Sunday, June 17, 2007

segitiga cinta - I

Dah lama saya kenal A. Sejak awal belasan tahun. Dulu, saya tak kenal sangat dengan A. Tak kenal dengan mendalam, maksud saya. Saya tertarik dengannya kerana intrig yang mendalam pada sifatnya. Peribadinya rumit, selalu berkait dengan teori-teori menarik, isu-isu panas, hal-hal besar dan orang-orang penting. Keluarga, terutamanya ayah, bapa saudara, malah arwah moyang pun selalu bercakap tentang A. Mereka kenal A dan tidak menghalang saya meminati A.

Perkenalan saya dengan A semakin jauh dan semakin akrab. Saya semakin mengenali siapa A, keperibadian A semakin jelas pada pandangan saya. Saya semakin suka kepada A, malah mungkin sudah jatuh cinta dengannya.

"Kenapa awak sukakan saya?"
"Awak intelek. Analitikal, adakalanya pragmatik dan radikal. Saya suka. Minda saya selalu diasah, dituntut dan dipacu ke potensi maksimum bila bersama awak."
"Tapi saya agresif. Kadang-kadang saya marah-marah. Bertindak kasar. Orang selalu tuduh saya macam-macam. Kata mereka, perangai saya penuh tipu muslihat, malah ada yang mencela saya, kata mereka, saya kotor."
"Mereka pandang buruk awak saja. Ada yang baik pada awak, yang saya nampak. Kalau kita cari yang baik, yang baik itulah yang kita akan dapat."
"Awak tak takut terpengaruh dengan apa yang buruk-buruk tu?"
"Manusia seperti saya memang ada kecenderungan kepada yang baik dan yang buruk. Saya yakin, saya mampu mencari kebaikan dan menghindar daripada keburukan. Malah siapa tahu, saya mampu pimpin awak sampai semua sifat-sifat baik awak menghapuskan yang tak elok tu."
"Apa yang baik sangat tu? Awak cakap macam saya ni mulia sangat.. " A ketawa kecil, tangannya membelek-belek buku A Short History of Islam sambil matanya mengimbas-imbas malas halaman-halaman di hadapannya. Saya tahu perhatiannya tidak di situ. Dia sudah khatam buku itu berkali-kali. The Prince tulisan Machiavelli, kritik sosial-agama Karen Armstrong, karya-karya Leo Tolstoy, Fjodor Dostoyevsky dan George Orwell, malah Jose Rizal dan Syed Sheikh Ahmad al-Hadi dengan Faridah Hanomnya, semua itu di hujung jari dan lidah A saja. Saya nampak bibirnya menyenget cuba menyembunyikan senyum. Perasan barangkali. Dapat perhatian saya.

"Tak pun. Saya tahu awak tak mulia. Jahat lagi. Bukan saya tak tahu apa yang awak buat. Saya tahu kenapa orang tak sukakan awak."
Riak wajah A berubah sedikit. Antara menanggapi kata-kata saya. Senda atau serius?
"Bila orang yang tak cukup pintar menyusun strategi, ketinggalan tak mengetahui isu-isu dan teori terkini, lembab memahami agenda-agenda rahsia dan maksud tersembunyi di sebalik peristiwa atau kiasan kata, bertingkah seperti pemain catur yang tidak peka meneka gerak-geri yang bakal diatur lawan, mereka cepat sahaja awak singkirkan. Mereka seperti tidak layak bersama-sama awak, duduk dalam kelompok awak. Menikmati apa yang orang-orang dalam kelompok awak nikmati."
"Apa yang awak maksudkan? "apa yang orang-orang dalam kelompok saya nikmati".. wang? Kuasa?"
Saya ketawa kecil. Ah, A ini memang, personalitinya dinamik dengan facet yang pelbagai rupa. Dia sangka saya memandangnya dari sudut itu. Tidak, bukan begitu.

"Itulah, suka menyampuk! Bukan wang dan kuasa itu yang saya maksudkan. Memang ada yang berbaik-baik dengan awak untuk mendapat itu semua. Tapi itu saya tak setuju, itu saya tak mahu, melainkan jika ia digunakan untuk kebaikan dan diperoleh dengan cara yang bersih. Nikmat yang saya maksudkan adalah keistimewaan bersama orang-orang pintar, orang-orang terpelajar, membincangkan perkara-perkara besar dan kecil yang berimplikasi besar, mempunyai bahagian dalam mengukir masa depan umat! Saya sukakan awak, kerana dengan bersama awak, saya rasa saya dapat keistimewaan itu."

"Awak memang aneh." A ketawa lagi. Lebih telus. "Oh silap. Bukan aneh, tapi unik."
"Tengok, itu satu lagi sifat awak. Pandai berkata-kata. Kemahiran sosial yang bagus."
"Banyak orang menuduh saya hipokrit." A membuang pandang ke luar tingkap, lampu-lampu bandaraya begemerlapan menghidupkan malam yang seperti tidak pernah tidur apatah lagi mati.

"Terpulang kepada bagaimana mereka menilai. Menuturkan perkara yang betul, dengan cara yang betul, pada tempat yang betul kepada orang yang betul, boleh jadi strategi, bukan hipokrasi. Memiliki kemahiran itu - mencetuskan perasaan yang kita kehendaki, dalam individu yang kita hadapi, lantas mendapatkan tindakan yang kita mahukan daripada mereka, untuk memperoleh hasil yang bersesuaian dengan perancangan jangka pendek atau jangka panjang kita - adalah sesuatu yang sangat mahal, tidak ternilai! Memerlukan ilmu pengetahuan, pengalaman dan akal yang tidak sedikit. Ah kawan, bukankah menguasai manusia itu ertinya merajai dunia? Seperti senapang dan pisau, salahkah kalau menggunakannya untuk menembak penjahat atau memotong ikan?"

A senyum sahaja, tidak menjawab. Membiarkan saya berkata-kata. Dia membetulkan kaca mata tanpa bingkai yang dipakainya dan membuka buku Yusuf al-Qardhawi, Islamic Awakening. Melihat buku itu, fikiran saya seperti disentap. Teringatkan Z.

-bersambung-

No comments: