Assalamualaikum.
Takut kerana Tahu?
Manusia selalu takut dengan sesuatu yang tidak diketahui. Malam menggerunkan kerana gelapnya boleh jadi menyembunyikan apa-apa sahaja. Maut mengerikan kerana sesudah sempadan itu direntas, apa-apa sahaja boleh menanti, dan ya, semuanya abadi. Dalam menangani sesuatu isu, kita suka meminta ketelusan. Semua mesti jelas dan transparen, jujur dan berterus-terang. Baik daripada mengagihkan tender mahupun sampai membela babi.
Pada waktu-waktu tertentu, pengetahuan itu sebenarnya mendatangkan lebih banyak ketakutan dan keraguan yang menggusarkan. Ignorance is bliss, kata sesetengah failasuf. Semasa konsultasi dengan doktor, walaupun etika am adalah kejujuran dalam memperjelaskan diagnosis dan prognosis kepada pesakit, sang pesakit berhak menyatakan bahawa mereka tidak mahu tahu sekian-sekian perkara. Puncanya? Realiti itu adakalanya terlalu berat sehingga manusia lebih suka bermain-main dengan khayalan atau penafian. Lagipun, kenyataan itu tidak semestinya kebenaran, kalau yang benar terlalu pahit, kebenaran boleh sahaja diketepikan dan sang manusia memilih sendiri kenyataan yang lebih menyenangkannya.
Golongan yang belajar menikmati kelebihan ilmu, sekaligus terkecuali daripada nikmatnya berkeadaan tidak tahu. Ketika orang lain bersuka-suka, hanya mereka yang tahu tentang bakal tibanya celaka akan resah sendiri. Anak-anak muda hedonis mungkin tidak peduli langsung tentang keresahan sang agamawan yang gelisah memikirkan murka Tuhan. Generasi moden pemuja teknologi, pengagum muzik pop terkini, tentu sahaja tidak mengerti bimbangnya sasterawan tentang umat yang ketandusan apresiasi seni. Kalaulah pengiraan menunjukkan ada kemungkinan-kemungkinan meteor bakal merempuh bumi, yang kerisauan tentu sahaja para ahli astronomi. Tipisnya ozon di kutub dunia, pemanasan global, perubahan cuaca hingga Ireland berhias bunga di tengah musim dingin dan bermandikan salji di tengah musim bunga, hanya klimatologis dan pejuang alam sekitar sahaja yang mengerti tafsiran serta natijahnya.
Orang-orang yang tidak mengambil tahu tentang ilmu perubatan, selalunya kurang ambil pusing sakit-sakit badan di sana-sini. Biasa-biasa sahaja. Yang hipokondriak itu cerita lain, terjumpa tahi lalat kenit di bahu sudah gempar terkena melanoma. Ini tentang orang biasa-biasa, lumrahnya sakit abdomen sedikit atau lenguh-lenguh otot adalah perkara remeh, tambahan pula sibuk dengan aneka tanggungjawab lain.
Namun jika ilmu perubatan itu sebahagian daripada kehidupan, jika sedikit petanda yang diketahui melambangkan bala, tiba-tiba dikesan pada diri sendiri - mungkin sekali pandang tidak ada apa-apa makna, seperti sakit abdomen dan lenguh-lenguh otot yang sukar diperjelaskan - apabila dikaitkan dengan titipan patologi yang dipelajari, mampu mengundang gemuruh.
Takut. Perasaan dikejar bayang-bayang itu datang kembali. Sementelahan tempoh pemeriksaan tahunan sudah lama tiba dan terabai begitu sahaja - sibuk kononnya. Ah, belajar perubatan tapi malas ke pusat kesihatan? Mungkin sebetulnya, belajar perubatan walaupun tahu ada bayang-bayang (ya, ia jauh, jaaauuuhhh, tapi....) di belakang?
InsyaAllah tidak ada apa-apa, insyaAllah, hanya orang yang tahu itu kadang-kadang terlalu sensitif dengan apa yang diketahuinya, tambahan pula jika ia melibatkan diri dan masa depan sendiri.
Begitulah kan, orang yang tahu sepatutnya lebih sensitif dan berhati-hati daripada orang yang tidak tahu. Peka walaupun dengan tanda-tanda yang kecil. Orang yang berhati-hati itu selalunya orang yang tahu, walaupun mungkin juga seseorang lebih berani dan tega mengambil risiko berbekalkan pengetahuan dan kefahamannya. Relatif, semuanya relatif. Knowledge empowers, but knowledge can also paralyze.
Ah, Isnin ini mesti atur temujanji dengan Nurse Sue! Nanti ada orang marah =p
(Gementar lagi, bila ada examination, tentu ada result... kenapa menunggu keputusan ini sentiasa mendebarkan? Apa sahaja keputusan! Oh ya, hidup ini pun examination, lepas selesai hidup, keluarlah result... takut juga tu...)
Permaisuri Istana Debu
Sufi yang buta, cerah hati dan tulus jiwa.
Katak yang bertukar menjadi manusia dan lupa daratan, gila kuasa.
Sebuah istana seperti ketul tanah yang bila-bila akan hancur menjadi debu.
Permaisuri yang seluruh senja dalam jajahannya, bertakung dalam sepasang matanya.
InsyaAllah. Kali ini, akan berjaya.
Mana Bulan?
Alam indah nian sekarang. Maha Suci Allah. Cantiknya musim sejuk dengan fitrahnya yang dingin. Perca kapas putih yang luruh bertaburan dari langit, perlahan-lahan mengikut angin dingin yang berolak lembut, pemandangan yang sukar diulas dengan kata-kata, sama ada waktunya adalah dinihari bersuluhkan lampu kekuningan di pinggir-pinggir jalan atau subuh hari yang kelabu damai.
Dan ya, salji gugur seperti hujan, menimbun laksana permaidani di atas bumbung, laman, jalan raya dan dahan pokok, sekali lagi kenangan salji terindah saya tahun ini adalah di Sheffield!
Sekarang, seronok lagi melihat bunga-bunga mula muncul, daun-daun hijau mencanak-canak keluar (walaupun lambat, takut dijerkah salji yang masih belum mahu pergi), seolah-olah musim sejuk tidak pernah tiba.
Petang-petang membaca buku dan berjalan-jalan seorang diri di Lothlorien saya di sebelah rumah, aman sekali. Cahaya matahari waktu-waktu begini seperti emas yang tumpah, berserakan menyentuh hamparan rumput, kuntuman dafodil dan bluebell, aneka macam puspa, tampak riang, mewah berkilau-kilau.
Dua tiga hari lepas, nampak bulan sabit tersenyum.
Malam ini, langit berkepul-kepul dengan awan yang kemerah-merahan - walaupun tidak semerah langit tatkala hujan ribut waktu di MRSM PC dahulu - puas saya mengintai, bulan di mana? Tentu sahaja belum purnama, tapi kepul-kepul awan merah itu tetap nampak cerah, sumber cahayanya dari mana pula?
salam
meow~
Friday, April 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
~salam~
tertarik dgn blog dibah
saya letak link di blog saya,ok kan?
p/s:
i'm ur x-skulmate kat PC
Post a Comment