Saturday, August 11, 2007

realisme-magis

Assalamualaikum.

Satu istilah 'baru' yang diperkenalkan semula ke telinga saya selepas lama tidak mendengarnya, sewaktu berbengkel sastera baru-baru ini, adalah 'realisme-magis'. Kata Cikgu Faisal yang menjadi pembimbing, genre ini mencampuradukkan realiti dan fantasi, seperti karya-karya Fatimah Busu (Salam Maria) dan Gabriel Garcia Marquez (One Hundred Years of Solitude). Satu contoh poignant yang cikgu utarakan adalah jika pengarang berkisah tentang autopsi (satu realiti) dan tiba-tiba mayat yang dibedah itu bangkit memegang tangan sang doktor (fantasi yang mohon dijauhkan Allah dari menjadi realiti buat saya sendiri!), itulah yang dinamakan realisme-magis.

Terbaru, ilham yang meronta-ronta dalam minda saya, menendang-nendang minta dilahirkan, nampaknya dalam genre inilah. Sayang, saya punya prioriti lain sekarang. Saya belum berani menguntukkan berjam-jam yang lama dan panjang - walaupun indah lagi berwarna-warni - untuk menyulam cerita baru ini.

Putera yang disumpah menjadi katak, bertukar kembali menjadi manusia kerana cinta sang puteri. Apa akan berlaku jika cinta itu hilang, kerana putera yang telah menjadi manusia tidak berkelakuan semulia manusia? Antara cinta dan kuasa, yang mana lebih penting atau didahulukan? Dan sungguh benarkah bahawa kasih, sayang, cinta, malahan persahabatan dan persaudaraan itu bukan segala-galanya, boleh sahaja dijual, digadai, atau dilepaskan begitu sahaja kerana sebab yang lebih tinggi, lebih utama, dan perbuatan demikian tidak dipandang sebagai kesalahan malah suatu keperluan?

Entri yang lepas saya tarik kembali, saya tangguhkan, mahu kemaskini dengan aturan yang lebih cantik dan dramatik. Judul yang sesuai juga masih saya cari-cari. Bukan 'takut' kerana sebab-sebab tertentu!

Antologi puisi GKLN, Wilayah Cinta dan antologi cerpen kami, Jalan Jauh ke Ramallah, alhamdulillah sudah terbit. Jangan lepaskan peluang menyantap buah tangan sastera kami, mungkin hasilnya tidak sehebat pengarang-pengarang mapan di luar sana, tapi insyaAllah anda tidak akan kecewa. Permata itu asalnya batu, dan seringkali batu itu pun kilaunya sudah menyilau!

Salam!

meow~

1 comment:

Kaki Bangku said...

Saya masih kurang jelas pengertian "realisme-magis" itu. Sebabnya, segala jenis fantasi itu ada kaitan dengan realiti. Ada ke fantasi yang takde sedikitpun kaitan realiti? Paling kurang, pastinya ada sedikit sebanyak hukum-hukum fizik normatif (real).