Thursday, January 31, 2008

Nantilah, Nanti....

Assalamualaikum.

Buku-buku dan majalah yang bertimbun dalam bilik, bilakah mahu dibaca? Nantilah, nanti. Akan ada waktu untuk meladeni semuanya, untuk mata melatam setiap baris dan akal mengunyah setiap patah kata.

Bulan demi bulan berlalu, semuanya tetap bertimbun tidak diusik di sudut itu, malah timbun semakin tinggi dengan kehadiran-kehadiran yang baru.

Lihat satu imejan, datang satu ilham. Dengar satu melodi, sepuluh ilham buru-buru hampiri. Malah hidu satu aroma pun, ilham mampir bergulung-gulung. Capai buku nota. Nantilah, nanti. Akan ada waktu untuk memetiknya satu-satu, mencapahkan buah fikiran daripada setitik gagasan menjadi sebidang tulisan.

Helaian nota bertulis ilham semakin menebal, makalah dan karya seperti gigi bongsu pendam yang melonjak-lonjak mahu keluar tetapi ditahankan.

Saya meminjamkan sebuah buku yang baru saya khatamkan dua hari lepas buat seorang teman. Hajat saya, ingin berkongsi letusan-letusan rasa yang saya alami ketika melayari memoir sang pengarang.


kucing : (buku tu sori la kalau ada kesan2 tompok di mana2, aku baca sambil makan, goreng ayam, masak sup, dll yg sewaktu dgnnye)

kawan kucing : mekasih sbb bagi pinjam
kawan kucing : bapa lama ni nk kene pulang?

kucing : up to u
kucing : jgn sampai grad sudah le

kawan kucing : oo x leh ke

kucing : lama sgt nanti buku aku lupa kt tuan dia

kawan kucing : sbb aku rasa smpai aku phd pun x abes lg

kucing : haha

kawan kucing: grad phd x leh?
kawan kucing : haha
kawan kucing : melawak jer

kucing : (aku hantar kucing suruh gigit karang)

Ketika itu terlintas di fikiran saya, untuk apa saya minta buku itu dipulangkan? Mungkin sekali hanya kerana saya rasa itu buku saya yang saya beli dan saya mahu simpan, setidak-tidaknya sebagai kenangan atau koleksi. Untuk dibaca lagi? Ah, saya tidak rasa saya akan punya kesempatan atau waktu untuk mengulang-baca. Mungkin kali pertama dan terakhir saya membaca buku itu adalah waktu mengkhatamkannya sebelum memasukkannya ke dalam sampul untuk diposkan kepada teman. Kanvas waktu terlalu sempit, lakaran yang muat amat terhad.

Bahan baca - akademik, sosiopolitik, fiksi, apa-apa sahaja - yang ada sudah berlonggok. Ada yang saya beli sewaktu awal-awal menjejak kaki ke UK, sampai sekarang masih diam senyap di bawah meja di dalam laci. Itu belum lagi buku yang saya kepingin baca dan belum berpeluang memegangnya, seperti The Name of The Rose -Umberto Eco, Naratif Ogonshoto -Anwar Ridhwan, Dan Malam Apabila Ia Berlalu - Abdullah Hussain, Shalimar The Clown - Salman Rushdie, novel-novel kota Neverness tulisan David Zindell, ah senarai yang tidak akan selesai jika diteruskan - saya rasa sepanjang hidup ini mungkin saya tidak akan dapat menyentuh pun karya-karya itu.

Tidak sempat.

Apabila memikirkan hal-hal seumpama ini, terasalah bahawa hidup ini sangat pendek.

Hidup terlalu pendek untuk menunaikan semua yang kita mahu lakukan. Untuk menyempurnakan apa yang perlu pun tidak sempat, bukan?

Saya cemburu melihat orang-orang yang sudah menghampiri waktu mati, boleh tersenyum dengan penuh tenang dan puas, "Saya sudah dapat semua yang saya mahu. Erti hidup sudah lengkap." Benarkah?

Atau itu adalah satu lagi cara manusia memuaskan kekecewaan sendiri, meyakinkan diri bahawa dia sudah puas, bahawa 'tugasnya di dunia' sudah selesai, sedangkan hakikatnya kehidupan seorang manusia itu tidak, belum, dan tidak akan sempurna pada saat matinya. Masih ada perancangan yang belum dilaksanakan, hasrat yang belum ditunaikan, permintaan orang yang belum terpenuhkan.

Penting bukan, untuk berlebih kurang? Tidak ada gunanya berkira-kira sangat. Orang guris sedikit, saya simpan singgung bertahun. Bila kesempitan duit, rasa seperti dihimpit gunung. Memang kanvas waktu yang sempit itu akan penuh, dengan pelbagai lakaran, yang cantik dan yang buruk, yang unik dan yang lewah, yang penting dan yang sia-sia, sebelum sempat kita muatkan semua lakaran yang kita mahu goreskan. Memenuhkannya dengan lakaran-lakaran yang tidak penting akan menambahkan lakaran-lakaran mustahak yang tercicir apabila kanvas sudah penuh. Bertangguh untuk melukis lakaran yang cantik mungkin menyebabkan kita lupa bagaimana untuk melukisnya pada kemudian hari, atau mungkin ketika itu, sudah tidak punya upaya untuk menggerakkan tangan dan jari lagi.

Indahnya kalau mampu berlapang dada, mensyukuri dan memaafi, tidak menangguh-nangguh dengan kata "nantilah, nanti..."

Hm, buku itu saya masih mahu dipulangkan! Asal sebelum kita bergraduasi sudahlah =D

Kepada teman yang masih belum selesai "meranduk paya" (peperiksaan ekologi rasanya?), terus-teruskan, semoga Allah mudah-mudahkan, dalam semua lapangan!


meow~

1 comment:

Anonymous said...

Walau dikejar tak dapat, yang dikendong masih ketat.
Ok pe?
daripada aku, sume dikejar lari jauh tinggalkan diri.. sedih gile.. aha..

Ini cubaan komen keempat. Dah 3 kali aku gagal komen kat sini. Ada error katanya.