia kepada suami yang sebaik Adli Zil Ikram. Sejak mula mengenal dunia, Milah hampir tidak pernah mengenal lelaki bergelar suami dan bapa yang baik dalam dunia nyata. Abah sejak akhir-akhir ini kerap pulang lat dua tiga hari, malah kata orang abah buat hal dengan betina Siam. Abang Stopa tiap-tiap kali kelik bau busuk kohong dengan rokok, pakaian entah apa-apa, bergaduh dengan ma dan minta duit dengan abah. Abang Daud yang bengkeng menjerkah Kak Yah pantang tersilap, tidak kira di atas muka ma atau di depan anak-anak kecil yang tahu bapa mereka akan menangankan mereka tanpa teragak-agak. Seronoknya melihat keluarga bahagia di dalam TV, majalah, dan akhbar, dinaungi lelaki yang tegas dan pengasih lagi bertanggungjawab bernama suami dan bapa. Milah tidak kisah kalau Adli Zil Ikram tidak kaya dan tidak lawa. Malah mungkin kalau Adli Zil Ikram tidak ada gaya ustaz-ustaz lulusan Al-Azhar pun, Milah tetap nak kerana Milah tahu dia lelaki baik yang mampu menjanjikan kehidupan indah buat Milah.


Tapi, siapalah Milah, siapalah Milah jika dibandingkan dengan Dayah, anak Tuk Imam yang seperti mawar dan melur kembang pagi, cantik berseri-seri, berbudi pekerti. Bila difikir-fikirkan, padan benarlah Dayah dengan Adli Zil Ikram. Dayah yang bersekolah agama itu lulus SPM dan SAP, khabar-khabarnya Tuk Imam sedang mengusahakan supaya dia diterima menyambung pengajian agama di Jordan. Dayah selalu memakai jubah yang besar-besar dan berfesyen cantik-cantik, padan dengan tudungnya yang besar-besar dan cantik-cantik juga, langsung tidak terlawan oleh Milah dengan kain batik serta skaf tiga helai sepuluh ringgit yang dipakainya. Dayah dari golongan yang fasih bertutur ana-anta sedangkan Milah hanya lancar membaca al-Fatihah dan tiga Qul. Milah akur. Milah pun tidak mahu makan hampas kelapa yang diberikan kepada ayam kalau ada nasi dalam periuk. Milah tidak mahu mengejar bulan yang cantik lagi ketika matahari akan terbit menjelang pagi. Milah tahu duduk perkara sebenar. Tapi Milah tidak dapat berhenti teriak. Milah teriak dan mengesak semahu-mahunya. Milah sayang Adli Zil Ikram. Sungguh Milah sayang Adli Zil Ikram.


***


Sudah empat hari abah tidak kelik. Kata orang abah sudah menikah dengan betina Siam itu. Ma tidak mahu kecek dengan Milah, ma duduk diam di tepi dinding dan jahit baju sambil kesat air mata sekali-sekala. Milah tidak mahu tanya ma kerana tak mahu ma teriak. Entahlah. Bagi Milah abah ada atau tidak bukannya berbeza banyak. Tapi Milah kasihankan ma. Milah banyak menengung di jendela, melihat bunga kembang dan layu, melihat orang melintas lalu-lalang, melihat ayam mengais-ngais mencari makan dan membuang tahi berjerepek di tengah laman.


Waktu Isyak sudah pertengahan. Milah tidak ke balasoh, Milah sembahyang saja di rumah. Dulu Adli Zil Ikram – betapa nama itu mahu dilupakan tapi tetap menari-nari terutamanya setiap kali suaranya mengumandangkan azan – ada berceramah mengatakan orang yang sembahyang, berzikir dan mengaji akan menjadi tenang kerana dekat dengan Tuhan. Milah rasa jiwanya tidak pernah menjadi tenang kerana dia lebih mengingati Adli Zil Ikram daripada mengingati Tuhan. Mungkin begitu tapi Milah tidak tahu mahu bertanya siapa.


“Assalamualaikum! Milah, ma ada?”


“Waalaikumussalam Che Su! Ma ..” Milah mengerling sudut tempat ma selalu ma duduk menjahit. Ma tidak ada, di dapur barangkali. “Ma di dapur. Che Su naiklah dulu,” Milah membuka pintu. Tapi Che Su nampak lorat.


“Tak apalah Milah, Che Su lorat. Banyak lagi rumah nak pergi. Che Su datang madah ni, jemputlah ke rumah. Ada makan gulai sedikit, sempena anak Che Su bertunang dengan anak Tuk Imam,” Che Su tersenyum. Tentu bangga dan gembira bakal bermenantukan anak dara cantik Tuk Imam.


Milah memegang kad jemputan yang wangi itu. Milah tidak terkejut, dia sudah menduga khabar begini. Tidak ada air mata yang keluar. Milah tidak membayangkan pun nama Jamilah Saad bertakhta megah dengan tulisan bergelelok di sisi nama Adli Zil Ikram Aminuddin menggantikan Mayra Nurhidayah Mat Usin.Tapi bila azan Subuh dilaungkan oleh suara dia yang Milah cukup kenal, Milah teriak lagi.

Tuesday, June 12, 2007

SUCI - prakarya

Luigina, wanita berkarier dari Itali, pintar, sofistikated dan elegan. Feminis tegar, pejuang hak asasi wanita. Matanya yang galak bercahaya persis kilau harimau bintang yang pantang dicuba-cuba.
Najeehah, Muslimah 'konservatif' dari Indonesia. Mahasiswi tahun akhir pengajian Islam pesantren ulung di Aceh. Benar-benar teliti dalam merinci peribadi dan pergaulan, terutamanya muamalat dengan insan-insan bergelar lelaki. Wajahnya menjadi rahsia buat mereka yang bukan muhrimnya.
Siti Fatimah, gadis berdarah Melayu tulen, anak Malaysia, mengaku beragama Islam, mengaku memegang enam rukun iman, walaupun sekali pandang saling tak tumpah dengan Paris Hilton dalam segala segi. Ya, dia lebih suka dipanggil Emma.
Vaishnavi suri rumah dengan leluhur Brahmin. Agama, adat dan budaya berdenyut dalam setiap urat nadinya. Lima cahaya mata tanda cinta di sisi suami yang ditaati bagai dewa.
Camelia Chen aktivis humanitarian dari Taiwan, Kristian yang taat, artis rakaman dan menerima undangan nyanyian pada masa lapang. Ketawa ramahnya seperti loceng-loceng yang bergemerincing, orangnya ringkas dan riang selalu.

Mereka akan bicara tentang kesucian wanita. Tentang akhlak dan keruntuhannya. Tentang hak-hak wanita dan keadilan untuk wanita. Tentang signifikan lelaki dalam kehidupan wanita dan sebaliknya.

Kisah dan suara mereka akan berjalinan dalam SUCI.

InsyaAllah, nantikan.

Aha, jemput baca terjemahan tulisan Cikgu Faisal - Perempuan Anggerik, oleh Noraini Md Yusof, jadinya The Orchid Lady. Walaupun sebahagian jiwa karya hilang dengan berubahnya bahasa, inti kisah dan mesej tetap ada. Baca, fikir dan rasai.

assalamualaikum,
meow~

Friday, June 01, 2007

Muhasabah I

In the name of Allah, the Most Merciful, the Most Compassionate.

By the dawn,
And the ten nights,
And by the night when it departs.
Is there in this an oath for one endowed with understanding?

Have you not seen how your Lord dealt with 'Ad
of Iram, known for their lofty columns,
the like of whom no nation was ever created in the lands of the world?
And how did He deal with Thamud who hewed out rocks in the valley?
And with Pharaoh of the tent pegs
who transgressed in the countries of the world,
spreading in them much corruption?
Then their Lord unloosed upon them the lash of chastisement.
Truly your Lord is ever watchful.

As for man, when his Lord tests him by exalting him and bestowing His bounties upon him, he says: "My Lord has exalted me."
But when He tests them by straitening his sustenance, he says: "My Lord has humiliated me." *

But no, you do not treat the orphan honorably,
and do not urge one another to feed the poor,
and greedily devour the entire inheritance,
and love the riches, loving them ardently.

-*This, then, is man's materialistic concept of life. Man equates wealth, position and power in the world with the bestowal of honour; and when he is deprived of these, he thinks God has humiliated him. The fact which he fails to grasp is that whatever God gives anyone in this world is by way of a test. One is tested both when one has wealth and power as well as when one is in a state of poverty and destitution.-

But no, when the earth is ground to powder,
and when your Lord appears with rows upon rows of angels,
and when Hell is brought near that Day. On that Day will man understand, but of what avail will that understanding be?
He will say: "Would that I had sent ahead what would be of avail for this life of mine!"
Then on that Day Allah will chastise as none other can chastise,
and Allah will bind as none other can bind.

(On the other hand it will be said) : "O serene soul! **
Return to your Lord well-pleased (with your blissful destination), well-pleasing (to your Lord).
So enter among My (righteous) servants
and enter My Paradise."

-**The expression 'serene soul' signifies the person who accepts, with full conviction, the One True God as his Lord and Sustainer, and recognizes the religious faith expounded by the Prophets as the True Faith.-

Terjemahan dan tafsir Surah Al-Fajr, ayat 1-30.

Dari Towards Understanding The Quran, Sayyid Abul A'la Mawdudi, dialihbahasa dan diedit oleh Zafar Ishaq Ansari, terbitan The Islamic Foundation.

meow~~