Puisi ini dikarang dalam tempoh sekitar 4-5 jam, petang Isnin 3 September 2007 sepulang saya dari Preston, untuk memenuhi permintaan seorang sahabat di Auckland yang akan mendeklamasikan sajak bertemakan perpisahan dalam sebuah majlis di sana.
Memang, saya muatkan sebahagian tulisan sastera saya di laman ini untuk dikongsi bersama pembaca. Suka saya ingatkan pembaca yang amanah semua, hakciptanya harap tetap dihormati, jangan pula disalin-tampal di mana-mana tanpa mengkhabarkan kepada saya. Kalau berminat, tertarik, atau memerlukan, hubungi atau maklumi saya terlebih dahulu. Senang saja kan? =)
-meow-
Sambut Salamku Ikhwan
Pilihan rembulankah untuk beredar
biarkan malam hilang cahaya
zulmat rindu sesat meraba?
Api lilin yang padam
silap anginkah yang menghembus
atau cacat sumbu yang hangus?
Perlukah kita merintih sesal
apabila jarak tiba-tiba menjadi penghalang
untuk memisahkan?
Kata kita, takdir itu ketentuan
usah mencari empunya kesalahan
usah mengulang-ulang masa silam
atau meminta waktu dikembalikan
perpisahan kembarnya pertemuan
hidup terus berjalan
masa hadapan kekal rahsia
kejutan-kejutan manis datang selang sewaktu
tunggu sahaja laluan kita bertemu!
Hutang perjuangan masih bertimbun
masa terlalu berharga
walaupun untuk berkabung.
Simpan sahaja air mata
cukupkan dengan pamitan mesra
aku yakin dalam dakapan terakhir kita
kaurasa ritma jantung yang seirama
nafas kita sama rentak
langkah kita sama gerak
sungguh, perpisahan hanya ilusi!
Ikhwan,
ingatan adalah ikatan
doa dalam sujud menyatukan
hati-hati yang iltizam.
Dahulu, kita sama-sama memasuki gelanggang
memecahkan langkah memulakan perjalanan.
Kita tahu, jalan itu penuh liku!
Batu-batu tajam menduga
kaubalut kakiku kalau terluka
hujan yang tiba-tiba menjadi taufan
payung dan tempias kita kongsikan
kadang-kadang gerhana memadamkan siang
kita berpimpinan mencari sinaran.
Ikhwan, ini perjalanan panjang
yang kita sudah lalu, belumpun habis sesuku
doakan aku istiqamah walau tanpa kamu
aku pohon agar engkau thabat
dalam alam baru.
Aduh, berat petaka menimpa umat!
Jahiliyah yang pekat
kezaliman yang gawat
kadang-kadang aku mempersoalkan,
mengapa diri ini yang perlu terbeban?
Tidak hanya sekali aku kemalapan
futur tersungkur terhenti di jalan
mengapa pergelutan ini begitu memenatkan?
Tanganmu ketika itu ikhwan
merembeskan air ketabahan
membasuh daki-daki putus asa
senyumanmu ikhwan, lampu-lampu harapan
gelap kekecewaan menjadi sirna
bahumu ikhwan, tempatku berpaut
meminjam kekuatan agar jangan hanyut
ikhwan, laju hayun kakimu
membuatku malu, mendorongku maju
ya, niagakan harta dan nyawa
Tuhan akan membayar imbalannya!
Tanggungjawab dakwah itu anugerah
akan kita genggam biarpun lelah
kita mahu membeli syurga
dengan rahmah Tuhan sebagai harga.
Pilihan di tangan kita
hanya dua
bukanlah untuk berpisah atau bersama
tapi neraka atau syurga
iman atau kesesatan
diam atau berjuang
ikhwan, sungguh tanganmu
tak ingin kulepaskan!
Demi perjuangan, perpisahan bukan semudah pilihan
kemestian yang wajib direlakan
Tuhan perteguhkanlah
kami mengenalMu dalam syariat dan makrifat
kami di jalanMu walau betapa payah
Tuhan pertemukanlah
kami di hujung titian sirat
dalam jannah berbekalkan maghfirah
dalam jannah bersama mardhatillah.
Sambut salamku ikhwan
kita mulakan pertemuan dengan nama Tuhan
untuk waktu ini, kita akhirkan
dengan perpisahan kerana Tuhan.
adibah abdullah,
29 Deyne Avenue,
3 Sept 2007.
3 comments:
dibah, talented as always. i miss reciting the poems you write on stage :)
stumbled across your blog as i was blog-surfing.
hope life has been good for you,dear.
Aduhai ikhwan,
sedihnya perpisahan,
benar kata pengkarya,
berpisah atau bertemu bukan pilihannya,
tapi antara syurga atau neraka,
walau berpisah di alam dunia,
moga bertemu nanti di syurga.
P/S: ala..kalau nak berpisah tu, internet kan ada.. hehehe.. gurau jek
Dengan ucapan Ramadhan Karim. Semoga Ramadhan tahun ini terbaik dari yang terdahulu, bagi kita semua.
Post a Comment