Wednesday, December 12, 2007

Budaya dan Paradigma Ikhwah

Dalam masa satu malam, saya dapat gelaran 'gatal', 'hipokrit', dan 'comel'. Mak aih. Nampaknya, dalam penulisan pun ada 'ideal world'. Selama ini saya menulis di sini dan di beberapa laman lain yang kerap dikunjungi orang-orang bijak pandai yang tentunya matang dan tahu sopan. Sesekali 'ter'terjun ke dalam medan 'umum', wah terasa seronoknya!

Komen ini saya tampalkan di sebuah laman web sebagai respons yang saya fikir perlu saya sampaikan. Seperti selalu, kalau ada komen yang saya letak di mana-mana, yang paaaanjaaaaang dan yang saya rasa sesuai dikongsi di sini, saya akan kongsi di sini juga. Tapi untuk memelihara keamanan sejagat, tak perlulah saya nyatakan sumbernya. Tidak ada apa-apa hakcipta yang saya langgar, ini tulisan saya sendiri =)

assalamualaikum.

Wah, ada orang cakap saya gatalkah? Ni nak tumpang sekaki jugak. Walaupun mulanya saya fikir hanya nak memerhati dan tak mahu menyampuk apatah lagi menyibuk kerana saya orang luar, orang jaaaauh..

Ingatkah tentang hikayat sebuah negara, apabila rakyatnya keluar berkumpul untuk mengadap baginda sultan, tiba-tiba wazir dan temenggung menghantar hulubalang, lantas timbul kecoh-kecoh, lalu seisi pemukul canang mengkhabarkan bahawa rakyatlah pendosa yang mencetus walang..

Bandingkan sendiri.

Kalau rakyat bahagia dengan wazir dan temenggung, mungkin mereka tidak pun mahu berhimpun. Kalau tidak ada hulubalang datang menyergah, mungkin tidak ada sesiapa yang peduli sangat pun apa yang berlaku. Perhimpunan itu akan lenyap dibawa angin lalu. Tapi apabila wazir dan temenggung terus memanjang-manjangkan cerita, terus menghantar para lubalang untuk membuat tangkapan di sini-sana, maka cerita sejengkal jadi sedepa!

Kawan, melarat atau tidaknya apa yang berlaku bukan kerana entri ini dipadam atau tidak. Aneh kalau diri sendiri tidak mampu bersabar dan mengawal diri daripada mengeluarkan kata-kata tidak manis lagi tidak membina, langsung mempersalahkan orang kerana membiarkan entri ini terus di sini persis menggoda. Soalnya, kalau rasa tergoda, kawallah diri! Bukankah masing-masing tahu apa yang buruk dan apa yang baik? Memanglah tempat gatal tu sedap kalau digaru, tapi padahnya luka dan infeksi la nanti. Haih. Tapi itu tak bermakna kaki gatal perlu dipotong terus.

…Atau malu sebenarnya melihat kesan garuan sendiri..?

Sungguh, kalau tidak ada orang yang beramai-ramai datang memprotes di sini, di ‘artikel lapuk’ ini, isu ini sudah lenyap dibawa angin lalu! Tapi itulah, perancangan Allah itu misteri. Tentu saja ada hikmahnya Dia mengizinkan kita beramai-ramai bertabuh di sini. Jangan sia-siakan peluang yang Allah beri ini untuk kita sama-sama berfikir.

Kawan, saya juga orang seni. Tak perlu saya panjangkan pengalaman saya, tapi cukuplah saya nyatakan yang saya bermain dengan pentas sejak kecil, berayahkan orang seni, dan cukup cinta kepada seni. Lakonan, tarian, nyanyian, puisi, cerpen, apa sahaja. Seni itu sesuatu yang suci, suci amat. Halus. Dan bagi saya, tidak ada beza antara ’seni’, ‘budaya’, dan ‘dakwah’. Nenek moyang kita dahulu menggunakan seni sebagai alat dakwah, seni berkembang kerana wujud maslahah dakwah, dan itulah yang sepatutnya.

Apabila dikaitkan dengan kebudayaan Melayu, nampak jelas bertaut rapat dengan nilai Islami. Sayang, atas nama budaya, kita cenderung menghalalkan apa sahaja. Sedangkan kita lupa definisi dan ruh budaya kita sendiri. Ruh yang tidak dicemari modernisasi dan komersialisasi, ruh yang dijejak sumbernya dari akar umbi.

Dan seringkali, apabila seni itu tradisi, akar umbinya akan mempunyai falsafah yang cukup mendalam apabila dikaji. Zapin, contohnya, mempunyai leluhur Islami yang amat tulus, menjadi persis senamrobik pelajar-pelajar pondok. Gamelan. Ghazal. Dikir barat. Aduh, teringat pula bicara semangat Faisal Tehrani bila menyentuh hal-hal ini. (Pedulikan kontroversi tentang beliau, semangatnya memperjuangkan kemurnian budaya, saya hormati.)

Memisahkan budaya Melayu dan ruh Islami adalah satu pencabulan yang tidak adil kepada leluhur kita!

Mementingkan kebanggaan orang berbanding kebanggaan Allah Taala juga adalah satu kezaliman. Zalim, menempatkan sesuatu tidak pada tempatnya. Lama sangatkah kita menongkat langit? Bangga kerajaan, bangga ibu bapa, bangga negara, semua itu dapatkah menyelamatkan kita ketika setiap saudara melupakan saudaranya, anak lari daripada ibu bapanya, suami tidak kenal isterinya? (Abasa: 33-37) Waktu itu panjangkah lidah kita mahu terus berhujah mempertahankan diri?

Kita selalu meletakkan alasan perpaduan. Menjaga hati. Berhemah. Berhikmah. Butir-butir peluru ini selalu ditujukan kepada insan-insan yang kononnya “mahu berdakwah, tapi tak kena cara”. Konon nama baik perlu dijaga, jangan buka pekung sendiri.

Sama seperti wazir dan temenggung yang mengutuk rakyat mencemarkan nama baik negara. Wah, kalau inilah piawainya, biarlah pekung membusuk di dalam kain, jangan sesekali dibawa ke doktor! Biarlah suami kaki pukul, jangan sesekali dibawa ke kaunselor! Biarlah negara rabak dirodok wabak HIV-AIDS, jangan sesekali minta nasihat dunia, nanti negara maluuuu! (mungkin ada yang tahu negara mana yang saya sebut ini)

Tidak saya nafikan, hemah dan hikmah perlu dan penting. Tapi dalam masa yang sama, Nabi berpesan agar umat berkata benar walaupun pahit. Dan apabila menerima teguran, janganlah kerana berasa tercabar, lantas sengaja membesar-besarkan isu “cara teguran yang salah” untuk melampiaskan nafsu tidak puas hati.

Saya teringat tulisan Muhammad Ahmad al-Rasyid dalam bukunya al-Muntalaq, sifat takabbur ertinya adalah menolak kebenaran, iaitu sesuatu yang sudah diketahui benar, tetapi tetap ditolak, kerana sebab-sebab yang berkait dengan keangkuhan dan keengganan mengaku salah. Tergolongkah kita dalam kelompok ini?

Kawan, maaf kerana komen ini terlalu panjang. Saya sebenarnya keliru melihat teman-teman di seberang laut yang memperbalahkan isu yang rasa saya tidak perlu pun dipanjang-panjangkan. Pada fikir saya, kalau semua pihak ikhlas mahu menyelesaikan masalah, isu ini boleh diselesaikan secara internal sahaja. Saya bukan mahu memaparkan diri sebagai pro-lonsaa, anti-lonsaa, pro-zapin-coed, anti-zapin-coed, pro-ayam-katok atau anti-ayam-katok. Saya hanya memikirkan prioriti kita sebagai umat Islam dan sejauh mana kita mengutamakan kebenaran dan suara hati daripada tujahan akal semata-mata(yang seringkali digesa-gesa oleh nafsu).

Saya mencadangkan agar entri ini dan semua komen di dalamnya tidak dipadam agar semua pihak dapat mengambil iktibar dan pengajaran. Belajar daripada kesilapan untuk “tidak bersetuju” dan berhujah secara matang. Tapi itulah, kita suka sangat menyapu sampah ke bawah karpet, bukan?

Allah Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi apa yang tersembunyi dalam hati saya, dan hati kita semua.

salam,
meow~


Tanpa merujuk secara langsung kepada kata-kata di atas, saya terfikir sesuatu. Kenapa anak-anak asuhan gerakan dakwah di dua buah negara yang berbeza, berbeza sekali paradigma yang saya saksikan? Atau mungkin saya merujuk kepada ruang sampel yang terlalu kecil. Jangan terasa!

Memetik status YM saya malam ini, ada dua 'jenis' ikhwah, tapi 'akhwat' kat mana-mana pun sama....

Terpulang mahu menafsirkannya macam mana. Mungkin sekali anda akan silap membuat tafsiran. Dan ingat, ayat yang diucapkan dalam konteks sastera, satira/sinisme/sarkasme seringkali bersifat generalisasi dan hiperbola. Jangan jadi manusia sengal yang memahaminya sebagai realiti tuntas.

(Saya rasa ada orang tidak akan puas hati kerana saya mengajukan persoalan tanpa memberi jawapan. 'Tak bertanggungjawab' =p Tak apa,
mungkin saya akan tulis lagi tentang 'fasa kedua' tajuk artikel ini lain kali. Mahu sambung belajar tentang mata dan telinga.)


meow~ (dengan comelnya)

salam!

3 comments:

Laila said...

kak dibah..
senyum saja saya. ngeee.. :D
benar, saya juga tidak faham apakah yang berada dalam minda dan hati ikhwah di luar. dan mungkin tak perlu tahu kot. :p
mungkin bukan dua je kot.. mungkin lebih. haha!
dulu saya cuba bersangka baik, mungkin matlamat mereka sama, cuma dilaksanakan dengan cara yang berbeza. tapi sejak kebelakangan ini, makin nampak bezanya. dah tak kenal mana prioriti dan mana hobi. hehe..

Laila said...

maaf, saya nak mengganggu lagi. tapi tak perlu risau kerana saya jenis yang tidak suka bercakap banyak. :p

bukan hanya yang di luar negara bermasalah, di dalam negara juga bermasalah sebenarnya. adakah perlu untuk menyalahkan organisasi yang bertindak sebagai proksi, atau sememangnya fahaman yang berbeza? saya pernah menyuarakan tentang kepentingan tanzim dan fikrah pada seseorang suatu ketika dulu. dan nyatanya, tidak perlu timbul persoalan yang mana satu harus diutamakan kerana kedua-duanya adalah elemen yang sama penting.

p/s: saya tak reti mengiow macam akak.. :p

pauhfc said...

tak perlu la ambik hati dgn ikhwah yg berperangai seperti itu.lebih emosi dari akal.