Monday, December 31, 2007

bernafaslah semula, sayang

assalamualaikum.

Baru pulang dari kampung sebelah.

Jiwanya yang hilang, seperti sudah pulang.

Belum sepenuhnya, tapi bangkit dia daripada lena sarat mimpi ronta yang panjang itu pun sudah cukup melegakan. Sungguh-sungguh melegakan aku yang sudah lama resah, sudah lama memanjatkan doa untuknya di hujung-hujung solat, di saat-saat hati teringat.

Bernafaslah semula, sayang.




The sound of holding on - almost a whisper
The sigh of broken hearts - a quiet cry
The rain upon your face
Brings gravity and grace
And softly you begin to breath again

I don't have all the answers to your sad prayers
But if I could I'd give you angel's wings
To go where hope is found
With strength to reach beyond
And carries like a song upon the wind

Please don't give up
Please don't you give up
Cuz I believe
Yes, I believe
I still believe... in us

The sound of holding on - almost a whisper
The sigh of broken hearts - a quiet cry
The rain upon your face
Brings gravity and grace
And softly you begin to breath again



Macam lucu aku tujukan lagu ini untuk kau - sebab aku tak suka tuju-tuju lagu kat orang, tapi aku asyik teringatkan lagu ini sejak tengah hari tadi (kalau kau perasan, inilah melodi yang aku saja-saja pasang guna handphone aku).

Aku tahu banyak saja lagu-lagu 'motivasi' lain yang kau pernah dengar, yang pernah orang lain tujukan untuk kau, yang menyentuh hati kau. Mungkin lagu ini tak menyentuh hati kau pun. Tapi sesungguhnya tujuan aku adalah untuk menzahirkan perasaan aku, kesyukuran aku yang Allah saja yang tahu macam mana, dan aku mahu menandakan tarikh dan perasaan ini dengan cara yang hati aku rasa. Kalau ada siapa-siapa yang fikir.. kenapa aku tak letak ayat al-Quran ke, tafsir ke, hadith ke, biarlah orang bertanya tu menjawab soalannya sendiri. Yang penting aku faham, dan kau faham.


Rintihanmu saat kauberpaut - seperti satu bisikan
Keluhan hati-hati yang patah, tangisan yang hampir tidak kedengaran
Rintik-rintik hujan melebat, gugur di wajahmu
Membasuh lumpur dan debu, mendatangkan sinar yang bercahaya
Dan perlahan-lahan, kau bernafas kembali.

Aku tak punya jawapan untuk doa-doamu
Tapi jika aku mampu, aku akan hadiahkan untukmu sepasang sayap
Untuk pergi mencari harapan
Dengan kekuatan untuk menggapai melampaui sebarang rintangan
Sayap yang akan menerbangkanmu, seperti melodi merdu yang dibawa angin lalu.

Jangan berputus asa, sayang
Jangan putus asa
Kerana aku percaya
Ya, kerana aku percaya
Kerana aku percaya, kerana aku yakin - dengan kita

Rintihanmu saat kauberpaut - seperti satu bisikan
Keluhan hati-hati yang patah, tangisan yang hampir tidak kedengaran
Rintik-rintik hujan melebat, gugur di wajahmu
Membasuh lumpur dan debu, mendatangkan sinar yang bercahaya
Dan perlahan-lahan, kau bernafas kembali.





Antara surah kegemaran aku, al-Fajr, yang kaupasang petang tadi. Mungkin perasaan kau apabila mendengar ayat-ayat terakhirnya, sama dengan perasaan aku.

Selamatlah semuanya. Bernafaslah semula, sayang.

(Aku tak sabar menunggu teman kita yang hilang itu pulang, aku mahu khabarkan juga kepada dia, tentang aku, tentang kau, tentang kita semua. Tentang terima kasih dan penghargaan. Tentang membina semula apa-apa yang pernah runtuh, mengumpul dan mencantum semula cebis-cebis ikrar yang pernah koyak dan hilang, tentang bersahabat atas dasar sayang, berlapang dada, dan saling faham. Dan sesungguhnya hilangnya sudah membuat aku risau!)


meow~

Thursday, December 27, 2007

Catatan di Baile Atha Cliath

Assalamualaikum.

6.47 p.m. di Trinity Hall, Dublin, tuan punya kamar sedang tergolek penat di atas katil, tetamu dari jauh pula meng'hijack' komputer (tapi tidak ceroboh fail-fail data, saya amanah orangnya). Mahu menulis, tapi tidak pasti di mana hendak bermula kerana ide terlalu banyak. Entah bila dapat saya makalahkan semua catatan ringkas dalam buku nota yang saya titipkan bila-bila ilham datang. Timbunan emel yang menggunung (peratusan yang signifikan daripadanya adalah tambahan-tambahan kerja.. aduh) menanti dilayan. Menulis (kerana tugas dan kerana cinta) pun mesti ditunaikan.

Paling penting, peperiksaan bermula 15 Januari. TAKUTTTTTT.

(Iwan Fals dan Chrisye ni best rupanya. Haih.)

Sudah dua minggu hingga hari ini, belum ada satu haripun saya duduk diam tanpa terkejar-kejar ke sana sini atau berprogram. Dari utara ke selatan lantas merentas lautan, saya mahu menautkan ukhuwah dan mencari seratus jawapan.

Usai saja sesi terakhir ulangkaji anatomi di makmal Stopford pada 14 Disember, saya pulang berkemas dan menggalas beg ke Manchester Central. Mahu ke Meadowhall Interchange, Sheffield, dari sana menaiki MegaBus yang murah ke Middlesborough, destinasi akhirnya ke Stockton. 'Kampung' berhampiran 'pekan' Durham, yang letaknya sekitar sejam perjalanan dengan bas dari 'bandar' Newcastle.

Sepatutnya untuk ke Sheffield, boleh sahaja saya naik tren laju dari Manchester Piccadilly. Sejam saja ke Meadowhall Interchange. Tapi itulah, mengada-ngada hendak naik bas, mahu jimat (beberapa pound saja pun) dan menikmati perjalanan yang jauh (saya suka berlama-lama dalam kenderaan sebenarnya), kononnya. Perjalanan dengan bas dijadualkan memakan masa tiga jam, dengan satu pertukaran di Leeds. Takdir mengatasi tadbir, bas ke Leeds lambat tiba ke Manchester Central, dan lambat pula sampai ke stesen bas di Leeds. Sebaik sahaja bas itu memasuki terminal di Leeds, saya nampak bas National Express 070 yang akan ke Sheffield bergerak keluar. Aisehhhhhh... sudahnya saya berkejar ke stesen tren juga, dengan Free City Bus, kerana saya perlu sampai di Meadowhall sebelum jam tujuh malam. Melayang empat pound lebih, mujur ada railcard, diskaun 30%.

Alhamdulillah, lima minit sebelum MegaBus dijadualkan bertolak ke Middlesborough dari Meadowhall, saya tiba di terminal sana dengan tercungap-cungap. Tapi... bas itu tidak sampai-sampai? Penumpang lain pun ada tertunggu-tunggu, meyakinkan saya bahawa saya tidaklah ditinggalkan. Teringat nasib teman di Newcastle yang menanti MegaBus ke London berjam-jam dari pukul satu pagi (yang memang langsung tidak sampai-sampai!). Alhamdulillah, sekitar jam 7.30 malam, penantian itu berkesudahan juga.

Teman menanti di Middlesborough, dibawa dengan bas ke Stockton. Tuan-tuan rumah di sana sangat baik, saya dijamu makan tidak henti-henti (dan tentu sahaja itu bukan satu masalah! ;-)).

Musim dingin benar-benar dingin di sana. Anak sungai berwajah ais, hujung-hujung rumput memakai kerudung fros, dan sejuknya menggigit tulang!! Ah teman, kedai kek Angel's Share dan market di Darlington, Claire yang berhati manis, mangkuk besar salad di atas meja, nasi lemak sambal kerang, dan poncho kait hijau yang sekarang tergantung di dalam almari Thorncliffe 5B, saya mahu datang lagi! Oh, ayam tandoori, nasi bawang putih dan brokoli rebus pun sedap juga =)

Projek 'Baitul Hikmah' yang dibentangkan oleh teman di sana, bagi saya, sangat bagus dan inovatif. Bermatlamat jangka panjang dan sangat signifikan kepada ummah. Tambahan pula ia 'selamat'. Tidak ada risiko ditangkap polis atau dikejar SB yang menyorok di sebalik busut di mana-mana. Saya tidak ada masalah untuk menyumbang, apatah lagi yang perlu dilakukan adalah 'kerja' yang saya memang suka. Membaca, membaca, dan membaca! Macam suruh kucing makan ikan. Cuma bezanya kucing perlu membuat laporan tentang ikan yang dimakan dan suatu hari nanti bekerjasama membuka kolam menternak ikan. =)

Cuma yang saya bimbangkan, komitmen yang dijanjikan (oleh saya, oleh kami semua) mampukah dititipkan secara istiqamah? Bukan untuk sebulan dua, malah berbelas-belas tahun! Mohon Allah izinkan dan mudahkan, dan jadikan ia yang terbaik untuk kami semua. Walaupun banyak kontras saya dan teman ini - mereka yang tahu kami siapa, akan sangat-sangat bersetuju - saya kagum benar dengan ideanya yang inovatif, keteguhannya berpegang kepada prinsip dan iltizam yang dimilikinya untuk menjayakan apa yang diperjuangkannya.

Pagi Ahad 16 Disember, sebelum syuruk saya sudah menaiki teksi ke Middlesborough. Bas ke Meadowhall bertolak jam lapan pagi, tiba di sana jam sepuluh. Serik dengan pengalaman menaiki bas, saya beli saja tiket tren ke Manchester yang akan bertolak jam sebelas pagi. Bertemankan Crossman's Neuroanatomy, saya duduk menahan sejuk di pinggir landasan hampir sejam, silih berganti antara membaca dan tersengguk lena.

Kata seorang makcik yang duduk di sebelah saya dalam tren ke Manchester,

"You have a kind face. You'll make a good doctor."

I felt like I want to hug her! =p

Jam 12 saya tiba ke Manchester Piccadilly. Berjalan kaki dalam 15 minit ke perhentian bas terdekat untuk pulang ke rumah, 15 minit perjalanan, sekitar 12.30 tiba ke Whitworth Park. Bermulalah sesi 'mengemas sepantas ribut' kerana jam 3 petang saya mesti ke Manchester Central semula untuk menaiki bas ke Loughborough - letaknya di Leicestershire, berhampiran Nottingham - untuk program Perhimpunan Musim Sejuk anjuran Majlis Syura Muslimun (MSM). Sempat juga saya menghantar kot ke dry-cleaner!

Dari Manchester ke Loughborough, kami - saya dan sekitar 10 orang lagi muslimat - transit di Birmingham. Ada teman yang berkisah tentang pengalaman sendiri dan teman lain (yang juga Muslim) yang basnya ditahan dalam perjalanan, semua penumpang diperiksa dan diambil butir-butirnya. Sedikit cuak, apabila orang-orang dalam stesen bas di Birmingham itu memandang-mandang dan merenung-renung kami yang semuanya berhijab (dan membawa beg yang besar-besar). Tapi kami buat tidak peduli, terus kecoh berborak, ketawa, makan nasi dan kuih-kuih yang kami bawa sebagai bekal sementara menunggu bas ke Loughborough tiba. Sewaktu di Loughborough, sewaktu menunggu kakak-kakak menjemput ke rumah masing-masing untuk tumpang bermalam (program bermula esok hari), dua kali kami dijerit maki. Hangat juga rasa malam yang sejuk itu.

Perhimpunan Musim Sejuk 2007 bertemakan Control, Shift, Enter. Saya pernah ungkapkan kepada teman, saya datang semata-mata kerana ukhwah. Dan benarlah, apa yang saya dapat hanyalah ukhwah. Mungkin akan saya huraikan kemudian, mungkin tidak. =D

'Operasi menahan wudhu'' bersama Kak Atun, praktikaliti ithar dalam giliran shower, lauk ayam yang pedas hingga ramai yang tidak tahan (walaupun saya sangat suka!), terjerit-jerit dan terlompat-lompat sampai sakit tekak kerana excited berjumpa begitu ramai sahabat jauh dan dekat, solat berjemaah dan bacaan al-Ma'thurat beramai-ramai, makan setalam, makan nougat turki dengan banyaknya sampai sakit perut, treasure hunt mengelilingi pekarangan Beaumanor Hall (kawasan campsite kami) yang sungguh indah permai, tiba-tiba diminta mendeklamasikan kata-kata Yusuf al-Qardhawi dalam bentuk sajak sewaktu persembahan malam terakhir PMS, dan melalak sekuat suara dengan penuh penghayatan bersama teman-teman yang bergandingan lengan di kiri dan kanan (sambil menahan linangan air mata) sewaktu menyanyikan lagu tema kami (Mimpi Yang Indah, Mestica) .... (walaupun dalam kotak Imeem yang saya letak di sidebar itu tajuknya ditulis 'dunia yang indah'..haihh)


telah kulalui, jalan berduri
sejuta harapan, terus kupertahankan
bukan mudah menggapai bintang,
bersilih dugaan mendatang

di sebalik kepayahan, di situlah kekuatan
tekad hati, azimat di perjalanan
mengejar impian

pabila laluan seakan sukar
bagai tak terdaya untuk terus bertahan
namun kasihmu menyedarkan
aku tak pernah sendirian

di sebalik kepayahan, di situlah ada kekuatan.
tekad hati, azimat di perjalanan
mengejar impian
tinggi langit, mimpi ini
tak ku ragu untuk membuktikan
indah bintang, yang terang bukan khayalan
tetapi kenyataan

akan kausaksikan kesulitan ini
pasti berganti kebahagiaan

telah pun kaudengar kisahku ini
pernahkah kaucuba untuk mengerti???



Dari PMS, pulang ke Manchester. Dua hari sempat membawa teman dari Ireland berjalan-jalan di 'kampung halaman' saya ini, ke Old Trafford Stadium, menjenguk city centre, menziarah kedai manisan Moonlight dan Islamic store The World of Islam di Rusholme. Sempat juga merasa ikan bakar, sup petola dan kek keju mangga Kak Atun. Petang 22 Disember, terkejar-kejar saya dan teman menaiki tren ke Blackpool untuk menaiki kapal terbang dari sana ke Dublin. Gara-gara lewat membeli tiket, harga penerbangan dari Manchester sudah melampaui tahap kemampuan, justeru terpaksalah bersusah sedikit untuk terbang dari bandar sebelah.

PUISI 2007. Begin With The End In Mind: 6 Ways to Define Our Purposes as an Effective Muslim.

Mind-blowing. Heart-warming.

Dalam kesempatan yang semakin terbatas sekarang - entri yang semakin berjela-jela - saya tidak rasa mampu untuk mengisahkan dengan adil pengalaman rohani-jasmani di Mount Melleray Scouts Camp selama empat hari tiga malam. Ukhwah yang saya rasa lebih tulus, lebih jernih, lebih rela. Pertemuan dengan insan-insan yang tidak saya duga. Keteguhan, iltizam, kasih, kejujuran dan kepercayaan yang dilihat, yang dicurah, begitu tuntas, begitu padu, langsung bisa membuat saya bingung. Dan paling penting, seratus jawapan yang saya cari, sembilan puluh sudah saya temui.

Ketika teman-teman lain banyak yang terpaksa melupakan hasrat kerana lambat mendaftar, saya siang-siang lagi telah mengantari nama. Sedangkan itu bukan sifat normal saya, yang selalunya akan menanti hingga minit terakhir sebelum menetapkan apa-apa. Sungguh, saya amat-amat-amat-amat bersyukur kerana diizinkan Allah untuk ke sini. Alhamdulillah, sungguh Dia terlalu Halus dan Misteri perancangannya!

Semalam, pulang dari Mount Melleray, saya mula sakit-sakit. Bersin-bersin dan panas-panas badan. Antara cocodamol dan ibuprofen, saya pilih yang kedua. 400 mg dan tawakal. Batal niat untuk mengulangkaji pelajaran, saya awalkan tidur. Walaupun saya tidak suka makan ubat (rasa macam ambil dadah dan telan bahan kimia) dan mahu belajar, tapi untuk kepentingan jangka panjang (mohon dipelihara Allah daripada terkedang sakit menjelang peperiksaan ini!), saya tunaikan rayuan jasad yang minta berehat.

Dan pagi tadi saya bangun bersama kerongkong yang sakit-perit-pedih-berdarah. Aduh, tanda-tanda awal yang saya takuti! Apapun saya bersyukur, sepanjang PUISI hingga ke hujungnya, kesihatan dan kecergasan saya dipeliharaNya.

Hari ini Boxing Day di Ireland. Hari untuk membeli-belah. Namun saya dan teman - beserta beberapa lagi teman lain - menghabiskan seharian suntuk untuk bermesyuarat. Projek baru pula dalam perbincangan, kesinambungan misi untuk da'wah dan islah, dengan cara kami sendiri yang tidak terikat dengan mana-mana organisasi. (Bersih dan halal serta insyaAllah tidak akan dimarahi oleh MSD)

ReAwaken.

Membaca mampu menjadi alat untuk mengubah dunia.

Saya tidak teragak-agak untuk menjanjikan komitmen.

Tema, konsep, pengisian, penceramah jemputan, aktiviti, kumpulan sasar, penajaan. Masih banyak yang perlu disudahkan, tetapi gambaran kasar, insyaAllah sudah tampak.

Moga Allah izinkan, mudahkan, dan menjadikan ia yang terbaik untuk kami.

Sekarang sudah lewat jam lapan malam, teman masih nyenyak kelelahan. Rengkung saya masih perit, pening yang dibawa sepanjang mesyuarat sudah berubah menjadi resah dan panas jasmani. Dengan kata lain, memang rasa macam nak demam. Kalau di rumah sendiri, logiknya saya sudah memulakan rejim madu+limau dan sup ayam+bawang putih+ halia+lada hitam. Harap-harap baik semula atau dapat bertahan sehingga pulang esok hari.

Saya sudahkan dengan petikan lirik lagu M Nasir, Melawan Arus.

Kata orang
Jangan kau cuba melawan arus
Pecah bahtera
Kau kecundang karam terjerumus

Tapi jika terpaksa pergi
Kau mesti pergi
Di balik gunung di kaki pelangi
Engkau cari
Mimpi perangsang hidup
Dan kau diberi tawaran
Tak bisa ditolak

Minta bebas bebas
Dari sangkar maya ini
Minta terbang lepas
Dari sarang buana ini



Kata orang
Ada racun dalam kecantikan
Itu terang
Membuat engkau mabuk cendawan

Tapi jika terpaksa pilih
Kau mesti pilih
Biar dicerca dihina
Dan engkau diherdik
Kerna dia engkau menjadi lelaki
Diberi pilihan antara hidup dan mati


Ya, saya bukan lelaki.
Saya perempuan yang kadang-kadang - dan sering - berasa terhimpit oleh keadaan.
Oleh fikiran dan hati sendiri, oleh manusia di kelilingan.
Mengikut atau menyongsang arus, saya tidak pernah sendirian. Saya tidak pernah sendirian.

Saya tidak pernah sendirian. Saya tidak pernah sendirian.

(Baile Atha Cliath itu sebutan untuk bandar Dublin ini dalam bahasa Irish Gaelic. Satu bahasa yang saya rasa sangat cantik!)


salam,
meow~


Wednesday, December 12, 2007

Budaya dan Paradigma Ikhwah

Dalam masa satu malam, saya dapat gelaran 'gatal', 'hipokrit', dan 'comel'. Mak aih. Nampaknya, dalam penulisan pun ada 'ideal world'. Selama ini saya menulis di sini dan di beberapa laman lain yang kerap dikunjungi orang-orang bijak pandai yang tentunya matang dan tahu sopan. Sesekali 'ter'terjun ke dalam medan 'umum', wah terasa seronoknya!

Komen ini saya tampalkan di sebuah laman web sebagai respons yang saya fikir perlu saya sampaikan. Seperti selalu, kalau ada komen yang saya letak di mana-mana, yang paaaanjaaaaang dan yang saya rasa sesuai dikongsi di sini, saya akan kongsi di sini juga. Tapi untuk memelihara keamanan sejagat, tak perlulah saya nyatakan sumbernya. Tidak ada apa-apa hakcipta yang saya langgar, ini tulisan saya sendiri =)

assalamualaikum.

Wah, ada orang cakap saya gatalkah? Ni nak tumpang sekaki jugak. Walaupun mulanya saya fikir hanya nak memerhati dan tak mahu menyampuk apatah lagi menyibuk kerana saya orang luar, orang jaaaauh..

Ingatkah tentang hikayat sebuah negara, apabila rakyatnya keluar berkumpul untuk mengadap baginda sultan, tiba-tiba wazir dan temenggung menghantar hulubalang, lantas timbul kecoh-kecoh, lalu seisi pemukul canang mengkhabarkan bahawa rakyatlah pendosa yang mencetus walang..

Bandingkan sendiri.

Kalau rakyat bahagia dengan wazir dan temenggung, mungkin mereka tidak pun mahu berhimpun. Kalau tidak ada hulubalang datang menyergah, mungkin tidak ada sesiapa yang peduli sangat pun apa yang berlaku. Perhimpunan itu akan lenyap dibawa angin lalu. Tapi apabila wazir dan temenggung terus memanjang-manjangkan cerita, terus menghantar para lubalang untuk membuat tangkapan di sini-sana, maka cerita sejengkal jadi sedepa!

Kawan, melarat atau tidaknya apa yang berlaku bukan kerana entri ini dipadam atau tidak. Aneh kalau diri sendiri tidak mampu bersabar dan mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata tidak manis lagi tidak membina, langsung mempersalahkan orang kerana membiarkan entri ini terus di sini persis menggoda. Soalnya, kalau rasa tergoda, kawallah diri! Bukankah masing-masing tahu apa yang buruk dan apa yang baik? Memanglah tempat gatal tu sedap kalau digaru, tapi padahnya luka dan infeksi la nanti. Haih. Tapi itu tak bermakna kaki gatal perlu dipotong terus.

…Atau malu sebenarnya melihat kesan garuan sendiri..?

Sungguh, kalau tidak ada orang yang beramai-ramai datang memprotes di sini, di ‘artikel lapuk’ ini, isu ini sudah lenyap dibawa angin lalu! Tapi itulah, perancangan Allah itu misteri. Tentu saja ada hikmahnya Dia mengizinkan kita beramai-ramai bertabuh di sini. Jangan sia-siakan peluang yang Allah beri ini untuk kita sama-sama berfikir.

Kawan, saya juga orang seni. Tak perlu saya panjangkan pengalaman saya, tapi cukuplah saya nyatakan yang saya bermain dengan pentas sejak kecil, berayahkan orang seni, dan cukup cinta kepada seni. Lakonan, tarian, nyanyian, puisi, cerpen, apa sahaja. Seni itu sesuatu yang suci, suci amat. Halus. Dan bagi saya, tidak ada beza antara ’seni’, ‘budaya’, dan ‘dakwah’. Nenek moyang kita dahulu menggunakan seni sebagai alat dakwah, seni berkembang kerana wujud maslahah dakwah, dan itulah yang sepatutnya.

Apabila dikaitkan dengan kebudayaan Melayu, nampak jelas bertaut rapat dengan nilai Islami. Sayang, atas nama budaya, kita cenderung menghalalkan apa sahaja. Sedangkan kita lupa definisi dan ruh budaya kita sendiri. Ruh yang tidak dicemari modernisasi dan komersialisasi, ruh yang dijejak sumbernya dari akar umbi.

Dan seringkali, apabila seni itu tradisi, akar umbinya akan mempunyai falsafah yang cukup mendalam apabila dikaji. Zapin, contohnya, mempunyai leluhur Islami yang amat tulus, menjadi persis senamrobik pelajar-pelajar pondok. Gamelan. Ghazal. Dikir barat. Aduh, teringat pula bicara semangat Faisal Tehrani bila menyentuh hal-hal ini. (Pedulikan kontroversi tentang beliau, semangatnya memperjuangkan kemurnian budaya, saya hormati.)

Memisahkan budaya Melayu dan ruh Islami adalah satu pencabulan yang tidak adil kepada leluhur kita!

Mementingkan kebanggaan orang berbanding kebanggaan Allah Taala juga adalah satu kezaliman. Zalim, menempatkan sesuatu tidak pada tempatnya. Lama sangatkah kita menongkat langit? Bangga kerajaan, bangga ibu bapa, bangga negara, semua itu dapatkah menyelamatkan kita ketika setiap saudara melupakan saudaranya, anak lari daripada ibu bapanya, suami tidak kenal isterinya? (Abasa: 33-37) Waktu itu panjangkah lidah kita mahu terus berhujah mempertahankan diri?

Kita selalu meletakkan alasan perpaduan. Menjaga hati. Berhemah. Berhikmah. Butir-butir peluru ini selalu ditujukan kepada insan-insan yang kononnya “mahu berdakwah, tapi tak kena cara”. Konon nama baik perlu dijaga, jangan buka pekung sendiri.

Sama seperti wazir dan temenggung yang mengutuk rakyat mencemarkan nama baik negara. Wah, kalau inilah piawainya, biarlah pekung membusuk di dalam kain, jangan sesekali dibawa ke doktor! Biarlah suami kaki pukul, jangan sesekali dibawa ke kaunselor! Biarlah negara rabak dirodok wabak HIV-AIDS, jangan sesekali minta nasihat dunia, nanti negara maluuuu! (mungkin ada yang tahu negara mana yang saya sebut ini)

Tidak saya nafikan, hemah dan hikmah perlu dan penting. Tapi dalam masa yang sama, Nabi berpesan agar umat berkata benar walaupun pahit. Dan apabila menerima teguran, janganlah kerana berasa tercabar, lantas sengaja membesar-besarkan isu “cara teguran yang salah” untuk melampiaskan nafsu tidak puas hati.

Saya teringat tulisan Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Muntalaq, sifat takabbur ertinya adalah menolak kebenaran, iaitu sesuatu yang sudah diketahui benar, tetapi tetap ditolak, kerana sebab-sebab yang berkait dengan keangkuhan dan keengganan mengaku salah. Tergolongkah kita dalam kelompok ini?

Kawan, maaf kerana komen ini terlalu panjang. Saya sebenarnya keliru melihat teman-teman di seberang laut yang memperbalahkan isu yang rasa saya tidak perlu pun dipanjang-panjangkan. Pada fikir saya, kalau semua pihak ikhlas mahu menyelesaikan masalah, isu ini boleh diselesaikan secara internal sahaja. Saya bukan mahu memaparkan diri sebagai pro-lonsaa, anti-lonsaa, pro-zapin-coed, anti-zapin-coed, pro-ayam-katok atau anti-ayam-katok. Saya hanya memikirkan prioriti kita sebagai umat Islam dan sejauh mana kita mengutamakan kebenaran dan suara hati daripada tujahan akal semata-mata(yang seringkali digesa-gesa oleh nafsu).

Saya mencadangkan agar entri ini dan semua komen di dalamnya tidak dipadam agar semua pihak dapat mengambil iktibar dan pengajaran. Belajar daripada kesilapan untuk “tidak bersetuju” dan berhujah secara matang. Tapi itulah, kita suka sangat menyapu sampah ke bawah karpet, bukan?

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi apa yang tersembunyi dalam hati saya, dan hati kita semua.

salam,
meow~


Tanpa merujuk secara langsung kepada kata-kata di atas, saya terfikir sesuatu. Kenapa anak-anak asuhan gerakan dakwah di dua buah negara yang berbeza, berbeza sekali paradigma yang saya saksikan? Atau mungkin saya merujuk kepada ruang sampel yang terlalu kecil. Jangan terasa!

Memetik status YM saya malam ini, ada dua 'jenis' ikhwah, tapi 'akhwat' kat mana-mana pun sama....

Terpulang mahu menafsirkannya macam mana. Mungkin sekali anda akan silap membuat tafsiran. Dan ingat, ayat yang diucapkan dalam konteks sastera, satira/sinisme/sarkasme seringkali bersifat generalisasi dan hiperbola. Jangan jadi manusia sengal yang memahaminya sebagai realiti tuntas.

(Saya rasa ada orang tidak akan puas hati kerana saya mengajukan persoalan tanpa memberi jawapan. 'Tak bertanggungjawab' =p Tak apa,
mungkin saya akan tulis lagi tentang 'fasa kedua' tajuk artikel ini lain kali. Mahu sambung belajar tentang mata dan telinga.)


meow~ (dengan comelnya)

salam!

Tuesday, December 11, 2007

Lacur

melacur itu
bukan hanya menggadai emas dan sutera
dari lombong-lombong
dan ladang-ladang jasmani

besi tiga empat tujuh lok
cair menjadi rantai
belenggu lisan dan tangan

yang rela mengarang kebatilan
dengan tinta air ludah
dan pena merah yang patah
adalah pelacur-pelacur
harga jari-jari mereka lebih murah
daripada lambung yang terlentang

di lorong belakang.

Monday, December 10, 2007

Palestin, Belas Kasihan Dan Keadilan


PDF Print E-mail

Konflik Israel-Palestin tidak putus-putus menjadi bumbu perbincangan dan perdebatan khalayak. Begitu juga dengan aneka masalah lain yang melanda umat - kemiskinan, penindasan, dan bencana alam.

Manusia suka sekali menghulurkan pelbagai macam analisis dan pendapat, tetapi tunggu sekejap.. adakah kita terlalu banyak berfikir, mencari keadilan mutlak agar tidak tersilap walaupun sepatah fakta, sehingga lupa atau seperti sengaja berlengah-lengah untuk bertindak?

Adibah Abdullah, pelajar Tahun Dua The University of Manchester dalam jurusan Perubatan, dengan aspirasi untuk menjadi aktivis sosial-Islami yang praktikal, berkongsi buah fikirannya.


Minggu ini “Solidarity with Palestine Week”, anjuran Action Palestine, University of Manchester. Setiap hari ada aktiviti untuk menyedarkan massa tentang malapetaka kemanusiaan yang bermaharajalela di bumi Zaytun sana. Dokumentari, perbincangan, ceramah, tayangan filem, hampir semuanya berkisar tentang penderitaan pribumi Palestin yang ditenyeh-tenyeh oleh penjarah Israel dan dilayan di luar tatacara manusiawi.

Setakat ini saya hanya sempat menghadiri tayangan dokumentari Occupation 101 tentang ‘realiti penjajahan Palestin’ dan ceramah Chestdoc in Palestine oleh doktor-doktor yang menghabiskan beberapa minggu di sana. Realiti yang sudah lama saya tahu, namun imejan dan penghuraian itu mencetuskan ledakan emosi (dan rasionaliti) yang segar buat saya. Sungguh, tahu dan sedar itu banyak benar bezanya!


Cebisan-cebisan Realiti Palestin

Saudara-saudara di Palestin dirampas hak mereka sesuka hati, sempadan negara mereka diperkosa oleh sekumpulan bangsa yang mulanya hanya mengemis secebis tanah. Tembok Apartheid setinggi lapan meter dan sejauh 703 kilometer meredah perkampungan dan ladang-ladang zaitun yang menjadi lambang sara hidup masyarakat tani Palestin. 16% rakyat Palestin terperangkap di sebalik tembok, terpisah daripada rakan senegara, tanah air dan mata pencarian mereka.

Dr Asad berkisah tentang pencabulan hak penjagaan kesihatan. Ibu mengandung sampai bersalin di checkpoint, pesakit meninggal di checkpoint. kerana disekat daripada ke hospital. Dalam Israel sendiri, ketidakadilan membusuk. 60 perkampungan Arab di Negev tidak diiktiraf oleh kerajaan, dinafikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, dengan kadar kematian bayi yang memuncak.

Kanak-kanak turut dimangsai. Dunia dan keluarga mereka dipunahkan. Tempat bermain tidak ada. Di sana-sini ada runtuhan bangunan, pagar-pagar dan askar yang berkawal. Sungguh membingungkan, kanak-kanak yang hanya bermain juga dihunjam peluru Israel! Tambah menggusarkan, cekupan undang-undang Israel tidak melepaskan kanak-kanak. Defence of Children International melaporkan tentang tahanan kanak-kanak yang diseksa, dipisahkan terus daripada keluarga, dan dipenjarakan 10-20 tahun hanya kerana melontar batu!

Tekanan jiwa melanda mereka ini yang didera trauma, tiada tempat bermain dan terkurung di dalam rumah. 98% kanak-kanak di Gaza dilaporkan mengalami kesan psikiatri dan psikologi yang serius. Seperti yang diungkapkan dalam laporan United Nations Reliefs and Works Agency (UNWRA), “…kanak-kanak sudah tidak pandai lagi untuk bermimpi.”


Seimbang dan Adil?

Selepas dokumentari Occupation 101 kehangatan bermula apabila seorang lelaki menyuarakan bahawa dokumentari itu “…one-sided, doesn’t portray the whole story.” Kenyataannya disambut dengan marah oleh sebahagian hadirin. Salah seorang daripada mereka berkata,

“If I rob your house, take your land, and kill your mother, that will be your side of the story.”

Ganas kedengarannya, bukan?

Saya biasa menyaksikan penghujahan seumpama ini apabila menghadiri program pro-Palestin sekitar universiti. Seringkali ada yang mempersoalkan pemaparan yang tidak adil dan berat sebelah. Menggesa pengkajian lanjut supaya situasi sebenar difahami dengan lebih tepat. Seorang rakan sekuliah terang-terangan merasakan derita Palestin adalah hasil konspirasi Arab, ilusi untuk mensabotaj Israel. Katanya, saya perlu membaca lebih banyak bahan daripada pelbagai pihak, jangan percaya semua yang diberitahu kepada saya, dan capai kesimpulan yang lebih tepat (menjadi pro-Israel seperti dia). Seperti sesetengah pihak yang menafikan kenyataan golongan pro-Palestin, dia juga mendakwa berpengalaman ke Israel. Aduh, sahabat. Melawat Israel dan menikmati layanan ‘pelancong’, dilindungi daripada ‘pengganas Palestin’ (dan dikawal daripada melihat ‘kampung sebelah’) oleh pihak militari jauh bezanya daripada menziarahi Palestin dan mengecap pahit zaitun mengkal yang dicantas dari pohon!

Banyak intelektual skeptik yang sentiasa mempersoalkan keadilan dan ketepatan satu-satu konsep secara akliah. Fikir, debat, fikir, debat. Mahu menanggapi situasi dengan kefahaman akal yang paling tepat, supaya nanti tidaklah tersilap menyokong orang Palestin kalau sebenarnya orang Israel yang mengucur darahnya dibedil Apache, kalau sebenarnya rumah-rumah Israel yang dilatam jentera sampai menjadi puing-puing separuh terbakar. Betul, tidak salah pun.

Tetapi ia menjadi salah dan songsang apabila memburu keadilan dan ketepatan secara akliah itu lebih diagungkan daripada memartabatkan kemanusiaan. Jangan sebut golongan hakim dan penguatkuasa – mahkamah dan alam maujud di luarnya adalah dunia yang berbeza. Dalam kehidupan yang berjungkir balik dan bertompokan ruang-ruang kelabu yang payah dicerakinkan, kemanusiaan wajib dijulang.

Kemanusiaan adalah satu-satunya hukum yang dapat membawa manusia ke arah persetujuan bersama. Keadilan sering relatif jika dipandang daripada pelbagai perspektif, bergantung pula kepada maklumat yang diperoleh dan pentafsirannya. Seperti dokumentari yang dikritik tadi, bukankah memang patut ia berat sebelah, punya fokus yang jelas, kerana matlamatnya untuk mengujakan hati, menggerakkan manusia untuk bertindak. Sekiranya ia memaparkan hujah-hujah yang berbeza, masing-masing akan memansuhkan sesama sendiri, menyebabkan khalayak tambah was-was, tambah banyak menghabiskan masa menganalisa.

Sudahnya, sibuk menganalisis informasi, berdebat sana sini, berpijak tidak di atas bumi, masalah terus menanah memeri! Seperti intelektual hari ini yang galak mendiskusikan masalah umat sesama mereka. Pelik, sekumpulan intelektual – politikus, peguam, ekonomis, sosiologis – memperdebatkan perihal orang-orang kampung dan marhaen, menerbitkan doktoral dan kajian untuk menampakkan betapa mereka peduli masalah rakyat dan menambah gelar di hujung nama. Doktoral dan kajian yang tidak pun difahami oleh warga yang mereka perjuangkan.

Individualiti insan tercetak daripada akal, hati, dan nafsu. Ketiga-tiganya mustahak dalam menentukan keperibadian dan membuat keputusan, namun sebagai pemikir yang meletakkan landas spiritual sebagai penentu tuju, saya memandang hati sebagai tunjang utama. Hati adalah medium untuk insan berhubung dengan Pencipta dan fellow creations. Keputusan daripada hati – kasih sayang, altruism, perikemanusiaan – seringkali payah ditafsirkan dengan akal semata-mata.

Mengambil kira landas spiritual, saya cuba melihat soal belas kasihan dan keadilan dari sorot pandang Islam. Spiritualiti lain tidak cukup saya fahami untuk saya bincangkan. Dalam Islam, keadilan mengatasi kemanusiaan, tetapi kemanusiaan itu adalah keadilan. Peraturan adalah demi kesejahteraan manusia seluruhnya, kerana kelakuan setiap insan akan memberi kesan, sama ada langsung atau tidak, kepada umat. Pengecualian kepada belas kasihan mutlak yang mesti diberikan untuk keadilan, sesungguhnya adalah demi kemanusiaan. Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan..


Hati, Kemanusiaan dan Belas Kasihan

Jangan mendewa-dewakan akal. Ledakan maklumat menjanjikan informasi daripada segenap sudut dan segi. Tuhan memuliakan insan dengan akal. Tetapi kadang-kadang akal perlu didiamkan. Jenayah kemanusiaan jelas terpampang, sudah terang lagi bersuluh penderitaan Palestin, mengapa membazirkan masa bertelagah siapa yang salah dan siapa yang berkonspirasi?

Berhenti berdolak-dalih, ikut sahaja tuntunan hati, akal jadi penasihat, rangkakan tindakan untuk membantu. Isu-isu pinggiran seperti siapa yang jahat mungkin sudah jatuh ke tangga kesepuluh. Kemanusiaan itu lebih utama daripada keadilan. Tanyalah mana-mana doktor yang mempelajari etika perubatan, atau sukarelawan di bumi yang dirempuh bencana. Ketika itu garisan antara antara hitam dan putih menjadi kabur, yang jelas adalah penderitaan insan yang perlu diringankan. Orang Israel atau orang Palestin, orang Gerakan Acheh Merdeka atau Tentera Nasional Indonesia.

Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan! Siapa yang mengkhianati kemanusiaan, dialah penjahat. Ketika manusia benar-benar berkhidmat untuk kebajikan manusia lain, persoalan yang kelihatan besar dan menyesakkan akal di dalam dewan berhawa dingin menjadi remeh dan lewah.

Rachel Corrie, gadis legenda yang menyerahkan nyawanya untuk menghalang jentera merobohkan rumah-rumah di Gaza, pernah berkata, lebih kurang begini, “… apa yang saya lihat di sini, lebih dahsyat daripada apa yang pernah saya gambarkan. Berbaloi kita semua meninggalkan apa sahaja yang sedang dilakukan sekarang, dan berjuang untuk menamatkan keperitan di sini.” Dunia tenat. Yang menggerakkan insan untuk terjun ke dalam lautan manusia, ikhlas menyerahkan diri untuk merawat dunia, bukanlah akal pintar yang membangunkan pelbagai teori yang akhirnya dibawa angin lalu, milik kelompok perasan bagus yang rasa diri gah berjuang dalam dewan berhawa dingin, tetapi hati yang hidup dan mampu merasai, hati yang memacu jasad secara altruistik untuk umat.

Hati yang tidak banyak soal tentang keadilan, melainkan keadilan yang didefinisikan oleh kemanusiaan dan tepat meniti landas spiritual. Berhentilah berdiskusi kosong semata-mata!


Adibah Abdullah is a second-year Medical student in The University of Manchester. Passionate in literature and (practical) social activism, not to forget her (future) medical profession. A staunch humanitarian and feminist, but abides by her personal definition of the terms. Believes in and fights for universal compassion.


Artikel ini asalnya disiarkan di buletin rasmi UKEC pada 10 November 2007. Mungkin untuk mengisi hari-hari yang tidak sempat saya tulis apa-apa yang khas untuk blog ini, saya akan paparkan saja tulisan-tulisan saya untuk laman web dan penerbitan lain. InsyaAllah. =)


Hm, dua tiga bulan belakangan ini, ruang komen 'belang hitam putih kelabu' seperti tidak berbelang! Adakah pengunjung saya sudah menyusut atau masing-masing menyepi kerana tidak apa-apa yang berbaloi untuk dikatakan? Hehe~



meow~

Friday, December 07, 2007

Palestin Dibela, Tuhan Dicari

Assalamu'alaikum,

Saya rasa saya tidak perlu minta maaf pun, tapi saya minta maaf juga sebab laman ini sudah lama tidak ada wacana 'isu semasa'. Kemaskini pun sekali-sekala. Sedangkan ada saja macam-macam hal menarik yang elok saya kongsi bersama! Sibuk yang tidak sudah-sudah lebih memberi ruang kepada refleksi dari hati apabila hujung-hujung jari mahu bergurau dengan papan kekunci. Yalah, hari-hari sudah habis dengan fikir yang berat-berat, menulis itu bagi saya satu rehat, cenderung sungguh ia melencong ke arah imbasan-imbasan yang lebih halus tentang hayat =)

Alhamdulillah, sahabat-sahabat saya rajin merakamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di Manchesteri Darul Aman dalam laman-laman mereka.

Zaatil Iffah - In Solidarity with Palestine, ini catatan tentang General Meeting yang keramat itu. Daripada kakak yang berlari-lari dari Preston, bandar sebelah, selepas terburu-buru menyudahkan kelas, untuk menitipkan satu undi demi Palestin kerana Allah.

Hanis Hamka - Kemenangan Kebenaran di Atas Kebatilan, tulisan pelajar Melayu Muslim yang lebih senang mengakrabi sahabat seiman atas dasar agama dan praktikaliti berbanding eksklusiviti bangsa dan nasionaliti.

Nadia - If I Come From Ape, What's The Point in Praying? Rentetan hujah dan perdebatan yang berlangsung di Lecture Theatre B, Roscoe Building, antara ateis yang kehilangan Tuhan dan Muslim yang mahu menjadi asbab umat melihat Tuhan.

Selamat membaca dan berfikir!

meow~

Sunday, December 02, 2007

Poetry Without a Rhyme

All writers, will write a poem.
But little did they know, that poetry is often more beautiful without any rhyme.

A poem might be better off, if the lines are devoid of any rhyme.
Rhymes in poetry are as superficial as rose-tint on windowpanes.
Rhymes in poetry are as deceptive as ice-layer on the surface of wintry lakes.
Sometimes, to achieve rhyme, a poem may sacrifice its meaning for want of rhyming words.
To make it sound more pleasing to the ear.
While life itself is often cacophonous.

Rhyming lines stink of pretention.
Of attempts to preserve looks and appearances, while attempting to appear focused on content, and content alone.
Is there any difference in messages, delivered in rhyming lines, or cacophonous ones?
How many a deceit is rhymed so beautifully and lulled souls to oblivion.
How many a truth is swished aside, for truth is often singular, and does not need nor approve of a rhyme.

A Poem, once written, will never die.
The paper may crumble and the ink may wash off, but the lines are recorded eternal.
In the hearts of minds of those who remembered it.
Every so often, the Rhymes are remembered more than the Poem.

A Poem, devoid of any Rhymes, stands on its own solitude.
Needing not any reciters, nor starry-eyed admirers.
Spouting the lines away, admiring the resonant rhymes.
A Poem, devoid of any Rhymes, stands on its own uniqueness.
Needing not to conform, to succumb, to those who say that Poems must have Rhymes.

For as long as the Writer of writers remembers it and loves it, a Poem is the best Poem.

assalamualaikum,
meow~

-pasca kembara Nottingham-Sheffield yang mengajar pelbagai rasa, fizikal dan mental!-