Tuesday, June 19, 2007

segitiga cinta - III

Barangkali kerana situasi berbeza di luar negara, barangkali kerana sebenarnya saya yang tersilap mengenali Z sebelum ini.

Barangkali kerana situasi di tanah air yang telah berubah, atau barangkali kerana sebenarnya saya yang tersilap mengenali A sebelum ini.

Barangkali juga saya sebenarnya yang telah berubah.

Cinta boleh saja beralih arah.

Saya nampak dalam Z, kelebihan, keistimewaan dan keindahan untuk saya yang tidak saya nampak sebelum ini. Sebelum ini, kalaupun saya nampak itu semua, saya tidak rasa ia untuk saya. Saya rasa kebahagiaan melalui jalan itu adalah untuk orang lain kerana saya tidak fikir saya akan menemui self-fulfilment dan sense of belonging di situ. Bersama Z. Saya tahu, ia adalah jalan yang baik, malah hampir dengan 'damai abadi' itu, tapi saya lebih mahu bersama A.

Mahu, adakah lebih dipandu nafsu ketika itu? Cinta saya kepada A, harapan saya agar kemurnian Z tumbuh dan subur dalam intelektualiti A, adakah itu semua berlandaskan nafsu sahaja? Adakah dalam menguar-uarkan dukungan kepada rasionaliti, saya sebenarnya dipandu oleh emosi?

Diri berdialog dengan diri.

"Bukan salah engkau sepenuhnya. Dulu memang engkau tidak nampak bahawa Z juga intelektual dan rasional. Dulu, memang Z yang selalu menyanggah engkau dengan hujah-hujah yang kurang munasabah. Logiknya kalau engkau nampak itu semua, kalau engkau nampak bahawa Z lebih istimewa daripada A - kerana Z punya akal sempurna dan hati murni sedangkan A hanya punya kesempurnaan akal sedangkan hati yang masih banyak tanda tanya tentang kesuciannya - engkau akan memilih Z."
"Belum tentu. Mungkin ketika itu aku sudah nampak tapi aku saja buat-buat tak nampak. Mungkin ketika itu aku sudah tahu tapi aku sengaja menghalang akal daripada mengaku. Mungkin ketika itu aku sudah faham tapi aku sengaja menyekat hati daripada mengerti!"
"Hanya sekadar mungkin. Mungkin ya, mungkin tidak. "

"Lihat mereka yang begitu rapat dengan Z itu. Betapa ikhlasnya mereka. Dan akal mereka juga bukan calang-calang, malah lebih mulia kerana dipandu dan dibataskan oleh hati. Sedangkan aku mendewa-dewakan akal."
"Kenapa tiba-tiba begitu apologetik? Kausendiri tahu yang kaubukan sehina itu. Kaubukan sekeji itu. Mungkin dahulu engkau ada melakukan kesilapan, tapi tidak bermakna setiap penilaian engkau dahulu adalah songsang. A juga punya kelebihan, tidak patut engkau mencaci diri sendiri kerana melihat kelebihannya. Apatah lagi kelebihan itu memang kelebihan. Keistimewaan."

"Kenapa aku hanya nampak ia pada A? Kenapa aku tidak nampak ia pada Z? Dari dulu? Tidakkah itu bermakna pintu hatiku yang tertutup?"
"Kalaupun ia terbuka, kalau tidak ada apa-apa yang berbaloi untuk masuk, tidak ada gunanya. Mungkin dahulu pintu hatimu tertutup kepada Z kerana engkau memang tidak diperlihatkan dengan sifatnya yang sebenar! Engkau memang tidak diperlihatkannya, bukan engkau yang tidak nampak! Atau jika engkau benar-benar diperlihatkan secebis daripadanya pun, imej dan imejan itu terlalu lemah untuk meyakinkan engkau bahawa apa yang engkau nampak adalah realiti yang konkrit, bukan 'kes terpencil' atau 'ilusi optik'. Justeru engkau memilih untuk berpegang kepada apa yang lebih jelas diperlihatkan kepada engkau, iaitu kelemahan Z. Dan kelebihan yang engkau lihat pada A."
"Betul juga... tapi, dahulu aku begitu canggung jika hendak didekati Z, atau didekatkan dengan Z. Siang-siang aku sudah curiga. Sedangkan jauh di sudut hati, aku begitu kepingin untuk merasai kemurnian dan ketenangan seperti yang tampak pada mereka yang satu jalan dengan Z. Mesra dengan Z. Tapi sungguh ketika itu aku merasai bahawa Z tidak sesuai dengan aku, dan aku tidak sesuai dengan Z. Silap siapa? Kesilapan kolektif mungkin, dikongsi bersama antara aku dan mereka yang hampir dengan Z yang menayangkan paparan tidak kondusif untuk aku. Lantas aku memilih A, yang kelihatan lebih sesuai dengan aku. Dan aku mungkin sengaja menambahkan emphasis kepada kelemahan-kelemahan Z agar aku tidak berasa lebih sesal dan kesal kerana tidak dapat bersamanya."
"Em, refleksi dan introspeksi yang bagus. Elok saja engkau muhasabah, tapi jangan asyik mempersalahkan diri sendiri sebelum mengenalpasti duduk perkara masalah sebenar."

"Sekarang semuanya seperti berpusing. Terbalik. Berputar. Apa-apa saja yang lari daripada status quo dalam kerajaan pemikiran aku. Aku nampak dengan jelas apa yang tidak aku nampak sebelum ini. Dan hati aku seperti bertukar tolok piawaian, menerima dan memahami apa yang sukar dimengerti selama ini. Dan penerimaan mereka di sekeliling aku - orang-orang yang rapat dengan Z tentunya - berlainan sekali dengan 'kaum kerabat' Z yang hampir denganku di tanah air dahulu. Semuanya berlaku serentak. Adakah hatiku yang terbuka kerana perubahan persekitaran, atau persekitaran yang aku lihat berubah kerana hatiku yang sudah terbuka?"
"Engkau tercampak ke luar negara ini, bersama dengan Z, adalah bersebab, dan menjadi sebab pula kepada akibat-akibat yang lain. Perkenalan engkau, cinta engkau, dengan A dahulu juga punya sebab dan akibatnya. Perancangan Tuhan itu cantik. Ketika engkau diperlihatkan dengan perwatakan Z yang sebenar, kemuliaan Z yang sebenar, ketika engkau dimesrai oleh mereka yang hampir dengan Z, ketika itulah hati engkau terbuka. Tak perlu engkau persoalkan, telur dulukah yang menetas atau ayam dahulu yang bertelur. Tidak perlu."
"Ya, aku setuju. Tidak perlu."

"Yang perlu sekarang bukanlah menyalahkan diri atau membuang masa menyesali kesilapan tanpa hasil. Malah aku yakin keakraban kau bersama A dahulu sungguh-sungguh memperkaya engkau dengan ilmu dan pengalaman yang sukar diperoleh. Yang perlu engkau mantapkan lagi dan gunakan untuk menyalakan obor perjuangan yang sekian lama dijulang Z. Sekarang, fokuskan kepada apa yang perlu engkau perbaiki, dan perbaikilah. Apa yang boleh engkau manfaatkan, langsung manfaatkan! Sama ada bersama A atau bersama Z, pokok pangkalnya, engkau cari damai abadi itu."

"Tapi aku terfikir. Dari seberang laut merentas benua ini, setelah aku jauh dari A, buruk-buruk A semakin jelas pada pandangan aku. Yang baik-baik pada A semakin pudar. Setelah aku mesra dengan Z, akrab dengan Z, aku nampak jelas yang baik-baik padanya, aku seperti tidak nampak buruk-buruk padanya. Aduh, pseudo-pencerahankah ini? Kebenaran mutlak, bagaimana hendak kucari?"
"Engkau tahu jawapannya. Tanyalah hati. Hati yang terpandu dengan wahyu Tuhan dan pesanan Nabi."

Insya-Allah, ketika itu, saya yakin saya ketemu jawapannya. Kekecewaan melihat buruk-buruk A yang makin banyak dilemparkan ke ribaan saya hari demi hari, buruk-buruk yang teruk, yang saya rasa semakin payah untuk diselamatkan lagi, tambah menguatkan keyakinan saya bahawa cinta saya sepatutnya untuk Z dan bukan A. Keyakinan saya itu sehingga sanggup melepaskan cinta A yang saya kejar dan belai selama ini, malah menerima lamaran Z pada suatu waktu yang tenteram. Mengikat tali pertunangan. Restu keluarga? Mereka tidak kisah, mereka setuju asalkan saya bahagia. Mereka yakin dengan pertimbangan saya, sementelahan keadaan saya, sayalah yang lebih mengetahuinya berbanding mereka. Mereka pun bukan tidak kenal Z, mungkin lebih kenal Z dalam setengah-setengah seginya berbanding saya.

Saya dimaklumkan - dan sedia maklum - bahawa mungkin sekali saya terpaksa meninggalkan A, benar-benar tinggalkan. Yalah, kalau mahu berumahtangga dengan Z, mana mungkin saya menyimpan hubungan sulit dengan A di belakangnya? Dua cinta tidak boleh berkongsi satu hati!

A tidak saya maklumkan dengan keputusan saya. Tapi perlahan-lahan, kemesraan kami semakin kering. Saya semakin sinis dengannya dan dia mula curiga dengan saya. Saya tidak kisah.

Untuk suatu jangka waktu, saya bahagia dengan keputusan saya. Saya korbankan sebahagian sifat keras kepala saya yang dulu, saya gantikan dengan kerendahan hati dan kesudian menerima tunjuk ajar. Saya tidurkan sebahagian sifat asertif saya, saya belajar beralah dan diam daripada memprotes dan bertelagah. Tidak bermakna saya sudah jadi beku atau dungu. Tidak bermakna saya mempertuhankan atau mempernabikan Z.

Tapi pengalaman mendidik saya menjadi lebih berhati-hati dalam membuat penilaian, tambah-tambah berhati-hati dalam melaksanakan tindakan. Strategi, strategi, strategi, seperti yang dipelajari bersama A dahulu! Saya mahu menang di dunia ini dan menang di dunia yang satu lagi, serta mengajak seramai mungkin insan ke arah kemenangan yang sama. Tentunya misi sebesar ini memerlukan strategi. Strategi yang lebih mustahak, terperinci dan suci daripada strategi untuk menundukkan lawan dan menegakkan hujah sendiri.

Cerita ini sudah hampir kepada penamatnya. Ah, sebenarnya tidak ada penamat kerana cerita ini adalah cerita hidup. Kesudahan cerita hidup akan sentiasa tergantung, hatta jika disudahkan dengan maut, kerana sesudah maut segalanya masih menjadi tanda tanya!

Cinta pertama saya, setelah saya selidik kembali sejarah hidup dan koleksi memori dalam hati, adalah Z, bukannya A. Hanya persekitaran dan peluang membuka hati saya kepada A, dan hanya setelah lewat - ya, lewat, jika dibandingkan dengan mereka yang lebih awal - barulah cinta saya kembali kepada Z.

Pengalaman dan pengetahuan bersama A, cukup berharga, dan sampai sekarang, saya masih belum memberitahu A tentang keputusan saya. Praktikaliti dan rasionaliti memberitahu saya bahawa dalam beberapa segi, walaupun Z cukup all-round personalitinya, masih belum dapat menandingi A. Lantaran itulah, saya masih berbaik-baik dengan A. Masih mesra dengan A. Masih ada bisikan bahawa yang buruk-buruk pada A itu seperti penyakit kanser yang kelihatan tenat tetapi masih boleh disembuhkan. Dan setelah masa berlalu semakin jauh daripada detik awal 'pencerahan agung' yang membenihkan cinta saya kepada Z, kelemahan-kelemahan Z juga perlahan-lahan kembali saya nampak.

A, tidak pernah berputus asa dengan saya. Mengajak saya, menarik saya, sehingga satu tahap saya rasakan, walau macam manapun saya berhasrat - malah berazam - untuk meninggalkannya, A akan tetap mengejar dan mencari saya, dan minda separa sedar saya tetap akan membawa saya kepadanya. Minda sedar saya memaku saya ke sisi Z, tapi kadang-kadang kecenderungan untuk kembali kepada A itu cukup kuat sehingga membawa saya kepada dilema. Ke arah mana sebenarnya saya dalam segitiga cinta ini?

Paling baru, Z mengajak saya menghadiri majlisnya. A juga mengundang ke majlisnya sendiri, pada waktu yang sama.

Saya memilih untuk menghadiri majlis Z, dan majlis A juga, walaupun ia akan sedikit mencacatkan majlis Z. Waduh.

Cinta saya masih pada Z, saya tidak fikir ia - dan saya harap ia benar-benar tidak - akan berubah. Saya masih yakin bahawa hati yang bersuluh cahayalah yang memandu saya ke arah Z dan cintanya. Saya masih berpaut pada justifikasi bahawa setiap keakraban saya dengan A, adalah bermatlamat untuk memperbaik diri sendiri, menjayakan agenda Z dan mengikat hubungan kami lebih teguh.

Namun dilema itu masih datang, kadang-kadang. Ke arah mana sebenarnya saya dalam segitiga cinta ini?

Tuhan, tetapkan langkahku.

-selesai-

1 comment:

Anonymous said...

hmm semoga selesai lah segi tiga cinta kamu ni. A & Z dua2 pun baik. cuma tu la it depends on who you are n what you want kot. erm i guess i prefer u with A more la. haha mcm ayat dah berpatah arang dgn Z pulak ni. isk. i'm seriously stick on my McD nite says ok ;)